Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah, selamat juga saya menghadiri walimah kawan baik saya di Manjung pada hari semalam. Selamat pengantin baru buat Hidayah dan Halim. Akhirnya selamat dah kamu berdua ya. Yang melucukan, sebaik saja sampai di bandar manjung, saya tidak jumpa pintu masuk ke Dewan Majlis Perbandaran itu. puas saya berpusing-pusing hampir 20 minit di sekeliling taman perumahan sekitar dewan itu. Akhirnya baru terjumpa pintu masuknya. Saya sampai di sana sudah tengahari. Bertolak memang awal dari rumah bersama dengan sepupu saya. Tapi disebabkan saya mengantuk di pertengahan jalan, saya siap berhenti tidur dulu di hentian sebelah. Nyenyak pula tu. Hihi.
Terlepas juga rindu pada kawan saya yang seorang ni. Dulu ketika di KISAS, kami sekelas ketika tingkatan empat dan lima. Waktu tingkatan empat, kami bukan setakat sekelas, tapi katil bersebelahan di tingkat atas. Orang lain sudah tidur, biasanya kami berdua masih berjaga duduk di atas katil kami yang tinggi nak mencecah lelangit tu. Katil di tingkat atas mendapat cahaya koridor yang lebih. Jadi kami berdua berjaga studi bersama di atas katil sambil bercerita.
Kisahnya, dari dulu lagi Hidayah pernah bercerita tentang kewujudan Halim ini kepada saya. Waktu tu hanya sekadar gosip malam sebelum menutup mata. Katanya, dia adalah orang yang sering mengacaunya sejak dari sekolah lama di Perak lagi. Siapa sangka. Akhirnya jodoh mereka memang bersama. Aturan Allah itu terlalu rahsia untuk kita meneka-neka, kan?
Sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat pengantin baru buat Dayah dan Halim. Semoga kamu berdua disatukan Allah dalam kasih sayang berpanjangan hingga ke syurga.
Dalam perjalanan balik, hujan lebat tak terkata. Saya dan sepupu singgah solat dan minum-minum di R&R sekejap. Waktu duduk menghirup kopi panas yang dipesan, baru saya sedar meja bertentangan dengan saya itu ada budak-budak muda yang boleh saya katakan jauh lebih muda dari saya. Waktu itu sepupu saya masih belum datang lagi. Ada seorang budak ni, asyiklah merenung ke arah meja saya ni. Tapi tak kuasalah hendak dilayan. Tapi ni sampai terlambai-lambai, tenung tak beralih mata. Naik geram pula saya dibuatnya. Kalaulah dia tahu berapa umur saya ni, baru nak menyesal kot. Haha.
Budak-budak zaman ni entah apa-apa saja. Kalau adik-adik saya buat macam ni, memang saya dah tengking dah. Huhu. Jangan main-main. Saya memang pantang dengan budak lelaki berperangai macam ni.
Insya Allah minggu depan ada lagi satu walimah kawan baik saya. Tiada aral, insya Allah saya akan ke sana juga. Semoga Allah permudahkan semuanya. Oh ya. Ramai kawan-kawan bertanya, mana gambar terbaru saya. Ini gambar terbaru. Tiada apa yang lain. Semuanya masih sama sepeti dulu. =)
Nota: Kawan-kawan baik saya yang bertiga waktu zaman sekolah itu semuanya sudah berkahwin. Tinggallah saya terkontang-kanting seorang diri. Huhu.