Ujian Itu Tanda Allah Sayang
Assalamualaikum wbt
Lama pula rasanya tak menulis. Agak sibuk dan tak larat hendak menatap laptop lama-lama. Semenjak kebelakangan ini, saya lebih selesa hanya online di telefon bimbit sama ada untuk membaca email mahupun mengintai perkembangan kawan-kawan di Facebook. Selebihnya, saya tak sempat buat.
Berbalik kepada cerita tentang ujian yang tertangguh dulu. Ujian oh ujian. Satu demi satu saya terima dan terpaksa lalui. Bukan saya seorang, suami pun turut merasai tempiasnya. Kesian Abang. Saya menangis, dia pun menangis sama. Untuk memujuk hati, saya selalu membaca surah Al-Insyirah. Mahu atau tak, saya memang terpaksa terima semua yang telah Allah tetapkan ini. Mungkin ini rezeki kami untuk masa ini. Jadi, apa lagi yang boleh saya buat.
Kisahnya, pada 23 September lepas, saya perlu menghadiri mesyuarat di Hospital Temerloh. Jadi hari sebelumnya itu, selepas tamat tagging call di tengah malam Khamis itu, suami saya mengambil saya di hospital dan kami terus bertolak balik ke Temerloh. Mesyuarat keesokan harinya bermula pada pukul 9 pagi. Saya tiada pilihan melainkan bertolak di tengah-tengah malam itu untuk mengelakkan kelewatan pada keesokannya harinya. Kami tiba di rumah emak ayah di Temerloh sekitar jam 2 pagi. Tak sempat mandi apa dah. Masuk bilik terus tertidur kepenatan.
Selesai mesyuarat, saya terus pulang ke rumah. Suami ajak keluar pun saya tak larat. Begitu juga dengan hari Sabtu. Memandangkan ada beberapa benda yang perlu kami selesaikan, terpaksa jugalah kami keluar. Keesokannya, saya hanya berbaring saja kerana tiak sedap badan. Sekitar 4.30 petang, kami pun bertolak untuk pulang ke Kuala Lipis. Pada hari Isnin itu, saya akan bekerja seperti biasa.
Di dalam kereta, saya memberitahu suami bahawa saya sudah merasakan regular contraction. Kadarnya 2 kali bagi setiap 10 minit (baca sebagai 2:10). Sebenarnya, sejak pagi itu lagi saya sudah merasakan rahim saya mengeras dan sakit. Saya malas ambil pusing sangat sebab ia masih belum regular. Mungkin ia hanya amaran palsu saja. Tetapi, semakin ke petang, kontraksi semakin kerap dan sakit semakin kuat. Saya berkira-kira di dalam hati. Saya baru saja 26 minggu lebih pada ketika itu. Masya Allah. Bahayanya kalau terbersalin juga. Anak saya akan dikategorikan sebagai severe premature baby.
Saya menelefon sepupu saya Nisa yang sama-sama bekerja di Hospital Temerloh dulu. Saya memberitahunya apa yang sedang saya alami. Dia menasihatkan saya supaya terus ke hospital. Suami saya pula kelihatan agak cemas tapi dia sebolehnya cuba untuk bertenang. Dia bertanya sama ada hendak meneruskan perjalanan ke Kuala Lipis atau bagaimana. Saya berkira-kira. Kalau kena tahan di wad di sana, saya tiada sesiapa yang lain pun di sana. Kalau terpaksa berhenti di Hospital Jerantut pula (Hospital Jerantut berada di tengah-tengah perjalanan antara Temerloh dan Kuala Lipis), nanti saya akan dirujuk ke Hospital Temerloh juga. Jadi, saya mengambil keputusan menyuruh suami saya berpatah balik ke Temerloh. Dia memecut laju ke hospital.
Siapa sangka, sebaik saja tiba di Dewan Bersalin, ketika itu, kadar kontraksi sudahpun 3 kali bagi setiap 10 minit (lepas ini baca sebagai 3:10). Tempohnya pula 25 saat bagi setiap kontraksi. Tempoh ini dikategorikan sebagai moderate contraction. Tapi disebabkan ia sudahpun 3:10, vaginal examination (VE) tetap juga dibuat untuk memastikan sama ada jalan sudah terbuka atau belum. Adui. Terpaksa sajalah menyerah diri untuk dilakukan speculum dan VE. Taubat dah lepas ni taknak benarkan speculum dibuat dah. Hahaha. Sakit tau! Jadi saya telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Dewan Bersalin (HDU Labor Room) kerana mengalami premature contraction tanpa sebarang leaking lagi.
Tapi Alhamdulillah. Walaupun sudah 3:10 with moderate contraction, jalan masih tertutup. Saya sangat bersyukur akan hal itu. Untuk mengelakkan kontraksi itu menjadi lebih kerap dan kuat yang boleh menyebabkan pintu rahim terbuka, saya perlu di tocolyse. Tocolysis ini ialah satu cara untuk menghentikan kontraksi dengan cara memakan ubat atau dimasukkan ubat secara intravenous (IV). Pada mulanya saya hanya memerlukan Nifedipine. Selama 5 jam lebih saya dipantau tapi sedikit pun kontraksi tidak berkurangan. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Selain itu, saya turut menerima IM Dexamethasone untuk mematangkan paru-paru kandungan. MO yang oncall pada malam itu rapat dengan saya. Dia terpaksa berterus terang dengan saya bahawa jika saya bersalin juga pada malam itu, anak saya mempunyai peluang yang amat tipis untuk hidup. Iya. Saya faham. Baru 26 minggu lebih saja. Dan katanya, tiada ventilator yang available di wad Pediatrik (NICU). Jadi dia terpaksa membuat tempahan daripada Kuantan Medical Center (KMC) untuk saya. Saya hanya pasrah. Dalam pada menahan sakit kontraksi itu, saya menangis seorang diri.
Sekitar jam 2 pagi, kontraksi masih berterusan pada kadar 3:10. Seterusnya saya menerima tocolysis menggunakan IV drug pula. Bricanyl. Tapi malangnya, saya mengalami komplikasi selepas ubat itu dimulakan. Saya mengalami palpitation yang sangat teruk sehingga mencecah 130 ke 140 beat per minute. Rasa nak pecah dada. Sudahlah tengah sakit. Dada pula macam nak meletup. Ketika itu pula, staff nurse yang bertugas di bilik itu memasukkan CBD (tiub kencing) untuk mengelakkan saya bergerak merata ke tandas. Masya Allah. Kali ini sakitnya bertambah-tambah. Saya rasa dia tidak meletakkan sebarang analgesic gel (lignocaine gel) di hujung tiub itu sebelum memasukkannya. Saya mengaduh kesakitan. Tak tahannya. Sudahnya, Bricanyl diberhentikan kerana komplikasi yang saya alami dan saya terus meminta CBD itu ditanggalkan juga. Saya mengalami dysuria (sakit untuk kencing) secara tak pasal-pasal kerana tiub itu.
Ketika itu hari semakin cerah. Sudah mencecah pukul 7 pagi. Waktu itu barulah kadar kontraksi berkurangan ke 2:10. Tapi dysuria saya masih berterusan dengan teruknya. Siap ada hematuria (kencing berdarah) lagi. Bengang juga saya waktu itu. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula. Sepatutnya staff nurse perlu lebih prihatin dan bertimbang rasa ketika hendak memasukkan CBD kepada pesakit. Nasib baiklah saya jenis yang tak banyak mulut. Saya tahan sajalah. Tapi sampai ke tahap saya duduk melutut di tepi katil saya kerana kesakitan dan terpaksa memakai pad! MO itu datang menemui saya lagi dan menyarankan saya menerima juga ubat tahan sakit (IM Pethidine). Sebelum itu, saya menolak untuk mengambil sebarang ubat tahan sakit ketika kontraksi sedang kuat. Tapi untuk dysuria ini, saya sudah tidak boleh tahan. Sampai mengalir-ngalir air mata saya setiap kali hendak membuang air tetapi sakit dan berdarah. T____________________T
Selepas menerima pethidine, saya semakin mengantuk dek penangan ubat itu dan hampir-hampir tertidur di dalam tandas. Suami saya dibenarkan masuk seketika pagi itu. Saya hanya sempat bercakap ala-kadar saja dengannya kerana kemengantukan yang teramat sangat. Sepanjang malam saya tidak tidur kerana kesakitan dan pada pagi itu dengan kesan ubat yang diambil menyebabkan mata saya susah untuk dibuka. Suami saya membelai kepala saya dan dia menyuruh saya sambung tidur semula. Sekitar jam 10 pagi, kontraksi hanya tinggal 1:10 dan di sebelah petangnya saya dibenarkan ditukarkan ke wad biasa dan tidak perlu dipantau di HDU lagi. Syukur Alhamdulillah.
Maka, berehatlah saya beberapa hari di wad. Saya ingatkan sekejap saja saya di sana. Rupa-rupanya ada masalah lain pula. Tekanan darah saya asyik rendah memanjang. Sampai saya pening-pening untuk bangun. Begitu juga apabila saya sudah dibenarkan pulang. Saya mengalami hypotension yang agak lama di rumah. Asyik terbaring dan saya tidak larat untuk bangun langsung. Saya diberikan cuti rehat selama 2 minggu. Jadi, saya hanya berehat saja di rumah. Lebih tepatnya, baring dan tidur saja.
Konklusinya, saya mengalami premature contraction ini kerana overworked. Saya terlalu penat. Dalam tempoh dua minggu sebelum ia terjadi, saya terlalu banyak travelling menguruskan pertukaran saya ke Kuala Lipis, berulang-alik antara Temerloh-Kuala Lipis-Putrajaya-Kuala Lipis-Temerloh. Boleh kata, hampir 9 ke 10 kali saya berulang-alik antara bandar-bandar itu. Itu belum dengan beban kerja di klinik lagi. Sesungguhnya ujian ini ada hikmahnya juga. Allah hendak beri saya rehat yang cukup setelah cukup lama tidak betul-betul berehat.
Hmm. Itu baru ujian yang pertama. Ada satu lagi ujian yang datang pada masa yang sama. Sebaik suami saya membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak kerjanya di Putrajaya dan menemani saya di Kuala Lipis sementara menanti viva masternya, kami sudah berbincang untuk kekal dengan keputusan itu sehingga ada peluang yang lebih baik datang. Tiba-tiba, di saat saya ditahan di wad itulah, suami saya mendapat tawaran daripada jabatannya dulu untuk kembali bekerja di sana dan kini pangkatnya dinaikkan, dan sudah tentu gaji juga semakin naik. Kami berdua berada dalam dilema. Saya sedih sebenarnya. Kalau dia terima, nanti saya akan bersendirian di Kuala Lipis. Tapi kalau dia tolak, rugi besar pula untuk masa depan dia.
Pernah apabila suami bertanya apa pendapat saya tentang hal itu, saya memberi jawapan hanya dengan air mata. Saya tak sanggup hendak jawab. Saya menangis kerana sebenarnya saya mahu dia terus menemani saya di Lipis tapi pada masa yang sama, saya mahu dia mengejar cita-cita dia.
Saya ambil kesempatan malam-malam yang saya tidak dapat tidur ketika di wad itu untuk membuat istikharah. Saya menangis setiap kali selepas solat itu tapi hati saya tenang. Jadi, apabila suami saya datang, saya memberitahunya apa keputusan saya. Kata saya: Pergilah. Abang jangan risau Sarah dan baby. Dulu 6 tahun Sarah boleh hidup sorang-sorang kat Moscow. Kat Lipis nanti, Allah kan ada untuk jaga kami.
Dan setiap kali teringatkan detik itu, saya pasti menangis. Menangis sebab Allah betul-betul menguji keredhaan hati saya untuk menerima rezeki yang diberikannya kepada kami ini. Yang sepatutnya saya balasi dengan ucapan syukur.
Selepas tamat cuti sakit, saya kembali ke Lipis seorang diri. Menjalani kehidupan seorang diri dan hampir setiap malam, memang kesunyian yang saya rasa. Dan setiap kali suami menelefon, saya katakan padanya: Allah kan ada untuk jaga Sarah dan baby kat sini.
Padahal saya menangis setiap kali mengucapkan kata-kata itu.
Setiap hari Jumaat malam, suami saya akan sampai dari Putrajaya, terus dari tempat kerja. Dan di awal pagi hari Isnin, dia akan bertolak balik ke sana semula. Begitulah kehidupan kami. Paling tidak, untuk masa ini, begitulah ia. Suatu malam pada minggu lepas, suami saya mendedikasikan sebuah lagu untuk saya dengar. Katanya, liriknya sedap didengar. Itu doa dia pada Allah: Tuhan tolong aku, tolong jaga dia…
Saya berpaling daripada memandang monitor laptop. Saya berpaling sebab saya menangis.
Nota 1: Setiap malam saya akan tidur awal untuk mengelakkan sedih, sunyi dan rasa keseorangan. ![]()
Nota 2: Saya yakin, setiap yang terjadi ini mesti ada hikmahnya. Kalau bukan sekarang, mesti Allah nak bagi kemudian sikit. Tapi mesti ada hikmahnya. Jadi, berbaik sangka sajalah dengan Allah. ![]()
Nota 3: Baby ni kuat. Dia teman mama dia kat sini. Setiap kali ayah dia call, dia pun aktif sangat. Dia kuat sebab semua orang sekeliling dia kuat. Allah sayang ayah. Allah sayang mama. Allah sayang baby. 😉

