Kuiz Bahasa Pahang
Assalamualaikum wbt
Saya asyik rasa tidak sedap hati saja sejak dua hari lepas. Kalau perut boleh rasa sebu, hati boleh rasa apa ya? Senak? Ah, merepek. Pemusnah bahasa betul. Ni bangsa apa saya ni? Kalau Melayu-Malaysia, guna bahasa yang elok sikit, Sarah. Malu Tok Bahaman tengok cucu dia macam ni. Kita menulis, orang membaca. Silap cara, rosak bahasa. Rosak bahasa, hilang bangsa. Kalau dah hilang jati diri bangsa, siapa lagi nak perjuangkan? Ehem. Tolong hapuskan PPSMI tu sekali. Terima kasih.
Hari ini, entah kuasa sihir mana yang datang, untuk menghilangkan rasa tidak sedap hati itu, saya menjawab beberapa kuiz di Facebook. Ketawa-ketawa jugalah seorang diri. Bukan sengaja nak ketawa seorang tapi memang tiada orang dalam rumah waktu itu. Takkan saya nak usung laptop duduk di koridor dan bergelak ketawa dengan jiran saya Mat Arab yang suka merokok di tangga tengah tu kan.
Ada satu kuiz itu tajuknya Sejauh Manakah Pengetahuan Anda Tentang Loghat Pahang. Cukup menarik. Sebabnya, memang tidak ramai yang tahu bahawa orang Pahang mempunyai dialek yang tersendiri. Saya masih ingat, dulu saya ada menulis entri tentang Bahasa Pahang. Ramai yang terkejut mengetahui fakta itu. Siap ada yang tercengang dengan kewujudan perkataan-perkataan yang berbunyi pelik. Pernah dengan pedo’oh? Tak rok? Nak kone? Gone ni? Nak kulu? Nak kilir? Lagu kerbau balak bantut, kucing makan panggang? Hahaha. Mesti ramai tergeliat lidah nak menyebut ni. Tu belum lagi kalau tok guru dengar. Mesti ditegurnya tak cukup dengung dan lain-lain.
Maka, saya pun menyuruh Kaklong menjawab kuiz itu. Kemudian diikuti oleh Nan. Sah-sahlah mereka pun mendapat keputusan Anak Jati Pahang. Padahal Kaklong tu bukannya lahir di Pahang. Tapi Kaklong memang mempunyai kuasa semula jadi mahir mengambil hati kawan-kawan, bakal mertua dan orang di sekelilingnya dengan berbual menggunakan loghat Temerloh yang hebat.
Nan mengomen. Katanya: Kalaulah Tok Cik yang buat soalan-soalan untuk kuiz tu, habis mampus kita semua. Fail!
Saya membalas: Tambah pula kalau Tok Cik pakat buat soalan-soalan tu dengan Wan De (Tok Asyik, Syafiq tu). Entah perkataan dari ceruk mana keluar!
(Tok Cik dan Wan De ialah nenek saudara kami, Asyik dan Syafiq ialah dua pupu kami.)
Ketahuilah anda, Bahasa Pahang adalah unik dan mempunyai banyak perkataan yang tersendiri. Mari uji tahap pengetahuan kamu tentang Bahasa Pahang dengan menterjemahkan ayat di bawah ini. Boleh pilih satu jawapan saja ok. Tinggalkan jawapan di ruang komen. Saya akan berikan jawapannya dalam entri baru nanti. 😉
Ate kabo tadi dah tak cakne. Keknya nok jugok bertaki. Aok kena pedo’oh dek dia je. Bukannya dia nok bela balik. Dia buat kelakor lain lagi ade la.
a) Kata-kata yang dikhabarkan adalah tidak ceria. Tapi dia tetap nakkan keknya itu yang berkati-kati. Entah-entah kek tu ada peluh dia je. Bukannya dia nak beri balik duit. Nanti dia nak buat kelakar lain ada la.
b) Atan khabarkan tadi, dia dah tiada. Keknya juga semua nak beli. Awak kena berusaha lebih kalau nak yang dia. Bukannya dia senang-senang nak bagi balik. Nanti awak ingat dia buat kelakar lain pula.
c) Tadi kata dah tak hirau. Tapi nak juga terus bertikam lidah. Awak ni kena tipu oleh dia je. Bukannya dia nak baiki semula. Dia buat benda lain pula ada la.
d) Atan kata tadi awak tak hirau. Keknya dah habis sekati. Awak kena berdolah-dalih sikit dengan dia tu. Bukannya dia senang-senang nak bagi balik. Dia pergi buat kelakar yang lain pula ada la.
Ehem. Jawab. Jawab. 😀
Nota 1: Mak Andak kena buat kuiz tu di Facebook tau. Suruh anak-anak Mak Andak buat juga ok. Kita tengok hasilnya nanti. Huhu~
Nota 2: Nisa, awak boleh jawab ke tak ye? Jangan blur je sudahlah ye. 😆
Nota 3: Adam, Azizi dan Aiman sah-sah memang pakar dah. Tapi Adi, Ngah was-was jugak la. Adi, apa jawapan awak untuk ayat kat atas ni? 😆