Archive for the ‘Happy’ Category

Penawar

Assalamualaikum wbt

Semalam saya memang buat kerja gila. Tanpa sebarang pengenalan diri (selain daripada student card), saya mengikut Fareena dan Farhan keluar untuk auntumn photo outing. Wanie pun ikut sama. Farhan handal mengambil gambar. Kamera gedabak-gedabak ni kan (Canon EOS 400D). Saya perlu juga keluar daripada rumah untuk melapangkan fikiran. Kami sepakat menuju ke Varabyovy Gory, Bukit Pipit. Lucu kan nama tempat ini? Letaknya hanya diseberang sungai kawasan kami tinggal ini. Tapi kami ke sana menaiki metro. Takkan nak merentas sungai melalui jambatan dengan berjalan kaki pula. Kawasan ini adalah kawasan ekologi burung. Letaknya di tepi Sungai Moscow (Moskva River). Di sepanjang sungai ini ada laluan pejalan kaki yang rapi dan kawasan ekologi burung di sebelah atasnya pula penuh dengan pokok maple. Suasana musim luruh yang semakin ke penghujungnya memang terasa kerana daun maple memang sudah bertukar warna menjadi kuning keperangan. Ada juga warna alam yang lain termasuk merah, hijau muda dan oren. Sangat cantik. Tidak lama kami melalui eco trail setelah puas berjalan dan bergambar kerana hari mulai hujan renyai.

Hari ini saya cuti sehari. Hari pelepasan untuk menyiapkan laporan autopsi. Selepas Zohor tadi saya terus ke Deans. Beratur dalam sejam, saya dapat memboloskan diri untuk masuk ke bilik tersebut. Sebelum itu, pegawai yang bertugas itu marah-marah kerana pelajar-pelajar yang datang semuanya punya masalah remeh-temeh yang tak sepatutnya terjadi. Tapi sebaik saja saya masuk, saya terangkan masalah saya, dia terus kasihankan saya dan dengan segera menyiapkan pengenalan diri sementara untuk saya. Sedikitpun dia tak marah-marah seperti yang dibuatnya pada orang lain sebelum saya. Sebaik selesai semuanya, saya ucapkan terima kasih dan terus balik. Saya maklumkan ayah tentang urusan di sini semua sudah selesai. Emak terus menelefon. Leganya mendengar suara emak. Suara terapi. Suara penawar kesedihan!

Posted on October 20th, 2008 by Sarah  |  40 Comments »

Kuasa Redha Itu Hebat

Assalamualaikum wbt

Siapa kata saya tidak sebak atas apa yang terjadi. Sebak dan sedih sudah pasti. Cuma saya tak zahirkan dengan menangisi ini semua. Saya takut saya semakin tidak redha dengan apa yang terjadi. Jadi, diam dan bawa bertenang adalah yang sebaiknya. Malam tadi saya tidur agak lewat. Mulanya, saya kemaskinikan artikel bulanan untuk majalan persatuan pelajar. Seterusnya, sebaik saja urusan pembatalan kad menerusi talian khidmat pelanggan 24 jam Maybank selesai, saya cuba tidur tapi susah hendak lelap. Mata manalah yang mampu lelap kalau dalam hati dan kepala risau tentang banyak benda yang perlu dibuat. Saya bangun senaraikan atas sticky note saya apa yang perlu saya lakukan bermula hari ini. Selesai saya tulis semua, baru saya boleh tidur. Tapi tak lelap. 4.45 pagi saya sudah terjaga. Rutin hari ini pun bermula.

Saya online di awal pagi buta tu. Memang tiada orang sangatlah yang online waktu tu. Saya lihat handphone. Ada mesej daripada ayah mengatakan akaun Atiqah yang saya berikan nombornya pada ayah Maghrib semalam tidah sah laku. Tidak tahu di mana silapnya. Saya cuba membalas mesej tapi sekali lagi ada masalah dengan talian. Saya tak boleh menghantar mesej ke nombor Celcom pada waktu itu. Tapi, sebaik saya online, Kaklong terus menegur. Dia meminta saya cuba mendapatkan bombor akaun kawan yang lain supaya ayah dapat memasukkan duit untuk saya. Saya beritahu Kaklong, di awal pagi begitu, semua masih tidur. Nanti jika ada yang sudah bangun, saya akan mesejkan nombor akaun yang baru. Saya memang masih mengantuk pada waktu itu tapi memang tak boleh lelap.

Dan di kala itulah seorang kawan menegur saya di YM. Bermula dengan soalan-soalan asas tentang kejadian sehinggalah tentang kerisauan saya tentang credit book yang hilang itu. Saya terangkan padanya kenapa saya risau dan lecehnya urusan untuk mendapatkan semula ke semua tanda tangan para profesor dan doktor sejak tahun 1 dulu. Banyak masalahnya. Bangunan akademik untuk tahun 1 jauh letaknya dari sini. Tambahan pula, manalah saya ada masa nak ke sana pada waktu bekerja kerana saya sendiri terpaksa ke hospital. Lepas tu, jenuh pula hendak mencari semula profesor-profesor itu kerana mereka tak semestinya berada di bangunan akademik itu saja. Banyak halangan yang perlu dilalui. Sebaik saya menenrangkan duduk perkara yang saya risaukan ini, kawan saya ini pun menyatakan pendapatnya:

“Nak siapkan semula dapatkan tanda tangan semua ni bukan sekejap, kan. Makan masa 6 tahun semula.”

Saya terdiam memikirkan apa yang dikatakannya. Dan tiba-tiba saya tersenyum. Ya Allah. Saya jumpa hikmahnya di sini. Hikmah yang mungkin pada orang lain adalah sesuatu yang membebankan. Saya katakan padanya terima kasih kerana ayatnya telah menampakkan saya sesuatu. Suatu hikmah. Ya. Andainya saya perlu mendapatkan semula tanda tangan para profesor dan doktor saya, saya perlu menjejak kesemua mereka yang pernah memberikan ilmu kepada saya. Sejak 5 tahun yang lalu. Ibaratnya, saya masuk mesin masa ke 5 tahun lepas. Menjejak satu persatu. Kiranya, ini boleh jadi lawatan terakhir saya sebelum saya meninggalkan mereka untuk pulang tahun depan. Saya masih berkesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan bertanya khabar mereka buat kali yang terakhir. Ya. Saya terasa ini sesuatu yang pasti memberikan kelapangan hati buat saya. Saya suka melihat muka guru-guru saya gembira jika dilawati bekas muridnya, mendapat ucapan terima kasih daripada bekas pelajar dan yang seumpama seperti itu. Sebab saat itu pastinya dapat melahirkan rasa bangga dalam diri guru kita kerana telah mempunyai anak murid yang akan tamat belajar (walaupun sebenarnya anak muridnya ni macam lanun je orangnya). Dan dengan kata-kata daripada kawan saya ni, saya rasa sangat redha dengan apa yang terjadi.

10 pagi tadi, saya ke rumah mayat lagi. Dalam perjalanan, saya sudah boleh mesejkan nombor akaun yang lain kepada ayah saya. Akaun Fatt, roommate saya. Di sana, rakan-rakan daripada group 3 bertanyakan laporan saya untuk autopsi hari semalam kerana saya ada menyalin semuanya (tapi dengan tulisan yang hanya saya seorang yang faham, mereka nak pinjam semalam tapi kasihan, susah sangat nak baca alfabet baru yang saya wujudkan itu). Saya ada menawarkan laporan yang akan saya kemaskinikan malam tadi tapi sayangnya laporan semalam itu telah hilang bersama beg semalam. Sebaik mereka mengetahui, ramai pula yang kasihan dengan saya. Haish. Buat saya terharu sajalah mereka semua ni. Saya bertanya kepada mereka andai ada yang tahu prosedur yang perlu dilalui jika kita kehilangan credit book. Justin menerangkan, tak perlu pergi menemui semua lecturer pun. Pihak Deans akan keluarkan senarai duplikasi kesemua keputusan exam yang telah diduduki dan akan menulis kenyataan rasmi dalam credit book yang baru bahawa buku yang lama telah hilang. Selesai. Ya Allah. Leganya saya mendengarkan itu. Doa saya dimakbulkan. Betapa Allah permudahkan segalanya. Dan kuasa redha itu ternyata hebat.

Tak lama saya di rumah mayat. Hari ini hanya bincangkan laporan kes saja. Selesai semua, saya terus balik. Saya tak boleh merayap ke mana-mana. Hari ini saya seorang pendatang asing tanpa izin di sini (PATI). Saya tak punya sebarang pengenalan diri. Saya hanya boleh membuat pengenalan diri baru Isnin ini di Deans. Malah, saya jauh lebih teruk daripada PATI di Malaysia. Setidak-tidaknya, mereka ada duit. Tapi saya sebatang kara. Dalam perjalanan balik, saya berniat untuk meminjam duit housemate saya untuk membuat duplikasi kunci rumah. Mereka semua junior, jadual kami berbeza. Senang Isnin nanti jika masing-masing keluar ke hospital dan pulang pada waktu yang berlainan. Sebaik sampai di rumah, Fatt, Pena dan saya menghabiskan masa bersama dengan memasak. Buat Roti Jala. Lagi 3 orang keluar. Sepanjang memasak, saya asyik terfikir-fikir tentang segala barang yang hilang itu. Semuanya. Yang masih mengganggu fikiran pastilah tentang credit book itu. Selesai memasak, kami menghabiskan masa masing-masing dengan cara yang tersendiri. Saya terasa mengantuk tapi tak boleh tidur. Selepas Zohor, saya baru saja hendak menyidai baju yang baru siap dicuci, tiba-tiba ada ketukan di pintu rumah. Ada orang datang. Tetamu buat saya rupanya. Saya bersiap bertudung dan keluar menemuinya. Pak guard bangunan ni. Dan dia memegang segenggam barang di tangannya.

Guard: Ada seorang perempuan datang tadi dia bawak barang-barang ni. Dia jumpa atas jalan kat tepi jalan sana. Awak punya kan?
Saya: Ya Allah. Spasiba! Ya. Semua ni saya punya. Terima kasih banyak-banyak.
Guard: Tadi dia kata, dia ada nampak beg warna coklat gelap kat dalam tong sampah di tepi pintu gerbang tepi jalan sana. Tapi dia tak ambil. Dia kata kosong. Tapi dia kata, kalau awak rasa nak tengok beg tu, pergilah ke tong sampah besar kat pintu gerbang tepi jalan sana. Mungkin ada apa-apa yang saya nak tengok.
Saya: Haah. Beg coklat gelap tulah beg saya. Ok ok. Saya pergi tengok terus lepas ni. Terima kasih banyak-banyak!

Saya bersiap untuk keluar rumah. Sejuk. Jadi harus berkot. Fatt menemankan saya. Kami ke raja segala tong sampah yang tingginya hampir 3 meter. Fatt betul-betul buat saya terharu. Dia panjat tangga menegak yang ada pada tong itu untuk melihat puncaknya. Terima kasih Fatt. Walaupun tidak menemui apa-apa, cukuplah kami buat syarat yang kami sudah mencari di situ. Kami ke tong sampah di tempah yang dimaksudkan pula. Saya ada menemui sebuah beg coklat tapi itu bukan beg saya. Sungguhpun saya tidak menemui apa-apa, saya sudah cukup bersyukur dengan apa yang saya sudah dapat semula dan saya yakin, beg beserta purse dan kamera saya memang sudah hilang. Tak mungkin benda berharga begitu tidak dihajati oleh orang itu.

Balik ke rumah, saya masih ada wudhuk dan azan Asar baru saja masuk. Saya terus solat Asar dan saya melakukan sujud syukur sekali. Kemudian saya mesej ayah memaklumkan hal ini. Alhamdulillah. Barang yang saya telah dapat semula ini sesungguhnya betul-betul membuatkan saya lega.

Mahu tahu apa yang telah saya dapat semula? Kad pelajar, kad metro, kad hostel, kunci rumah dan credit book saya! Ya. Credit book saya juga dipulangkan semula. Saya pohonkan senang dalam urusan mendapatkan credit book yang baru, tapi Allah hadiahkan saya penyelesaian yang jauh lebih mudah daripada apa yang saya sangka. Saya tak perlu berbuat apa-apa. Segalanya masih dalam keadaan yang baik. Tak basah, tak kotor. Allah benar-benar telah memakbulkan doa saya. Isnin ini, saya cuma perlu mendapatkan kad pengenalan diri sementara (spravka) di Deans. Boleh percaya tak, itu saja yang perlu saya lakukan kini. Itu saja!

Dalam hati dan di mulut saya memang tak henti-henti saya memanjatkan rasa syukur. Betapa kuasa redha dengan ujian Allah itu sangat hebat hikmahnya. Saya yakin ini semua memang bukan kebetulan tapi memang ada sesuatu yang Allah hendak saya pelajari. Konsep redha, berbaik sangka dengan-Nya dan tidak berputus asa. Inilah yang saya pelajari daripada ujian ini.

Semalam, saya ada berkata kepada Ika sebaik sudah menguis-nguis sampah di tong sampah kedua. Kata saya, saya tak mahu menangis. Kalau saya menangis, nanti saya akan rasa marah dengan apa yang terjadi. Rasa tak redha dan nanti saya akan cepat putus asa dengan apa yang akan saya cuba usahakan. Jadi, saya menahan diri saya daripada menangis dan saya cuba sebaiknya untuk berlapang dada dengan ujian ini. Setiap kali teringatkan hal ini, saya katakan, saya perlu redha. Ada bahagian saya yang perlu saya bersihkan daripada terus menjadi milik saya. Dan ya. Saya redha.

Dan awal pagi tadi, saya ada katakan kepada kepada kawan saya tu, saya mungkin akan menangis suatu hari nanti apabila segala urusan dan susah-payah untuk mendapatkan kembali tanda tangan untuk credit book itu selesai. Dan ya. Sebaik saya mendapat semula credit book saya itu, dalam sujud dan doa solat Asar tadi, saya menangis. Menangis gembira dan terharu dengan belas ihsan Allah untuk saya.

Betapa kuasa redha itu hebat.

Posted on October 18th, 2008 by Sarah  |  45 Comments »