Bubur Liar Bukit Angin Kedai Khaidir

Assalamualaikum wbt

Ada sesiapa yang pernah makan bubur liar tak? Saya rasa mesti ada yang tidak tahu apakah itu bubur liar. Mungkin ada yang membayangkan rupanya seperti bubur lambuk tapi rasanya manis seperti bubur asyura. Mungkin juga ada yang fikir saya ni tersalah eja kot. Bubur liat jadi liar pula. Atau mungkin ada yang fikir, apa pelik sangat nama. Liar sangatkah buburnya? Kena dijinakkankah kalau hendak makan? Tambat dulu? Baca doa penambat hati dulu supaya kurang sikit liarnya? Huhu. Tidak tidak tidak. Tidak sama sekali.

Rupanya sekali lihat hampir sama seperti bubur chacha. Tetapi untuk menghasilkan ‘mee’ bubur itu, kita menggunakan tepung beras yang dilenyekkan pada acuannya dan jaluran-jaluran pendek seakan-akan mee itu akan jatuh ke dalam air rebusan. Maka terhasillah isi utama bubur ini.

Kuahnya pula dibuat menggunakan gula melaka bersantan. Jadi kuahnya berwarna coklat gelap. Sebagai penambah rasa, seperti biasa, santan segar bergaram disajikan berasingan. Siapa mahu boleh tambah sendiri. Siapa tak mahu, tak payah isi. Kalau saya, saya memang akan isi. Baru ada umph!

Kisahnya, dua hari lepas saya keluar ke bandar dengan emak untuk menguruskan hal-hal saya. Kemudian emak mengajak minum petang di R&R Bukit Angin. Sebelum tu mari nak cerita tentang R&R ini dulu. Sebelum wujudnya Lebuhraya Pantai Timur KL-Kuantan, jalan utama untuk ke Kuantan semestinya akan merentasi Temerloh terchenta ini. Hehe. Jika melalui jalan lama ke Kuantan, sudah pasti akan melalui simpang keluar ke bandar Temerloh. Jalan lama ini pun digelar masyarakat tempatan sebagai highway kerana dulu-dulu inilah highway yang digunakan untuk ke Kuala Lumpur mahupun ke Kuantan.

R&R Bukit Angin ini letaknya betul-betul di persimpangan jalan utama sama ada mahu menuju ke Kuala Lumpur, Kuantan atau turun ke pusat bandar dan simpang menuju ke Jalan Triang yang menjadi jalan utama menuju ke Serting, Gemas dan Muadzam Shah. Kedudukan R&R ini memang strategik suatu masa dulu ketika LPT masih belum ada. Sekarang ini, R&R ini masih beroperasi dan kebanyakan pengunjungnya ialah penduduk tempatan dan orang ramai yang masih berulang-alik KL-Kuantan menggunakan jalan lama.

Emak membawa saya ke sana untuk minum-minum dan membeli kuih untuk dibawa pulang. Kami terus menuju ke kedai kedua dari arah jalan masuk ke R&R tersebut. Nampak banyak kuih dan bubur disajikan. Sebaik ternampakkan bubur liar itu, saya melonjak gembira. Sudah bertahun-tahun saya tidak makan! Emak juga teringin sama. Kami pesan dua mangkuk bubur liar bersama dua ketul cucur udang. Apabila mula saja menyuap bubur liar itu ke mulut, fulamak, serius tak terkata sedapnya! Sangat sedap! Saya boleh beri markah penuh untuk bubur itu!

Saya tidak boleh makan benda manis sangat. Mudah sakit kepala. Tetapi bubur di kedai itu memang secukup rasa saja manisnya. Saya tak sudah-sudah memuji-muji bubur itu. Emak pun bersetuju dengan saya. Kata emak, memang payah hendak jumpa orang buat bubur liar dengan rasa yang molek begitu.

Kebiasaannya di tempat saya ini, bubur liar disajikan ketika majlis cukur jambul. Ada seorang orang kampung saya ni, terkenal dengan panggilan Mak Tam Limah. Kalau kenduri di rumahnya, mesti ada bubur ini. Mak Tam Limah ni kiranya pakarlah bab-bab bubur liar ni. Buat pula secara tradisional menggunakan acuan besar untuk mee bubur itu, kawah air panas untuk merebusnya dan guna santan perah hasil pokok-pokok kelapa keliling rumah. Memang hebatlah Mak Tam Limah ni. Adik beradik Mak Tam Limah ni pun hebat bab-bab bubur ni termasuklah Mak Andak Peah. Mereka ni ketua-ketua bubur di kampung inilah kiranya. Yang lagi istimewanya, kalau kenduri di rumahnya, bubur liar ini mesti dipadankan dengan sirap selasih sejuk. Memang gabungan mantaplah. Aduh. Makan mesti bertambah punyalah. Buat kenduri orang macam kenduri sendiri pula. Nasib baik saudara-mara sendiri juga. Hehe.

Jadi petang tadi, saya mengikut emak ke sekolah adik saya di Temerloh Jaya. Dalam perjalanan balik, emak hendak membeli kuih dulu kerana ada tetamu hendak datang ke rumah petang tadi. Kami singgah di R&R itu sekali lagi kerana rumah kami dalam arah yang sama. Emak menyuruh saya turun dan pergi ke kedai hari tu. Beli kuih-muih serba sedikit dan bubur liar. Hehe. Sebenarnya saya yang mahu bubur itu. Beri saya makan tiap-tiap hari pun tak mengapa. Memang saya akan telan punyalah. Sedap!

Kebetulan pula, kedai kedua itu adalah kedai keluarga junior saya ketika di sekolah rendah dulu, Khaidir. Sejak hari tu lagi saya mencuri pandang budak tu [err, sila jangan amalkan perbuatan menjeling anak bujang orang]. Saya rasa macam kenal. Saya tahu dia tu satu sekolah rendah dengan saya. Sehinggalah tadi ketika hendak membeli itu, kami berteguran. Sah. Memang sah. Dia junior saya zaman sekolah dulu-dulu. Memang itu kedai makan milik keluarganya.

Jadi apa lagi. Sesiapa yang melalui jalan lama KL-Kuantan, marilah singgah ke R&R Bukit Angin, Temerloh. Simpangnya betul-betul selepas Jambatan Temerloh dari arah Kuantan. Cari kedai kedua dari jalan masuk. Kalau tak jumpa juga kedainya, tanya orang, kedai mana ada budak nama Khaidir bekerja. Hahaha. Kita kasi popular sikit Khaidir ni hari ni ya. Ada pelbagai bubur disediakan di situ. Tapi tolonglah cuba bubur liarnya. Percayalah. Memang enak, sedap, lazat sehingga anda rasa mahu datang lagi! Err, datang untuk makan bubur liarlah. Bukannya datang sebab hendak mencuri pandang wajah Khaidir ya.

Sampai saja di rumah, saya mengisi bubur ke dalam mangkuk besar. Maghrib tadi, masih berbaki sedikit lagi. Saya pun apa lagi. Macam biasalah, kan. Jadi tong sampah yang menghabiskan apa yang ada. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Hihik. Jadi, mari kita berkenalan dengan bubur liar.

DSC_0246

Inilah rupanya. Saya rasa kenapa namanya bubur liar kerana ketika adunan tepung beras yang separa pejal itu dilenyek di dalam acuan supaya turun ke dalam kawah air panas untuk direbus, ia turun secara terjunan bebas yang liar dan buas. Seakan-akan harimau jantan menerkam mangsanya. Aik. Apakah?

Nota 1: Selepas makan, kamu juga akan menjadi liar. Aummmm. :mrgreen:

Nota 2: Sudah lama saya tidak ucapkan ayat ini: Hari ini hari Jumaat. Hati saya wardah. Heheh. Ok sudahlah tu, Sarah. Dah tengah malam dah ni. Nak masuk Sabtu dah pun ok. :roll:

Nota 3: Tajuk tu diedit lepas mendapat cadangan daripada AKAK!

Posted on July 31st, 2009 by Sarah  |  23 Comments »

Cerita Budak Kampung

Assalamualaikum wbt

Kelmarin saya menemani ayah ke Pekan dan Kuantan. Dalam perjalanan balik, ketika kami masih lagi berlegar-legar di tengah bandar Kuantan, saya bertanya kepada ayah akan lokasi EON Bank cawangan Kuantan. Untuk makluman, sekarang sudah tidak wujud lagi EON Bank. Ia sudah ditukar kepada nama lain. Nama apa entah. Kurang popular. Jadi kita abaikan.

Ayah menjelaskan kedudukan bank itu di bahagian satu lagi di bandar Kuantan ini. Bukan di kawasan yang sedang kami lalui. Tapi bagi saya yang kurang arif dengan selok-belok bandar tersebut, saya terbayang-bayang di situlah letaknya bank tersebut suatu masa dulu. Jadi, apa kaitannya bank tersebut dengan saya?

Kisahnya, pada tahun 1999, saya telah ke bank itu untuk suatu aktiviti. Pertandingan Sayembara Puisi Kemerdekaan peringkat negeri Pahang anjuran RTM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan EON Bank. Sebelum saya ceritakan apa yang berlaku di sana, mari saya ceritakan dulu apa yang membawa saya ke sana.

Ketika itu saya berada dalam tingkatan dua dan bersekolah di sesi petang. Sekitar tiga bulan sebelum itu, setiap kali pulang dari sekolah, sambil makan nasi sebaik sampai ke rumah dan sebelum masuk Maghrib, saya pasti menonton drama di TV1. Kebetulan waktu itu sedang ditayangkan sebuah drama Melayu bersiri yang berkisar tentang kemerdekaan. Saya sudah tidak ingat tajuknya tapi yang saya sangat ingat, lagu temanya ialah lagu Menghitung Hari nyanyian Krisdayanti. Waktu itu sebenarnya saya bukan hendak tengok sangat drama itu. Saya lebih berminat dengan drama bersiri Cina yang bertajuk The Good Old Days yang disiarkan di TV3. Siap boleh bergaduh dengan kakak saya yang setia menonton drama Melayu itu. Bila iklan saja, berebut menukarkan siaran ke drama satu lagi. Begitulah kami hampir setiap hari.

Di sebelah pagi, sebelum bertolak ke sekolah, drama Melayu itu ada disiarkan sebagai siaran ulangan. Siaran di sebelah pagi ini disertakan dengan soalan-soalan kuiz kemerdekaan. Padahal waktu itu belum pun lagi mencecah bulan Ogos. Bagus betul dulu-dulu. Tidak perlu menunggu sambutan bulan kemerdekaan, sesuka hati pihak TV boleh melancarkan kuiz-kuiz sebegini. Barulah orang peka dan menghargai sejarah. Di Moscow (nak juga kaitkan dengan Moscow, apalah budak ni), ketika di Manesh Underground Shopping Complex, saya sedar ada TV-TV kecil yang menyiarkan Hari Ini Dalam Sejarah dan rentetan sejarah Rusia mengikut bulan pada tahun-tahun tertentu. Kagum betul saya melihatkan hal itu. Saya boleh leka melihat paparan demi paparan. Patutlah rakyatnya sangat arif dengan segala sejarah bangsa dan negara mereka itu. Cuba bayangkan. Kalaulah saya masuk Pejabat Pos di sini dan sambil menunggu giliran saya dapat melihat paparan sejarah di kaca TV bukankah bagus? Ok. Menyimpang jauh sangat pula. Kembali ke cerita asal.

Di samping kuiz, turut disiarkan ialah sebuah iklan pertandingan mengarang puisi kemerdekaan. Hampir sebulan saya melihat iklan itu tapi sedikitpun saya tidak terniat untuk ambil pusing. Sehinggalah kira-kira seminggu sebelum tarikh tutup penyertaan, pembantu rumah saya ketika itu, Kak Nonoi menyarankan saya menghantar salah satu daripada karya saya. Rupa-rupanya Kak Nonoi tahu saya ada menulis sajak. Pada mulanya saya tidak tertarik pun. Tapi empat hari sebelum pertandingan itu, saya terbuka hati hendak mencuba. Saya pilih sebuah sajak yang saya tulis tidak lama sebelum itu yang bertajuk Aku Anak Merdeka.

Dengar tajuknya pun saya sudah rasa hendak tergelak. Klise sungguh, bukan? Itu zaman kanak-kanak. Ilmu penulisan haram satu pun terpahat di dada. Menulis ikut suka. Yang saya ingat, saya menaip sajak itu untuk dicetak (print) menggunakan komputer di Bilik Komputer sekolah kerana kebetulan hari itu saya bertugas di Bilik Komputer. Keesokannya, saya menghantar penyertaan saya menggunakan pos laju kerana takut tidak sempat.

Tiga bulan berlalu begitu saja. Saya langsung tidak mendengar khabar tentang penyertaan saya. Nampak gayanya memang tidak terpilih dalam saringan untuk ke peringkat negerilah. Saya tidak kisah. Memang saya masuk sekadar cuba-cuba. Sehinggalah pada suatu hari, nama saya diumumkan kerana ada surat berdaftar dari bank atas nama saya yang dihantar ke sekolah. Penyelia Petang yang memanggil saya waktu itu. Rupa-rupanya pihak sekolah juga mendapat satu surat berdaftar atas urusan yang sama. Saya dimaklumkan bahawa karya saya telah terpilih antara dua puluh karya terbaik kategori A (13-15 tahun) dan saya dipanggil untuk mendeklamasikan sajak saya bagi menentukan johan peringkat negeri pada keesokan harinya di Kuantan.

Penyelia Petang saya pelik, bila masa pula pihak sekolah menghantar penyertaan. Saya menerangkan kepadanya bahawa saya menyertai pertandingan itu secara persendirian tanpa guru bimbingan. Iyalah. Mana saya tahu semua itu perlu. Jadi, Penyelia Petang saya berkata, dia tidak dapat menghantar sebarang guru pengiring untuk mengikut saya ke Kuantan kerana perkara itu hanya mereka tahu di saat akhir. Saya kata tidak mengapa. Saya boleh ke sana dengan ayah saya sendiri sedangkan waktu itu ayah sendiri pun belum tahu akan hal ini. Sesedap hati saja saya memberi jaminan kepada Penyelia Petang saya.

Untuk ke Kuantan, saya tidak tahu apa caranya untuk memenarikkan lagi persembahan saya. Saya terbayang-bayang Aishah menyanyikan lagu Bahtera Merdeka. Penuh perasaan. Saya berkata pada diri saya, ekspresi wajah kena secukup rasa. Tapi Aishah menyanyi ada lagu. Saya ada apa? Saya terbayang-bayang aksi orang mendeklamasikan sajak di TV. Ada muzik latar. Alunan lagu-lagu lembut. Terutamanya tiupan seruling atau muzik mendatar kosong bunyi dari gitar atau piano. Saya mula terasa kurang. Saya tiada semua itu. Mana saya nak cari bahan? Meroyan sekejap rasanya malam itu.

Tiba-tiba akal saya datang. Boleh teka apa yang saya buat? Haha. Saya jamin 200% tiada di antara kamu yang dapat menjangkakan apa yang saya lakukan ini. Dan bila saya terkenangkan semula apa yang saya lakukan ini, sumpah saya katakan, saya terasa sangat miskin papa kedana pada waktu itu dan sekarang saya boleh tergelak-gelak mengenangkannya.

Saya ambil sebuah kaset lama yang saya tidak ingat apa isi kandungannya, lalu saya rekodkan kosong (mute) pada kaset itu untuk menghasilkan sebuah kaset kosong setelah menindih kandungan asal kaset itu. Kemudian, jeng jeng jeng, saya mengambil KOTAK MUZIK milik emak saya hadiah daripada anak muridnya yang mengalunkan satu melodi lembut bila dihidupkan. Saya merapatkan kotak muzik tersebut ke tempat rekod di radio dan merakamkan melodi tersebut ke dalam kaset tadi! Ya. Inilah dia yang saya lakukan sebagai inisiatif untuk tidak menghambarkan deklamasi saya pada keesokannya. Hahaha.

Pada hari pertandingan, saya terasa sangat inferior. Orang lain ditemani guru pembimbing masing-masing yang telah bersiap-sedia dengan muzik iringan yang mantap-mantap. Ada yang berbaju songket, bertanjak keris bagai. Saya datang memakai uniform pengawas sekolah. Datang ditemani ayah. Ayah saya pun sebenarnya tidak tahu bahawa saya ada membawa kaset dengan muzik yang saya rekodkan sendiri. Semuanya saya buat sendiri-sendiri. Dalam hati saya berkata, “Confirm kalah ni”.

Jadi bila tiba giliran saya, saya menyerahkan kaset itu untuk dimainkan oleh penjaga PA system. Seterusnya, saya hanya memberikan yang terbaik yang boleh saya lakukan ketika mendeklamasikan sajak tersebut. Bila selesai semua peserta baik kategori A atau B membuat persembahan, ada jamuan makan disediakan dan kemudian keputusan pun diumumkan.

Hanya seorang johan bagi setiap kategori saja yang akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Saya masih lagi tiada semangat kerana saya tahu persembahan sayalah yang paling dhaif sekejap tadi. Orang lain guna CD muzik khas, saya guna kaset rakam sendiri. Siap ada bunyi grek grek grek entah datang dari mana. Silap hari bulan, kalau didengar elok-elok, boleh dengar bunyi nafas saya yang duduk hentap merakamkan lagu dari kotak muzik ke kaset. Sedih betul bila diingat semula. Buat semua diam-diam. Tak mahu emak ayah pening kepala.

Apabila keputusan diumumkan, saya dinobatkan sebagai johan bagi kategori A. Sungguh diluar jangkaan saya. Rasa hendak menangis pun iya waktu tu. Sebak sangat. Budak dhaif tadi tu yang guna kaset grek grek grek tu boleh menang. Saya sangat bersyukur. Dengan itu, saya dan seorang lagi peserta yang menjuarai kategori B (peserta dari Raub) berjaya mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan.

Apabila saya memaklumkan kepada Penyelia Petang saya bahawa saya telah menang di peringkat negeri dan berjaya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan, barulah beliau menunjukkan minat. Emak ayah saya juga mengusahakan seorang kenalan mereka, Cikgu Zul (kalau tidak silap saya) yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Temerloh (SKBT) untuk menghasilkan muzik iringan untuk saya. Saya sempat dua kali menjalani latihan bersama cikgu itu di SKBT. Ingat nak bersajak ni tak perlu tahu asas muzikkah? Ini semua perlu. Paling habis, kita akan tahu di mana kunci suara kita, di bahagian mana kita perlu masuk, kena selarikan suara dan intonasi dengan muzik yang dimainkan. Kalau salah, memang buruk jadinya.

Untuk ke peringkat kebangsaan, Penyelia Petang saya sendiri yang mengiringi saya ke sana. Kami menaiki bas ekspres saja dari Temerloh ke Kuala Lumpur. Di sana, ada wakil EON Bank yang menanti. Kami menginap di Intekma Resort, Shah Alam dan pertandingan berlangsung di Angkasapuri. Untuk ke pertandingan itu, saya tidak memakai baju-baju songket segala bagai ni pun. Saya tidak reti nak pakai baju-baju begitu. Bagi saya, baju sebegitu terlalu mengikut bentuk badan. Emak menempah sebuah jubah mini (jubah paras lutut dan berkain) berbutang depan untuk saya. Warna kuning di raja. Ewah. Kak Nonoi saya yang menjahitkan baju itu untuk saya.

Kisahnya di peringkat kebangsaan, saya merupakan peserta termuda di antara semua peserta, pelajar tingkatan dua. Seperkara lagi, kebanyakan peserta yang saya temui bukanlah penulis sajak yang dipertandingkan itu. Cikgu mereka yang menghasilkan sajak itu dan dihantar atas nama peserta tersebut. Tugas mereka hanyalah mendeklamasikannya semula. Saya pelik juga. Boleh pula begitu ya. Di mana originalitinya? Apa-apalah. Saya tidak meletakkan harapan di peringkat kebangsaan ini kerana saya tahu level saya di mana.

Seperkara lagi, sepanjang permukiman di sana, mereka semuanya bercakap menggunakan Bahasa Inggeris. Saya jadi sangat kekok ketika itu. Serba salah rasanya hendak membawa diri di kalangan anak-anak bandar yang moden-moden belaka ini. Bukannya saya tidak reti langsung untuk speaking dengan mereka. Saya pun ada juga speaking London dengan emak ayah saya di rumah. Tapi saya hairan. Ini pertandingan untuk memartabatkan seni bahasa kita. Tapi bahasa pertuturan yang digunakan adalah Bahasa Inggeris. Serius saya jadi inferior sekali lagi. Memang saya diam sungguhlah ketika di hari pertama dan kedua itu. Masih belum boleh menyesuaikan diri dengan peserta-peserta yang jauh lebih ‘bandar’ dari saya ni. Saya masih ingat ayat pertama yang saya terpaksa jawab menggunakan Bahasa Inggeris. Itupun sebab disapaย  terlebih dahulu dalam Bahasa Inggeris. “Do you have pen?” Jawab saya, “Sorry, I don’t have any”. Hahahaha. Saya masih ingat sampai ke hari ini. Tak bolehkah ditanya saja menggunakan Bahasa Melayu. “Ada pen tak?”. Kan mudah saja. Saya nak jawab pun senang. “Takde”. Hahaha.

Jadi, di hari kedua itu, kami melalui peringkat saringan terlebih dahulu. Daripada empat belas orang peserta kategori A, enam orang terpilih untuk ke final. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Saya tahu, dari segi kreativiti, persembahan saya masih banyak kekurangan. Saya cuma bergantung harap pada bait-bait sajak yang saya hasilkan itu saja. Alhamdulillah. Rupa-rupanya saya berjaya menempatkan diri sebagai finalis. Saya memaklumkan ayah tentang berita ini dan pada keesokan harinya, ayah datang ke Angkasapuri menyaksikan pertandingan peringkat akhir itu. Pertandingan itu juga disiarkan secara langsung di TV1.

Saya masih ingat lagi, lima orang peserta katergori A yang lain masing-masing sajak mereka adalah hasil karya guru mereka. Saya memang sudah lemah semangat di situ. Karya mereka jauh lebih bertenaga jika hendak dibandingkan dengan saya. Tidak mengapalah. Bagi saya, ini pengalaman pertama saya dalam arena ini. Kalah menang bukan isunya. Yang penting usaha itu ada dan pengalaman telah dapat saya kutip.

Untuk persembahan di peringkat akhir, kami mendeklamasikan sajak dengan diiringi tiupan seruling oleh Abang Zali. Siapa masih ingat rancangan kanak-kanak di Tv1 bersama Kak Yong, pasti mengenali Abang Zali. Untuk menambah rencah persembahan, di permulaannya saya introkan dengan bait-bait lagu Bahtera Merdeka. Dua rangkap saja. Nanti pitching lari, padan muka. Huhu. Dan di penyudahnya, saya laungkan kata-kata Aku Anak Merdeka itu sepenuh rasa. Meremang jugalah bulu roma bila diingatkan. Hehe.

Keputusan di peringkat kebangsaan diumumkan selepas selesai kesemua dua belas orang peserta kedua-dua kategori mendeklamasikan sajak. Saya tidak berjaya mendapat tempat pertama, kedua mahupun ketiga. Saya tidak sedih. Seperti yang saya nyatakan tadi, saya tahu saya berada di level yang mana.

Bila pulang ke sekolah, cikgu-cikgu tertunggu-tunggu siaran ulangan pertandingan itu di TV Pendidikan. Pihak sekolah juga dibekalkan dengan pita video oleh pihak RTM. Saya masih ingat reaksi cikgu Kemahiran Hidup saya ketika itu, Cikgu Sopian, “Masuk TV awok yek Sarah”. Haha. Itu pula yang menjadi isunya. Hehehe.

Apa yang lebih penting, di pertandingan itu saya belajar mengenali ragam warganegara Malaysia. Siapa yang benar-benar menghargai bahasa dan siapa yang kurang ambil kisah. Dan bertitik tolak dari situlah saya mula menulis sajak demi sajak. Sebaik tamat SPM pada tahun 2002, saya mempunyai tiga buah buku sajak peribadi.

Bukan senang nak berjaya. Saya akui kata-kata ini. Bila dikenangkan semula apa yang saya lakukan untuk ke peringkat negeri dulu, saya terbayang-bayang, akan adakah lagi orang di zaman ini melakukan seperti apa yang telah saya lakukan. Kerja gila sungguh. Penuh kedhaifan! Bukti betapa kampung tak kampungnya saya. Itulah yang dapat saya simpulkan. Hahaha. Nasib baiklah kotak muzik emak saya itu tidak memainkan lagu Fur Elise ke, How Do I Begin ke. Kalau tidak, akan mencipta rekod sejaralah saya bilamana mendeklamasikan sajak kemerdekaan berlatarkan lagu romantik klasik dunia! Hahaha.

Nota 1: Saya dapat baucer buku DBP berharga RM50, duit RM150 dan seutas jam tangan. Saya tebus baucer itu dengan membeli sebuah Kamus Dewan yang besar gedabak itu. Sehingga kini ia masih elok rapi cantik berseri di atas almari. Amat berjasa di zaman kegemilangan saya dalam bahas dulu. ;-)

Nota 2: Kasihannya pada kamu semua kena baca entri panjang berjela ni. Padahal tak bermanfaat mana pun. Buang masa je. Err… Rasanya macam ni rekod entri terpanjang je. :roll:

Nota 3: Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak buat pengunjung yang masih sudi bertandang ke sini walaupun saya jarang update. Dan terima kasih juga buat semua yang membuat pautan ke blog ini. Kalau saya merepek meraban tu, maaf je la ye. Inilah sindrom orang menganggur. :razz:

Posted on July 30th, 2009 by Sarah  |  37 Comments »

Kenduri-kendara

Assalamualaikum wbt

Sabtu minggu lepas, saya ke kenduri kahwin seorang penduduk kampung saya ini. Pusing-pusing, kait-kait, ini juga saudara mara kami. Waktu di kenduri itu, ada dua perkara berlaku. Pertama, saya rasa asing sungguh dengan muka-muka yang saya jumpa. Anak-anak muda yang sekitar umur saya semuanya hampir tidak saya kenali. Semuanya sudah berubah. Keduanya, ramai yang saya jumpa di kenduri itu. Saya jumpa Abang Jamil dan keluarganya. Mereka ini pembaca blog ini. Tak sangka sungguh boleh bertemu di kenduri itu. Saya sudah mengenali Abang Jamil dan keluarga sejak kecil lagi.

Saya juga bertemu dengan cikgu tadika saya dulu, Cikgu Izumi. Cikgu Izu masih sama seperti dulu. Rumah cikgu tidak jauh dari rumah saya. Di bawah bukit belakang rumah saya saja. Raya nanti boleh berjumpa lagi. Eceh. Dah sebut pasal raya pula. Ramadhan pun belum lagi. Aishh tak sabarnya nak tunggu Ramadhan. Puasa di Malaysia saya tahun ni. Haha. Jauhnya saya lari topik ni. Saya juga bertemu dengan Ustazah Zaidah, ustazah saya ketika di SMA Al-Khairiah. Tak sangka ustazah masih mengenali saya.

Kebetulan pada hari itu internet down sepanjang hari sehingga Maghrib. Disebabkan itu saya keluar mengikut emak saya ke bandar untuk mencari barang. Sumpah emak saya sangat hebat tawar menawar ketika membeli barang. Barang yang hampir Rm2000 pun boleh jadi murah sehingga RM1300 saja. Tabik hormat sungguhlah kepada emak. Hidayah sepupu saya pun ikut sekali. Sampaikan dia berkata begini: Bankrup Cina tu kalau semua pelanggan dia macam Mak Ngah. Hahaha. Ini ilmu ni. Kena belajar dengan emak. Ilmu emak-emak untuk hidup di hari muka. Hehe.

DSC_0216

Sabtu baru-baru ini pula, saya menghadiri walimah Kak Nurul Haida Mohd Salleh dan suaminya Muhammad Syairuz Zamri. Tepatnya, Kak Haida ini ialah rakan sekelas kakak saya sejak darjah satu dan masih rapat sehingga kini. Kakak saya tidak dapat pulang dari Sarawak. Jadi, saya dan adik saya mewakili kami sekeluarga ke sana. Ramai betul kawan-kawan lama yang saya jumpa. Termasuklah juga ustaz ustazah zaman sekolah rendah dulu.

DSC_0208

DSC_0176

Yang paling utama, saya bertemu dengan Ustaz Aris dan Ustazah Hamdah. Mereka merupakan antara tenaga pengajar pelopor di Pusat Pengajian Al-Mukmin. Kini mereka tidak lagi mengajar di sana. Ustaz Aris kini berkhidmat sebagai Qadhi. Saya juga bertemu dengan Ustaz Osman dan Ustazah Zainab. Mereka berdua masih bertugas di Pusat Pengajian Al-Mukmin sehingga kini.

DSC_0233

DSC_0240

Antara kawan-kawan lama yang saya temui termasuklah Kak Nawwar, Kak Fisha, Kak Husna, Aainaa, Farah, Herman, Ikmal Azwar, Erry Shahriman, Shahrizat, Shubhi Asyir, Ikhwan Hafiz, Chot, Salehuddin dan Fadhlillah. Yang paling tak tahannya, bila kisah cinta monyet zaman sekolah dulu diungkit-ungkit sampai panas muka, telinga, tekak! Eh… Cinta monyetkah? Tak juga rasanya. Dah waras dah rasanya waktu tu. Huhu. Yang pasti, saya bersyukur melihat kawan-kawan semuanya sudah berjaya dalam bidang masing-masing dan ada yang sudahpun mendirikan rumah tangga.

Nota 1: Bila sebut berulang kali, sedap-sedap juga ya nama-nama kawan lama saya ni (mereka ni majoritinya satu batch dengan Kaklong). Boleh pilih buat nama anak ni nanti. Bagus-bagus maksudnya. Kan kan kan. ๐Ÿ˜€

Nota 2: Punyalah hot kisah cinta zaman sekolah dulu-dulu. Sampai sekarang semua orang masih ingat. Nyampah ah. Kah kah kah. ๐Ÿ˜†

Posted on July 28th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Promosi : Badar Metropolitan

Assalamualaikum wbt

Seperti tahun lalu, kali ini saya terpilih lagi untuk turut serta memeriahkan Antologi Puisi 2009. Judul antologi puisi kali ini ialah Badar Metropolitan. Tiga buah puisi saya terpilih untuk dibukukan bersama puluhan lagi anggota Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) yang rata-ratanya sedang mencipta nama di persada penulisan tanah air. Ahli GKLN ini terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di luar negara, sedang membuat persediaan di Malaysia dan juga beberapa orang yang baru selesai menamatkan pelajaran.

Jujurnya, saya berpendapat tiga buah karya saya kali ini tidaklah sebaik kualiti dua buah sajak tahun lalu (dalam Antologi Puisi Bahasa Bumi). Ketiga-tiga buah karya saya kali ini dihasilkan atas dasar peribadi bertemakan keinsafan. Jadi mungkin tidak mendalam maksudnya bagi yang lain. Tapi saya tetap hendak mempromosikan buku tersebut di sini bagi pihak GKLN. Badar Metropolitan.

bandarmetropolitan

Bagi sesiapa yang berminat dengan karya sastera genre puisi, kalian bolehlah membuat pesanan menggunakan contact form di Hubungi Sarah dengan meninggalkan nama penuh, alamat dan email. Sebuah buku berharga RM15. Saya hanya akan mengambil tempahan sehingga Selasa depan jam 11.30 malam.

Terima kasih atas minat yang ditunjukkan. Satu Malaysia, Satu Bahasa Ibunda!

Nota 1: Alhamdulillah. Sudah dua buah buku. ๐Ÿ˜‰

Nota 2: Sebenarnya saya malas sangat nak uruskan hal-hal pos mengepos ni. Saya kan dalam mood malas yang kronik. Huuu. Haru betullah budak ni! Cepuk dia sikit.

Posted on July 25th, 2009 by Sarah  |  10 Comments »

Berkumpul

Assalamualaikum wbt

Rumah penuh! Oh tidak. Cuma Kaklong yang tidak balik. Yang lain semuanya ada. Sebelum Maghrib tadi, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Emak berbuka puasa di dalam gelap. Sebaik selepas semua yang lain menunaikan solat Maghrib, kami pula makan beramai-ramai. Emak buat mee sup. Hihi. Permintaan budak bertuah inilah.

Selesai makan, saya mengemas meja dan membasuh pinggan mangkuk. Saya meminta Adi tolong menyimpan semula segala botol sos dan lada sulah ke tempatnya. Tetapi sebaik saya berpaling ke belakang, meja semua sudah siap berkemas. Mangkuk berisi bawang goreng dan daun bawang juga sudah siap disimpan di bawah tudung saji. Sejuk hati betul dengan adik saya yang seorang ini. Ringan betul tangannya.

Kami duduk berbual-bual dengan ayah sementara menanti Isyak masuk. Disebabkan malam ini ada cerita Nur Kasih, saya mengajak adik-adik saya ke mapley Old Town untuk menonton TV di luar. Sudahnya, kami bertujuh keluar selepas siap menunaikan Isyak. Pergi dua buah kereta, guna dua buah meja, untuk enam lelaki dan seorang perempuan. Fuh. Terasa selamat sungguhlah. Sejam kami di sana. Selesai drama, kami pun balik. Adik-adik saya ni layankan saja saya ni semata-mata kerana hendak menonton drama itu. Eh, Adam pun layan drama tu juga. Saya tidak akan ke mapley tanpa adik-adik lelaki saya. Berdua dengan Kaklong juga tidak. Disebabkan itu, saya bersyukur mempunyai adik-adik lelaki yang bertanggung jawab ini walaupun saya tiada adik perempuan. Jadi perempuan yang bongsu kan best. Kekeke.

Sampai di rumah, bekalan elektrik sudah ada kembali. Dalam seminggu ini, sudah beberapa kali bekalan di kawasan saya ini terganggu. Mana Encik TNB yang seorang tu? Sila jelaskan sedikit. Hehe. Setiap kali menghubungi TNB, jawapannya sama saja: We are having some major failures at the moment. Ok. Saya acah je, Encik. Encik sudah bekerja dengan bagus. :mrgreen:

Nota 1: Makanan pertama yang masuk ke perut saya hari ini ialah mee sup emak.

Nota 2: Kisah dua tahun kami telah membuka lembaran baru petang tadi.

Nota 3: Terima kasih Ruhana kerana sudi berkunjung ke rumah saya.

Posted on July 25th, 2009 by Sarah  |  6 Comments »