Cerita Budak Kampung
Assalamualaikum wbt
Kelmarin saya menemani ayah ke Pekan dan Kuantan. Dalam perjalanan balik, ketika kami masih lagi berlegar-legar di tengah bandar Kuantan, saya bertanya kepada ayah akan lokasi EON Bank cawangan Kuantan. Untuk makluman, sekarang sudah tidak wujud lagi EON Bank. Ia sudah ditukar kepada nama lain. Nama apa entah. Kurang popular. Jadi kita abaikan.
Ayah menjelaskan kedudukan bank itu di bahagian satu lagi di bandar Kuantan ini. Bukan di kawasan yang sedang kami lalui. Tapi bagi saya yang kurang arif dengan selok-belok bandar tersebut, saya terbayang-bayang di situlah letaknya bank tersebut suatu masa dulu. Jadi, apa kaitannya bank tersebut dengan saya?
Kisahnya, pada tahun 1999, saya telah ke bank itu untuk suatu aktiviti. Pertandingan Sayembara Puisi Kemerdekaan peringkat negeri Pahang anjuran RTM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan EON Bank. Sebelum saya ceritakan apa yang berlaku di sana, mari saya ceritakan dulu apa yang membawa saya ke sana.
Ketika itu saya berada dalam tingkatan dua dan bersekolah di sesi petang. Sekitar tiga bulan sebelum itu, setiap kali pulang dari sekolah, sambil makan nasi sebaik sampai ke rumah dan sebelum masuk Maghrib, saya pasti menonton drama di TV1. Kebetulan waktu itu sedang ditayangkan sebuah drama Melayu bersiri yang berkisar tentang kemerdekaan. Saya sudah tidak ingat tajuknya tapi yang saya sangat ingat, lagu temanya ialah lagu Menghitung Hari nyanyian Krisdayanti. Waktu itu sebenarnya saya bukan hendak tengok sangat drama itu. Saya lebih berminat dengan drama bersiri Cina yang bertajuk The Good Old Days yang disiarkan di TV3. Siap boleh bergaduh dengan kakak saya yang setia menonton drama Melayu itu. Bila iklan saja, berebut menukarkan siaran ke drama satu lagi. Begitulah kami hampir setiap hari.
Di sebelah pagi, sebelum bertolak ke sekolah, drama Melayu itu ada disiarkan sebagai siaran ulangan. Siaran di sebelah pagi ini disertakan dengan soalan-soalan kuiz kemerdekaan. Padahal waktu itu belum pun lagi mencecah bulan Ogos. Bagus betul dulu-dulu. Tidak perlu menunggu sambutan bulan kemerdekaan, sesuka hati pihak TV boleh melancarkan kuiz-kuiz sebegini. Barulah orang peka dan menghargai sejarah. Di Moscow (nak juga kaitkan dengan Moscow, apalah budak ni), ketika di Manesh Underground Shopping Complex, saya sedar ada TV-TV kecil yang menyiarkan Hari Ini Dalam Sejarah dan rentetan sejarah Rusia mengikut bulan pada tahun-tahun tertentu. Kagum betul saya melihatkan hal itu. Saya boleh leka melihat paparan demi paparan. Patutlah rakyatnya sangat arif dengan segala sejarah bangsa dan negara mereka itu. Cuba bayangkan. Kalaulah saya masuk Pejabat Pos di sini dan sambil menunggu giliran saya dapat melihat paparan sejarah di kaca TV bukankah bagus? Ok. Menyimpang jauh sangat pula. Kembali ke cerita asal.
Di samping kuiz, turut disiarkan ialah sebuah iklan pertandingan mengarang puisi kemerdekaan. Hampir sebulan saya melihat iklan itu tapi sedikitpun saya tidak terniat untuk ambil pusing. Sehinggalah kira-kira seminggu sebelum tarikh tutup penyertaan, pembantu rumah saya ketika itu, Kak Nonoi menyarankan saya menghantar salah satu daripada karya saya. Rupa-rupanya Kak Nonoi tahu saya ada menulis sajak. Pada mulanya saya tidak tertarik pun. Tapi empat hari sebelum pertandingan itu, saya terbuka hati hendak mencuba. Saya pilih sebuah sajak yang saya tulis tidak lama sebelum itu yang bertajuk Aku Anak Merdeka.
Dengar tajuknya pun saya sudah rasa hendak tergelak. Klise sungguh, bukan? Itu zaman kanak-kanak. Ilmu penulisan haram satu pun terpahat di dada. Menulis ikut suka. Yang saya ingat, saya menaip sajak itu untuk dicetak (print) menggunakan komputer di Bilik Komputer sekolah kerana kebetulan hari itu saya bertugas di Bilik Komputer. Keesokannya, saya menghantar penyertaan saya menggunakan pos laju kerana takut tidak sempat.
Tiga bulan berlalu begitu saja. Saya langsung tidak mendengar khabar tentang penyertaan saya. Nampak gayanya memang tidak terpilih dalam saringan untuk ke peringkat negerilah. Saya tidak kisah. Memang saya masuk sekadar cuba-cuba. Sehinggalah pada suatu hari, nama saya diumumkan kerana ada surat berdaftar dari bank atas nama saya yang dihantar ke sekolah. Penyelia Petang yang memanggil saya waktu itu. Rupa-rupanya pihak sekolah juga mendapat satu surat berdaftar atas urusan yang sama. Saya dimaklumkan bahawa karya saya telah terpilih antara dua puluh karya terbaik kategori A (13-15 tahun) dan saya dipanggil untuk mendeklamasikan sajak saya bagi menentukan johan peringkat negeri pada keesokan harinya di Kuantan.
Penyelia Petang saya pelik, bila masa pula pihak sekolah menghantar penyertaan. Saya menerangkan kepadanya bahawa saya menyertai pertandingan itu secara persendirian tanpa guru bimbingan. Iyalah. Mana saya tahu semua itu perlu. Jadi, Penyelia Petang saya berkata, dia tidak dapat menghantar sebarang guru pengiring untuk mengikut saya ke Kuantan kerana perkara itu hanya mereka tahu di saat akhir. Saya kata tidak mengapa. Saya boleh ke sana dengan ayah saya sendiri sedangkan waktu itu ayah sendiri pun belum tahu akan hal ini. Sesedap hati saja saya memberi jaminan kepada Penyelia Petang saya.
Untuk ke Kuantan, saya tidak tahu apa caranya untuk memenarikkan lagi persembahan saya. Saya terbayang-bayang Aishah menyanyikan lagu Bahtera Merdeka. Penuh perasaan. Saya berkata pada diri saya, ekspresi wajah kena secukup rasa. Tapi Aishah menyanyi ada lagu. Saya ada apa? Saya terbayang-bayang aksi orang mendeklamasikan sajak di TV. Ada muzik latar. Alunan lagu-lagu lembut. Terutamanya tiupan seruling atau muzik mendatar kosong bunyi dari gitar atau piano. Saya mula terasa kurang. Saya tiada semua itu. Mana saya nak cari bahan? Meroyan sekejap rasanya malam itu.
Tiba-tiba akal saya datang. Boleh teka apa yang saya buat? Haha. Saya jamin 200% tiada di antara kamu yang dapat menjangkakan apa yang saya lakukan ini. Dan bila saya terkenangkan semula apa yang saya lakukan ini, sumpah saya katakan, saya terasa sangat miskin papa kedana pada waktu itu dan sekarang saya boleh tergelak-gelak mengenangkannya.
Saya ambil sebuah kaset lama yang saya tidak ingat apa isi kandungannya, lalu saya rekodkan kosong (mute) pada kaset itu untuk menghasilkan sebuah kaset kosong setelah menindih kandungan asal kaset itu. Kemudian, jeng jeng jeng, saya mengambil KOTAK MUZIK milik emak saya hadiah daripada anak muridnya yang mengalunkan satu melodi lembut bila dihidupkan. Saya merapatkan kotak muzik tersebut ke tempat rekod di radio dan merakamkan melodi tersebut ke dalam kaset tadi! Ya. Inilah dia yang saya lakukan sebagai inisiatif untuk tidak menghambarkan deklamasi saya pada keesokannya. Hahaha.
Pada hari pertandingan, saya terasa sangat inferior. Orang lain ditemani guru pembimbing masing-masing yang telah bersiap-sedia dengan muzik iringan yang mantap-mantap. Ada yang berbaju songket, bertanjak keris bagai. Saya datang memakai uniform pengawas sekolah. Datang ditemani ayah. Ayah saya pun sebenarnya tidak tahu bahawa saya ada membawa kaset dengan muzik yang saya rekodkan sendiri. Semuanya saya buat sendiri-sendiri. Dalam hati saya berkata, “Confirm kalah ni”.
Jadi bila tiba giliran saya, saya menyerahkan kaset itu untuk dimainkan oleh penjaga PA system. Seterusnya, saya hanya memberikan yang terbaik yang boleh saya lakukan ketika mendeklamasikan sajak tersebut. Bila selesai semua peserta baik kategori A atau B membuat persembahan, ada jamuan makan disediakan dan kemudian keputusan pun diumumkan.
Hanya seorang johan bagi setiap kategori saja yang akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Saya masih lagi tiada semangat kerana saya tahu persembahan sayalah yang paling dhaif sekejap tadi. Orang lain guna CD muzik khas, saya guna kaset rakam sendiri. Siap ada bunyi grek grek grek entah datang dari mana. Silap hari bulan, kalau didengar elok-elok, boleh dengar bunyi nafas saya yang duduk hentap merakamkan lagu dari kotak muzik ke kaset. Sedih betul bila diingat semula. Buat semua diam-diam. Tak mahu emak ayah pening kepala.
Apabila keputusan diumumkan, saya dinobatkan sebagai johan bagi kategori A. Sungguh diluar jangkaan saya. Rasa hendak menangis pun iya waktu tu. Sebak sangat. Budak dhaif tadi tu yang guna kaset grek grek grek tu boleh menang. Saya sangat bersyukur. Dengan itu, saya dan seorang lagi peserta yang menjuarai kategori B (peserta dari Raub) berjaya mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan.
Apabila saya memaklumkan kepada Penyelia Petang saya bahawa saya telah menang di peringkat negeri dan berjaya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan, barulah beliau menunjukkan minat. Emak ayah saya juga mengusahakan seorang kenalan mereka, Cikgu Zul (kalau tidak silap saya) yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Temerloh (SKBT) untuk menghasilkan muzik iringan untuk saya. Saya sempat dua kali menjalani latihan bersama cikgu itu di SKBT. Ingat nak bersajak ni tak perlu tahu asas muzikkah? Ini semua perlu. Paling habis, kita akan tahu di mana kunci suara kita, di bahagian mana kita perlu masuk, kena selarikan suara dan intonasi dengan muzik yang dimainkan. Kalau salah, memang buruk jadinya.
Untuk ke peringkat kebangsaan, Penyelia Petang saya sendiri yang mengiringi saya ke sana. Kami menaiki bas ekspres saja dari Temerloh ke Kuala Lumpur. Di sana, ada wakil EON Bank yang menanti. Kami menginap di Intekma Resort, Shah Alam dan pertandingan berlangsung di Angkasapuri. Untuk ke pertandingan itu, saya tidak memakai baju-baju songket segala bagai ni pun. Saya tidak reti nak pakai baju-baju begitu. Bagi saya, baju sebegitu terlalu mengikut bentuk badan. Emak menempah sebuah jubah mini (jubah paras lutut dan berkain) berbutang depan untuk saya. Warna kuning di raja. Ewah. Kak Nonoi saya yang menjahitkan baju itu untuk saya.
Kisahnya di peringkat kebangsaan, saya merupakan peserta termuda di antara semua peserta, pelajar tingkatan dua. Seperkara lagi, kebanyakan peserta yang saya temui bukanlah penulis sajak yang dipertandingkan itu. Cikgu mereka yang menghasilkan sajak itu dan dihantar atas nama peserta tersebut. Tugas mereka hanyalah mendeklamasikannya semula. Saya pelik juga. Boleh pula begitu ya. Di mana originalitinya? Apa-apalah. Saya tidak meletakkan harapan di peringkat kebangsaan ini kerana saya tahu level saya di mana.
Seperkara lagi, sepanjang permukiman di sana, mereka semuanya bercakap menggunakan Bahasa Inggeris. Saya jadi sangat kekok ketika itu. Serba salah rasanya hendak membawa diri di kalangan anak-anak bandar yang moden-moden belaka ini. Bukannya saya tidak reti langsung untuk speaking dengan mereka. Saya pun ada juga speaking London dengan emak ayah saya di rumah. Tapi saya hairan. Ini pertandingan untuk memartabatkan seni bahasa kita. Tapi bahasa pertuturan yang digunakan adalah Bahasa Inggeris. Serius saya jadi inferior sekali lagi. Memang saya diam sungguhlah ketika di hari pertama dan kedua itu. Masih belum boleh menyesuaikan diri dengan peserta-peserta yang jauh lebih ‘bandar’ dari saya ni. Saya masih ingat ayat pertama yang saya terpaksa jawab menggunakan Bahasa Inggeris. Itupun sebab disapaΒ terlebih dahulu dalam Bahasa Inggeris. “Do you have pen?” Jawab saya, “Sorry, I don’t have any”. Hahahaha. Saya masih ingat sampai ke hari ini. Tak bolehkah ditanya saja menggunakan Bahasa Melayu. “Ada pen tak?”. Kan mudah saja. Saya nak jawab pun senang. “Takde”. Hahaha.
Jadi, di hari kedua itu, kami melalui peringkat saringan terlebih dahulu. Daripada empat belas orang peserta kategori A, enam orang terpilih untuk ke final. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Saya tahu, dari segi kreativiti, persembahan saya masih banyak kekurangan. Saya cuma bergantung harap pada bait-bait sajak yang saya hasilkan itu saja. Alhamdulillah. Rupa-rupanya saya berjaya menempatkan diri sebagai finalis. Saya memaklumkan ayah tentang berita ini dan pada keesokan harinya, ayah datang ke Angkasapuri menyaksikan pertandingan peringkat akhir itu. Pertandingan itu juga disiarkan secara langsung di TV1.
Saya masih ingat lagi, lima orang peserta katergori A yang lain masing-masing sajak mereka adalah hasil karya guru mereka. Saya memang sudah lemah semangat di situ. Karya mereka jauh lebih bertenaga jika hendak dibandingkan dengan saya. Tidak mengapalah. Bagi saya, ini pengalaman pertama saya dalam arena ini. Kalah menang bukan isunya. Yang penting usaha itu ada dan pengalaman telah dapat saya kutip.
Untuk persembahan di peringkat akhir, kami mendeklamasikan sajak dengan diiringi tiupan seruling oleh Abang Zali. Siapa masih ingat rancangan kanak-kanak di Tv1 bersama Kak Yong, pasti mengenali Abang Zali. Untuk menambah rencah persembahan, di permulaannya saya introkan dengan bait-bait lagu Bahtera Merdeka. Dua rangkap saja. Nanti pitching lari, padan muka. Huhu. Dan di penyudahnya, saya laungkan kata-kata Aku Anak Merdeka itu sepenuh rasa. Meremang jugalah bulu roma bila diingatkan. Hehe.
Keputusan di peringkat kebangsaan diumumkan selepas selesai kesemua dua belas orang peserta kedua-dua kategori mendeklamasikan sajak. Saya tidak berjaya mendapat tempat pertama, kedua mahupun ketiga. Saya tidak sedih. Seperti yang saya nyatakan tadi, saya tahu saya berada di level yang mana.
Bila pulang ke sekolah, cikgu-cikgu tertunggu-tunggu siaran ulangan pertandingan itu di TV Pendidikan. Pihak sekolah juga dibekalkan dengan pita video oleh pihak RTM. Saya masih ingat reaksi cikgu Kemahiran Hidup saya ketika itu, Cikgu Sopian, “Masuk TV awok yek Sarah”. Haha. Itu pula yang menjadi isunya. Hehehe.
Apa yang lebih penting, di pertandingan itu saya belajar mengenali ragam warganegara Malaysia. Siapa yang benar-benar menghargai bahasa dan siapa yang kurang ambil kisah. Dan bertitik tolak dari situlah saya mula menulis sajak demi sajak. Sebaik tamat SPM pada tahun 2002, saya mempunyai tiga buah buku sajak peribadi.
Bukan senang nak berjaya. Saya akui kata-kata ini. Bila dikenangkan semula apa yang saya lakukan untuk ke peringkat negeri dulu, saya terbayang-bayang, akan adakah lagi orang di zaman ini melakukan seperti apa yang telah saya lakukan. Kerja gila sungguh. Penuh kedhaifan! Bukti betapa kampung tak kampungnya saya. Itulah yang dapat saya simpulkan. Hahaha. Nasib baiklah kotak muzik emak saya itu tidak memainkan lagu Fur Elise ke, How Do I Begin ke. Kalau tidak, akan mencipta rekod sejaralah saya bilamana mendeklamasikan sajak kemerdekaan berlatarkan lagu romantik klasik dunia! Hahaha.
Nota 1: Saya dapat baucer buku DBP berharga RM50, duit RM150 dan seutas jam tangan. Saya tebus baucer itu dengan membeli sebuah Kamus Dewan yang besar gedabak itu. Sehingga kini ia masih elok rapi cantik berseri di atas almari. Amat berjasa di zaman kegemilangan saya dalam bahas dulu.
Nota 2: Kasihannya pada kamu semua kena baca entri panjang berjela ni. Padahal tak bermanfaat mana pun. Buang masa je. Err… Rasanya macam ni rekod entri terpanjang je.
Nota 3: Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak buat pengunjung yang masih sudi bertandang ke sini walaupun saya jarang update. Dan terima kasih juga buat semua yang membuat pautan ke blog ini. Kalau saya merepek meraban tu, maaf je la ye. Inilah sindrom orang menganggur.
Salam Angah,
Serius, saya sebak bila baca ni.. usaha sendiri yang begitu kreatif dan satu pencapaian yang cemerlang!
Tahniah (walau pun sudah terlewat 10 tahun)!!
::truemax
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:08 pm
Salam Truemax.
Huhu. Ini patutnya jadi entri yang funny tapi ada yang sebak pulak. Adeh. Kan ke funny bila rekod lagu tu guna kaset yang dah berguna lepas tu tape semula guna radio. Huhuhu. Lagu music box pulak tu.
Reply
sebak baca entri ni. tapi sarah mmg kreatif, kelakar pon ada π
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:12 pm
Alamak. Buang sebak jauh2. Entri ni patut dibaca dengan gelak tawa sebab apa ke halnya la budak senget ni pergi rekod lagu tu guna music box. π
Reply
Hihihi.. kreatif lah!! π
sebab tu boleh menang.
Noi dulu rajin tulis lirik lagu je, lekat kat scrapbook.
Tulis puisi? Ada lah jugak, tapi memang langsung tak best!!! Tak berbakat, mungkin. Hihihi.
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:15 pm
Noi, saya pun tulis lirik lagu. Hihi. Ada satu lirik yang saya tulis bersama kawan saya digunakan oleh Noraniza Idris π Actually, lirik lagu juga sebahagian daripada seni puisi. Cuma puisi (sajak) lebih puitis dan ada tatacara bahasanya yang tersendiri. Untuk lirik lagu, gaya bahaya lebih santai dan bebas. Kan? π
Reply
Salam anak merdeka..
Pengalaman yang luarbiasa!!
PS: Apa kata sisipkan puisi ‘AKU ANAK MERDEKA’ dalam entri yang akan datang..!!
Sempena BULAN KEMERDEKAAN yang akan menjelang tiba..
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:16 pm
Saya kena cari dulu yang orginalnya di mana. Buku masih tak tersusun dengan baik lagi ni. Ada yang dalam kotak lagi. Huhu.
Reply
Anda dikurniakan Allah sebagai seorang yang bijak sejak kecil. Alhamdullilah.
ps:sejak kecil sedang2 jer. Alhamdullilah.
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:17 pm
Takde la bijak pun. Tapi waktu tu yang tepatnya ialah terdesak.
Reply
Ya Allah, bermakna betul pengalaman Kak Sarah ni. Daripada mencuba nasib hingga berjaya ke peringkat antarabangsa!
Makin lama makin kagum Saffa dengan Kak Sarah ni! hehe..
Dulu Saffa selalu jugak masuk deklamsi sajak ni. Masa lower form.. tapi tak ada bakat ; berhenti macam tu je lah.
Bila ingat balik, rasa macam nak gelak sangat-sangat. Kelakar lah cara saffa deklamasi sajak nih! =.=”
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:20 pm
Saffa, jangan tengok cara orang lain deklamasikan sajak. Setiap orang ada gaya dan intonasi yang tersendiri. PErnah tengok Pyan Habib deklamasi sajak? Hehe. Penuh unik dan tersendiri. Kalau ada peluang nanti, cuba la berjinak semula ye π
Reply
Saffa Reply:
July 30th, 2009 at 10:03 pm
Pernah baca pasal Pyan Habib dalam blog. Tapi tak pernah dengar la plak.. Berjinak semula? Entah la… π
Reply
* Eyh! Peringkat kebangsaan… =P
Reply
Salam Sarah,
Biarlah entry sarah tu panjang, tapi seronok dibaca….
mie suka betul baca pasal pengalaman sarah taw,
sebab cara sarah sampaikan tu buat pembaca rasa mcm kitorang pun ada kat situ…
chaiyok sarah!!!
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:21 pm
Salam Mie. Hihi. Kalau macam tu, saya kena belajar tulis entri pendek tapi boleh buat orang rasa berada bersama saya pulak la. Baru la berjaya buat perubahan maksudnya tu. Sebab yang nyatanya, kalau saya menulis panjang2 ni, saya pun ada melalut menyimpang sini sana. Haha.
Reply
baca cerita sarah macam baca novel yang jual kat kedai tu.
cuma ceritanya pendek saje.
tapi amat menarik.
kalau sarah tulis pendek,tak puas rasanya nak baca…
*pembaca senyap
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:24 pm
Alaaa Inna ni. Mana sama tau. Yang novel2 tu ayat best2 je. Tersusun je. Terasa dramatik je. Saya tak reti buat gitu.
Sebenarnya kan, bukan saya sengaja nak tulis panjang2. Tapi sebab saya memang tak reti nak tulis pendek2. Hahah. Kalau boleh semua benda saya nak elaborate nak bagi orang faham. Nasib baik Kertas 2 Bahasa Melayu dulu tak lebih patah perkataan. Kalau tak, naya saya. π
Reply
Salam Dr Sarah,
alhamdulillah, saya baru berkesempatan menjengah.
Panjang ceritanya … tapi memang hebat dan
mengharukan.
Kecik-kecik dah berbakat besar, patutlah….
Baru-baru ni (semasa ambik Hadiah Sastera Islam XII) saya jumpa Fadh Radzy. Alhamdulillah,
taklah sombong macam Faisal tu, memang tak mau
tegur langsung. Adakah jurang antara penulis TUA
dengan penulis Muda? (Tak patut).
Fadh Radzy mesra dan peramah. Lega sikit hati saya.
Dia boleh maju dan terus maju. Kan kata orang,
Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Sampai bila menganggur tu?
Salam,
AMINHAD
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:29 pm
Salam Saudara Amin.
Jujurnya, saya kurang berkenan dengan idealogi Faisal. Jadi saya kurang membaca blog dia. Tapi saya tahu ramai yang mengikuti ideologi dia termasuk ideologi dia tentang penulisan. Kadang2 saya rasa cara dia menulis terlalu retorik. Huhu. Sesedap hati je saya kata macam tu. Dan saya tak kenal dia secara peribadi. Jadi agak terkejut jugalah bila baca apa yang saudara cerita ni.
Pasal Fahd Razy, fuh, saya memang hormatkan dia. Dia memang bagus. Walaupun tak pernah pun jumpa dia, tapi setakat berkomunikasi dalam GKLN (yahoogroup kami semua), dia cukup humble dan suka berkongsi ilmu. Dan dia memang tak penat nak mengajar dan mendidik orang lain supaya tak segan mencuba nasib. Dia memang bagus. Tak pelik bila saudara puji dia.
Sekali lagi, tahniah atas kejayaan hari tu!
p/s: Nak tak antologi yang terbaru ni? Nanti kalau dah sampai, saya kirimkan melalui adik saudara saya lagi ok. Hehe.
Reply
Salam….
Memang panjang la Sarah….Saya sempat baca smpai sini je…”……Cuba bayangkan. Kalaulah saya masuk Pejabat Pos di sini dan sambil menunggu giliran saya dapat melihat paparan sejarah di kaca TV bukankah bagus? Ok. Menyimpang jauh sangat pula. Kembali ke cerita asal.”
Apa kata diselitkan dengan slot hukum-hakam, adap berpakaian, dan sebagainya lah untuk mewujudkan masyarakat yang patuh akan suruhan Allah swt. Klu takpun pasang rakaman siaran mari bertarranum atau mari mengaji atau hafazan al-Quran(TV1, 6.30ptg).
Sekian, nnt ada masa smbg balik novel Sarah ni…. π π π
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:30 pm
Siap kena baca berepisod-episod pulak ye. π
Reply
SarahBolehTauSiapa Saya.. Reply:
July 31st, 2009 at 12:58 am
jd drama bersiri ganti “Nur Kasih”…. π π π
yeye, esok balik kg…..tp mlm ni xblh nak tido la plak…. π― π― π―
Reply
salam…
entry sarah walaupun panjang – sedap di baca. rasa seronok sahaja. kalau entry pendek2 memang rasa tak puas saja. selalu harap sarah akan tulis pajang2 begini. (‘_’)
apapun. kisah ini. sedikit sebanyak ada persamaan semasa saya mewakili kuala lipis ke pertandingan kuiz kesihatan di mana rata2 pesertanya adalah budak2 bandar yang cakap speaking berabuk dan ada sedikit ek. hehehe… cuma kami berempat sahaja datang dari sekolah luar bandar yang langsung tidak dikenali, dan comot pula… apapun, semasa itu ALHAMDULILLAH kami mendapat tempat kedua.
begitulah.
salam…
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:32 pm
Salam Hanis.
Alamak. Nak entri yang panjang2 ye? Nampaknya memang jarang2 la saya akan update blog. Sebab bila entri dah panjang2, saya biarkan beberapa hari baru saya update.
Ooo. Asal Kuala Lipis ke. Itulah kan. Pelik dengan keadaan rakyat Malaysia sekarang ni. Tu baru Pahang je tu. Kalau satu Malaysia, masya Allah. Naik tebal telinga dengar English berhabuk diorang. Hihi. Tapi kalau dalam kuiz sains ke, fizik ke, kimia ke, saya boleh terima jugak la. Hehe.
Reply
assalaamu’alaikum,
sarah, nama cikgu tu sebenarnya cikgu zul ke
atau cikgu zubir…?
sebab biasanya cikgu zubir yang mengajar muzik
di skbt dulu,,,
Reply
ruhana Reply:
July 30th, 2009 at 7:58 pm
cikgu zubir pernah mengajar muzik
kelas kitorang,,, cikgu saya,,,
emangnya panjang banget entri loe kali ni
tapi bermanfaat juga deh,,,
Reply
ruhana Reply:
July 30th, 2009 at 8:11 pm
sarah, betul ke kisah ni masa tingkatan 2
sebab cikgu sopian ajar kita KH masa kita
tingkatan 3 kan,,,
Reply
Sarah Reply:
July 30th, 2009 at 9:35 pm
Ye kot nama dia Cikgu Zubir. Saya tak ingat sebab 2 kali je jumpa dia. Memang cerita ni jadi tahun 1999 la. Waktu tu tingkatan 2. Mesti la saya ingat. Sengaja je saya tulis Cikgu Sopian tu cikgu KH kita walaupun dia tak ajar pun kita lagi waktu tu. Tapi malas nak terang panjang lebar dah, saya terus ringkaskan je. After all, he is a KH teacher. Saya rapat dengan Cikgu Pian. Tu sebab tulis je terus macam tu. Senang cerita.
Reply
ruhana Reply:
July 31st, 2009 at 11:42 am
mmm,, dah agak dah jugak awak sengaje je tulis,,,
eh sarah, kira-kiranya sepatutnya awak la ye yg dapat no. 1,
sebab 5 orang yang lain tu tak aci, sebab cikgu diorang yang
buatkan sajak..
Reply
angah,
indescribable.
superb!!
π
Reply
salam sarah..
dapat la mata akak bersenam tgh2 malam ni baca entry panjang ni.. π
ehm..akak pun duduk sini org dok tanya. dah boleh cakap slang british ka..? kalau boleh nak je cakap melayu dgn mereka.
Reply
Orang-orang bijak ni memang sudah sedia matang sejak dari kecik kan?
Rasa seronok baca entry sarah setiap hari walaupun sarah tak update setiap hari….teruskanlah menulis…..lagi panjang lagi bagus.. π
Reply
salam sarah,
wah.mcm tak percaya sis berjaya habiskan entri sarah ni.tanpa rasa mengantuk pon.sebaliknya ekcited nak tahu perenggan seterusnya.sarah budak kampung.sis pun budak kampung.sis sendiri agak naif bila masa form 1 dapat masuk sekolah kat bandar.semua org pandai english.sis aje manglish…heheheheh.
Reply
Sarah, sebak akak membaca entry ini. Teringat zaman kanak2 akak yang serba kekurangan. Mesti ibu dan ayah Sarah bangga dengan semangat Sarah.
Reply
assalamualaikum………..
salam perkenalan………..
entri yang agak menarik……….
teringat masa kecil-kecil dulu, oleh kerana tiada duit nak beli kaset, sanggup duduk di hadapan televisyen………
kemudian tekapkan alat recorder di tepi speaker untuk rakam lagu tersebut……….
apapun, tahniah kerana menang……….
agak lucu dan terharu bila baca entri ni……..
Reply
kak sarah,the good old days skang ader balik kat ntv 7 kul 1.30..hehehe..sy pun suka citer tue..
Reply