Assalamualaikum wbt
Aduhai. Entri yang lepas tu saya merapu-merapu pun, habis semua orang melayan kemerapuan saya ye. Tapi ceria juga rasanya. Kebetulan saya memang tiada apa yang hendak dilakukan hari ini.
Semalam saya menelefon rumah. Saya ceritakan kisah kuah kacang 10 kg kepada ayah. Kata ayah, ayah pun ada menempah kuah kacang istimewa dari pakcik-yang-saya-dah-lupa-nama yang terkenal dengan kelazatannya. Selesa ini siapnya. Saya tanya, nak buat apalah sampai siap menempah kuah kacangnya. Kan boleh buat saja. Kata ayah, saja nak merasa sebab orang ramai sanggup menempah berkilo-kilo daripadanya. Saya bertanya lagi, makan dengan apa kuah kacang itu nanti. Dengan ceria ayah menjawab, dengan cakoi emaklah. Saja nak cicah-cicah. Ah. Ayah sengaja buat saya terliur. Saya suka betul kuih cakoi. Lagi gebu, lagi enak.
Saya meminta izin hendak berbual dengan emak pula. Saya mendengar ayah melepaskan telefon kepada emak dengan mengatakan: Nah mommy. Anak you nombor 2 pulak telefon. Tadi anak nombor 1. Haha. Mengada-ngada betul ayah nak bermommy-daddy pula dengan emak, ye.
Salam bersambut, saya terus berkata: Mommy, ni anak nombor 2 mommy dah call. Mommy tengah buat apa tu? Hah. Apa lagi, tergelak sakanlah saya dengan emak. Geli pula nak bermommy-mommy bagai seperti ini. Emak kata, sebelum tu, Kaklong ada menelefon. Saya dah agak dah begitu. Maklum sajalah. Hujung minggu kali ni, Kaklong tak balik ke rumah. Kaklong lagilah kaki gayut dengan emak. Gosip cikgu-cikgulah katakan! Haha.
Menyebut tentang isu emak-ayah, mommy-daddy, mama-papa, ibu-abah, umi-abi dan pelbagai varian yang lain, bagi saya, yang menjadi pilihan hati saya pastilah varian yang pertama: emak-ayah. Mudah saja alasan saya. Saya suka sesuatu yang melambangkan keluarga Melayu bukan campuran. Hehe. Mesti ada yang kata tak semestinya dengan bermama-papa, mommy-daddy semua tu melambangkan campuran atau ‘penjajahan’ kecil dalam keluarga. Memang bukan itu maksud saya. Cuma secara peribadi, saya suka sesuatu yang tulen. Saya suka apabila dapat memanggil emak kita dengan gelaran emak dan ayah kita sebagai ayah. Maksudnya jelas, maknanya mendalam dan pemiliknya juga kita ketahui siapa. Begitu juga untuk emak dan ayah saudara. Saya suka gelaran makcik-pakcik (Mak De-Ayah De, Mak Andak-Ayah Andak dan lain-lain). Saya tak gemar auntie-uncle semua ni. Serius tak minat. Macamlah bahasa kita tiada kata ganti nama yang indah untuk pangkat-pangkat yang berbeza. Selagi ada pangkat dalam bahasa kita sendiri untuk digunakan, pasti yang itulah menjadi pilihan saya. Apa yang jadi pilihan saya ini boleh diaplikasikan untuk semua bahasa tempatan kita termasuklah gelaran mak-pak, chek-ayoh, wak, yaie dan lain-lain. Ini cuma pendapat peribadi. Setiap daripada kita pasti mempunyai pendapat dan pilihan masing-masing, kan.
Kalau nanti saya sudah punya anak, saya suka gelaran emak. Sebab saya nak rasa apa yang emak saya rasa bila saya waktu pelat-pelat dulu mula memanggilnya emak. Entah-entah waktu itu saya menyebutnya ‘mamak’, ’emok’, ‘mok’ dan entah apa lagi. Saya nak rasa gembiranya tatkala pangkat emak itu disebut. Saya hendak ketawa bila dia nanti pelat macam saya cuba menyebut perkataan emak itu. Bagi saya, emak dan ayah itu adalah 2 perkataan yang sangat bermakna dan takhtanya jauh lebih tinggi daripada raja dalam hati saya.
Ya Allah Ya Tuhanku, Kau ampunilah diriku dan kedua orang tuaku dan Kau limpahilah kasih sayang-Mu sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu aku kecil.
Info: Kuih Cakoi juga disebut sebagai Kuih Kocok atau Pak Tunku. Ha. Pilih mana suka. Kalau di rumah, saya sebut Kuih Kocok. Dengan Tok Lebak, saya kena sebut Pak Tunku. Tapi dengan Tok Penang atau dengan ayah, saya kena sebut Cakoi. Layan sajalah. Bendanya sama je pun. Hehe.
Nota: Saya rasa, semakin saya meningkat umur ni, semakin saya manja. Jika dulu, saya yang akan menelefon rumah setiap minggu. Tapi sekarang, selang seminggu, emak dan ayah pula yang akan menelefon saya. Pernah juga saya musykil. Apakah Kaklong ada memberitahu rungutan tak berasas saya kepada mereka? Pernah suatu hari ketika balik bercuti yang lalu, saya merungut bengong-bengong kepada Kaklong. Saya katakan: Awak tak aci, Long. Kalau awak nak cakap dengan emak ayah, awak miss call je. Nanti ayah atau emak akan call awak semula. Ngah mana adanya macam tu. Sesungguhnya saya sengaja cari pasal dengan Kaklong waktu tu. Mana taknya. Kalau saya tak timbulkan isu ala-ala gaduh begini, malam-malam cuti sebaik dia sampai ke rumah, lepas Isya’ saja, terus dia nak tidur. Tak faham betul saya dengan kakak saya tu. Huhu. Bila adanya isu-isu begini, dia mestilah nak puaskan hati saya supaya tak berkecil hati, kan. Jadi, puaslah dia cuba menerangkan itu ini. Tapi penyudahnya, dia mati kutu sebab saya sengaja diam je. Yang dia pula, tak hingin nak memujuk. Geram je, kan? Hehe. Dia terus tarik bantal tutup muka dan tidur. Saya pula? Huh. Tarik laptop dan online. Inilah gaduh-gaduh sayang namanya. Kalau tak, takkanlah bila dia jauh dari rumah, dia mesej kata rindu kat saya. Huhu. Long, I lap you tau!