Isikan Biar Terisi

Assalamualaikum wbt

Akhir-akhir ini, di saat hidup orang lain di sekeliling saya semakin terisi, saya rasa hidup saya semakin kosong. Sangat kosong. Balik dari kerja, saya makan nasi sambil menghadap TV dan kemudian terus menuju ke bilik dan tidur. Komunikasi hampir zero. Fantasi lebih aktif berbanding aktiviti lisan. Diam memang teman saya.

Tertekan dengan kawan-kawan yang kuat membuli di tempat kerja pun satu lagi halnya. Tak pernah-pernah saya mengamuk, baru-baru ini habis saya hentak-hentak steering kereta kerana marahkan seseorang. Tapi bila berhadapan, semua itu tak terluahkan. Terpaksalah saya menjadi mangsa buli di tempat kerja. Dikerah melakukan apa yang tak perlu dilakukan pun. Cuti sayapun lebur begitu saja. Sehingga saya terlepas mengikuti perkara-perkara penting dalam keluarga. Termasuklah sebuah episod istimewa untuk emak dan ayah.

Tak apalah. Hidup ini, ada ubi ada batas. Tiba suatu hari nanti, semua ini pasti terbalas.

Cara saya menghiburkan hati, saya mendengar Radio Klasik Nasional setiap pagi. Saya boleh tersenyum seorang mendengar lirik lagu dulu-dulu. Ada satu lagu yang hari-hari menitir di bibir saya. Gurindam. Datin Rafeah Buang. Selalunya, saya turut bergurindam sama seiring dengan dendangan radio.

“Langit cerah awan membiru, di dinihari embun pun jatuh, sakit menanggung rindu, di dalam air, di dalam air badan berpeluh.”

Gurindam lama memang dahsyat. Metafora berganda-ganda. Sampaikan di dalam air pun badan boleh berpeluh, ya. Indahnya, indahnya.

Kalau ada caranya, saya mahu jalan cerita hidup ini berubah. Menjadi penuh semula. Menjadi ada daripada tiada apa-apa. Jangan kosong. Isikan biar terisi. Yang kosong mudah dibisiki syaitan dan nafsu. Yang kosong mudah dibelenggu sadis dan jemu.

Nota: Saya post call. Wajib tidur sekarang walaupun baru pukul 9 lebih. Menguap tak sudah-sudah dah ni. Hmm… Inilah hidup saya setiap hari. Selamat malam Malaya.

Posted on December 7th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Comel

Assalamualaikum wbt

Sebenarnya, seronok bekerja di klinik. Saya menikmati masa bekerja seperti orang pejabat. Boleh bertolak lambat dari rumah. Sempat bersarapan bersama kakak dan ayah. Di sebelah petangnya boleh pulang awal ke rumah. Cuma waktu sesi bertemu pesakit, memang kepenatanlah. Dalam sehari, hampir 70 orang pesakit yang datang untuk temujanji.

Balik saja dari kerja petang semalam, saya keluar makan bersama keluarga. Memang makan besarlah. Ayah yang memilih tempat makan. Malam tadi, kami menyuruh Lan yang membaca doa makan. Elok saja dia selesai membaca doa makan, habis semua orang mengucapkan syukur sambil tergelak-gelak. Huishhh. Kalau nak tahu, inilah adik yang paling keras kepala. Jadi, bila dia boleh mengetuai baca doa untuk kami semua, semua pun berkata: Sejuk perut emak mengandung. Hahahaha. Selesai makan, habis semua orang tersandar kekenyangan. Tapi emak dan Nan tiadalah bersama untuk kali ini. Kami hantar MMS sajalah kepada mereka.

Selesai makan, saya bersama Kaklong, Adi dan Adam pergi ke Lurah Semantan. Mulanya sekadar berhajat hendak mengisi minyak kereta. Tapi ternampak ada Bazar Raya pula. Kami pun singgah. Dan tak semena-mena saya telah membeli beberapa bekas kuih raya. Hahaha. Nampak sangat saya kemaruk tak beraya dulu.

Baru sekejap tadi, emak baru sampai dari Kuala Lumpur. Kursusnya sudah tamat. Nan yang membawa emak pulang. Nan sudah mula bercuti. Dan, mulai petang ini, saya juga mula bercuti raya sehingga Ahad ini! Kami sekeluarga akan pulang ke Pulang Pinang untuk Raya Haji kali ini. Tak sabarnya hendak balik kampung. Dan saya sangat gembira sebab saya akhirnya dapat bercuti dengan senang hati selama empat hari.

Oh ya. Alhamdulillah. Gaji saya sudah masuk. Bolehlah buat saya tersenyum dan terharu. Kalau dulu setiap tiga bulan saya menerima duit biasiswa JPA. Kali ini, bila saya melihat nilai yang tertera pada buku bank saya yang dikemaskinikan, saya betul-betul terharu. Saya perlu bekerja susah-payah selama tiga bulan ini, dan apabila melihat jumlah yang ada, siapalah yang tak terharu, kan.

Ok. Malam ini hendak berbual-bual dengan puas bersama emak dan Kaklong. Esok pagi kami sekeluarga akan bertolak balik. Kalau ada sesiapa yang terserempak dengan saya di mana-mana, tegur-tegulah ya. Nanti kita bersiaran dari Penang pula dengan entri bergambar berlatarkan bendang dan kampung nan permai.

Aik. Kenapa tajuk entri ni comel? Sebab Dr. A kata, muka saya ni macam orang yang blur sikit tapi comel. Ngeheee~ Ok ok. Tak menarik pun. Tak menarik pun. Mari pergi makan kuih raya ramai-ramai.

Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua. 🙂

Nota: Baru je dapat gaji, spect pula patah. Melebur duit. Power pun makin naik. Huhu. :cool:

Posted on November 25th, 2009 by Sarah  |  40 Comments »

Catatan Di Hujung Minggu

Assalamualaikum wbt

Hari Rabu lepas, saya perlu membuat pembentangan ketika CME jabatan saya. Kiranya, Ketua Jabatan, semua pakar, MO dan HO berkumpul waktu itu di dalam bilik yang sama. Sebelum tibanya hari Rabu tu, setiap malam saya tunggang terbalik menyiapkan slide presentation. Punyalah tertekan. Saya buat setakat yang saya mampu saja. Tak kuasa saya nak buat sesempurna mungkin. Sudahlah penat balik kerja. Malam kena berjaga nak siapkan segala mak nenek powerpoint tu pula. Tertekan betul jiwa raga waktu itu.

Elok saja selesai pembentangan saya, malam itu selepas saja Maghrib, saya sudah tidur. Mana tidaknya. Malam sebelumnya itu, saya tidur sekitar satu jam saja. Sudah macam on call pula tapi berada di rumah. Memang mengganggu kualiti hidup betul rutin membuat pembentangan bergilir-gilir ni. Saya cukup tak suka betul. Tak tahulah kenapa. Saya memang tak berkenan bila kena hadiri mesyuarat itu ini sedangkan pada masa yang sama, di wad masih ada banyak kerja yang perlu diselesaikan oleh kami yang HO-HO ni. Yang atas-atas tiada hallah, kan. Suruh saja itu ini. Yang melaksanakannya siapa lagi. Jadi, bila masa telah diperuntukkan untuk hal lain hampir dua jam, sudahnya kena balik lambatlah petang itu. Huhu. Merungut macam mak nenek pula saya ni.

Tapi selepas habis giliran saya membuat pembentangan Rabu lalu, saya rasa MERDEKA. Lepas ini saya sudah tidak perlu serabut-serabut fikir perlu menyediakan powerpoint slide lah, perlu buat research lah. Tak kuasa betul saya. Huhu. Nampak sangat saya memang tidak boleh bekerja di bahagian R&D, kan.

Sekarang saya sudah dipindahkan lagi ke wad lain. Bukan lagi di wad tingkat atas. Saya sudah berada di wad ketiga untuk jabatan saya. Selepas ini, saya akan bertugas di periferi pula. Nampaknya, tempoh saya di Medical sudah tidak lama. Tinggal sebulan lebih sikit saja lagi. Selepas ini ke manalah pula saya. Tapi cuak sungguh ni. Ada final assessment. Matilah saya kalau dalam otak input macam setitis air laut saja. Ada potensi kena extend (dipanjangkan tempoh posting) nampak gayanya ni. T_____T Tapi nauzubillah. Harapnya segalanya dipermudahkan Allah.

Tapi Alhamdulillah. Sekarang ni, datanglah segala apa dugaan pun, saya layankan saja. Tak kuasa dah nak fikir-fikir sangat atau nak tertekan ke apa dengan semua tekanan luaran yang ada di tempat kerja. Target saya, saya kerja dengan senang hati, prestasi kerja saya baik, selesai semua kerja tepat pada masanya, setiap hari ada peningkatan, mesti belajar benda baru paling kurang tiga perkara sehari, balik dengan lapang hati, sampai rumah makan nasi dan lepas Maghrib terus tidur. HAHAHAHA.

Yang sebetulnya, baru tiga kali saya pernah makan nasi di kafe hospital. Selebihnya, saya memang makan nasi di rumah selepas balik kerja. Nasib malang, pernah saja balik rumah lauk yang tengahari sudah habis dan emak tak merancang hendak memasak untuk malam. Muncung masam kelaparanlah saya. Biasanya hal-hal begini terjadi di hari Jumaat. Tapi lepas itu ayah akan ajak keluar pergi makan atau beli masakan panas di luar dan makan ramai-ramai di rumah. Huhu.

Apabila hidup sudah stabil begini, selera makan saya pun semakin menjadi-jadi. Sehari kalau tak dapat nasi, boleh kebulur saya dibuatnya. Saya tidak makan benda lain ketika seharian bekerja. Saya hanya membawa bekal sebotol air masak. Jadi saya sangat memerlukan nasi. Dan disebabkan terlalu letih, waktu makan nasi senja tu di rumah sambil menghadap Discovery Channel ke apa, saya boleh terlelap! Kadang-kadang tu, sampai kering jari baru saya tersedar: Eh eh, tertidur ke tadi? Hahahaha.

Tapi, setakat ni, masih tidak berapa ketaralah yang badan saya sudah naik semula. Huhuh. Seingat saya, sewaktu saya mengenakan jeans saya yang selalu dipakai ketika di Moscow dulu, saya kena belit tali pinggang sampai selilit setengah. Kena selit di bahagian belakang. Punyalah kerempeng rasa pinggang. Huhu. Jam tangan yang diketatkan sebelum kerja dulu, sangat longgar berputar-putar di pergelangan tangan. Maksudnya, tidaklah naik sangat lagi, kan. Maksudnya boleh makan nasi lagilah, kan. Hehe.

Entri hari ini sangatlah carca merba, kan. Semalam saya on call. Tengahari tadi, saya balik rumah terus makan nasi. Tapi tertidur pula ketika sedang makan. Selesai Zohor terus masuk bilik, turunkan langsir dan tidur. Cuaca pula mendung. Memang asyik sungguh tidur. Saya hanya terjaga sebaik emak dan ayah saya sampai dari Kuala Lumpur. Oh ya. Tahniah untuk adik saya, Adnan. Tak payahlah cerita dulu sebab apa tahniah-tahniah ke dia ya. Suatu hari nanti baru saya cerita bila sudah ada mood.

Oh ya. Hari tu saya ada mendapat pangilan telefon ketika di hospital. Nombor hospital sayalah. Saya terus menjawab sebab saya bertugas di Day Care pada hari itu. Rupa-rupanya ada seorang warga kerja hospital ini yang bertugas di bahagian operator yang mengikuti blog ini. Tanyanya: Doktor, bila nak update blog? Bila nak sambung cerita pasal Dr. A? Hahahaha. Nak tergelak saya waktu itu. Sebenarnya, dia menghubungi saya untuk menyambungkan panggilan dari bahagian Klinik Pakar kepada saya.

Hendak tahu cerita pasal Dr. A ya? Haha. Di saat saya ditanya tentang Dr. A tu, sebenarnya dia baru saja membelikan air untuk saya dari kafe. HAHAHA. Yang lagi parah, kami bertugas di wad yang sama sekarang ni. Hahahaha. Baiklah, baiklah. Tak payah tahu sangatlah pasal dia. Saya pun tak faham kenapa dikaitkan dengan dia pula. Sangat tak relevan, ok.

Kerana, tiada siapa yang relevan di hati saya buat masa ini. Adios.

Nota 1: Mahu mengemas bilik yang macam tongkang separuh pecah pula. Terkejut ternampak ada sawang kat tepi almari. HAHAHAHA. Perempuan jenis apa awak ni, Sarah. :mrgreen:

Nota 2: Sejak emak membeli kereta baru, rumah saya seperti mengalami lambakan kereta. Haha. Nak reverse kereta pun dah susah dah sekarang ni. Haiya.

Posted on November 22nd, 2009 by Sarah  |  9 Comments »

Hilang

Assalamualaikum wbt

Malas pula rasanya hendak menyambung cerita di entri lepas. Lagipun, bila cerita disimpan lama-lama, sudah tidak seronok pula jadinya. Lagipun cerita yang tertangguh tu tak penting. Jadi kita boleh abaikan sajalah. Huhu. Mesti ada yang bengang, kan. Ada ke patut cerita separuh-separuh pula.

Saya hendak cerita lain pula kali ni. 5 Novemver lepas, saya on call di wad bawah. Kenanga 14. Keesokan paginya, saya bergegas naik ke wad saya di Kenanga 12. Disebabkan saya sudah lambat untuk memulakan round saya di wad, jadi saya campak saja kesemua barang saya di bilik rehat HO itu. Balik kerja petang itu, saya ke kafe untuk membeli air. Sudah sampai di kaunter hendak membayar air, tengok-tengok beg duit saya tiada. Nasib baik ada Ain dan Muneer (kawan-kawan sama belajar di Moscow dulu) yang beratur di sebelah saya. Muneerlah yang membayarkan air saya dulu.

Saya tidak sedap hati. Tapi saya cuba berbaik sangka. Saya terus balik ke rumah untuk memeriksa sama ada saya ada tertinggal beg duit di rumah. Puas mencari. Tapi memang tiada. Malam itu saya keluar makan bersama ayah dan adik-adik saya. Emak tiada di rumah kerana ada perkhemahan dengan murid-murid sekolahnya. Selepas makan, saya meminta ayah menghantar saya kembali ke hospital untuk memeriksa bilik HO tempat kami semua menyimpan barang. Sedihnya… Memang beg duit saya sudah hilang. DICURI! Menyampah betullah.

Ikutkan, ini sudah kali ketiga beg duit saya dicuri. Tapi, inilah kali pertama saya kehilangan semua barang penting. Saya kehilangan kad pengenalan dan lesen kereta juga! Eiiiii! Ada persamaan di antara ketiga-tiga kes ini. Kesemuanya dicuri oleh pekerja yang mencuci atau membersihkan bilik. Kali pertama dulu di Egypt ketika saya bercuti ke sana. Waktu itu, room service yang mencuri. Saya kehilangan 400 USD waktu itu. Bengang betul, kan.

Kali kedua pula pada tahun lepas. Dicuri oleh pekerja yang membersihkan belakang hostel kami di Moscow. Waktu itu saya sedang mengikuti latihan futsal di kawasan lapang belakang hostel. Yang ini memang bengang tapi ada banyak hikmah yang terjadi. Yang kali ini Radicare pula yang mencuri. Lagilah saya bengang. Sebab habis satu purse itu diambilnya. Dengan kad pengenalannya, lesen memandunya, kad banknya, duitnya. Dan kali ini, saya kehilangan RM400!!!! Bengangnya!!!!!!! Kebetulan sangat saya membawa duit lebih hari itu kerana berhajat hendak pergi servis kereta kakak saya selepas balik kerja. Tapi lain pula jadinya. Geram tahap petala kelapan belas jadinya. Eiiiii… RM400 tu lebih dari cukup untuk belanja sebulan saya tau.

Jadi, hari Sabtu itu, selepas habis kerja tengahari itu, saya terus ke Balai Polis. Sepanjang 24 tahun menjadi orang Temerloh ni, itulah kali pertama saya masuk ke perkarangan Balai Polis itu. Selesai membuat laporan kehilangan kad pengenalan dan barang-barang penting itu, saya dibawa berjumpa dengan inspektor bahagian siasatan ke apa entah. Saya mengikut saja. Dalam kepala, saya membayangkan satu susuk yang berperut ke hadapan sedikit dengan misai tebal dan berwajah garang. Tiba-tiba…

“Jemput masuk, cik. Sila duduk. Sila duduk.” Mak aih. Rupa-rupanya, Tuan Inspektor tu sangatlah muda belia. Dengan pakaian kasualnya tu, cukup syaratlah untuk saya mengatakan dia kacak. Hahahahaha. Malu pula saya dengan diri sendiri dengan apa yang saya bayangkan sebentar tadi. Huhu. Ok ok. Harapnya tiada warga kerja Balai Polis Temerloh yang membaca blog ini. Huhu.

Jadi sekarang ni, saya hanya menggunakan kad pengenalan sementara. Lesen memandu telah siap dibuat baru tapi kad bank masih belum boleh diproses kerana perlu menunggu kad pengenalan betul siap. Nampak gayanya, walaupun sudah ada gaji di penghujung bulan ni, tiada maknanya juga sebab saya tidak boleh mengeluarkan duit dengan bebas. Kena guna buku banklah pula jawabnya. Macamlah saya ni ada masa sangat nak keluar di waktu pejabat untuk ke bank, kan. T____T

Yang paling saya terkilan, saya kehilangan dua benda lagi. Sebentuk cincin emas yang saya letakkan di bahagian zip duit syiling dan kad metro lama saya ketika di Moscow dulu. Cincin itu pemberian emak saya selepas SPM dulu. Saya tanggalkan cincin itu ketika hari pertama bekerja di sini dulu kerana kami tidak boleh memakai cincin ketika bekerja. Terkilan betul saya. Sekarang, saya langsung tiada cincin dah. T___T Kad metro itu pula menyimpan banyak kenangan sepanjang saya berada di Moscow. Dengan kad itulah saya ke hulu- ke hilir suatu masa dulu. Terkilannya…

Nota 1: Sekarang, beg sandang saya yang warna coklat itu sudah kehilangan temannya yang sedondon itu. Saya pakai beg duit buruk-buruk je sekarang.  Kalau ikut hati, nak bunjut-bunjutkan duit dalam sapu tangan je pun cukup dah. Siapa yang curi jugak, memang tak selamatlah hidup dia di dunia ini. Menyusahkan saya je kena keluar masuk Balai Polis sehingga terjumpa Tuan Inspektor muda tu. Haha.

Nota 2: Ok. Nak tulis entri kedua pula. Saya tengah bosan ni. Tu sebab rajin pula nak menulis. :mrgreen:

Posted on November 14th, 2009 by Sarah  |  15 Comments »

Minggu Kuarantin

Assalamualaikum wbt

Ini cerita saya sendiri ditahan di wad. Seboleh mungkin, saya akan meringkaskan cerita ini. Saya hendak tidur awal malam ni. Huhu.

Pada mulanya, saya diberikan MC hanya pada Isnin lepas. Tetapi pada hari Selasa pula, saya diberi lagi dua hari MC kerana keadaan demam, batuk, selsema dan muntah-muntah saya masih belum berkurangan.

Pada hari Rabu itu, saya gagahkan juga diri untuk ke hospital kerana saya tak tahan dengan panggilan-panggilan dan asakan-asakan dari luar yang mengheret saya supaya rasa bersalah kerana bercuti sakit. Haha. Apa punya ayatlah saya tulis ni. Tapi itulah yang saya rasa. Maka, saya bangun awal pagi seperti biasa dan bersiap-siap untuk pergi kerja juga walaupun MC saya masih berbaki satu hari lagi.

Tapi keadaan saya masih lagi lemah pada Subuh itu. Saya terus menghubungi specialist saya. Beliau yang bertanggung jawab ke atas cuti-cuti para HO. Sewaktu saya menghubunginya pada hari sebelumnya, beliau ada menyuruh saya melaporkan keadaan diri saya yang terkini pada keesokan harinya. Sejak hari Selasa lagi beliau sudah mengesyaki sesuatu. Jadi ketika saya menghubunginya, beliau terus mengarahkan saya ditahan di wad pantauan H1N1. Iya. Wad itulah yang saban hari saya kunjungi jika ada prosedur seperti ambil darah atau membuat review pesakit yang positif H1N1. Itu adalah wad isolasi. Specialist saya menyuruh saya terus ke Kecemasan dan dimasukkan ke wad terus dari sana.

Saya pun dengan berat hati dan sedikit menggemparkan rumah di Subuh hari Rabu itu pun mula mengemas sedikit barang untuk dibawa ke wad. Sedih juga rasanya. Saya lebih senang diberikan cuti dan berehat di rumah saja. Setibanya di Kecemasan, periksa itu ini, buat X-ray, ambil darah, tunggu MO datang, periksa-periksa lagi dan terus saya dihantar untuk ke wad. Status saya ialah disyaki. Suspected H1N1. Maka pada saat inilah bermulanya drama Melayu bertajuk Dari Mata Sarah bermula. Tetapi Akif Zamaninya tiada. Hahaha.

Saya memujuk-mujuk MO saya (Saya kan sedang posting di Medical. Yang review kes H1N1 semestinya doktor-doktor dari jabatan saya juga) untuk membenarkan saya dikuarantin di rumah saja. Pujuk punya pujuk sampai bergenang-genanglah juga air mata saya, akhirnya saya dilepaskan untuk balik dan menjalani kuarantin di rumah saja. MC saya dipanjangkan sehingga hari Jumaat untuk melengkapkan lima hari mengambil Tamiflu (antiviral).

Petang Rabu itu, bahagian pentadbiran menelefon menyuruh saya datang pada keesokan harinya untuk sesi bersama Pengarah. Kebetulan, memang pada pagi Khamis saya perlu datang semula ke hospital untuk ujian darah dan throat swab lagi.

Jadi, selepas sesi bersama Pengarah semalam, saya ditahan di wad isolasi itu lagi. Dari 9 pagi sampailah 1 tengahari lebih. Tak larat betul berada di situ. Dah selesai semuanya, saya terus balik. Sepanjang sakit-sakit ni, ayahlah yang menghantar saya ke sana ke mari. Di rumah, saya memang tidur saja. Keluar dari bilik hanya untuk minum, mandi dan menghadap internet. Makan sangat kurang. Saya tidak berselera makan. Kalau boleh makan pun selepas itu pasti muntah. Tapi mujur semakin hari semakin boleh menerima makanan masuk ke tekak. Terasa bertenaga sikit.

Hari ini merupakan hari terakhir saya diberi cuti sakit. Esok sudah mula bertugas kembali. Sebenarnya saya masih belum elok lagi. Memang sudah tidak demam. Tapi batuk saya kong kong kong masih bergema lagi. Macam mana nak mendekati pesakit? Pesakit pun takut tengok saya batuk kuat lagi ni.

Dalam pada sakit-sakit ni, petang tadi saya sempat keluar bertemu kawan-kawan. Saya pakat untuk bertemu Wahida di bandar. Kebetulan Amri hendak bertemu saya untuk menyerahkan sesuatu. Amri datang bersama sepupunya Lope. Sedang duduk-duduk di Old Town, tiba-tiba MO saya yang memberi pelepasan untuk kuarantin di rumah tu masuk ke kedai itu juga. Adoi. Kantoi pula saya di situ. Tapi dia juga kantoi. Hihi. Apa dia? Shhhhh. Biarlah rahsia. 😉

Ok. Itu saja ceritanya. Saya disyaki H1N1. Sudah lima hari saya tidak bekerja. Esok saya akan mula bertugas semula. Baki cuti saya adalah sangat sedikit untuk menghabiskan lagi tiga bulan di sini. Macam mana ni? 🙁 🙁 🙁

Nota: Emak Amri meninggal dunia awal pagi tadi. Emaknya merupakan bekas pesakit saya dua minggu yang lalu. Amri datang untuk menyerahkan sesuatu, hadiah dari arwah emaknya untuk saya. Saya sangat terharu. Al-Fatihah untuk arwah. Semoga arwah ditempatkan bersama para mukminin yang dijanjikan syurga.

Posted on October 9th, 2009 by Sarah  |  17 Comments »