Masih

Assalamualaikum wbt

Seperti yang dijangka, saya insomnia lagi malam ini. Saya kaji masa tidur saya. Memandangkan saya selalu tidur pada pukul 1 ke atas, dan terbangun semula tidak lama selepas itu, jadi saya cuba membuat teori sendiri. Seandainya tidur lagi awal tapi akan terjaga pada masa yang sama, pun sudah kira cukuplah masa tidur saya. Maka, saya pun bereksperimentasilah di tengah malam tadi.

Pukul 12.45 saya sudah menutup fail yang tebal dan meletakkan di atas para dan terus saya tidur. Tapi, selang 5 minit, saya terjaga. Waktu itu sudah hampir pukul 1 pagi. Rakan sebilik saya tidak sedap badan. Dia pening kepala dengan tiba-tiba dan hendak muntah. Saya gagahkan diri bangun dan melihat-lihat mana yang patut. Selepas menggosok-gosok sedikit belakang badannya dan menunggu sehingga dia selesai makan ubat, saya pun kembali ke katil dan cuba untuk tidur semula. Susah hendak tidur semula. Sebelum tertidur, yang saya sedar jam menunjukkan pukul 1.50 pagi. Dan pada pukul 4.45 tadi saya sudah terjaga semula. Cuba untuk tidur semula tetapi sudah tidak boleh.

Hari ini perlu ke Infectious Hospital for Pediatrics. Jauh sangat. Awal-awal dah kena bertolak. Harapnya di dalam metro akan dapat tempat duduk. Boleh tidur. Petang nanti ada latihan di Pusat Sukan di Yugo Zapadnaya. Sebelum pergi kena memasak dulu untuk kami serumah. Sampai rumah malam nanti pukul berapalah agaknya. Tapi saya target hendak berlari semahu-mahunya hari ini. Hendak menjaga stamina dan hendak memeluhkan diri ini. Musim kegemukan sudah bermula. Kalau tak bersenam, alamatnya berat boleh mencecah 50 lebih. Baik jangan. Opsyen lain, berlari turun naik tangga bangunan ini sehingga mamat Arab, Brazil dan Rusia yang selalu melepak di tepi ini muntah hijau kebosanan melihat saya lalu-lalang. Hah. Siapa suruh merokok di tepi ni. Merosakkan alam betul.

Nota: Orang lain seronok menyusun agenda cuti Sabtu Ahad, saya pula sudah mula kefobiaan akan kebosanan tahap maksimum lagi. Ironi sungguh hidup ini.

Posted on November 14th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Insomnia

Assalamualaikum wbt

Saya rasa, sejak Ramadhan yang lalu, saya kembali mempunyai masalah tidur. Jika sewaktu Ramadhan dulu, saya bangun sahur sekitar 5 pagi. Ada masanya tertidur semula selepas Subuh tapi kebiasannya memang tidak tidur kerana saya perlu berangkat awal ke hospital.

Sejak dari itu, hampir setiap hari saya akan terjaga sekitar 4.45 pagi dah berjaga sehingga Subuh masuk. Kadang-kala, saya tidak dapat berbuat apapun ketika mata tidak boleh lelap. Dan sekarang ini semakin teruk pula. Saya akan terjaga seawal 3.30 pagi. Cubalah bayangkan. Saya naik ke katil pukul 1.30 pagi. Tak sampai 2 jam tidur, dah pun terbangun semula. Subuh masuk lambat kerana sudah pun musim sejuk. Hendak studi pun tak boleh sebab otak letih, badan letih, segalanya letih tapi tidur saja yang tidak boleh. Seperti malam tadi. Pukul 1 lebih baru hendak tidur tapi sekitar 3.40 saya sudah terjaga. Cuba tidur semula, tapi tidak boleh-boleh. Sehinggalah pukul 8.30 pagi baru terlelap semula. Nasib baik hari ini rutin saya bermula jam 12. Kira sesi petanglah. Saya bangun semula pukul 10 pagi tu dalam keadaan pening. Mata pun macam panda. Eheh. Kalau hari biasa-biasa pun mata saya memang macam panda.

Kalau dulu-dulu (2004), memang logiklah saya ada masalah tidur waktu itu. Bilik saya ada sesuatu yang datang dari bilik depan di hostel lama. Hehe. Sampai 6 hari saya insomnia. Tidak tidur walau sepicingpun. Emak siap kirimlan air bacaan doa dari Malaysia. Seronok juga waktu tu. Berat badan turun sangat. Merasalah diri ini kekurusan barang sebulan.

Tapi sebenarnya, terseksa sangat bila tak cukup tidur. Otak rasa macam keras dan badan pula tak bersemangat untuk membuat sesuatu dengan aktifnya. Bilalah akan elok semula ya? Setakat yang saya sedar, insomnia saya datang setiap kali musim sejuk bertandang. Alah. Kalau saya balik Malaysia yang tiada musim sejuk pun, saya insomnia juga. Malam-malam mesti saya jadi burung hantu berjaga seorang diri. Tapi semuanya atas pilihan sendiri. Berinternet aja kerjanya kalau di rumah! Qadha’ semua mana yang patut. Huhu. Oklah. Kalau saya insomnia lagi malam ni, saya sambung rapuan saya di dunia saya ni. Daa~

Posted on November 13th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Selesai

Assalamualaikum wbt

Sejak hampir setengah jam yang lalu, saya berbalas mesej dengan Anwar Haroon Khan itu. Saya paksa dirinya supaya memberikan saya alamat laman web yang dimaksudkan. Saya bercakap dengan cara baik. Bukanlah saya memaksa dengan segala sumpah seranah atau apa. Selepas hampir 4 kali saya meminta, dia tetap memberikan alasan itu ini. Bila saya tanya, kenapa perlu dia rasa takut berikan laman web itu kalau betul seperti yang dikatanya laman web itu baik-baik saja, bukannya ada yang tidak senonoh atau apa, hanya selepas itulah dia mengaku bahawa dia sebenarnya mendapat nombor saya daripada seseorang di Moscow ini.

Ha. Terjawab sudah. Saya dah agak dah. Manalah ada orang nak guna gambar saya yang tak cantik langsung ni untuk dijaja di dalam laman web yang berbentuk apa sekalipun. Tiada nilai komersil langsung. Pendek, gelap, hidung penyek, muka Melayu tulen yang makan belacan, telan tempoyak pula tu. Takde maknenye orang nak guna letak di laman web lain.

Cuma saya pelik, siapalah yang nak kenakan saya ni. Teori Joe dalam komen di entri sebelum ini mungkin ada benarnya. Kebetulan saja Joe mengomen di entri itu ketika saya sedang berbalah dalam mesej dengan Anwar itu. Memang pada kad debit handphone saya ada di dalam purse saya yang hilang itu dan memang sah-sah dalam purse saya itu ada pengenalan diri saya. Contohnya kad insurans, kad pelajar antarabangsa dan kertas pengenalan diri sementara.

Tapi apa-apapun, saya sudah anggap hal ini selesai. Saya sudah katakan padanya, saya tidak berminat untuk terus dihubungi dan saya berlaku jujur, saya rasa terganggu dihubungi dengan cara itu.

Tamatlah kisah Bai Khan saya itu. Wassalam.

Posted on November 12th, 2008 by Sarah  |  11 Comments »

Salam Dari Pakistan

Assalamualaikum wbt

Hari Sabtu lepas, sedang saya mengulangkaji pelajaran sekitar pukul 8.30 malam, saya menerima satu SMS daripada nombor yang tak dikenali. Saya terus buka dan baca. Tulisnya: Hi Sarah. Salam. I would like to know you more. From (tak ingat apa) Khan, Pakistan.

Terkejut saya membaca SMS itu. Saya tak berniat hendak membalas mesej itu sebab mungkin dia tujukan pada Sarah yang lain. Sewaktu hari raya pertama dulu pun, saya ada menerima mesej yang lebih kurang begini daripada India tapi memang betul dia tersalah orang rupanya. Tapi kali ini nama saya disebutkan. Mungkin dia tidak tersalah hantar tapi saya memang tak berniat hendak membalasnya. Sedang saya menekan-nekan butang di telefon untuk membuang saja mesej itu, tiba-tiba ada panggilan masuk. Tapi disebabkan saya sedang menekan-nekan butang pada keypad telefon, maka secara automatik saya telah menerima panggilan itu tanpa saya sempat melihat siapa yang menelefon. Terus saya bawa telefon ke telinga:

Seseorang: Assalamualaikum. Sarah?
Saya: Iye. Sape ni (Bersahaja saja terus cakap Melayu. Saya fikir, mungkin dikalangan groupmates saya.)
Seseorang: Are you Sarah? (Dengan lenggok bahasa seorang Pakistan/India bercakap. Mesti semua boleh bayangkan, kan?)
Saya: (Alamak. Macam mana saya boleh terjawab panggilan orang tu?!) Yes, I am. Who’s this by the way? (Saya memang lupa nama yang ada di dalam mesej tadi.)
Seseorang: I’m the one who texted you just now. I’m Anwar Haroon Khan from Pakistan. Don’t worry. I’m not a bad person.
Saya: (Terketar-tekar saja saya menjawab. Saya mati kutu nak cakap apa padanya) Ooo… Ok. Ok. Where did u get my number from? And how did you know my name?
Seseorang: Recently I’ve browsed through a muslim social network community. It’s a website for muslim worldwide. I found your name there. And also your number. What’s the time there?
Saya: Wait, wait, wait. It’s 8.30 pm here. Ok. I dont get it. I never registered in any muslim social network before. Maybe you have mistaken me for someone else.
Seseorang: And it’s 10.30 pm here. But there’s you name, your location, your number and 1 picture of you. You’re wearing scraf, you’re from Malaysia but currently studying in Moscow. All correct?
Saya: Ha? Owh… (Tergamam sekejap) But I think, there must be someone who purposely used my name, my number and even my photo to create an account there. Ok. Let’s make thing clear here. I’m not interested to know about all this thing. I never own an account in that kind of website. I’m so sorry.
Seseorang: Erm. Ok. So, I would like to ask you. Would you like to keep in touch with me?
Saya: Hmm, sorry to say. No. I’m not looking forward to.
Seseorang: Ok then. I respect you. Assalamualaikum.

Selepas panggilan itu, Fatini dan Fareena yang berada di dalam bilik dan mendengar sepenuhnya perbualan itu mla bertanya itu ini. Sewaktu itu, hanya satu perasaan yang ada di dalam kepala saya. Saya rasa saya macam pervert mana saja yang menawarkan sesuatu melalui telefon. Seperti kononnya di laman web yang lelaki itu temui, tertulis iklan yang berbunyi: Mahu rakan berbual? Hubungi saya di xxxx. Ha. Sampai begitu sekali saya terfikir! Tapi saya lega selepas saya menekankan pendirian saya yang tidak mahu berurusan lagi dengannya. Sungguhpun begitu, suara Anwar itu tadi tak melambangkan dirinya seorang yang bukan-bukan. Dia mulakan dengan salam dan mengakhirinya juga dengan salam. Dan menurutnya, dia mendapat info saya melalui sebuah laman web komuniti muslim yang berbentuk rangkaian sosial (seperti Friendster, Facebook barangkali). Saya hanya mempunyai Friendster tapi tiada apa sangat pun dalam Friendster saya. Siapa kenal saya mesti tahu saya ni macam mana orangnya. Dan saya tak mempunyai Facebook. Dan saya memang seorang yang anti-sosial apatah lagi berminat nak menyibukkan diri dengan aktiviti internet yang seperti Myspace, Tagged dan segala macam yang lain.

Saya ambil kesimpulan, buat bodoh sajalah. Cara dia mengakhiri perbualan tadi menunjukkan dia menghormati keputusan saya. Keesokannya, emak dan ayah ada menghubungi dari Malaysia dan panggilan daripada mereka tertera sebagai ‘anonymous’ di skrin telefon. Saya biarkan tak berangkat. Saya risau kalau-kalau itu dia lagi. Tapi kemudian saya terfikir. Hari itu hari Ahad. Mungkin juga ayah. Saya mesej ayah bertanya hal itu dan sejerus kemudian memang betul ayah menelefon semula. Memang itu ayah sebenarnya. Saya terangkan dengan ringkas saja kenapa tadi tidak berjawab.

Tetapi pada hari Isnin malam Selasa itu, saya menerima lagi mesej daripada Anwar Haroon Khan ini. Katanya, dia baru saja membelek semula laman web itu dan katanya, memang betul-betul wujud ‘diri’ saya sebagai seorang penggunanya. Katanya lagi, dia tak fikir saya orang yang berlakon semata-mata dengan tudung dan segalanya. Dan disebabkan itu, dia betul-betul hendak mengenali saya.

Adeh. Saya sangat tertanya-tanya, laman web manakah yang dimaksudkannya. Lalu saya balas mesej itu: Can you send me the website’s link, please. I want to have a look. Tapi pending pula mesej itu. Kemudian, saya menerima mesej seterusnya daripadanya. Katanya: I’m not a bad person either. I’m a manager of food chain restaurants. I run my own business. I want to know you because I can see that you’re a nice woman.

Adeh lagi. Saya abaikan mesej itu. Seketika kemudian, ada panggilan daripadanya tapi saya abaikan juga. Dan apabila mesej yang saya balas tadi sampai padanya, dia balas begini: You don’t have to worry. It’s not a bad website. It’s a website for muslim community. And that’s why I know, whether you or the person who used your name is a good person. Ketika iu di dalam hati, saya nak tergelak pun iya juga. Takkanlah semudah itu dia menilai seseorang.

Semalam, pulang saja daripada hospital, Wanie sudah ada di rumah. Kami duduk berdua membincangkan tentang isu aurat dan prinsip kita sebagai seorang wanita Islam yang praktikal untuk mempertahankan aurat kita dalam keadaan bagaimana sekalipun (niat tak menghalalkan cara). Tiba-tiba, saya mendapat lagi mesej daripadanya. Sekadar ucapan biasa-biasa saja. Dan pagi ini, bangun saja dari tidur, terus berbunyi lagi mesej masuk. Dia lagi. Sekadar ucapan biasa-biasa saja. Tak putus asa nampaknya dia ni. Walaupun tak berbalas segala mesej-mesejnya, masih lagi dia menghantar mesej kepada saya. Tapi saya abaikan. Saya kan ignorant yang tegar. Huhu.

Itu sajalah kisahnya. Saya pun tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan Anwar Haroon Khan ini. Saya sekadar menghindari dia dengan tidak menjawab panggilan dan mesej-mesejnya. Lagipun dia jauh. Dia tidak nampak saya. Dia tidak boleh buat apa-apa kepada saya. Lainlah kisah Rajj dulu tu. Yang saya tahu, bila dia memperkenalkan dirinya di dalam mesej sebagai a managef of food chain resturants, dalam kepala saya terus terfikirkan spam emails berlambak-lambak yang saya terima (kamu semua juga pasti ada menerimanya) yang contohnya mengatakan: Greeting from Africa. I am Nabewe Maoulu, Manager of Bank of Africa. I’m offering you…… and so on. Hehe. Jahat sungguh saya ni. Tapi namanya sedap juga ya. Anwar. Ada Khan pula tu dihujungnya. Huhu.

Ok. Sudah, sudah. Saya cuma hendak memberikan pendapat saya kepada semua wanita yang membaca entri ini. Hati-hati ya dengan laman web yang bersifat rangkaian sosial ini. Kadang-kadang kita tak sangka ada yang mengguna pakai nama dan gambar kita untuk tujuan yang tidak baik. Mungkin nasib saya baik sikit sajalah sebab entah orang mana yang guna tu meletakkan saya di laman web rangkaian sosial muslim tapi saya tahu banyak kes gambar-gambar kaum kita yang disalahgunakankan dan diletakkan di dalam laman-laman web lucah. Tak tipu. Ada kenalan bloggers saya sendiri sudah terkena hal ini. Nasihat jujur dari saya, hati-hati bila meletakkan gambar di dalam blog masing-masing. Pilih yang tidak terlalu menonjol dan jangan terlalu menampakkan yang kamu sedang ber-camwhoring. Bahaya ni tau. Moga-moga apa yang saya cakapkan ini dapat memberikan amaran awal agar kita semua terselamat daripada fitnah. Saya tegur ni sebab saya sayang kamu semua =)

Nota: Jangan percaya dengan cinta internet. Erm… not apply to all cases (kan Nadia kan! (^^,) ), but in most cases, please do not believe in them. Sedangkan Iqbal pun tertipu dengan Kirana palsunya. Huhu =p Lebih banyak yang tersirat daripada yang tersurat dalam dunia maya ni. Ups~

Posted on November 12th, 2008 by Sarah  |  14 Comments »

Saya Sibuk, Adi Lagi Sibuk

Assalamualaikum wbt

Sangat sibuk buat 2 minggu ini. Saya perlu habiskan ulangkaji subjek Pediatrics. Saya tak mahu sia-siakan posting kali ini. Posting kali ini mencabar. Moga-moga kanak-kanak di hospital itu sukakan saya yang kecil molek ini. Huhaha. Tapi, sesibuk-sibuk saya, ada seorang budak itu jauh lebih sibuk daripada saya.

Buat Adi, selamat menduduki SPM. Didoakan yang baik-baik saja untuk awak ya. Oh ye. Adi ini adik saya yang paling lucu. Amat sengal orangnya. Tapi sangat bertanggung jawab dan berakhlak. Semoga Adi tidak membaca entri ini bila dia pulang nanti. Risiko dia mengembang adalah tinggi. Semalam emak dan ayah ada menelefon saya ketika mereka melawat Adi di sekolahnya. Sempat saya berbual dan mendengar kesengalan dia. Adi ada impian selepas tamat SPM ini. Adi, Ngah doakan awak berjaya.


Nota: Saya pernah ditanyakan satu teka-teki oleh seorang kawan sewaktu menghadiri Program Homestay sewaktu balik cuti lalu. Bila balik rumah, saya tanyakan semula soalan itu pada Adi. Menurut Adi, suatu masa dulu dia pernah memberikan teka-teki itu kepada saya. Bila diimbau kembali, ya, memang dia pernah menanyakan saya soalan itu. Teka-tekinya berbunyi: Kenapa orang gali kubur tak pakai seluar dalam. Ha ha. Siapa berani jawab. Sila, sila.

Erm, masa seperti sangat mencemburui saya sekarang ni. Demi masa sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Moga kita tergolong bersama mereka yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran, yang sentiasa memanfaatkan masa mereka.

Posted on November 11th, 2008 by Sarah  |  14 Comments »