Amal Dan Niat
Assalamualaikum wbt
“Daripada Umar R.A katanya, Rasulullah S.A.W telah bersabda: Sesungguhnya tiap-tiap suatu perkara itu bergantung kepada niat. Bagi seseorang itu apa yang telah diniatkannya. Jika hijrahnya adalah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Jika hijrahnya adalah kerana dunia atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah berdasarkan apa yang diniatkannya.”
2010 akan berlalu. Sekejap sungguh saya rasakan tahun ini. Memang seperti sebulan sahaja tempohnya. Biasanya saya memasang niat dan azam setiap kali Maal Hijrah dan hanya azam-azam berbentuk kerjaya dan perancangan peribadi yang saya tetapkan mengikut kalendar Masihi. Tapi disebabkan memang tidak sempat hendak menulis ketika Maal Hijrah yang lalu, saya rangkumkan muhasabah diri 2010 di sini beserta niat dan azam untuk 1432 Hijrah dan 2011. Semoga Allah redha.
Alhamdulillah, dari segi kerjaya, saya semakin stabil. Saya akui masih ada kekurangan di beberapa aspek tapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pencapaian saya pada tahun ini. Sepanjang 2010, saya sempat berada di Jabatan Orthopedic, Paediatric dan O&G. Orthopedic bukanlah bidang pilihan saya. Memang tak minatlah. Tapi saya bersyukur sebab telah melaluinya dengan, saya kira, agak baik. Cuma mungkin bidang tugasnya tidak sesuai untuk yang saya bertubuh kecil, saya tidak terfikir hendak menyambung dalam bidang ini. Saya masih teringat pengalaman oncall dan membuat prosedur Above Knee Amputation (AKA) untuk seorang pesakit yang beratnya 125 kg. Sebaiknya kakinya diputuskan di bahagian peha dan saya perlu mengangkat bahagian yang telah dipotong itu untuk diletakkan ke tepi, masya Allah. Senak saya dibuatnya. Berat Ya Rabbi. Hampir-hampir saja bahagian itu terlepas daripada tangan saya kerana terlalu berat. Saya rasa beratnya lagi sikit hampir menyamai berat saya. Saya rasa mesti berkerut muka saya ketika itu.Saya harap selepas ini saya tidak perlu melalui pengalaman sebegitu lagi.
Jabatan Paediatric pula sangat memenatkan. Menguji ketahanan mental dan fizikal. Pernah dalam sebulan tu saya oncall sebanyak 13 kali. Maksudnya apa? Iya. Setiap selang sehari saya oncall. Emak kata, rumah ini ibarat hotel saja untuk saya. Saya hanya sempat pulang untuk mandi, tidur, keesokan paginya bangun, mandi, keluarkan baju kotor daripada beg oncall, pergi kerja dan oncall, esoknya balik rumah sudah senja, penat, kemudian tidur, dan berulanglah kitaran hidup saya selama sebulan. Itu sekitar bulan Julai kalau tidak silap. Ditambah pula hati sedang bermujahadah, terasa sangat hebat ujian waktu itu. Terasa masa berlalu dengan sangat lambat.
Di Jabatan O&G pula, saya rasakan ketenangan. Mungkin kerana ini bidang yang saya minat. Minat sangat. Walau oncall sibuk yang teramat sangat pun saya tidak kisah kerana saya minat dengan bidang kerja saya. Tapi apakan daya. Kalau kita minat separuh mati sekalipun tapi orang tak nampak minat dan kesungguhan kita ni, tak ke mana juga, kan. Tiba-tiba teringat pengisian usrah beberapa minggu lepas. Topik yang dibincangkan: Allah tak pandang hasilnya. Allah pandang pada usaha kita. Ok. Muhasabah diri semula. Apapun juga nilaian orang terhadap saya, saya dah jadi tak kisah. Yang penting, saya dah usaha yang sebaik mungkin. Walaupun saya agak stress dalam menghadapi hari-hari terakhir di jabatan ini, tapi saya bersyukur kerana walaupun saya masih seorang HO, tapi saya sudah dua kali berpeluang membuat Caesarean Section sepenuhnya dengan dipantau oleh MO saya! Dari skin incision sampailah ke skin closure. Alhamdulillah! Kenapa MO saya bagi saya peluang ini walaupun sebenarnya ini bidang tugas seorang MO? Kerana MO saya tahu saya berniat untuk menyambung dalam O&G. Amin. Semoga dipermudahkan!
Cukup refleksi tentang kerja. Sedikit refleksi tentang keluarga. Alhamdulillah, dalam tahun ini emak dan ayah telah menerima dua orang menantu. Kaklong telahpun mendirikan rumah tangga dengan Abang Hashim di penghujung Mei lalu dan Nan pula baru saja mendirikan rumah tangga dengan Farah di pertengahan Desimber baru-baru ini. Dua rezeki besar untuk keluarga. Saya bersyukur saya tinggal bersama emak ayah di rumah. Setidak-tidaknya, saya dapat meringankan beban mereka, terutamanya emak, ketika hendak membuat persiapan kenduri. Faham-faham sajalah bagaimana persiapan kenduri dijalankan, kan. Saya masih ingat ketika menyiapkan bunga telur untuk majlis Kaklong. Saya membuat bunga telur dan goodie bag di dalam bilik saya. Datang seorang tetangga ke rumah saya kira-kira seminggu sebelum majlis. Dia menjengah ke bilik saya. Tanyanya: Ini ke pengantinnya? Ok. Saya faham, makcik. Makcik tersalah anggap saja. T____T Mentang-mentanglah segala bunga telur dengan pahar-paharnya ada di bilik saya dan penuh dengan goodie bag semua tu, dia ingat saya pula pengantinya. Bukan sekali dua orang ingat begitu. Tapi tak apalah. Yang saya terasa hati ialah apabila ada yang menyangka saya ini kakak kepada Kaklong dan dilabel sebagai “kakak pengantin ni doktor, dia tak kawin lagi” oleh beberapa orang. Mungkin ramai. Lantaklah. Bukan isu besar. Kan saya dah kata, berkahwin bukan dalam agenda saya untuk tahun 2010. Hehe. Tapi sungguh. Saya seronok dapat memudahkan kerja-kerja persiapan perkahwinan Kaklong dan Nan. Oh. Kalau saya kahwin nanti, agak-agak mereka ada masa tak nak tolong saya pula? Entah-entah dua-dua sudah sangat sibuk dengan anak-anak. Hehe. Ok. Tinggalkan topik ini. =)
Jadi, kesimpulannya, untuk tahun 2010 ini, saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah. Sekali lagi, Allah makbulkan segala niat, azam dan target saya. Alhamdulillah. Saya berniat mahu buat yang terbaik dalam kerjaya, dipermudahkan untuk melalui ujian dan susah payah sepanjang zaman HO ini, semakin stabil ekonomi dan juga emosi, solat seawal yang boleh walau sedang sibuk yang macam mana sekalipun dan juga belajar untuk kembali membuka hati. Semuanya Allah makbulkan. Kurnia-Mu sungguh di luar jangkauan.
Jadi, untuk tahun 2011 dan 1432 Hijrah ini, saya tidak mahu meletakkan target yang terlalu tinggi. Cukup sekadar lebih baik daripada tahun 2010. Atau dalam erti kata lainnya, naik setapak lagi. Saya berdoa agar dapat menamatkan housemanship saya dengan baik tepat pada masanya September nanti sekaligus dapat bertukar status daripada seorang HO kepada seorang MO. Dan kalau diizinkan-Nya, saya berharap agar dapat dipindahkan ke hospital sekitar Selangor atau Kuala Lumpur. Kenapa? Itu kita cerita kemudian ya =) Saya berharap jalan saya dipermudahkan untuk menyambung dalam bidang yang saya minati.
Kalau tahun lepas, saya berniat agar dapat solat di awal waktu walau sibuk yang macam mana sekalipun, tahun ni saya mahu naik tarafkan lagi. Kalau boleh bukan sekadar menjaga waktu solat, tapi saya mahu amalan ma’thurat saya istiqamah setiap hari. Malu saya nak mengaku. Sepanjang tahun ni, seminggu tu cuma 3 ke 4 hari saja saya berjaya menamatkan ma’thurat dengan sempurna. Itupun atas sebab hafalan. Kalau tak hafal, entah-entah tak baca langsung saya dibuatnya. Tapi macam mana ya nak menyempatkan diri. Kadang-kadang solat Asar pun terkejar-kejar sebab ada kes-kes menanti. Hmm. Orang malas banyak beralasan, Sarah. Ok ok. Kita kena cuba. Perkara yang dilazimkan di mulut lama kelamaan akan menjadi fasih dan satu kebiasaan, kan.
Seperkara lagi, saya mahu hati saya tetap dan istiqamah dengan usrah dan tarbiah. Tak boleh pandang remeh perkara ni. Dari zaman masih bergelar pelajar lagi saya selalu ingatkan diri saya tentang hal ini. Usrah ni sumber kekuatan dan keluarbiasaan untuk diri saya. Kalau saya down, lepas tu dapat berkumpul dengan teman-teman seusrah, saya rasa semangat saya naik dua kali ganda. Yang sedih-sedih semuanya hilang. Yang kuat-kuat dan bertenaga saja menjadi teman saya pulang. Ini untungnya berusrah. Tak kiralah dulu atau sekarang. Saya rasakan ‘zuuup’ dan nikmat yang sama. Ya Allah. Jangan Kau tarik nikmat hidup dipimpin tarbiah ini. =)
Kalau tahun 2009 dulu menjadi pemisah antara saya yang remaja dan dewasa, saya sifatkan 2010 sebagai tahun yang lebih mematangkan saya sebagai seorang dewasa. Bukan semua orang dewasa itu matang, setuju tak? =)
Dan kalau untuk tahun 2010 saya berdoa supaya dapat belajar untuk membuka hati, boleh tak kalau untuk tahun 2011 ni saya berdoa semoga dapat bergelar isteri? Hehe. No comment. Daa~
Selamat tahun baru 1432 Hijrah dan 2011 Masihi.
Nota 1: Ada beberapa azam lagi terpaksa saya pendamkan dulu. Mungkin nanti saya akan coretkan juga.
Nota 2: Ada banyak tarikh-tarikh penting dalam hidup saya berlaku sepanjang 2010. Terima kasih Ya Allah kerana Kau permudahkan.
Nota 3: Saya ada satu azam untuk tahun 2012 dah ni. Hebat tak. Tapi kena realisasikan salah satu daripada azam 2011 ni dulu. Hehe~
Nota 4: Insya Allah ada beberapa perkhabaran yang akan saya update kan untuk sahabat-sahabat semua di sepanjang tahun 2011 ini. Stay tuned~