Rezeki Si Penjual Tempe

Assalamualaikum wbt

Selepas dua hari tiba dari Batu Pahat bersama tempe yang Atuk bekalkan, ayah dan suami saya menggorengnya di dapur. Waktu itu, tempe itu sudahpun masak dan sesuai untuk dimakan. Sebetulnya, ketika kami membawa pulang seplastik tempe buatan Atuk, semuanya masih mentah dan berbungkus dalam daun pisang, berbunjut seperti tapai dan masih belum boleh dimakan. Jadi, seperti biasa, ayah yang selalu bercerita itu ini ketika di meja makan, telah membuka sebuah cerita tentang rezeki si penjual tempe.

Kata ayah, ada seorang pembuat dan penjual tempe ini yang berniaga di sebuah pasar. Saban hari tempenya laku dan tidak ketinggalan juga dengan rezeki beberapa orang penjual tempe yang mencari rezeki di situ. Kemungkinan besar komuniti di situ memang menggemari tempe.

Suatu hari, penjual tempe itu membawa tempenya untuk dijual di pasar. Sesampainya di tapak jualannya, barulah dia mendapati bahawa tempenya masih mentah dan belum boleh dimasak terus jika ada yang membelinya. Dia agak kecewa. Dalam hatinya sudah terlintas bahawa pada hari itu pastinya tiada satupun tempenya akan laku.

Beberapa kali dia membuka beberapa bunjutan tempenya dengan harapan besar bahawa tempenya sudah matang dan boleh dijual untuk dimasak terus. Sayangnya, harapannya memang tidak menjadi kenyataan. Masakan tidak. Yang mentah mestilah kekal mentah. Tak boleh dipaksa-paksa untuk berubah.

Hari semakin menjelang tengahari. Teman-teman penjual tempe yang lain masing-masing sudah mula berkemas untuk pulang. Rezeki mereka cukup baik pada hari itu sedangkan rezekinya pula bagaikan berjauh hati. Tiada satupun tempenya yang laku kerana setiap kali ada pembeli yang datang, dia memberitahu dengan jujur bahawa tempenya masih mentah dan belum boleh dimasak terus. Perlu diperam beberapa hari lagi.

Melihatkan rakan-rakannya mula berkemas, dia juga mula berkemas. Dalam hati, dia redha memang tiada rezekinya untuk hari itu. Sedang dia berkemas, tiba-tiba datang seorang perempuan ke tapaknya. Perempuan itu bertanyakan tempenya. Jawabnya, ada memang ada tapi semuanya masih mentah. Perempuan itu tersenyum. Lalu perempuan itu menyatakan hasratnya hendak membeli kesemua tempenya yang masih mentah itu.

Si penjual tempe itu hairan. Dia menerangkan sekali lagi bahawa tempe itu tidak boleh terus dimasak. Perlu diperam beberapa hari lagi. Perempuan itu mengangguk faham dan tetap mahu membeli tempe mentah itu. Kemudian dia menambah:

“Pakcik, anak saya belajar di luar negara. Dia yang teringinkan tempe. Kalau saya kirimkan tempe yang sudah matang, lembut, mesti sudah tidak elok bila sampai kepadanya nanti. Sebab tu saya nak beli tempe mentah. Saya boleh bungkus dan poskan padanya. Bila sampai nanti, sedang elok saja tempoh tempe tu diperam.”

Penjual tempe itu tersenyum. Rupa-rupanya rezekinya masih murah pada hari itu. Sungguhpun pada awalnya berkali-kali dia memohon kepada Allah dan berharap bahawa ada antara tempe-tempenya yang sudah sedia untuk dijual. Rupa-rupanya percaturan Allah untuknya pada hari itu masih sempurna, jauh di luar jangkaannya. Rezekinya masih murah seperti selalu.

Selesai bercerita, ayah berkata kepada saya, suami dan emak yang berada di meja makan pada waktu itu:

“Don’t push God to grant what we want. Allah always has the best treats for us. Rezeki kita tak putus kalau percayakan Allah.”

Saya mengangguk-nganggukkan kepala. Jangan paksa Allah untuk tunaikan hajat kita. Redhalah dengan pemberianNya yang seadanya itu.

Terima kasih ayah untuk ‘sup ayam buat jiwa’ pada pagi itu. Saya pergi kerja dengan rasa penuh motivasi bahawa rezeki kita pasti ada untuk hari itu. Kalau tidak di awal pagi, mungkin ia datang di penghujung hari nanti, insya Allah.

Dalam hati saya turut mengaitkannya dengan ayah. Ayah tak pernah jemu bersusah-payah dengan perniagaannya yang turun naik. Mungkin, sudah lama ayah berprinsip ‘never push God to grant our wishes’ ini. Di penghujung hari, bulan atau tahun, pasti ada rezeki yang tak disangka-sangka untuk ayah. Sungguhpun tidak banyak, yang sedikit itupun sudah cukup membuatkan ayah dan kami bersyukur.

17 Responses to “Rezeki Si Penjual Tempe”

  1. nasuharazali says on :

    terima kasih untuk cerita ini, cerita yang sama tetapi dari mulut yang berbeza impaknya juga lain =)

    Reply

    Sarah Reply:

    Suha! Lama tak dengar cerita. Semoga excell in your HOship.

    Thanks for dropping by =)

    Reply

  2. irma says on :

    salam 3 pagi sarah πŸ™‚

    akak pun pernah dgar cerita ni. dari penjual tempe di london. πŸ™‚

    Reply

    Sarah Reply:

    Salam 6 pagi Kak Irma. πŸ˜‰

    Saya pulak dengar versi cerita ni daripada seorang penjual alat2 telekomunikasi.
    Hehe. Moralnya tetap sama; rezeki πŸ˜‰

    Reply

  3. Adzrul Ariff Azlan says on :

    Saya pernah dengar cerita ni dulu…tapi tetap masih ‘Like’ eheh. Rezeki utk kita mmg alhamdulillah x putus kalau kita percayakan percaturanNya. πŸ™‚

    Reply

  4. Syamil says on :

    salam kak sarah
    memang menusuk jiwa sungguh quote tu
    kita kadang2 dalam rasa tidak sedar sering memaksa Allah untuk kabulkan apa yang kita nak
    dalam pada masa yang sama, kita terlupa untuk memaksa diri sendiri lakukan apa yang Allah perintah
    sesungguhnya keampunan dan kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaannya…

    terima kasih atas motivasi pagi yang sangat megusik kalbu kak sarah

    Reply

  5. IjanKahar says on :

    Salam,
    Bestnya kalau hari2 ada “sup ayam buat jiwa”…sangat memberikan motivasi πŸ™‚

    Reply

  6. kak hana says on :

    as salam sarah πŸ™‚

    kak hana pun penah dgq citer nih cuma kadang2 as manusia biasa- selalu la keterlupaan..tq sarah coz u make my day
    jaga diri n baby πŸ˜€

    Reply

  7. SECRET IN THE HEART says on :

    Sedapnye tempe…
    Dulu, masa saya kecil, saya kurang menggemarinya…
    Bila dah besar ni baru boleh terima…
    he..he..

    Reply

  8. Siti Noor Syazwana says on :

    Salam KS…
    Sejak 2 menjak ni asyik teringat nak makan tempe, oh ya baru bacathon 3 entry KS sekaligus.hehe.
    Menunggu kedatangan si penjual tempe di depan rumah, ala-ala KCB tp benar di tengah kota London pun ada penjual tempe….
    Lama dia tak datang, tiba-tiba kempunan dan bertambah meleleh air liur bila baca entry KS.
    Moga diber kesihatan yang baik untuk KS dan bayi

    Reply

  9. Ros Anisza says on :

    cerita pasal penjual tempe ni saya dah lama baca…tapi quotes β€˜never push God to grant our wishes’ benar-benar memotivasikan saya….terima kasih akak untuk entri ini πŸ™‚

    Reply

  10. Nad says on :

    Salam Dr, tq 4 sharing a motivated quote..

    Reply

  11. amal says on :

    dah lama saya tak baca di sini sejak bekerja, dulu zaman uni memang suka baca blog dr.sarah, tup2 dah kawen n bakal dapat baby. tahniah

    Reply

  12. Bersyukurlah « I HEART WATANIAH -Koleksi Cerpen says on :

    […] Rezeki Si Penjual Tempe […]

  13. cikgu ct says on :

    Assalamualaikum…

    Alhamdulillah…
    Baru kali pertama baca kisah ini… memang indah
    terima kasih…adik sarah

    Reply

  14. johnnycage says on :

    salam. i heard this story just recently from my ustaz. didnt know how popular this story is until i read the blog and the comments. cheers!

    Reply

  15. latest iphone games ipa says on :

    Hi there just wanted to give you a quick heads up and let you know
    a few of the pictures aren’t loading correctly. I’m not sure
    why but I think its a linking issue. I’ve tried it in two different internet browsers and both show the same results.

    Reply

Leave a Reply