Waktu kecil-kecil dulu, sebelum sesi persekolahan bermula di awal tahun baru, emak sibuk menolong kami membalut buku. Waktu itu pilihan ada dua saja. Sama ada menggunakan kertas minyak yang bewarna coklat ataupun kertas kalendar tebal yang diterbalikkan dan digunakan permukaannya yang putih.
Saya lebih berminat dengan kertas kalendar. Buku saya nampak kemas dan tebal. Disebabkan permukaan buku saya putih, saya lebih menjaga buku saya supaya tidak kotor atau comot. Saya anak cikgu, maka emak memang memastikan buku kami berbalut. Di sekolah, saya rasa bangga bila buku saya berbalut dan ada kawan-kawan yang tidak membalut langsung buku mereka sehingga hancur bahagian tepi-tepinya kerana terpenyek dan pelbagai alasan lain. Disebabkan buku saya berbalut, nama di bahagian depan juga ditulis dengan lebih besar berbanding jika buku tidak dibalut.
Zaman beredar, plastik lutsinar pula menjadi pilihan untuk membalut buku. Siap ada jenis yang sedia-pakai (ready-made) yang hanya perlu kita sarungkan pada buku tanpa perlu menggunakan pita pelekat untuk melekatkan di setiap penjuru buku. Kawan-kawan saya yang kaya menggunakan yang itu. Saya masih menggunakan pembalut plastik besar 50 sen segulung yang perlu kita potong sendiri untuk membentuk saiz buku kita.
Pembalut jenis itu bertahan menjadi pilihan saya sehingga tingkatan 5. Namun budaya membalut buku itu bukan lagi satu tradisi ketika itu. Masing-masing lebih suka buku tanpa balutan. Saya menulis ini kerana teringatkan buku lejar Karangan Bahasa Melayu saya yang dibalut menggunakan kertas kalendar putih sungguhpun waktu itu saya sudah sembilan tahun meninggalkan zaman darjah 1. Cuma, saya gabung jalingkan penggunaan kalendar dan diluarnya saya balut pula dengan pembalut plastik untuk kekemasan yang lebih tahan lama.
Pada pendapat saya, membalut buku ini perlu dibudayakan di kalangan pelajar sekolah supaya kekemasan buku dapat dijaga. Selain itu, kita dapat mendidik mereka supaya lebih menyayangi dan bertanggung jawab ke atas harta mereka. Kalau buku pun hancur, di manakah nilai menghargai ilmu yang ada di dalamnya? Kita kalau boleh mahu selari kedua-duanya. Menghargai ilmu dan harta benda. Biar anak-anak kita terdidik dengan perkara asas kehidupan ini sejak kecil lagi. Besar nanti mereka menjadi golongan yang menghargai ilmu dan cermat dengan harta mereka.
Nota: Saya tidak gembira apabila harta peribadi saya diceroboh. Kembangkan maksudnya sendiri. Maksud berlapis adalah termasuk dalam ayat ini.
Posted on January 21st, 2009 by Sarah | 18 Comments »
Bangun pagi hari ini, saya rasa sangat selesa. Celik Mata sebelum azan Subuh. 6.30 Subuh pun masuk. Selesai solat, saya ada banyak lagi masa sebelum bertolak. Sempat bermain-main bersama Stewart dan Mickey. Alangkah indah kalau ada anak, kan.
Bertolak macam biasa dan sampai awal. Tak lama di hospital hari ini. Kami diberikan tanda tangan sebagai tanda telah lengkap credit hours untuk posting kali ini dan dibenarkan pulang. Maka, dengan rasminya bermulalah cuti musim sejuk saya. Saya tak bertangguh. Balik terus. Singgah pasar, membeli sedikit barang dapur dan makanan si kecil berdua di rumah tu. Alangkah indah kalau ada anak, kan.
Bila saya kata saya singgah membeli barang dapur, bunyinya seperti saya hendak memasak, kan. Sebenarnya saya balik rumah dan kemudian memanaskan lauk dan nasi semalam. Semalam adalah kali pertama saya makan nasi dalam tempoh dua minggu ini. Berat badan semestinya turun (Serius teringat Nadia dan Faiq. Mereka juga seperti saya. Kita sahabat sehati sejiwakah?).
Bila sedang makan, saya menerima mesej daripada emak. Selepas dibalas sekali, emak kemudian menyudahkan mesejnya. Mesejnya pendek tapi dipenghujungnya ada pesanan penting.
“Take care. I miss my girls.”
Ya Allah. Emak rindukan saya dan Kaklong. Sedih kan? Saya pun rindukan emak juga…
Nota 1: Alangkah indah kalau ada anak, kan. Tapi kalau anak-anak berjauhan, mesti rindu di hati emak ayah tu tak terkata. Untuk anak-anak yang duduk jauh dari ibu bapa, jangan lupa hubungi mereka. Jangan malu menjadi yang memulakan menunjukkan kasih sayang. [Untuk impak yang lebih berkesan, sila dengar nasyid di sebelah. Boleh senyum, boleh menangis, boleh rasa nak belajar tak tidur-tidur, boleh rasa nak balik rumah sekarang juga. Hehe] Nota 2: Saya nak buku. Saya nak buku. Saya nak buku untuk mengisi masa cuti ni! Nampaknya kenalah mengeluarkan duit untuk membeli buku cerita baru. Adoi. Duit lagi. Kepada junior-junior yang ada membaca blog ni, kalau sesiapa yang mempunyai novel Inggeris yang berkaitan dengan sejarah atau seni, silalah maklumkan. KS sangat berminat dan berhajat untuk meminjam. Terima kasih!
Posted on January 21st, 2009 by Sarah | 26 Comments »
Akhirnya impian saya menjadi kenyataan. Sudah lama saya berhajat untuk memiliki domain sendiri. Sejak tahun 2006 saya menulis menggunakan platform Blogspot. Hanya pada hari semalam, saya mula mempunyai domain sendiri ini kejutan daripada adik saya sebagai hadiah hari lahir buat saya. Gembira tidak terkata. Terima kasih buat adik saya, Adnan, kerana memenuhi hajat saya yang satu ini.
Semoga dengan menulis menggunakan domain sendiri ini lebih mendekatkan saya dengan keluarga dan kawan-kawan. Topik saya mungkin pelbagai. Tentang hidup di Moscow, studi, keluarga, kupasan topik ilmiah dan semestinya entri-entri merepek saya ketika kebosanan. Saya berharap agar dapat mengekalkan cara penulisan saya sepertimana saya menulis di blog lama.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya berdoa semoga blog saya kali ini kekal lama, terhindar daripada fitnah dan dapat membawa ilmu dan keceriaan buat pembaca.
Blog ini masih dalam tempoh penyelenggaraan. Tema utama adalah ungu. Wajiblah ungu, kan. Mana boleh saya dipisahkan dengan ungu 🙂 Maaf kalau ada sebarang kesulitan atau lambat hendak load blog ni. Saya masih belajar-belajar lagi semuanya tentang blog ini.
Kemas kini: Tema ungu tidak sesuai pula. Ada masalah. Kita berubah ke warna kedua kesukaan saya. Hijau pucuk pisang 😉
Nota 1: Saya tak berniat untuk memberitahu kepada ramai tentang blog ini.
Nota 2: Tahniah kepada yang jumpa! 😀
Nota 3: Rasa mahu lompat-lompat gembira kerana sudah mempunyai domain sendiri 😉
Posted on January 20th, 2009 by Sarah | 14 Comments »
Saya: Hello, assalamualaikum. Emak: Wa’alaikumussalam. Ngah, happy birthday. Saya: Eh, emak. Thank you, mak. Alamak mak! Dah pukul 7.30 dah! Ngah baru bangun je ni. Ya Allah, mak. Ngah dah lambat sangat ni nak ke hospital.
Apa punya nasiblah saya hari ini. Pukul 7.30 baru terjaga dari tidur. Itupun nasib baik emak menelefon. Tapi tujuan emak adalah untuk mengucapkan selamat hari lahir. Bergegas saya bangun urus diri, solat Subuh, menggosok labcoat dan scrub (letih sangat malam tadi sehingga malas hendak menggosok awal-awal), beri ikan makan dan berlari ke stesyen metro.
Keluar saja dari stesyen metro, salji sedang turun dengan lebatnya. Bila salji turun, kita susah hendak berjalan. Hendak buka mata pun terhad. Tapi hari ini saya berlari. Hebat tak hebatnya saya hari ini, saya berlari tak jatuh pun tau. Sampai di cloakroom, salin scrub dan terus menuju ke tingkat 10. Saya lihat jam sudah pukul 9.10 pagi. Terlewat 10 minit dah ni. Tiba-tiba doktor saya kelihatan sedang berjalan di luar bilik kami. Saya mengucapkan selamat pagi dan meminta maaf kerana terlewat. Dia senyum saja. Wah. Saya bernasib baik nampaknya!
Di hospital pun seronok juga hari ni. Kami ke OT dah melihat Vaginal Hysterectomy. Satu prosedur membuang uterus (rahim) melalui faraj (dan bukannya melalui major operation di bahagian abdomen [Abdominal Hysterectomy]). Saya dan Farah berdiri bersebelahan dengan Assistant Doctor kami. Dia sedang menyambung dalam bidang ini. Dia banyak menerangkan tentang prosedur ini kepada kami. Tapi sudahnya kesimpulan saya dah Farah hanya satu: Ya Rabbi, sakitnya. Huhuhu. Kami sebenarnya membayangkan keadaan pesakit itu selepas selesai nanti (post-operative period).
Ok. Cukup dulu. Saya hendak studi. Terima kasih semua atas ucapan yang diberikan. Saya telah mendapat hadiah yang paling istimewa daripada adik saya, Adnan. Yang paling tidak akan saya lupa ialah entri khas daripada Wanie dan video yang disediakannya untuk saya. Lejut saya menangis. Perit-perit tekak tahan air mata. Terima kasih Wanie. KS sayang kamu!
Nota 1: Balik rumah tadi, eletrik tiada. Saya berlari melihat The Harolds. Ketiga-tiganya mati kerana bekalan oksigen mereka terputus. Entah dari pukul berapa eletrik tiada. Sedihnya saya! Nota 2: Ya ampun. Muka budak-budak sungguh saya dalam video tu. Tapi kesemua lagu yang Wanie gunakan adalah lagu kesukaan saya. Menangis lagi tadi waktu menonton video tu. Nota 3: Terima kasih Auyun, Faiz, Aizat, Glid, Asrul, Mubin, Nazlin dan Iku! Nota 4: Penat ni. Baru sampai dari airport.
Posted on January 20th, 2009 by Sarah | 28 Comments »
Hari ini genap 24 tahun hidup di dunia. Moga-moga lebih rezeki yang Allah berikan pada tahun ini juga yang mendatang. Moga-moga tamat belajar tepat pada masanya. Moga-moga ditempatkan di hospital yang memuaskan. Moga-moga kesihatan semakin baik. Moga-moga hidup semakin tenang. Moga-moga ibadah semakin terjaga. Moga-moga sempat berbakti untuk emak dan ayah.
Terima kasih emak atas didikan yang diberikan. Terima kasih ayah atas kekuatan yang dipinjamkan. Emak dan ayah adalah harta paling berharga yang Ngah miliki di dunia ini. Terima kasih kerana membesarkan selama 24 tahun ini.
24 tahun menjadi Sarah adalah satu pengalaman yang tiada bandingan. Ada pahit di tangan kiri tapi sentiasa ada manisnya di tangan kanan. Terima kasih Ya Tuhan atas nikmat umur yang dipanjangkan.
Posted on January 19th, 2009 by Sarah | 81 Comments »