Kisah Date Saya
Assalamualaikum wbt
Kalau ikutkan perancangan, saya bersama tiga orang kawan yang lain akan ke Murmanks untuk melihat Aurora Borealis. Sayangnya, jadual keaktifannya masih negatif sehingga Februari ini kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Maka kami telah mengambil keputusan untuk membatalkan lagi trip ini. Terkilan sangat sebenarnya. Tapi daripada membuang masa berhari-hari menaiki keretapi dan sudahnya kecewa tidak dapat melihat Aurora, baiklah kami batalkan saja dulu niat ini.
Maka, kami berempat pun bercadang untuk ke tempat lain. Tapi ada pula yang tidak cukup bajet. Maka terpaksalah kami memikirkan keadaan kawan kami ini. Maka kami memilih untuk bercuti-cuti Moscow saja. Maka hari ini merupakan hari pertama kami mula berjalan-jalan. Pada malam sebelumnya, semua telah sepakat tapi tengah malam tadi semua terpaksa membatalkan penyertaan atas urusan masing-masing kecuali saya dan En. Z.
Haha. Saya sudah mula terasa bahang kelucuan entri kali ini. En. Z pula jadinya. Kelakar pun iya ni. Intro tadi punyalah skema susunan ayat saya. Ok. Mari sambung. Sebenarnya kami berempat ni dikenali kawan-kawan sebagai budak-budak nerd lah kiranya. Tiba-tiba pulaΒ nak beraktiviti pun kena bersama-sama. Huhu. Tapi disebabkan lagi dua terpaksa menarik diri, tinggallah saya dan En. Z. Saya memberitahunya mengenai perkara ini melalui mesej. Plan kami pada hari ini ialah photo outing di sekitar Center. En. Z ini memiliki DSLR. Memang minat kami semualah bab-bab bergambar ini.
Sudahnya, saya sajalah yang keluar dengan En. Z. Ha. Itulah yang namanya date kononnya tu. Maka, date kami hari ini penuh dari tengahari sehinggalah saya tiba semula ke rumah pada pukul 5. Destinasi fotografi kami ialah Tverskaya Street, jalan utama yang merentasi pusat Kota Moscow. Kami berjalan kaki hampir 2 km di sepanjang jalan itu. Cuaca memang tidak sejuk langsung. Kami ambil kesempatan mengambil gambar sebanyak mungkin. Tapi ada yang lebih menarik terjadi.
Dulu ketika tahun pertama, saya pernahlah bermusuh dengan En. Z ni. Pandang muka pun tak nak. Hahaha. Tapi siang tadi, punyalah kamceng berdua. Inilah berkat fotografi dan studi. Kami ni turut berada dalam study group yang sama walaupun kami tidak menuntut di universiti yang sama.
Dalam pada sibuk berjalan menangkap gambar dan berceloteh panjang lebar tentang dunia pelajaran (nampak sangat budak nerd, tak boleh pisah daripada bercakap tentang studi!), saya ternampak sebuah kedai buku yang besar. Saya pun apa lagi. Saya paksa En. Z singgah sebentar di situ. Terujanya saya melihat kedai buku itu! Besar Ya Rabbi! Dia tanya apa yang saya hendak beli. Saya dah tak sempat nak terangkan dah. Saya terus meluru ke bahagian Bahasa Inggeris dan menyelongkar buku-buku di situ.
En. Z memang tercengang saja melihat saya. Dia pelik apa yang saya hajatkan sangat di situ. Lepas seketika diam membelek, baru saya terangkan yang saya teruja melihat banyak sangat pilihan buku sejarah Russia yang dijual dengan harga yang murah (jika hendak dibandingkan dengan yang dijual di Dom Knigi, sebuah lagi kedai buku besar di Moscow). Dipendekken cerita, saya membeli dua buah buku: The Last Tsar- The life and The Death of Nicholas II dan The Illustrated Encyclopedia of Russia. Tak sabar nak baca (ni tidur lambar ni sebab membaca buku yang pertama tu).
Waaa. Teruja betul saya membeli di sana. Ikutkan hati saya hendak membeli dua buah lagi buku tapi saya perlu berpada dengan duit saya. Pada mulanya En. Z memang terkejut dan merasa pelik dengan minat saya tentang karya-karya tentang sejarah dan politik kepimpinan tapi sudahnya saya berjaya menghasutnya membeli sebuah buku juga; ensiklopedia itu.
Kami teruskan berjalan sehingga perut mulai lapar. Memang lapar sungguh. Kamu ambil keputusan untuk masuk ke mana-mana metro yang kami jumpa dan menuju ke Evropiesky Shopping Complex (Kievsky). Terus kami ke food court untuk solat dan makan. Selesai semuanya, bermula pula sesi kedua kami untuk siang tadi: membeli-belah di tingkap! Huhu. Tapi sudahnya memang masing-masing ada membeli beberapa barang. Yang peliknya, En. Z lebih kuat berbelanja berbanding saya. Serius saya tak reti shopping segala bagai ni. Malah dia jauh lebih tahu tentang jenama barangan dan fesyen. Hah. Terasa pelik pula. Saya minta benda-benda sejarah, dia pula yang kaki shopping.
Kami ada terserempak dengan budak-budak Malaysia yang lain. Huhu. Ada pula yang ingat saya ni tengah keluar dating dengan En. Z ni. Tolonglah adik-adik sekelian. Kami ni geng bergaduh. Takde maknanya nak ber-dating bagai dengan dia.
Sebelum berpisah membawa haluan masing-masing, kami berpakat lagi untuk keluar lagi esok. Kali ini, ahli rumah saya pun hendak turut serta. Saya jamin mereka, mereka tidak akan berasa kekok sedikit pun dengannya kerana dia sangat ramah dan pandai berseloroh. Tadi dia mesej, katanya ada anak pegawai kedutaan akan turut serta untuk aktiviti esok. Wah. Meriahlah hari esok nampak gayanya.
Eh, dah hilang dah unsur lucu entri ni. Tapi sesungguhnya, memanglah sangat lucu segala apa yang terjadi siang tadi. Tambah-tambah pula, En. Z ni sesedap hati saja mengungkit cerita lama yang kami tekakkan dulu-dulu dan sesedap hati juga mengatakan saya ni adalah klon kepada Abang Khairil. Sabar sajalah. Dia memang tak puas hati dengan saya dan Abang Khairil sejak dulu lagi. Hoho. Nasib baik Abang Khairil dah tiada di sini. Kalau tidak, memang balik saja dari luar tadi saya akan bersesi mesyuarat tingkap macam biasalah dengan Abang Khairil.
Ok. Dah tak reti dah nak cerita. Ada sesuatu berlaku dalam perjalanan balik tapi saya ceritakan kemudianlah. Carca merba jadinya entri ni. Saya pun dah tak tau nak ceritakan macam mana. Ok. Selamat pagi Malaya. Selamat malam Moskva.
Nota: Entri merepek lagi. Maaf! Tajuk pun tak senonoh sungguh bunyinya. Haha. π


