Archive for the ‘Life’ Category

Pilihan

Assalamualaikum wbt

Kalau sesiapa yang ada setkan auto update di blog masing-masing, jangan tertipu kalau baca saya ada entri baru malam ini. Memang tipu sungguh. Ini entri kosong. Sebab perut merengek katanya kosong. Perut saya pun tipu. Tadi sudah makan nasi ayam untuk makan malam. Di pasar sempat beli pai epal seketul. Mana ada kosongnya. Tapi perut tetap kata mahu makan. Kepingin mee hailam. Semuanya sebab mimpi tadi malam. Emak masak mee hailam dan emak panggil-panggil nama kami kerana kami tak bangun-bangun lagi di pagi Ahad untuk makan mee yang masih panas. Ini situasi sebenar yang selalu berlaku di rumah.

Kuat betul pengaruh mimpi. Mimpi mee hailam dan keluarga. Kalau mahu mee hailam boleh dimasak. Tapi kalau mahu keluarga, mana boleh balik. Memang lumrah dalam hidup perlu berdepan dengan pilihan. Untuk kali ini, walaupun tak rela, saya memilih mee hailam. Esok kita makan mee hailam ye, perut.

Ok ok. Kena ceria. Itu motivasi untuk diri sendiri. Siapa lagi yang boleh buat saya ceria kalau bukan diri sendiri. Sarah, cerialah kamu!

Posted on November 26th, 2008 by Sarah  |  10 Comments »

Lagu

Assalamualaikum wbt

Saya ada beberapa buah lagu yang saya senarai hitamkan. Jangan harap saya akan dengar lagu-lagu ini kalaupun kebetulan ia berada di dalam playlist saya di Imeem. Cepat saja tangan saya menekan next untuk ke lagu seterusnya. Yang pasti, lagu-lagu ini suatu ketika dulu pernah berada di dalam laptop saya tetapi telah dihapuslenyapkan daripada simpanan.

Alasan saya ialah, lagu-lagu ini mengisahkan si lelakinya terlalu setia, terlalu cinta, terlalu kasih, terlalu sayang dan sanggup berkorban untuk si kekasih. Mengarut. Dalam dunia sekarang, dah semakin pupus golongan yang jujur begini. Dalam lagu-lagu yang saya senaraikan ini terlalu memperincikan kesempurnaan dan kesetian kasih sayang seorang lelaki yang terlalu memuja seorang perempuan. Saya bukan berburuk sangka mengatakan tiada langsung lelaki yang baik. Ada memang ada. Tapi bukan sepeti yang disifatkan di dalam lagu-lagu ini. Juga satu nasyid yang saya kira tak membina langsung.

1. Ku Ingin Kamu (Coach)
2. Knife (Rockwell)
3. Menghitung Hari 2 (Ada Band)
4. Tercipta Untukku (Ungu)
5. See You Di IPT (UNIC)

Pendek cerita, saya memang tak sukalah lagu-lagu ini. Menyesal pernah tahu semua lagu ini. Boleh tak begitu? Huhu. Saya rasa lebih banyak berlakonnya daripada yang betul dalam kata-katanya. Kalau cakap tak serupa bikin, baik terjun dari tangki air saja. Perempuan tak sakit hati, lelaki tak berdosa mungkir janji. Haha.

Maaflah saya mengarut saja malam ini. Saya nanti nak cari suami yang tak reti tuju-tuju lagu ni tapi dia reti menghidupkan suasana dari lagu. Kalau macam lagu Kaulah Yang Satu (Ramli Sarip), dia betul-betul memandu kehidupan ke arah Yang Satu itu. Kalau Puji-pujian (Raihan), selalu saja dengar dia berselawat. Kalau lagu Ayam Den Lopeh (Anita Sarawak), selalulah dia masak nanti. Haha. Kan dah mengarut lagi. Daa~

Posted on November 26th, 2008 by Sarah  |  7 Comments »

Nasib Kita Lebih Baik, Alhamdulillah

Assalamualaikum wbt

Amaran: Jangan klik link berwarna merah jika gerun untuk melihat gambar-gambar berbentuk medikal yang menggelikan.

Saya sedang menjalani cycle Tropical Disease. Setiap kali di hospital, saya dihadapkan dengan masalah jangkitan parasit yang berbentuk endemik dan epidemik. Secara ringkas, saya boleh simpulkan bahawa kebanyakan penyakit ini berlaku di kawasan pedalaman, negara-negara mundur dan di kalangan kumpulan masyarakat yang rendah kualiti hidupnya. Kebanyakan daripada kawasan-kawasan target penyakit-penyakit ini mempunyai kriteria yang sama. Rendah taraf kebersihannya, tiada sumber air bersih (atau terhad), terpisah jauh daripada kemudahan asas dan rendah tahap pendidikan serta taraf ekonomi keluarga.

Sejak mengikuti cycle ini, baru saya tahu kewujudan Republic of Benin di Afrika Selatan. Saya tidak pernah mendengar nama Benin sebelum ini. Tidak tahu bagaimana untuk saya katakan tetapi republik kecil itu hampir 100% terdedah kepada ancaman Malaria yang bersifat malar (berterusan) dan juga beberapa jenis penyakit berbahaya yang lain. Salah satunya ialah Buruli Ulcer. Hampir 80% kanak-kanak di Benin terdedah kepada bahaya jangkitan ini. Tidak dilupakan ialah risiko Miasis dan Tropical Ulcer. Jika di Brazil yang selama ini kita hanya melihat dan mendengar dari sudut yang baik-baik belaka tentang mereka, sebenarnya kita hampir terlupa dengan suku kaum asli mereka (digelar Indians dalam bahasa natif mereka) yang tinggal jauh di pedalaman hutan dan hanya bersumberkan air paya yang keruh sebagai sumber minuman harian. Kehidupan mereka tidak ubah seperti di Benin juga. Terdedah kepada risiko Malaria yang tinggi dan pelbagai jangkitan merbahaya yang bersifat endemik (lokal).

Di Benin dan India, masyarakatnya tinggal di celahan sampah-sarap. Sehinggakan, sumber makanan juga datangnya daripada sampah yang dikutip. Yang menjadi mangsa jangkitan penyakit merbahaya ialah anak-anak kecil. Kadar kelahiran di negara-negara tersebut sangat tinggi tetapi ekonomi keluarga dan algorism pembangunan keluarga tidak berada pada tahap yang memuaskan. Maka, ada satu persoalan yang ditinggalkan kepada kami untuk berfikir. Bagaimanakah untuk mengajarkan tentang perancangan keluarga kepada para ibu di sana dalam usaha untuk mengurangkan kadar kematian di kalangan kanak-kanak? Untuk pengetahun, kadar kematian disebabkan oleh Malaria ialah 1 juta kanak-kanak setahun iaitu kira-kira 2 orang setiap minit. Tetapi, pemikiran konservatif masyarakat menolak saranan ini tanpa ada perubahan dari cara hidup yang lain. Sekiranya mereka mengubah cara hidup kepada menjadi lebih menjaga kebersihan dan lain-lain, berkemungkinan jugalah untuk mereka menolak saranan ini. Sayangnya, ibu mengandung yang dijangkiti Malaria juga tidak mahu mendapatkan rawatan lengkap sehinggakan anak yang lahir adalah cacat.

Saya cuba melihat skop ini di negara kita. Sebenarnya, negara kita di bawah kategori negara berisiko tinggi untuk segala jenis penyakit berjangkit tropikal ini. Termasuklah Malaria dan 1001 jenis jangkitan yang lain. Suhu yang sesuai dan tahap sosio-ekonomi kita yang berkadar 50-50. Cuba lihat masyarakat kita. Sebenarnya kita hanya bernasib sedikit baik saja berbanding warganegara Benin, India, Vietnam dan penduduk natif Brazil. Di negara kita juga ada orang yang tinggal di celahan sampah-sarap. Kita juga ada Orang Asli yang tinggal di pedalaman hutan (yang moden di tepi jalanlah tapi masih lagi berdekatan dengan hutan). Masih ada lagi kampung-kampung (seperti di pedalaman Sabah dan Sarawak) yang tidak mendapat bekalan air bersih. Jadi, situasinya juga sama. Saya masih ingat sewaktu pulang bercuti dulu ketika mengikuti program Homestay Orang Asli di Perak. Ketika sesi ziarah ke rumah penduduk-penduduk kampung, sebagai pelajar tahun 5, saya diberi kepercayaan untuk memeriksa beberapa orang kanak-kanak Orang Asli yang dipercayai dijangkiti virus. Juga ketika sesi Klinik Masyarakat, saya bertanggung jawab untuk menerangkan tentang penyakit-penyakit berjangkit yang utama kepada mereka. Kudis buta (scabies) tak usah ceritalah. Hampir kesemuanya ada.

Jadi, di kesempatan ini saya ingin mengajak semua berfikir sejenak. Bagi kanak-kanak yang lahir di negara-negara terbabit, dalam masyarakat yang terlibat atau sebagai suku kaum asli yang tertentu, mereka tidak sekali-kali menginginkan semua itu terjadi. Sudah takdir mereka dilahirkan begitu, dalam situasi itu dan sebagai kaum itu.. Jadi, bagi kita yang bernasib baik ini, dilengkapi dengan nikmat Islam dan Iman yang turun sebagai warisan daripada ibu bapa kita, kita patut lebih bersyukur dengan kehidupan kita. Sebagai langkah berjaga-jaga tentang masalah penyakit berjangkit tropikal yang merbahaya ini, saya menyarankan agar kamu semua menjaga kebersihan halaman rumah. Juga sumber air untuk makan dan minum. Mungkin bagi kita yang dewasa, sistem ketahanan badan kita lebih kuat tapi bagi anak-anak dan adik-adik kita, sistem mereka masih lemah dan terdedah kepada bahaya penyakit. Ini dua langkah yang utama. Kebersihan tempat tinggal dan makan-minum. Jika perlu, bagi yang tinggal di kawasan yang bernyamuk, penggunaan kelambu, ubat nyamuk dan kaedah-kaedah yang lain sangat penting.

Tiba-tiba saya teringat video yang saya lihat mengenai Malaria di Vietnam. Seorang doktor itu terpaksa menaiki motor kapcai buruk untuk sampai ke sebuah kampung yang sungguh jauh di pedalaman. Naik bersama seorang jururawat. Dan untuk pulang, menjadi tiga orang di atas motor, termasuk seorang penduduk kampung yang perlu dibawa ke hospital dengan kadar yang segera. Oh. Bagaimanalah saya nanti. Saya perlu merempit di dalam hutan nampak gayanya. Satu lagi kisah, ketika seorang doktor di Brazil melawat masyarakat Orang Aslinya itu. Ketika masuk ke kawasan hutan itu, sebaik sampai di sana, dia perlu menari bersama-sama masyarakat itu untuk mengambil hati mereka. Tapi ketika saya ke Perak dulu, tiadalah pula saya perlu bersewang rambu-ramba bersama masyarakat Orang Asli di sana. Yang saya ingat, saya hanya bertukar menjadi separa asli kerana bahasa harian saya berubah menjadi:

Nama shaya Shiti Sharah Binti Mohd Shukor. Shaya shihat-shihat shaja hari ini. Shaya harap kamu shemua juga shihat-shihat shaja. Kamu shemua jangan lupa buang shampah di tempat yang shepatutnya ya =)

Posted on November 25th, 2008 by Sarah  |  35 Comments »

Baru

Assalamualaikum wbt

Penangan jemu barangkali. Saya bertukar wajah. Pernah hitam. Pernah coklat. Pernah putih. Kini merah jambu dan hijau. Terasa ceria dan manis. Menulis semakin malas tapi ada hati hendak bertukar wajah. Kalau ada kesulitan membaca, maafkan saya. Mungkin nampak sedikit keanak-anakan tapi ceria. Saya mahu ceria.

Posted on November 24th, 2008 by Sarah  |  27 Comments »

Semalam

Assalamualaikum wbt

Jemu saya untuk malam kelmarin tak lama. Sebaik selepas itu, terus saja ada aktiviti yang perlu saya lakukan. Ada mesyuarat pasukan bola jaring, menonton filem Taken bersama-sama Pena, Fatt dan Wanie, menggosok baju dan terus tidur selepas itu. Filem Taken sangat menarik. Bagi anak gadis yang berhajat hendak bercuti dan mengembara dengan kawan-kawan, pastinya filem ini boleh menggerunkan. Tapi setidak-tidaknya, ada pengajaran yang sangat bagus untuk dipelajari.

Maaflah tak balas lagi komen-komen untuk entri lepas. Semalam seharian dari 7 pagi yang masih gelap, Subuh pun baru saja masuk waktu itu, saya dah pun bertolak untuk ke Sukan Komuniti (Sukom) di sini. Kali ini main bola jaring. Pingpong tidak dipertandingkan. Tak seronoknya. Tujuan saya dan Farah (groupmate saya) menyertai bola jaring bersama-sama pelajar-pelajar tahun 4 kerana kami sangat hendak bersukan dan bercampur dengan komuniti di sini buat kali terakhir. Bermain untuk bergembira. Memang nanti akan ada satu lagi sukan terbesar di Rusia ini (Intervarsity Game) yang akan berlangsung di Volgograd tapi saya tak rasa saya akan ke sana lagi. Saya mahu bersara daripada pingpong. Universiti saya pastinya ada muka-muka baru yang boleh diketengahkan. Walaupun pasukan bola jaring kami kalah, tapi saya dan Farah yang menyertai Dodge Ball dalam pasukan yang sama telah memenanginya. Hoyeah! Tapi saya tak tahu siapa ambilkan hadiah, saya sudah balik. Huhu.

Saya sampai di rumah sudah gelap. 5.30 tepat saya tiba. Solat Maghrib dan terus menunggu Isya’ masuk sekitar 6.15. Selesai saja solat, terus saya tidur. Hajat hendak bangun mandi di tengah malam tapi sudahnya saya hanya terbangun sekitar 12.30 untuk minum susu dan terus sambung tidur. Sangat letih. Pagi ini jam 6 tepat sudah bangun. Yang paling utama, kaki saya cedera. Saya syak ibu jari kaki saya ada fracture.

Posted on November 24th, 2008 by Sarah  |  11 Comments »