Assalamualaikum wbt
Kelmarin saya menemani ayah ke Pekan dan Kuantan. Dalam perjalanan balik, ketika kami masih lagi berlegar-legar di tengah bandar Kuantan, saya bertanya kepada ayah akan lokasi EON Bank cawangan Kuantan. Untuk makluman, sekarang sudah tidak wujud lagi EON Bank. Ia sudah ditukar kepada nama lain. Nama apa entah. Kurang popular. Jadi kita abaikan.
Ayah menjelaskan kedudukan bank itu di bahagian satu lagi di bandar Kuantan ini. Bukan di kawasan yang sedang kami lalui. Tapi bagi saya yang kurang arif dengan selok-belok bandar tersebut, saya terbayang-bayang di situlah letaknya bank tersebut suatu masa dulu. Jadi, apa kaitannya bank tersebut dengan saya?
Kisahnya, pada tahun 1999, saya telah ke bank itu untuk suatu aktiviti. Pertandingan Sayembara Puisi Kemerdekaan peringkat negeri Pahang anjuran RTM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan EON Bank. Sebelum saya ceritakan apa yang berlaku di sana, mari saya ceritakan dulu apa yang membawa saya ke sana.
Ketika itu saya berada dalam tingkatan dua dan bersekolah di sesi petang. Sekitar tiga bulan sebelum itu, setiap kali pulang dari sekolah, sambil makan nasi sebaik sampai ke rumah dan sebelum masuk Maghrib, saya pasti menonton drama di TV1. Kebetulan waktu itu sedang ditayangkan sebuah drama Melayu bersiri yang berkisar tentang kemerdekaan. Saya sudah tidak ingat tajuknya tapi yang saya sangat ingat, lagu temanya ialah lagu Menghitung Hari nyanyian Krisdayanti. Waktu itu sebenarnya saya bukan hendak tengok sangat drama itu. Saya lebih berminat dengan drama bersiri Cina yang bertajuk The Good Old Days yang disiarkan di TV3. Siap boleh bergaduh dengan kakak saya yang setia menonton drama Melayu itu. Bila iklan saja, berebut menukarkan siaran ke drama satu lagi. Begitulah kami hampir setiap hari.
Di sebelah pagi, sebelum bertolak ke sekolah, drama Melayu itu ada disiarkan sebagai siaran ulangan. Siaran di sebelah pagi ini disertakan dengan soalan-soalan kuiz kemerdekaan. Padahal waktu itu belum pun lagi mencecah bulan Ogos. Bagus betul dulu-dulu. Tidak perlu menunggu sambutan bulan kemerdekaan, sesuka hati pihak TV boleh melancarkan kuiz-kuiz sebegini. Barulah orang peka dan menghargai sejarah. Di Moscow (nak juga kaitkan dengan Moscow, apalah budak ni), ketika di Manesh Underground Shopping Complex, saya sedar ada TV-TV kecil yang menyiarkan Hari Ini Dalam Sejarah dan rentetan sejarah Rusia mengikut bulan pada tahun-tahun tertentu. Kagum betul saya melihatkan hal itu. Saya boleh leka melihat paparan demi paparan. Patutlah rakyatnya sangat arif dengan segala sejarah bangsa dan negara mereka itu. Cuba bayangkan. Kalaulah saya masuk Pejabat Pos di sini dan sambil menunggu giliran saya dapat melihat paparan sejarah di kaca TV bukankah bagus? Ok. Menyimpang jauh sangat pula. Kembali ke cerita asal.
Di samping kuiz, turut disiarkan ialah sebuah iklan pertandingan mengarang puisi kemerdekaan. Hampir sebulan saya melihat iklan itu tapi sedikitpun saya tidak terniat untuk ambil pusing. Sehinggalah kira-kira seminggu sebelum tarikh tutup penyertaan, pembantu rumah saya ketika itu, Kak Nonoi menyarankan saya menghantar salah satu daripada karya saya. Rupa-rupanya Kak Nonoi tahu saya ada menulis sajak. Pada mulanya saya tidak tertarik pun. Tapi empat hari sebelum pertandingan itu, saya terbuka hati hendak mencuba. Saya pilih sebuah sajak yang saya tulis tidak lama sebelum itu yang bertajuk Aku Anak Merdeka.
Dengar tajuknya pun saya sudah rasa hendak tergelak. Klise sungguh, bukan? Itu zaman kanak-kanak. Ilmu penulisan haram satu pun terpahat di dada. Menulis ikut suka. Yang saya ingat, saya menaip sajak itu untuk dicetak (print) menggunakan komputer di Bilik Komputer sekolah kerana kebetulan hari itu saya bertugas di Bilik Komputer. Keesokannya, saya menghantar penyertaan saya menggunakan pos laju kerana takut tidak sempat.
Tiga bulan berlalu begitu saja. Saya langsung tidak mendengar khabar tentang penyertaan saya. Nampak gayanya memang tidak terpilih dalam saringan untuk ke peringkat negerilah. Saya tidak kisah. Memang saya masuk sekadar cuba-cuba. Sehinggalah pada suatu hari, nama saya diumumkan kerana ada surat berdaftar dari bank atas nama saya yang dihantar ke sekolah. Penyelia Petang yang memanggil saya waktu itu. Rupa-rupanya pihak sekolah juga mendapat satu surat berdaftar atas urusan yang sama. Saya dimaklumkan bahawa karya saya telah terpilih antara dua puluh karya terbaik kategori A (13-15 tahun) dan saya dipanggil untuk mendeklamasikan sajak saya bagi menentukan johan peringkat negeri pada keesokan harinya di Kuantan.
Penyelia Petang saya pelik, bila masa pula pihak sekolah menghantar penyertaan. Saya menerangkan kepadanya bahawa saya menyertai pertandingan itu secara persendirian tanpa guru bimbingan. Iyalah. Mana saya tahu semua itu perlu. Jadi, Penyelia Petang saya berkata, dia tidak dapat menghantar sebarang guru pengiring untuk mengikut saya ke Kuantan kerana perkara itu hanya mereka tahu di saat akhir. Saya kata tidak mengapa. Saya boleh ke sana dengan ayah saya sendiri sedangkan waktu itu ayah sendiri pun belum tahu akan hal ini. Sesedap hati saja saya memberi jaminan kepada Penyelia Petang saya.
Untuk ke Kuantan, saya tidak tahu apa caranya untuk memenarikkan lagi persembahan saya. Saya terbayang-bayang Aishah menyanyikan lagu Bahtera Merdeka. Penuh perasaan. Saya berkata pada diri saya, ekspresi wajah kena secukup rasa. Tapi Aishah menyanyi ada lagu. Saya ada apa? Saya terbayang-bayang aksi orang mendeklamasikan sajak di TV. Ada muzik latar. Alunan lagu-lagu lembut. Terutamanya tiupan seruling atau muzik mendatar kosong bunyi dari gitar atau piano. Saya mula terasa kurang. Saya tiada semua itu. Mana saya nak cari bahan? Meroyan sekejap rasanya malam itu.
Tiba-tiba akal saya datang. Boleh teka apa yang saya buat? Haha. Saya jamin 200% tiada di antara kamu yang dapat menjangkakan apa yang saya lakukan ini. Dan bila saya terkenangkan semula apa yang saya lakukan ini, sumpah saya katakan, saya terasa sangat miskin papa kedana pada waktu itu dan sekarang saya boleh tergelak-gelak mengenangkannya.
Saya ambil sebuah kaset lama yang saya tidak ingat apa isi kandungannya, lalu saya rekodkan kosong (mute) pada kaset itu untuk menghasilkan sebuah kaset kosong setelah menindih kandungan asal kaset itu. Kemudian, jeng jeng jeng, saya mengambil KOTAK MUZIK milik emak saya hadiah daripada anak muridnya yang mengalunkan satu melodi lembut bila dihidupkan. Saya merapatkan kotak muzik tersebut ke tempat rekod di radio dan merakamkan melodi tersebut ke dalam kaset tadi! Ya. Inilah dia yang saya lakukan sebagai inisiatif untuk tidak menghambarkan deklamasi saya pada keesokannya. Hahaha.
Pada hari pertandingan, saya terasa sangat inferior. Orang lain ditemani guru pembimbing masing-masing yang telah bersiap-sedia dengan muzik iringan yang mantap-mantap. Ada yang berbaju songket, bertanjak keris bagai. Saya datang memakai uniform pengawas sekolah. Datang ditemani ayah. Ayah saya pun sebenarnya tidak tahu bahawa saya ada membawa kaset dengan muzik yang saya rekodkan sendiri. Semuanya saya buat sendiri-sendiri. Dalam hati saya berkata, “Confirm kalah ni”.
Jadi bila tiba giliran saya, saya menyerahkan kaset itu untuk dimainkan oleh penjaga PA system. Seterusnya, saya hanya memberikan yang terbaik yang boleh saya lakukan ketika mendeklamasikan sajak tersebut. Bila selesai semua peserta baik kategori A atau B membuat persembahan, ada jamuan makan disediakan dan kemudian keputusan pun diumumkan.
Hanya seorang johan bagi setiap kategori saja yang akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Saya masih lagi tiada semangat kerana saya tahu persembahan sayalah yang paling dhaif sekejap tadi. Orang lain guna CD muzik khas, saya guna kaset rakam sendiri. Siap ada bunyi grek grek grek entah datang dari mana. Silap hari bulan, kalau didengar elok-elok, boleh dengar bunyi nafas saya yang duduk hentap merakamkan lagu dari kotak muzik ke kaset. Sedih betul bila diingat semula. Buat semua diam-diam. Tak mahu emak ayah pening kepala.
Apabila keputusan diumumkan, saya dinobatkan sebagai johan bagi kategori A. Sungguh diluar jangkaan saya. Rasa hendak menangis pun iya waktu tu. Sebak sangat. Budak dhaif tadi tu yang guna kaset grek grek grek tu boleh menang. Saya sangat bersyukur. Dengan itu, saya dan seorang lagi peserta yang menjuarai kategori B (peserta dari Raub) berjaya mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan.
Apabila saya memaklumkan kepada Penyelia Petang saya bahawa saya telah menang di peringkat negeri dan berjaya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan, barulah beliau menunjukkan minat. Emak ayah saya juga mengusahakan seorang kenalan mereka, Cikgu Zul (kalau tidak silap saya) yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Temerloh (SKBT) untuk menghasilkan muzik iringan untuk saya. Saya sempat dua kali menjalani latihan bersama cikgu itu di SKBT. Ingat nak bersajak ni tak perlu tahu asas muzikkah? Ini semua perlu. Paling habis, kita akan tahu di mana kunci suara kita, di bahagian mana kita perlu masuk, kena selarikan suara dan intonasi dengan muzik yang dimainkan. Kalau salah, memang buruk jadinya.
Untuk ke peringkat kebangsaan, Penyelia Petang saya sendiri yang mengiringi saya ke sana. Kami menaiki bas ekspres saja dari Temerloh ke Kuala Lumpur. Di sana, ada wakil EON Bank yang menanti. Kami menginap di Intekma Resort, Shah Alam dan pertandingan berlangsung di Angkasapuri. Untuk ke pertandingan itu, saya tidak memakai baju-baju songket segala bagai ni pun. Saya tidak reti nak pakai baju-baju begitu. Bagi saya, baju sebegitu terlalu mengikut bentuk badan. Emak menempah sebuah jubah mini (jubah paras lutut dan berkain) berbutang depan untuk saya. Warna kuning di raja. Ewah. Kak Nonoi saya yang menjahitkan baju itu untuk saya.
Kisahnya di peringkat kebangsaan, saya merupakan peserta termuda di antara semua peserta, pelajar tingkatan dua. Seperkara lagi, kebanyakan peserta yang saya temui bukanlah penulis sajak yang dipertandingkan itu. Cikgu mereka yang menghasilkan sajak itu dan dihantar atas nama peserta tersebut. Tugas mereka hanyalah mendeklamasikannya semula. Saya pelik juga. Boleh pula begitu ya. Di mana originalitinya? Apa-apalah. Saya tidak meletakkan harapan di peringkat kebangsaan ini kerana saya tahu level saya di mana.
Seperkara lagi, sepanjang permukiman di sana, mereka semuanya bercakap menggunakan Bahasa Inggeris. Saya jadi sangat kekok ketika itu. Serba salah rasanya hendak membawa diri di kalangan anak-anak bandar yang moden-moden belaka ini. Bukannya saya tidak reti langsung untuk speaking dengan mereka. Saya pun ada juga speaking London dengan emak ayah saya di rumah. Tapi saya hairan. Ini pertandingan untuk memartabatkan seni bahasa kita. Tapi bahasa pertuturan yang digunakan adalah Bahasa Inggeris. Serius saya jadi inferior sekali lagi. Memang saya diam sungguhlah ketika di hari pertama dan kedua itu. Masih belum boleh menyesuaikan diri dengan peserta-peserta yang jauh lebih ‘bandar’ dari saya ni. Saya masih ingat ayat pertama yang saya terpaksa jawab menggunakan Bahasa Inggeris. Itupun sebab disapa terlebih dahulu dalam Bahasa Inggeris. “Do you have pen?” Jawab saya, “Sorry, I don’t have any”. Hahahaha. Saya masih ingat sampai ke hari ini. Tak bolehkah ditanya saja menggunakan Bahasa Melayu. “Ada pen tak?”. Kan mudah saja. Saya nak jawab pun senang. “Takde”. Hahaha.
Jadi, di hari kedua itu, kami melalui peringkat saringan terlebih dahulu. Daripada empat belas orang peserta kategori A, enam orang terpilih untuk ke final. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Saya tahu, dari segi kreativiti, persembahan saya masih banyak kekurangan. Saya cuma bergantung harap pada bait-bait sajak yang saya hasilkan itu saja. Alhamdulillah. Rupa-rupanya saya berjaya menempatkan diri sebagai finalis. Saya memaklumkan ayah tentang berita ini dan pada keesokan harinya, ayah datang ke Angkasapuri menyaksikan pertandingan peringkat akhir itu. Pertandingan itu juga disiarkan secara langsung di TV1.
Saya masih ingat lagi, lima orang peserta katergori A yang lain masing-masing sajak mereka adalah hasil karya guru mereka. Saya memang sudah lemah semangat di situ. Karya mereka jauh lebih bertenaga jika hendak dibandingkan dengan saya. Tidak mengapalah. Bagi saya, ini pengalaman pertama saya dalam arena ini. Kalah menang bukan isunya. Yang penting usaha itu ada dan pengalaman telah dapat saya kutip.
Untuk persembahan di peringkat akhir, kami mendeklamasikan sajak dengan diiringi tiupan seruling oleh Abang Zali. Siapa masih ingat rancangan kanak-kanak di Tv1 bersama Kak Yong, pasti mengenali Abang Zali. Untuk menambah rencah persembahan, di permulaannya saya introkan dengan bait-bait lagu Bahtera Merdeka. Dua rangkap saja. Nanti pitching lari, padan muka. Huhu. Dan di penyudahnya, saya laungkan kata-kata Aku Anak Merdeka itu sepenuh rasa. Meremang jugalah bulu roma bila diingatkan. Hehe.
Keputusan di peringkat kebangsaan diumumkan selepas selesai kesemua dua belas orang peserta kedua-dua kategori mendeklamasikan sajak. Saya tidak berjaya mendapat tempat pertama, kedua mahupun ketiga. Saya tidak sedih. Seperti yang saya nyatakan tadi, saya tahu saya berada di level yang mana.
Bila pulang ke sekolah, cikgu-cikgu tertunggu-tunggu siaran ulangan pertandingan itu di TV Pendidikan. Pihak sekolah juga dibekalkan dengan pita video oleh pihak RTM. Saya masih ingat reaksi cikgu Kemahiran Hidup saya ketika itu, Cikgu Sopian, “Masuk TV awok yek Sarah”. Haha. Itu pula yang menjadi isunya. Hehehe.
Apa yang lebih penting, di pertandingan itu saya belajar mengenali ragam warganegara Malaysia. Siapa yang benar-benar menghargai bahasa dan siapa yang kurang ambil kisah. Dan bertitik tolak dari situlah saya mula menulis sajak demi sajak. Sebaik tamat SPM pada tahun 2002, saya mempunyai tiga buah buku sajak peribadi.
Bukan senang nak berjaya. Saya akui kata-kata ini. Bila dikenangkan semula apa yang saya lakukan untuk ke peringkat negeri dulu, saya terbayang-bayang, akan adakah lagi orang di zaman ini melakukan seperti apa yang telah saya lakukan. Kerja gila sungguh. Penuh kedhaifan! Bukti betapa kampung tak kampungnya saya. Itulah yang dapat saya simpulkan. Hahaha. Nasib baiklah kotak muzik emak saya itu tidak memainkan lagu Fur Elise ke, How Do I Begin ke. Kalau tidak, akan mencipta rekod sejaralah saya bilamana mendeklamasikan sajak kemerdekaan berlatarkan lagu romantik klasik dunia! Hahaha.
Nota 1: Saya dapat baucer buku DBP berharga RM50, duit RM150 dan seutas jam tangan. Saya tebus baucer itu dengan membeli sebuah Kamus Dewan yang besar gedabak itu. Sehingga kini ia masih elok rapi cantik berseri di atas almari. Amat berjasa di zaman kegemilangan saya dalam bahas dulu.
Nota 2: Kasihannya pada kamu semua kena baca entri panjang berjela ni. Padahal tak bermanfaat mana pun. Buang masa je. Err… Rasanya macam ni rekod entri terpanjang je.
Nota 3: Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak buat pengunjung yang masih sudi bertandang ke sini walaupun saya jarang update. Dan terima kasih juga buat semua yang membuat pautan ke blog ini. Kalau saya merepek meraban tu, maaf je la ye. Inilah sindrom orang menganggur.