Kisah Di Forensic Medicine

Assalamualaikum wbt

Seperti biasa, Forensic Medicine sentiasa menyajikan sesuatu yang baru untuk tatapan mata. Terlalu banyak perkara mengerikan yang baru kami semua tahu hari ini. Fakta menarik daripada doktor kami tadi, kesemua harta karun yang di bawanya ke kelas tadi adalah koleksi daripada kes sebenar yang kebanyakannya melibatkan skinhead.

Salah satu daripada ayatnya ialah: Setiap daripada skinhead memiliki ini. Sambil tangannya mengangkat satu objek tajam yang kelihatan seperti jarum tetapi saiznya berganda lebih besar. Rupa-rupanya itu ialah busur panah. Mata anak panah. Yang digunakan untuk menikam mangsa ketika serangan dibuat. Dan daripada pengalamannya, setiap mangsa yang mati tidak hanya ditikam dengan satu anak panah sebaliknya kekerapan skinhead menyerang seseorang adalah secara berkumpulan. Jadi, tusukan anak panah pada badan mangsa biasanya melebihi 20 tikaman. Segala yang kami lihat tadi membuatkan kami semua terdiam kerana tidak tahu hendak berkata apa lagi. Sudah puas ooo dan aaa setiap kali baru mengetahui fakta-fakta yang maha dahsyat berkenaan pembunuhan.

Hari ini hari tragis. Terlalu banyak yang kami pelajari tentang mati dibunuh dan membunuh diri. Menarik memang menarik tetapi mencabar ketahanan jiwa untuk bertahan menatap segala apa yang ada di depan mata. Jika minggu lepas ada belajar untuk membuat siasatan ke atas kes liwat, kali ini belajar tentang siasatan ke atas kes rogol pula termasuklah bagaimana untuk membuktikan kes itu benar-benar kes rogol atau cederakan diri sendiri untuk kelihatan seperti dirogol. Secara klinikal, kita dapat membuktikan kes ini.

Saya rasa semenjak kebelakangan ini saya terlalu banyak bercerita tentang kes jenayah yang melibatkan pembuktian secara klinikal. Kes-kes sebegini semuanya teruk-teruk. Tadi di muzium, kami bertanya kepada doktor tentang kewujudan kepala wanita di situ. Apakah kisah di sebaliknya. Menurut doktor itu, wanita itu berasal daripada sebuah keluarga kaya. Selepas berkahwin, suaminya didapati menghilangkan diri dengan segala harta yang dimilikinya. Dan tidak lama kemudian, kepala perempuan tersebut ditemui di dalam sungai. Kepala sahaja. Sudah dapat jawapannya? Bagus.

Ketika saya sampai ke hospital pagi tadi, saya terus masuk ke kelas. Saya bersendirian saja ketika itu. Saya capai tengkorak yang terletak di atas meja saya. Itu tengkorak betul. Dalam kelas kami (ataupun kelas lagi satu), ada banyak tengkorak yang dijadikan alat bantu mengajar. Kebanyakannya ada retak, lubang atau serpih di bahagian occipital ataupun parietalnya.

Saya pakaikan tengkorak yang dipotong secara transverse plane itu ke kepala. Tiba-tiba kawan saya masuk. Saya menyerengih buruk kepadanya. Saya berkata kepadanya: Rugi takde kamera. Kalau tak, boleh ambil gambar saya dengan topi keledar tengkorak ni.

Berani pula saya bermain dengan tulang belulang itu seorang diri ya. Boleh berlakon jadi heroin untuk Cannibal Holocaust ii lah kalau macam ni. Huhu. Ok. Menyimpang topik dah ni. Topik penutup hari ini. Sungguhnya demam itu sungguh tidak menyeronokkan. 🙁

Nota: Semakin seronok pula saya bercerita tentang isu medikal di sini. Jangan takut baca sudahlah ye. Huhu. 😀

Posted on February 16th, 2009 by Sarah  |  28 Comments »

Jumaat Itu Indah

Assalamualaikum wbt

Akhirnya Jumaat tiba juga. Sejak semalam lagi saya tak sabar-sabar menanti tibanya hari ini. Pertamanya kerana bagi orang seperti saya, kehidupan yang terikat dengan rutin hospital memang memenatkan. Apabila sampai di rumah, rehat sekejap dan kemudian sudah mula membuka nota. Sebelah senjanya berhenti makan dan malamnya kembali menyepi di meja dengan nota-nota revisi. Di dalam kepala pula akan terfikir-fikir tentang kelas pada keesokan harinya. Kena membuat persiapan ke kelas lagi. Jadi kitaran tu takkan sudah selagi Jumaat belum tiba.

Keduanya kerana secara peribadi, menelaah pada hari cuti tanpa gangguan perasaan bimbangkan kelas pada keesokan harinya adalah lebih berkualiti. Dari semalam saya tak sudah-sudah menyebut tak sabarnya hendak habiskan kelas hari ni. Mana tidaknya. Malam tadi saya mengalami attention deficit disorder (ADD). Kronik juga. Baru baca seperenggan, fokus dan hilang. Mulalah terfikirkan itu ini.  ADD ini adalah satu masalah yang biasa ditemui di kalangan kanak-kanak. Mereka ini hiperaktif, tidak boleh duduk diam dan hanya boleh bertahan menekun dengan sesuatu perkara itu selama beberapa minit saja. Agaknya, saya ni masih ada aura kanak-kanak dalam jiwa kot.

Syukurnya, hari ini kami mendapat pelepasan awal. Macam bulan jatuh ke riba saja rasanya. Balik rumah, perkara pertama yang saya buat ialah minum air yang dibancuh pagi tadi. Disebabkan terkocoh-kacah hendak ke hospital, air yang masih panas dibancuh pagi tadi tidak sempat dihabiskan. Saya masukkan ke dalam peti. Dan sekarang, perut sudah lapar. Tapi saya tak mahu makan yang berat-berat lagi. Diet protein seperti emakkah? Tidak kot. Saya cuma hendak makan nasi petang nanti saja. Selain nasi, saya tak mahu sentuh. Huhu.

Petang ini bolehlah kembali menghadap nota dengan amannya. Tak perlu memikirkan tentang persediaan kelas. Hendak tahu kenapa untuk posting kali ini, bagi saya persediaan kelas itu merumitkan? Kerana setiap kali saya hendak mendapatkan sumber bacaan tambahan di internet, saya terpaksa melihat banyak gambar autopsi dan pelbagai perkara lain yang menyebabkan jantung saya mengalami palpitation.

Dahsyat sungguh kemelut jiwa yang melanda minda sedar dan separuh sedar saya sekarang. Sampaikan malam tadi, ketika melihat rakaman video autopsi, saya menjeling Fareena yang duduk membelakangi saya semata-mata untuk menyedapkan hati sendiri bahawa masih ada yang berjaga bersama saya di saat itu.

Nota: “Awak cari saya ke?” – “Sepanjang hidup saya, awak.”

Posted on February 13th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »

Keberanian

Assalamualaikum wbt

Di sepanjang hari ini, baik di dewan kuliah atau ketika sesi kelas praktikal yang pertama untuk Forensic Medicine bermula, suasananya memang kelam kabut. Macam-macam terjadi.

Ketika masuk ke muzium khas yang terdapat di hospital tersebut, terkejut juga dibuatnya. Ada banyak simulasi kes jenayah ditempatkan di dalam muzium tersebut. Ada banyak moulage yang merakamkan detik-detik kematian kes-kes menarik. Jadi, ada banyaklah mata yang terbeliak, leher dijerut, lidah terjelir, tulang patah, kulit tersiat, daging terkoyak dan macam-macam lagi.Terbayang-bayanglah juga kiranya saya ni.

Balik dari hospital petang tadi, saya tidak berapa sihat. Makan ubat (dengan sengaja dilebihkan dosnya) dan terus pengsan tidur sampai ke petang. Sebaik segar, terus makan nasi. Mana boleh tak makan nasi dalam sehari. Pengsan semula dibuatnya nanti. Pengsan rindukan nasi. Huhu. Kemudian baru duduk menghadap nota. Saya utamakan ulangkaji untuk State Exam nanti. Persediaan untuk kelas esok sengaja saya letak tepi dulu. Hajatnya hendak mula membaca selepas mandi di tengah malam hari.

Selesai menutup nota ulangkaji, saya mula mencetak nota-nota tambahan yang saya ambil dari internet untuk tajuk hari esok. Tetapi dengan tiba-tiba saya terasa seram. Baru saya sedar bahawa tajuk yang hendak saya baca itu penuh dengan lakaran autopsi dan gambar-gambar yang boleh menyebabkan saya berpusing 360 darjah beberapa kali dalam masa seminit untuk memastikan tiada apa-apa di sekeliling saya. Sampaikan ada satu gambar tu (gambar saja pun, bukannya video atau apa), saya menutup kedua-dua tapak tangan ke muka. Mata hanya melihat skrin dari celah-celah jari saja. Bila gambar dah terpapar sepenuhnya di skrin, ceh, rupanya hanya gambar tali yang digunakan untuk satu kes bunuh diri saja. Saya ingatkan ada gambar orang tergantung sekali. Hahaha. Maka sayapun menggelakkan diri sendiri.

Tadi saya ada membelek update kawan-kawan di Google Reader (Kan dah kata. Saya memang ikuti update kamu semua 🙂 ). Salah satu daripadanya ada menyenaraikan filem-filem seram atau aksi yang ditontonnya kebelakangan ini. Salah satunya ialah Cannibal Holocaust. Saya teringat bahawa saya sudahpun menonton cerita itu. Sebuah filem kisah benar yang sebahagian daripadanya adalah daripada rakaman video asli oleh kumpulan penyiasat yang tak berapa nak cerdik tu.

Banyak unsur ganas, seram dan meloyakan. Saya pernah cerita bahawa saya loya dengan Milo, kan? Ya. Ketika menonton filem ini dulu (Oktober 2004), saya baru sudah minum Milo panas. Sudahnya saya termuntah dua kali. Pertama kerana saya tak tahan dengan Milo tu. Kedua kerana filem itu sendiri yang sangat memualkan.

Kenapa tiba-tiba saya melompat daripada cerita pasal persediaan tajuk hari esok terus ke cerita Cannibal Holocaust tu? Sebenarnya, tadi tiba-tiba saja saya pelik dengan diri sendiri. Dulu saya menonton filem itu seorang diri saja. Dalam bilik seorang-seorang saya saja. Ketika itu saya baru saja memulakan tahun dua saya di sini. Junior yang bakal ditempatkan sebilik dengan saya tiba lewat petang itu dari Malaysia.

Macam mana dulu-dulu saya boleh sangat berani ya? Filem Texas Chainsaw Story pun saya boleh tengok macam tu saja. Sekarang ni, jangankan nak tengok, tertengok trailer pun dah tutup mata. Saya terkena badi agaknya. Huhu. Sekarang ni, daripada saya menonton filem seram bersama housemates, saya lagi rela masuk bawah selimut dan selawat seorang diri bila terdengar bunyi seram jerit-jerit daripada filem yang ditontoni mereka.

Oklah. Panjang pula malam ni. Hampir 30 minit dah. Tamat masa bersama blog. Sekarang masa untuk menatap nota sedikit lagi. Kemudian tidur.

Nota: Saya membaca sedikit tentang latar belakang kerjaya seorang Forensic Pathologist. Mereka yang telah menyambung dalam bidang ini digelar sebagai pemegang Extreme Degree kerana kerjaya ini sememangnya sukar, memerlukan keberanian, kegagahan fizikal, kekuatan mental dan kreatif untuk berfantasi berada di pihak yang melakukan jenayah atau sebagai mangsa. Hebat sungguh otak mereka. Tak pelik doktor saya untuk kelas pertama pagi tadi memang gagah orangnya. Untuk makluman, dia adalah seorang perempuan. Tapi minta maaflah. Ini bukan bidang pilihan saya. 😀

Posted on February 12th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Resmi Hidup

Assalamualaikum wbt

Saya sengaja menyelongkar entri lama di blog lama saya. Saya hendak mencari sajak yang saya kongsikan di situ pada Disember 2007. Kenapa saya ingat ia entri Disember 2007? Sebab ada satu pelajaran hidup yang saya belajar dalam bulan itu. Sajak ini sudah lama saya tulis. Sebelum berlakunya peristiwa yang mengajar diri itu lagi.Saya kira ketika saya menlis sajak ini dulu, ada sesuatu yang saya baru belajar daripada kehidupan pada waktu itu. Jadi saya abadikan dalam bentuk sebuah sajak nasihat begini.

Resmi Hidup

Kalau di hulu sungai ribut laut terasa
padamkanlah pelita kejap
biar suram gelap
tapi terbakar tidak.

Kalau runtuh tanah yang berbukit
pasangkanlah tiang pondok
bertahan mungkin sehari saja
tapi jangan robohnya sekelip mata.

Kalau ada api yang marak panas
lari jauh-jauh, duduk diam-diam
sungguhpun api terpadam tidak
tapi sudah jinak dan hidang abu hitam.

Kalau ada hati dihulur dikongsi
jangan ambil seluruh, simpanlah separuh
terima dengan luhur dan akal
biar kenal budi, baru dikongsi kasih.

Tetapi saya kira saya silap. Saya teralpa dan pengajaran yang saya dapati dulu entah di mana saya cicirkan. Manusia tidak pernahnya lari dari masalah lupa dan alpa. Jadi saya kongsikan sajak ini di sini sekali lagi supaya andai saya lupa lagi, ada yang sudi mendekati untuk menyentap saya kembali.

Nota 1: Bagi yang tak memahami/menghargai sajak/sastera, paling habis jangan mengutuk. Masih ramai lagi yang memahami nilai dan pengajaran yang disampaikan melalui sajak. Kalau rasa memberi nasihat cara ini adalah kuno, saya rasa orang yang berkata tu tak jelas tentang etika dan nilai bahasa. Saya memang Melayu di Moscow. Saya bukan Melayu di Aussie. Yang penting saya tahu menghargai seni bahasa kita dan kiasan nasihat yang terkandung di dalamnya. Ada saya susahkan orang?

Nota 2: Ignorant~

Posted on February 11th, 2009 by Sarah  |  15 Comments »

Sudah-sudahlah

Assalamualaikum wbt

Entah macam mana, hari ini saya terjumpa sesuatu yang memeranjatkan. Ingat cerita Abang Pujaan? Rupanya dia ada blog. Dan kisahnya dia yang terkini, dia bukan sekadar peguam idaman Malaya tapi juga merupakan seorang Computer Geek. Dan dia masih dia yang dulu. Cumanya, dia yang sekarang lebih memenuhi kriteria saya. Oh tidak!

Sebu juga perut bila menjumpai zon-zon larangan yang tak patut saya jumpa ni. Tapi sebak pun ada juga. Dalam hati ada cintakah? Tidak, tidak. Saya ni orang yang dah tiada peluang. Walaupun cinta 100% sekalipun, tak berbalas tiada gunanya kan. Sedih kan bunyinya? Marilah bersedih bersama saya. Tukar ayat. Marilah menyelami perasaan saya. Belikan saya sekotak ais krim untuk mengubah mood saya, boleh?

Tapi saya tetap juga nak kata. Bunyinya macam saya masih memendam perasaan kan? 1/4 mungkin iya. Tapi 3/4 yang lebihnya tu kerana saya gembira dia berjaya dalam hidupnya.

Sarah, tunang orang tu kot ye pun. Kadho-kadholah diri tu sikit. Oklah. Saya cuma nak cerita yang saya gembira dia sudahpun mencapai segala misi dan visi yang diimpikannya dulu. Saya ni jugalah yang masih di pertengahan jalan. Eh tidak. Saya hanya tinggal 1/12 daripada perjalanan saya. Awak tengoklah saya nanti jadi macam mana. Ternganga menyesal oi. Hehe 😉

Sebelum tamat 30 minit untuk hari ini, saya sekadar nak melalut seorang diri sekejap. Kalaulah yang dulu tu tak terjadi, saya rasa dalam masa beberapa bulan daripada sekarang, blog ini penuh dengan cerita persiapan saya hendak berkahwin. Cerita tentang warna temanya. Persiapan hantarannya. Proses mencantikkan rumahlah. Sibuk uruskan urusan kenduri lagi. Seribu satu kerjalah. Tiba-tiba sedang saya berangan ni, ada orang datang menepuk belakang saya. Yang menepuk tu saya juga. Saya yang waras. Saya yang waras tu kata begini:

“Cik Kak. Jangan berkalau-kalau. Buka ruang kepada syaitan.”

Alang-alang saya yang waras dah menegur, mari saya kupaskan sedikit kenapa janganlah kita selalu berkalau-kalau. Bila kita selalu memikirkan kemungkinan yang boleh berlaku kalau kita buat yang selain daripada apa yang dah terjadi, kita membuka ruang diri untuk menyesali takdir dan menyalahkan Yang Berkuasa mengapa membiarkan sesuatu itu terjadi. Jadi, syaitan sangat suka kalau peluang besar diberikan kepanya untuk meragukan hati kita.

Hari ini saya betul-betul nak membebaskan hati saya. Pengetua saya di KISAS dulu selalu menyebut ayat ini: No if, no but. Jadi, saya tiada alasan lagi mengapa saya perlu masih ingat atau berkalau-kalau lagi. Saya kena kadho diri. Hidup itu amatlah indah untuk diterokai secara solo selagi yang boleh. Dah tak boleh nanti baru minta emak ayah carikan.

Emak, ayah, layankan sajalah anakmu ini ye. Muehehe. 😀

Nota 1: Kadho-kadho = Sedor-sedor = Sedar-sedar/sudah-sudahlah tu (loghat Temerloh)

Nota 2: I always admire intelligent talks with good observations and relevant findings. Otherwise, I’ll easily get irritated. I’ve made my point clear. Please respect me.

Posted on February 10th, 2009 by Sarah  |  9 Comments »