Kasut
Assalamualaikum wbt
Apa khabar dunia? Rindunya nak menulis. Padahal baru 36 jam berjauhan dari blog. Gian sungguh nak menulis ni. Memandangkan ayam saya sedang diperap di dapur, baik saya menulis dulu.
Saya melihat trafik keluar masuk blog ini. Lucu pula dibuatnya. Ada yang menemui blog ini menggunakan kata carian ‘hiasan dalaman Bangunan Sultan Abdul Samad’. Sejak bilalah saya menulis tentang hiasan dalaman ya. Mesti encik-encik yang mencari kecewa apabila hanya menemui entri saya keluar bersama teman serumah dulu.Yang lucunya, bukan seorang yang mencari menggunakan kata carian itu. Ada tiga orang. Lebih kurang sajalah susunan ayatnya. Saya rasa, ini mesti budak-budak universiti mana entah ni sedang mencari maklumat yang sama. Jangan dibuat kerja tu dengan memasukkan hiasan dalaman bangunan di Rusia sudahlah ya. 😉
Saya punya Google Reader penuh. Menteil yang jarang update pun berderet-deret dia update kali ni. Jaga Menteil. Masa saya sibuk inilah dia update sekali banyak ye. Diya pun sama. Yang ni lagilah banyak. Ada tiga blog Diya yang sangat aktif dikemaskinikan sejak kebelakangan ini. Ampun ya Menteil dan Diya. Saya tak sempat nak menjenguk blog semua lagi. Buat yang lain juga sama. Kak Inah, Am, Sweet Thinker, Ainul, Thia, Kak Su, Kak Aizal, kawan-kawan di Plurk (Huhuhu. Saya sangat suka dengan komuniti kawan-kawan di Plurk. Mereka memang best!) dan juga semua email yang dikirimkan. Ampun sangat-sangat. Saya tiada masa lagi hendak membaca semuanya.
Hari ini, mari dengar saya cerita mengenai kasut. Dulu sewaktu tadika, datang ke sekolah pakai kasut Bata yang comel-comel tu. Di hujung tahun tu, untuk majlis penyampaian hadiah, setiap pelajar dikehendaki membeli sepasang kasut sekolah saiz sendiri berwarna putih dan diserahkan kepada pihak tadika untuk dibalut. Kedekut sungguh tadika saya waktu tu. Kasut yang sudah dibalut itu kemudian dihadiahkan semula kepada pelajar ketika majlis penyampaian hadiah. Mungkin ini caranya untuk memberi semangat kepada para pelajar untuk melangkah ke alam sekolah rendah. Tapi kena beli sendirilah hadiah tu. Hehe.
Sayangnya, saya bersekolah rendah di sekolah swasta agama. Dari uniform hinggalah kasut kami semuanya berbeza dengan sekolah kebangsaan. Kasut saya berwarna hitam. Jadi, kasut yang dibeli dan dihadiahkan untuk diri sendiri ketika tadika itu tak digunakan untuk sesi persekolahan langsung.
Sewaktu darjah satu, emak membelikan kasut hitam yang boleh digilap. Bukannya kasut hitam jenis kain kanvas. Tapi sebaik naik saja ke darjah tiga, saya dan juga Kaklong sudah mula pandai meminta emak membelikan kasut hitam Pallas Jazz tu saja. Tak payah yang kulit boleh digilap. Ini kerana kami berdua mewakili sekolah dalam bola jaring. Kasut hitam sekolah pun boleh digunakan untuk bermain terus. Tak payah susah-susah hendak membawa kasut salin yang lain pula. Saya berterusan menyukai kasut hitam Pallas Jazz sehingga tamat darjah enam. Orang kata macam lelaki pun saya tak kisah langsung. Maklumlah. Kasut jenis itu bertali. Kawan-kawan rapat yang turut mewakili bola jaring pun memakai kasut yang sama. Tiada nak bersusah payah membawa kasut salin untuk Pendidikan Jasmani ataupun latihan bola jaring.
Naik ke tingkatan satu, buat pertama kalinya saya memakai kasut sekolah berwarna putih. Baru belajar nak mengapur kasut. Hahaha. Terasa janggal juga berkasut putih tapi kira layan sajalah ya. Kali ini, sekali lagi saya mewakili bola jaring untuk pasukan 15 tahun ke bawah. Sepasukan dengan Kaklong. Waktu itu, hampir satu pasukan semuanya menggunakan kasut hitam Pallas Jazz. Yang otai-otai sikit beranilah menggunakan kasut yang nampak macam ganas ala-ala All America warna hitam. Sungguh bagi saya, yang memakai kasut All America hitam bertapak getah warna putih pada ketika itu nampak ganas dan terserlah keotaian mereka. 😈
Naik ke tingkatan dua, saya sudah menjadi pengawas. Jadi, tamatlah riwayat kasut putih. Saya sudah tidak mempunyai sebarang kasut putih sejak itu. Kebetulan, ketika tingkatan tiga juga saya masih menjadi pengawas dan seterusnya ketika melangkah ke KISAS sewaktu tingkatan empat, uniform rasmi kolej ialah kasut hitam yang dipadankan dengan baju-kain putih-biru seperti sekolah harian biasa. Ini juga merupakan kali pertama saya memakai seragam putih-biru ini (sekolah menengah rendah saya berkain hijau gelap).
Sayangnya, sewaktu di KISAS, baik putera atau puteri diwajibkan memakai kasut hitam yang boleh digilap. Siap ada kursus khas mengajar protokol berkasut dan cara-cara menggilapnya oleh pakcik bomba. Kelakar kan? Nak tahu petua menggilap kasut yang terbaik? Kiwikan kasut dan kemudian lalukan di atas api lilin untuk mendapatkan kesan kilatan yang termasyhur di dunia. Hahaha. 😆
Begitulah kisahnya. Hidup saya sejak sekolah rendah sehingga tamat tingkatan lima hanya berkasutkan kasut hitam saja. Jenama yang patut memberi saya dan Kaklong anugerah pelanggan paling setia ialah Pallas Jazz. Setia betul kami menggunakan kasut jenis itu. Kami tak reti nak meminta jenama-jenama lain. Tak tahu jenama pun satu hal juga. Yang saya tahu, walau sedahsyat manapun kasut tu digunakan, baik ke sekolah mahupun untuk bermain bola jaring (juga hoki), pernah saya tidak menukar kasut saya selama dua tahun. Cayalah kan.
Puncanya kerana saya bersama emak dan adik beradik ada menonton sebuah drama arab yang bertajuk Hiza’. Hiza’ maksudnya kasut. Waktu itu saya dalam tingkatan satu. Hiza’ mengisahkan sepasang adik beradik yang hidup susah. Pernah sehingga si adik berlari-lari balik sekolah untuk membolehkan kasutnya diserahkan untuk dipakai oleh si abang pula. Si abang pula asyik didenda kerana lewat tiba ke sekolah. Jadi, si abangnya ni memang hebat berlarilah kan. Hari-hari berlari ke sekolah kerana sudah terlewat. Maka pada suatu hari, abangnya nekad masuk pertandingan rentas desa di bandar itu semata-mata untuk memenangi hadiah yang ditawarkan. Acara itu menawarkan hadiah sepasang kasut putih untuk pemenang tempat kedua. Tahu apa kesudahannya? Walau bersungguh macam manapun si abang untuk menempatkan dirinya di tempat kedua, dia tetap menang sebagai juara. Jadi, Umar, si abang, dan Fatimah, si adik, tidak dapat memiliki hadiah sepasang kasut itu. Sedih menonton drama itu. Menangis-nangis jugalah kami adik beradik. Emak pula asyik menyebut: Ha, tengok tu orang susah macam mana. Jadi, memang terkesanlah hati kami ni kan.
Saya belajar sesuatu daripada drama itu. Kalau kita senang dan mudah saja hendak dapat apa yang kita mahu, jangan kita lupa ada orang yang hidup susah dan bergantung pada apa yang mereka miliki seadanya saja. Mungkin bagi saya dan adik beradik senang saja mahu kasut itu, kasut ini, barang itu, barang ini. Tapi kami lupa bahawa ramai lagi orang di kampung saya itu yang susah. Yang masih menerima sumbangan Baitulmal. Yang layak menerima wang fidhyah dan lain-lain.
Perkara ini realiti, kan? Di mana-mana saja masih ada lagi orang yang dhaif. Kalau kita rasa kita berada dalam zon selesa kita, berpada-padalah dalam hidup sebagai tanda kita meneladani kesusahan mereka. Dan jangan lupa kita ada tanggung jawab yang perlu dilunaskan untuk mereka. Melalui zakat. Ahha. Kali ini saya tolong Acai pula. Siapa nak bayar zakat, boleh jumpa Acai ya. Dengan wajah tersenyum dia sanggup melayan encik-encik dan puan-puan sekelian. Yang bujang-bujang pun dia layan dengan mesra tau. 😉
Nota 1: Insya Allah ada masa saya akan melawat blog semua.
Nota 2: Tadi terserempak dengan Annas jejaka Syria itu. Dia malu, saya lagilah malu. Hihik. 😳 Lama dah tak nampak dia sebenarnya walaupun rumah kami ni selang dua pintu saja. 😉

