Archive for the ‘Life’ Category

Namanya Uzair

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam sudah hampir sebulan saya meninggalkan blog ini sepi tanpa sebarang berita terkini. Tiba-tiba saya teringat. Ada banyak cerita menarik yang saya berhutang dengan kamu semua. Yang paling saya ingat, kisah saya terserempak dengan Anak Muda Yang Gigih sehari sebelum Kaklong mendirikan rumah tangga. Wah! Lamanya dah cerita ni! Bulan Mei dulu kot. Tapi baru sekarang nak ungkit semula. Huhu =p

Ok. Bawa bertenang. Kisahnya, pada hari Jumaat sehari sebelum Kaklong berkahwin, saya keluar bersamanya ke bank. Saya ni sekadar pemandu dan peneman si darah manislah kiranya. Sampai di depan bank berkenaan, saya hanya menunggu di dalam kereta kerana tiada tempat letak kereta yang kosong. Ketika sedang menunggu, saya terlihat kelibat seseorang melintas di hadapan kereta saya dan menuju ke arah sebuah kenderaan lain di belakang kereta saya, yang juga diparkirkan di tepi jalan saja. Hati saya terdetik. Sekali lihat memang seperti dia. Tapi saya sengaja tidak mahu menoleh-noleh ke belakang. Kebetulan, cermin kereta saya sedikit tinted dan agak kabur jika dilihat dari luar. Jadi saya mengambil keputusan untuk berdiam diri saja.

Tiba-tiba saya teringatkan Kaklong. Saya pernah menceritakan kepadanya tentang kawan saya ini. Lalu saya menelefonnya. Tahu apa respon Kaklong. Ish ish ish. Tak memberangsangkan langsung =p Katanya: Apa dia, Ngah? Ish. Kawan mana satu ni, Kaklong bukan ingat semua. Kaklong tengah rimas beratur kat ATM ni. Nantilah cerita semula. Pening Kaklong dengar.

Ok. Sangat sedih saya waktu tu. Dalam hati saya berkata: Setiap kali kalau cerita apa-apa dengan Kaklong, dia mesti takkan ingat apa yang saya dah cerita tu, Lagipun, orang dah nak kahwin ni memang akan jadi selfish sikit. Huhu~ =p Jangan marah ye Kaklong.

Dalam pada itu saya terus memerhatikan dia melalui cermin pandang belakang. Dia sibuk sedang menguruskan sesuatu. Dalam sepuluh minit kemudian, Kaklong pun tiba. Saya menunjukkan dia kepada Kaklong melalui cermin pandang belakang. Saya memberi amaran kepada Kaklong supaya jangan menoleh atau meninjau-ninjaukan kepala secara terang-terangan. Saya tidak mahu dia tahu saya berada di situ. Hampir dua, tiga minit juga kami melihatnya berurusan di belakang kereta kami. Saya tidak tahu kenapa saya berbuat begitu. Tetapi apabila Kaklong sudah mula bising menyuruh saya menuju ke tempat lain pula, maka saya pun mula meninggalkan tempat itu.

Sampai di rumah, suasana memang sibuk. Ramai saudara yang berada di rumah sedang membantu menyiapkan persiapan memasak lauk-pauk kenduri. Dan saya pun sudah mulai lupa dengan pertemuan dan pengendapan saya dilakukan tadi.

Sebulan setengah sebelum raya puasa menjelma, saya menerima email daripadanya. Khabar terkini yang mengejutkan. Dia hendak berhijrah. Secara total. Dia dan ibu ayahnya akan berhijrah ke Oman selama dua tahun atas tuntutan urusan perniagaan ayahnya. Tersenyum saya membaca email itu. Panjang lagi huraiannya. Salah satunya termasuklah menuntut saya membelanjanya mee sup terbaik di Temerloh yang pernah saya ceritakan padanya ketika pertama kali berjumpa di Moscow dulu.

Saya membalas emailnya dengan sangat ringkas sebab terkejar-kejar menguruskan hal lain di rumah. Jawab saya: Nanti lagi dua tahun balik Malaysia tolong belikan stand plate Oman and satu toys yang comel-comel ada gambar Muscat untuk saya ye! Selamat berangkat pergi. Semoga keadaan kesihatan mama awak semakin baik di sana nanti. (Ibunya tidak berapa sihat sejak beberapa bulan sebelum itu lagi.)

Dia membalas: Aik. Stand plate untuk you. Toys pulak untuk siapa?

Email terakhir saya untuk hari itu: Untuk anak saya. Huhuhu~

Kalau saya tidak silap, dia berangkat dua hari sebelum Ramadhan menjelma (Saya ingat sebab saya oncall pada hari itu. Hehe). Dia kini sepenuh masa menguruskan perniagaan ayahnya di sana dan perniagaannya di sini diuruskan oleh sepupunya, Khaizat. Sejak itu kami sudah tidak berbalas email lagi. Diam hampir 5 bulan. Saya pun memang sangat sibuk dengan kerja dan hal-hal peribadi. Dia juga saya kira sibuk dengan segala urusannya di sana. Apa-apapun saya mendoakan dia dan keluarganya sihat walafiat dan perniagaan yang diusahakan mereka sekeluarga membuahkan keuntungan besar setimpal dengan penat lelah mereka selama ini.

Untuk rakan-rakan pembaca yang sudah berkahwin, kamu mahu tak anak yang gigih dan baik seperti kawan saya ini? Hehe. Kalau mahu, cuba-cubalah menamakan anak kamu dengan nama Uzair. Sebetulnya, kawan saya Si Anak Muda Yang Gigih ini bernama Muhammad Uzair =)

Buat Uzair, selamat menjalani kehidupan baru di bumi Muscat. Anak muda yang gigih macam awak insya Allah boleh berjaya di mana-mana saja awak berada.

Oklah. Saya rasa cukuplah episod cerita kawan saya yang seorang ni. Sebenarnya dia kecil hati dengan saya sebab tak menegurnya ketika dia berada di Temerloh pada bulan Mei itu. Untuk meminta maaf, saya sediakan entri ini. Dan tak terlalu awal jika saya hendak mengucapkan selamat mendirikan rumah tangga buat Uzair dan Lilian Hani yang akan berlangsung pada Januari ini. Siapa sangka, ketika sibuk berulang-alik menguruskan perpindahan keluarganya ke Oman sejak awal tahun lalu, dia telah bertemu jodohnya di sana. Lilian merupakan gadis berbangsa Indonesia yang mana keluarganya merupakan antara pemuzik orkestra yang agak ternama di Oman dan negara-negara sekitarnya. Tahniah!

Nota 1: Semua kawan yang baik dengan saya dah pun nak kawin. :roll:

Nota 2: Lepas ni takkan ada lagi entri melankolika jiwa yang sedih-sedih, syahdu-syahdan. Hehe. Hidup mesti sentiasa bermotivasi untuk menghadapi hari seterusnya. ;-)

Posted on December 8th, 2010 by Sarah  |  4 Comments »

5 Bulan 5 Hari

Assalamualaikum wbt

Tatkala meletakkan status ini di Facebook malam tadi, perkara pertama yang saya teringat ialah tajuk novel Hlovate; 5 Tahun 5 Bulan. Tapi bukan. Ini bukan tajuk novel. Ini tajuk sebuah cerpen yang baru separuh jalan sempurnanya. Ambil sedikit masa lagi untuk sempurna sepenuhnya, insya Allah. Sempurna menurut definisi saya. =)

Sekarang saya sudah berada dalam posting keempat saya. Pejam celik, pejam celik, sudah setahun lebih saya bekerja. Saya sendiri pun tidak percaya macam mana saya masih boleh bertahan sehingga hari ini. Memang ada masanya semangat merudum jatuh, jadi tertekan dengan kerja dan seluruh kehidupan dipenuhi tekanan walaupun ketika di rumah. Bila hari-hari sugul ini tiba, saya lebih banyak mendiamkan diri dan memilih untuk tidak makan. Orang kata, kalau ada teman susah dan senang, kita boleh bercerita dan berkongsi segalanya dengan mereka. Tapi tidak bagi saya. Saya memilih untuk pendam dan tidak membebankan orang lain dengan masalah saya. Lain orang lain pendapat tentang hal ini. Saya tahu itu. =)

Setakat yang saya sedar, saya sudah banyak berhutang cerita dan perkembangan tentang dunia housemanship sejak di posting Orthopedic (Tulang) lagi. Semakin lama semakin kurang saya menulis sedangkan ketika posting Orthopedic dulu, tidaklah sibuk sangat seperti di Medical awal-awal dulu. Maaf sangat. Waktu itu saya sibuk dengan hal lain. Kusut memikirkan hal peribadi dan pada masa yang sama menjadi orang kuat Kaklong untuk membuat persiapan perkahwinannya.

Sebaik tamat posting Orthopedic, saya bertukar ke posting Pediatric (Kanak-kanak). Sumpah, sangat memenatkan dan mencabar emosi dan fizikal. Sebelum masuk ke jabatan ini, saya terfikir, bagaimana saya hendak bertahan selama empat bulan di sana. Semua HO yang sudah selesai posting ini menegaskan tentang hal yang sama: Tertekan!

Alhamdulillah, dalam pada saya terkapai-kapai dengan tekanan yang saya hadapi pada waktu itu, secara cantik Allah aturkan kemunculan seorang kawan yang selalu menjadi pemberi semangat dengan mengingatkan bahawa kerja yang saya buat ini adalah ibadah. Bila saya tertekan, saya akan ingat semula tujuan saya bekerja ni untuk apa sebenarnya. Di pertengahan posting ini, sepupu saya, Nisa, telah mula berkhidmat di hospital ini juga dan dia juga ditempatkan di jabatan yang sama dengan saya. Alhamdulillah. Ada lagi satu tempat untuk bersandar dan saling meluah cerita. Tapi kena berpada-pada jugalah. Nisa dah berkahwin. Takkanlah saya nak curi banyak masa dia =p

Sebaik saya hampir selesai di jabatan ini, bulan Ramadhan pun tiba ke penghujungnya. Saya bercuti panjang untuk menghabiskan baki cuti posting ini, dicampur dengan cuti umum hari raya dan cuti weekend off sebelum mula melapor diri di jabatan baru, Obstetric And Gynaecoogy (O&G) (Perbidanan Dan Sakit Puan). 11 hari saya bercuti. Memang syurga betullah~ Huhuhu.

Bila telah tamat posting Pediatric, saya rasa seperti telah terlepas daripada satu seksaan besar. Rasa bebas dan tenang! Hihi. Kalau sebelum ini entri-entri saya berbaur sedih dan tertekan, tetapi cuti selama 11 hari itu betul-betul telah dapat mengecas semula tenaga dan semangat saya. Dan perkara-perkara yang terjadi di sepanjang cuti raya itu juga sangat menggembirakan. Berkumpul bersama keluarga, konvoi dengan kawan-kawan melawat bekas ustaz dan ustazah, menerima kunjungan keluarga kawan lama, balik kampung, menjernihkan satu perkara yang keruh dan yang paling utama, menyiapkan diri saya untuk melangkah ke posting yang baru. =)

Dan yang paling saya syukuri, dalam pada sibuk terkejar-kejar ke sana sini dengan kerja yang tak menentu masa ini, saya masih dapat terus istiqamah dengan usrah. Saya gembira untuk mengatakan, disebabkan usrahlah, hidup saya jadi luar biasa dan tidak stereotype dengan kelaziman kerja yang sama saja saban hari. Kalau nak diikutkan, momentum usrah tu tidak seperti zaman saya belajar dulu. Tapi kini, dengan tanggungjawab yang terpikul, limitasi masa dan kepenatan yang tak boleh digambarkan ketika postcall, saya menyifatkan, dengan mendisiplinkan diri menghadiri usrah adalah satu bentuk latihan untuk mempersiapkan saya menjadi HO yang tegar dan cekal.

Tak susah untuk susah dan tak senang untuk senang. Itu memang hakikat. Tapi kalau tak dibiasakan, kita akan sentiasa hidup dengan alasan. Sebab tu dari dulu lagi saya katakan, kalau hendak mencari teman hidup, saya nak mencari orang yang boleh mendokong saya dari belakang, susah senang bersama walaupun susun atur dan latar kehidupan kami mungkin berbeza. Syarat utama ialah kesefahaman tentang tanggungjawab masing-masing dan saling mendokong untuk saling membangun. Err. Saya tak boleh sentuh banyak sangat soal ni. Nanti penuh lagi soalan-soalan yang saya tak berapa syok nak jawab. =p

Cukup dulu ringkasan kehidupan saya sebagai HO untuk 8 bulan yang lalu. Saya ada niat untuk memperincikan lagi kupasan untuk setiap posting tu sebab saya tahu ramai adik-adik pelajar perubatan yang ternanti-nanti akan kupasan sebegitu. Sekali lagi, saya tidak berani berjanji tapi saya akan cuba sebaiknya memandangkan saya punya masa yang lebih daripada mewah dalam poating ini. Oh ya. Nama glamor bagi posting O&G ini ialah posting HO kahwin. Hahaha~ Tapi sayangnya saya tidak memilih apatah lagi terpilih untuk menjadi seperti mereka dalam tempoh posting ini. =p

Berbalik kepada tajuk entri, doakan semoga cerpen kehidupan ini akan selesai dengan manisnya, tepat pada masanya. 😉

Nota 1: CD Maher Zain saya sudah hilang. Mana nak cari yang baru ni…

Nota 2: Ya Allah, berikan kami kekuatan untuk dihimpunkan dalam rahmah dan redhaMu. Amin =)

Posted on October 7th, 2010 by Sarah  |  15 Comments »

1 Oktober 2010

Assalamualaikum wbt

Subuh hari Jumaat yang sangat luar biasa. Ada rahsia tersimpan di sebalik heningnya suasana. Subuh indah akan datang lagi suatu hari nanti. Yang telah terjadi kerana Allah telah mengkehendakinya terjadi. Kerana itulah yang termaktub. Moga bertemu lagi dalam janjinya yang lebih indah.

1 Oktober 2010
Subuh yang hening.

Posted on October 1st, 2010 by Sarah  |  No Comments »

Seven Weeks

Assalamualaikum wbt

It’s Eid the 3rd. And it’s remarkable and full with happiness. Alhamdulillah. May Allah bless.

Note: Seven weeks are just too fast. =)

Posted on September 12th, 2010 by Sarah  |  No Comments »

Terseksa

Assalamualaikum wbt

TERSEKSA. Sangat terkesan dengan ujian yang satu ini. Saya TERSEKSA. Dan menangis bukanlah satu penyelesaian.

='( ='( ='( ='( ='( ='(

Posted on August 17th, 2010 by Sarah  |  11 Comments »