Selamat Hari Lahir Wanie

wanie

Pada pagi-pagi yang menyinsing
pada malam-malam yang hening
adalah kau matahari
adalah kau bulan bersemi
juga seluruh detik masa
antara keduanya.

Aku takkan mampu
membawa satu tamsilan.
Atau menggubah sesuatu
untuk kubuat bandingan.
Kalau itulah kejayaanku
maka itulah kejahilanku
kerana mencipta kau yang kedua
tak tertanding pada kau yang sedia.

Kerana kau lembut budi, sopan diri,
senyum manis, luhur terpuji.
Kerana kau berani berdiri, teguh sendiri,
diam bernyawa, riuh berjiwa.
Kerana kau keharumanku yang indah
kerana kau sahabat yang setia.

Assalamualaikum wbt

Saya tak perlu menghurai panjang. Sajak ini menceritakan segalanya. Betapa ‘kau’ itu istimewa orangnya. Mustahil ada taranya. Hanya satu dalam dunia. Selamat hari lahir yang ke-22 buat Wanie. Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan segala yang terbaik buat kamu.

KS selalu berangan, kalaulah KS sebaya kamu, mesti lebih seronok meniti hari-hari di sini bersama-sama. Kita boleh ke kelas bersama, berpasangan dalam pingpong untuk tempoh yang lebih lama, berkongsi nota, berbincang isu semasa, bermuzakarah agama dan yang paling berharga mencari erti hidup bersama-sama. Mesti ada hikmahnya kenapa Allah temukan kita dengan dua tahun beza. Supaya kita lebih menghargai setiap detik yang ada dan supaya kita lebih sayang sesama kita. 🙂

Selamat hari lahir Wanie!

Nota: Selamat datang kepada yang baru menemui blog ini. Sepuluh jari disusun sekali lagi. (Masih kena ucap ni selagi penemuan tak sudah-sudah ni masih terjadi) 😀

Posted on January 26th, 2009 by Sarah  |  21 Comments »

Cuba

Assalamualaikum wbt

Nampaknya semakin ramai kawan-kawan pembaca sudah menjumpai blog ini. Selamat datang saya ucapkan. Maaflah sebab saya memang dengan niat tidak memberitahu di blog lama dulu. Silalah baca entri awal-awal di sini yang baru sejemput ini kalau hendak tahu mengapa.

Saya ada satu misi penting hari ini. Saya hendak keluar sekejap lagi membeli barang-barang yang perlu untuk misi ini nanti. Hari tu saya ada menulis tentang rendah diri dan bersederhana kan. Jadi misi kali ini insya Allah sederhana saja. Tak guna kita ada ilmu tapi tidak mempraktikkan ilmu itu, kan. Ibaratnya pohon yang tidak berbuah. Tiada amal yang datang dari ilmu tu.

Kata kunci hari ini ialah, cuba mempraktikkan ilmu. Mari cuba. Cuba kau lihat. Cuba kau cuba. Renung ke mata aku bilaku kaku melihatmu. Hah. Merepek. Cuba ni lagu Melayu kesukaan saya dulu. Dulu-dululah. Sekarang biasa-biasa saja dah. 😉

Nota: Nota saya dalam entri lalu dimakbulkan Allah, kan? 🙂


Cuba – Faizal Tahir

Posted on January 25th, 2009 by Sarah  |  23 Comments »

My Stance

Assalamualaikum wbt

Yesterday, I was stuck in dilemma. To be or not to be. By midnight, decision was made and I chose not to be. Alhamdulillah. I am very contented with it.

Abu Burda related that Abu Musa said, “The Prophet, may Allah bless him and grant him peace, heard a man praising another man, extolling him greatly. The Prophet said: You have destroyed him or you have broken the man’s back.” (Imam Bukhari)

Well, the hadith supports my stance which I hate compliments as I see them as insinuations and burdening. But if you happen to hear I tell you some,  don’t worry. I really mean it from the bottom of my heart.

Note: Having good friends around is great. I want to befriend you all forever!

Posted on January 25th, 2009 by Sarah  |  22 Comments »

Selamat Tinggal Semua

Assalamualaikum wbt

Saya tahu saya tidak berkesempatan melawat ke semua blog kawan-kawan yang ada meninggalkan jejak di sini. Saya juga tidak berkesempatan untuk menjawab kesemua komen yang ditinggalkan. Saya juga tidak berkesempatan untuk memberi respon yang terbaik kepada komen yang diberikan. Saya meminta maaf dengan sangat atas kelemahan saya ini.

Saya tahu ramai yang menghubungkan blog ini ke blog mereka. Saya tahu ramai yang sudi menjadi pembaca. Baik yang ada meninggalkan jejak mahupun diam saja. Saya tahu ramai yang mengikuti blog ini. Sehinggakan, baru sekejap tadi saya melihat jumlah follower sudahpun 66 orang semuanya. Saya mengucapkan terima kasih dengan sangat atas ukhwah yang diberi.

Saya akui saya tidak sempat pun untuk mengenali setiap follower ini. Saya akui saya mesti telah membuat mereka berkecil hati. Saya akui mesti ada yang terasa jika saya tidak membalas kunjungan mereka. Saya akui mesti ada yang sudah mula bosan untuk membaca. Saya memohon maaf sekali lagi kerana saya bukan seorang yang peka.

Saya yakin mesti ada yang benci membaca di sini. Saya yakin mesti ada yang marah dengan beberapa topik yang pernah saya kupasi. Saya yakin mesti ada yang meluat dengan bahasa saya yang skema. Saya yakin mesti ada yang menyampah dengan kelantangan saya bersuara. Saya memohon maaf dengan sangat kerana inilah kelemahan saya yang terbesar. Kerana saya bertegas dengan cara saya yang kasar.

Saya muncul dulu tanpa dijemput oleh sesiapa. Saya menulis di sini kerana ini dunia saya. Saya menulis kerana itu terapi saya. Saya berkongsi apa yang saya fikir dan rasa. Saya bukan mengharap sebarang populariti atau mahu dipuja. Saya menulis pendapat saya. Saya menegur supaya menjadi teguran semula untuk hati saya. Saya menulis sejarah saya supaya menjadi pengajaran untuk diri saya. Saya menulis kisah peribadi untuk saya kenang nilai dan memorinya. Saya menulis kisah hidup di sini bukan untuk berbangga sebaliknya inilah jalan perhubungan antara saya dan keluarga. Saya menulis supaya saya tidak lupa kenangan kembara hidup di Rusia. Saya menulis supaya saya sentiasa ingat siapa saya, kenang jasa, baiki kelemahan diri dari pengalaman yang penuh suka-duka dan supaya saya dapat mengingatkan diri agar tidak lari dari landasan agama.

Saya sayang dunia saya. Saya dapat berinteraksi dengan keluarga. Saya kenal ramai orang. Saya ada ramai kawan. Saya kenal kerenah manusia. Saya belajar ilmu dunia. Saya belajar menjadi kuat daripadanya.

Namun, saya tidak berhajat untuk terus hidup di dunia saya ini lagi. Saya perlu pergi untuk terus membina diri. Saya perlu pergi untuk menjadi lebih kuat lagi. Saya muncul dulu dengan lafaz salam dan sedikit kata-kata perangsang untuk diri sendiri meneruskan kembara di Tanah Tsar ini. Maafkan saya, saya tinggalkan semua dengan selaut kemaafan penuh ikhlas dari sudut hati dan lafaz salam sebagai tanda Dunia Sarah ini sudah tamat tempohnya.

Apresiasi dan apologi terdalam dari saya,
Sarah Mohd Shukor

Assalamualaikum wbt

Posted on January 24th, 2009 by Sarah  |  86 Comments »

Yang Berakhir

Assalamualaikum wbt

Saya baru saja menulis entri penutup di blog lama. Saya tak sangka saya menangis menulis entri tu. Banyak sungguh kenangan dan pelajaran hidup yang saya belajar di situ.

Saya sedih terpaksa meninggalkan kelompok kawan-kawan dan pembaca yang sudi membaca di situ. Sedangkan apa yang saya tulis itu sebenarnya untuk diri saya sendiri. Kalau boleh saya masih mahu terus mendengar khabar mereka tapi sengaja saya tidak memaklumkan tentang blog ini supaya privasi saya terjaga. Kalau ada rezeki kawan-kawan yang jumpa, alhamdulillah, saya gembira. Cuma, saya mengambil langkah untuk tidak membiarkan kelompok yang saya elakkan daripada tahu dan muncul di sini.

Sebenarnya ada banyak sebab kenapa saya akhirnya berpindah ke sini. Saya tak mahu ceritakan. Cukuplah saya dan keluarga saja yang tahu. Dan sebab itu saya sangat terharu dengan hadiah daripada adik saya ini.

Semasa sedang menulis entri ini, beberapa komen sudah mula masuk ke entri penutup itu. Saya menangis membaca komen-komen itu. Tambahan pula saya sedang memasang nasyid Fatamorgana nyanyian Hijjaz itu. Sebaknya rasa. Kalau ikut fe’el saya yang suka melambangkan perasaan saya pada apa tekak saya rasa, sekarang ini saya rasa sangat pedih tekak dan terasa seperti bergetar jiwa. Sebak dan sedih.

Saya sangat memaksudkan tanda apresiasi saya buat kawan-kawan di situ. Dan saya juga sangat memaksudkan apologi dari hati saya atas segala ketegasan, kedegilan dan kelantangan saya dalam menyuarakan apa yang saya rasa.

Terima kasih buat kawan-kawan di blog itu. Maafkan saya atas segala keburukan dan kelemahan diri saya kalau-kalau saya dah membuat kamu semua terasa.

Kalau-kalau ada yang sudah jumpa blog ini, saya ucapkan selamat datang dan semoga ukhwah kita dapat diteruskan di sini pula. Jangan risau. Saya masih saya yang sama.

Hai. Assalamualaikum. Nama saya Sarah. Sarah Mohd Shukor. Saya masih saya yang sama. Cuma saya sudah berjiwa baru, insya Allah.

Yang berakhir adalah di sana. Yang bermula adalah di sini.

Posted on January 24th, 2009 by Sarah  |  36 Comments »