Menjadi Wanita

Assalamualaikum wbt

Semenjak mula bercuti seminggu yang lalu (baru seminggu bercuti tapi saya dah rasa seperti dua minggu), saya tidak menulis sesuatu yang bermanfaat sangat pun. Semuanya lebih kepada aktiviti harian saja. Apa ini diari online sayakah? Harapnya saya tidaklah merepek yang tak tentu hala di sini.

Sebenarnya saya ada satu azam sempena tahun baru lalu yang saya kira sangat baik untuk peringkat umur seperti saya. Cara saya bercakap ini seperti saya ni sudah tua saja. Ok. Tukar cara berfikir. Ini bukan cara orang tua berfikir tapi cara seorang anak muda hendak mematangkan lagi diri.

Saya berniat untuk menjadi lebih lemah lembut dan berhemah dalam setiap tindak-tanduk saya. Baik cara membawa diri, bercakap mahupun menulis sekalipun. Tapi, semakin mendekati tahun baru lepas, semakin banyak dugaan datang. Provokasi yang datang bertimpa-timpa menyebabkan saya kalah dengan emosi.

Saya menjadi semakin mudah diprovok. Semakin lama saya menjadi semakin tegas. Baik dari segi pembawaan diri mahupun cara menulis. Saya akan mempertahankan apa yang saya rasa patut disuarakan. Dengan cara yang tegas. Bila saya mngkaji semula diri sendiri, saya akan malu dengan ketegasan yang melebih-lebih yang muncul dengan tiba-tiba ini.

Dulu saya bukan begini. Saya boleh bertoleransi dengan apa jua provokasi yang datang. Saya lebih mudah mengalah terutamanya jika dijolok-jolok dek api-api panas yang muncul di dalam hidup saya. Saya lebih senang mengundur diri dan diam. Tapi sejak provokasi yang terjadi di sekitar awal tahun baru lalu, saya susah hendak bertoleransi dengan perkara-perkara yang menyesakkan saya apatah lagi yang tak menepati selera saya. Cara saya menjawab komen juga tegas. Dan saya betul-betul akan menegaskan apa yang menjadi prinsip saya. Dalam erti kata lainnya, saya semakin emosional.

Saya geram juga kerana saya menjadi semakin tegas begini. Sebab saya terasa jauh dengan kehidupan yang dulu. Tapi entahlah. Susahnya untuk saya berpatah ke belakang. Yang saya tahu sekarang saya menjadi lebihΒ  pengabai (ignorant) berbanding dulu. Inilah fasa baru dalam hidup saya sejak dua, tiga minggu yang lalu.

Kalau ada yang meletakkan azam untuk mendapat 11A1 dalam SPM tapi tidak berjaya mencapai target, begitulah yang saya rasa bilamana diri saya menjadi tegas seperti sekarang. Apa yang saya rasakan tidak kena, saya akan abaikan saja daripada perhatian saya. Tak perlu dilayan. Begitulah betapa ignorant-nya saya kini. Nampaknya, entah bilalah hajat saya hendak menjadi lebih lemah lembut dan berhemah akan tercapai. Betullah pesan Baginda Rasul. Halangan terhebat sesuatu niat itu ialah hatinya sendiri.

Pesan ustazah sewaktu sekolah rendah dulu, kalau hendak menjadi orang yang berakhlak, kita kena mulakan dengan mengamalkan doa-doa harian sebagai satu kelaziman dalam hidup. Segala doa. Masuk-keluar tandas, sebelum-selepas makan, hendak-bangun tidur, tengok cermin, pakai baju, keluar rumah dan segalanya. Bila kita berniat dan berdoa, kita akan lebih mengawal tingkah laku kita. Hasilnya, kita akan lebih berhemah dan menjaga tingkah laku kita.

Saya hendak mencuba. Sebab saya betul-betul hendak mengubah diri saya yang sedia ada. Saya hendak menjadi lebih lemah lembut selari dengan tuntutan adat dan agama.

Nota 1: Tapi saya tahu saya takkan boleh berjalan lemah gemalai. Auw. Masa itu emas bagi saya. Dan saya tak boleh bayangkan saya berjalan melenggang macam itik pulang petang tu. πŸ˜€

Nota 2: Ada ke perkataan pengabai? Macam Bai Bai Baiya je bunyinya. πŸ˜›

Posted on January 28th, 2009 by Sarah  |  34 Comments »

Berita Gembira

gg

Assalamualaikum wbt

Saya gembira sangat hari ini. Ok. Pertamanya tengkuk sudah baik. Hikmat penangan tidur dengan cukup dan membaca mentera kepada tilam. “Hai Encik Tilam, janganlah terajang tengkuk saya.” Tapi kalau menurut emak, diberinya petua menjemur bantal. Di sini matahari pun tak nampak, nak dijemur di bawah apa ye.

Keduanya kerana gambar ini. Hari ini saya tahu satu berita gembira. Di sebalik gambar ini terukir segalanya. Inilah kawan-kawan baik saya. Semoga mereka semua sihat-sihat saja dan gembira dengan apa yang mereka ada.

Saya ni nampak sangat dah tiada gambar lain yang nak diletakkan. Kitar semula gambar lama sajalah kan. Tapi memang gambar ini yang terbaik untuk menceritakan apa yang saya rasa. Doakan saya pula ye kawan-kawan sekelian! πŸ˜‰

Nota: Doa dengan sesungguh-sungguh doa. Tapi saya takut dengan doa saya sendiri. Peliknya saya ni.

Posted on January 27th, 2009 by Sarah  |  43 Comments »

Terasa Hati

Assalamualaikum wbt

Kalau empat hari pertama cuti saya bangun awal pagi seperti hendak ke hospital, tapi sejak tiga hari kebelakangan ini saya bangun lambat kerana tidak tidur malam langsung. Saya benci sungguh hendak makan ubat saya. Dunia tidur saya terbalik. Saya langsung tidak boleh tidur di waktu malam. Selepas Subuh, baru saya mulai mengantuk. Bertahan. Bertahan. Stok ubat ini hanya untuk seminggu saja lagi.

Semalam, sudahlah bangun lambat (membuka pekung di dada sungguh penyataan ini), ditambah dengan sakit tengkuk pula. Ya Rabbi. Saya tak boleh nak memusingkan kepala dengan normal. Macam robot jadinya. Ini gara-gara saya tidur berbantal. Ya. Saya tidur berbantal. Pelik sungguhlah kan sebab orang lain boleh sakit tengkuk jika tidur tak berbantal. Saya memang biasa tidur tidak berbantal. Luruskan saja badan dan bantal semua jadi penutup muka saja. Tapi semalam selesai Subuh, terlalu mengantuk, saya naik katil dan tak sempat hendak mengalih bantal dan terus tertidur.

Sepatutnya saya dah berpakat dengan Wanie dan Diba untuk ke Ashan City hendak membeli barang rumah. Sebelum itu mereka ke Dean’s Office. Saya tinggal di rumah. Tapi selesai Asar saya tidak rasa saya larat hendak keluar ke sana. Saya menelefon Wanie membatalkan penyertaan saya. Sebaliknya saya turun ke pasar di sebelah ni untuk membeli sabun basuh baju, jus dan shaurma (kebab ayam) untuk dibuat berbuka. Sebelum itu Emy ada mesej memaklumkan dia makan di luar dan akan lambat untuk balik memasak.

Ketika membeli sabun pun ada kisahnya. Saya ni peliklah. Apa saya ni terlalu kecilkah sehingga orang selalu menganggap saya ni budak-budak? Ok. Bukanlah budak-budak yang macam kanak-kanak tu tapi masih muda dan tak layak untuk membuat banyak hal lagi. Juga saiz saya tidak berkadaran dengan banyak kerja. Saya tidak pernah terasa sebelum ini kalau orang kata saya rendah ke, kecil ke atau apa-apa sajalah kerana jika di Malaysia, ketinggian seperti saya ini adalah normal.

Tapi semalam, ketika hendak membeli sabun basuh paket besar 5 kg, makcik kedai itu membuatkan saya terasa. Pada mulanya saya hendak membeli yang 9 kg, saiz terbesar yang biasa digunakan di rumah saya tapi saya tidak larat hendak membawa balik kerana saya ada membeli dua kotak besar jus. Saya bertanyakan harga padanya dan dia bertanyakan semula pada saya adakah saya yang akan mengangkatnya balik. Tak menjawab soalan sungguh makcik tu. Saya katalah iya. Siapa lagilah yang hendak mengangkatnya kan.

Makcik itu tergelak. Mula-mula kecil-kecil saja dia tergelak. Lepas tu makin menjadi-jadi pula. Sampai saya dah nak balik pun dia ketawa lagi. Siap tutup-tutup mulut lagi nak elak ketawanya pecah besar. Dia kata, saya ni kecil, benda tu berat. Macam mana nak bawa balik. Kerja-kerja macam ni tak sesuai untuk saya ni. Saya terasa sungguh dalam hati. Ada lagilah beberapa perkara yang dia katakan. Saya senyum sajalah. Tapi dalam hati saya terasa sungguh. Selepas membayar, saya menjawab segala hujah-hujah makcik itu tentang ketidaksesuaian kekecilan saya dengan kerja yang saya lakukan dengan berkata: Kak sdelat? (Dah tu, apa boleh saya buat?)

Sebal sungguh hati bila balik ke rumah. Maghrib masuk, saya berbuka dengan syaurma yang dibeli tadi. Minum jus, solat Maghrib dan melayan internet sekejap sementara menunggu Isyak. Sebaik azan saja, saya terus solat dan kemudian naik ke katil. Baru hendak tidur, saya mendapat panggilan daripada emak ayah. Mesti emak ayah sedar betapa saya tak ada mood sangat nak bercakap. Yang lagi ajaib, waktu itu di Malaysia sudah pukul 12.15 malam. Emak ayah pun tidak tidur lagi tapi saya yang di sini sudah hendak tidur. Sedangkan baru pukul 7.15 saja.

Saya terjaga sekitar 1.15 tadi. Saya lapar sebenarnya. Tadi saya berbuka dengan syaurma saja. Tapi ni dah tengah malam pula untuk makan benda berat. Sakit tengkuk berkurangan sedikit tapi masih sangat sengal untuk pusing keliling. Kalau ada mata macam sumpah-sumpah kan seronok. Tak perlu gerakkan tengkuk untuk melihat keliling. Tapi buruk sungguhlah kalau manusia bermata sumpah-sumpah kan. Saya boleh masuk Genius Book of Records kalau sungguh saya ada mata begitu! Eh apa pula. Buku Perkara-perkara Ajaib Di Dunia lah yang tepatnya!

Fahamkah apa yang saya nak cerita dalam entri ni? Saya nak kata saya terasa saja sebenarnya. Saya normal je sebenarnya tapi di sini saya selalu dikatakan kecil sangat dan rendah. Terasa sungguh. Dengan selingan pasal sakit tengkuk, mata sumpah-sumpah semua tu, tu penyeri dan pemanjang entri saja.

Nota 1: Tahukah anda, saya adalah pengamal perubatan yang masih percaya dengan teori angin dalam urat saraf dan segala yang agak tidak logik diterangkan dengan konsep ‘angin’ tu. Haha.

Nota 2: Sebenarnya, bila kita terasa dengan orang, ada doa yang boleh kita lafazkan doa: Alhamdulillahi ‘ala kulli hal (Segala puji bagi Allah atas segalanya) (Al-Albani mentashihkan hadis ini dalam Sahih Al-Jami’ 4/201). Dulu waktu kecil-kecil, bila bergaduh mulut dengan sepupu-sepupu dan diejek itu ini, modalnya nak bagi dia sakit hati ialah dengan menyebut Alhadulillah. Sebab dia tahu orang yang dikeji bila disebutkan Alhamdulillah akan mendapat pahala daripada kejian yang diterimanya (ni Tok yang cerita dulu-dulu).

Sepupu: Awak tu dah lah hitam.

Saya: Alhamdulillah.

Sepupu: Eii. Buruk pulak tu.

Saya: Alhamdulillah.

Sepupu: Rambut pun buruk jugak.

Saya: Alhamdulillah je laaaaa.

Sepupu: Eiii. Maaaaaaaak. Tengok Kak Ngah!

(Ahahaha. Dia bengang sebenarnya!)

Posted on January 27th, 2009 by Sarah  |  21 Comments »

Selamat Tahun Baru Cina

Assalamualaikum wbt

Sewaktu sekolah rendah, keluarga saya mempunyai kenalan rapat yang merupakan sebuah keluarga Cina. Keluarga Hiu. Kami adik beradik memanggil mereka Uncle Hiu dan Aunty Hiu. Uncle Hiu sebenarnya merupakan pegawai insuran yang selalu berurusan dengan keluarga saya. Setiap kali hari raya, tidak sah jika dia tidak datang berkunjung. Kalau ada Laksa Penang yang emak masak, dia takkan serik untuk makan walau pedas macam mana sekalipun asalkan kicap turut disertakan.

Apabila tiba Tahun Baru Cina, kami akan ke rumah mereka pula. Makan biskut, minum air macam-macam warna, makan limau sampai siap dibekalkan untuk dibawa balik dan dapat ang pau merah. Memang seronoklah kan kalau dapat ang pau. Sebenarnya memang tak sabar nak balik setiap kali ke rumahnya. Bukan sebab tak suka berada di situ tapi sebab tak sabar nak tahu berapa ringgit yang terisi dalam ang pau yang dihulurnya. Tapi sejak saya ke sini, saya memang sudah tidak bertemu dengan Uncle Hiu lagi.

Seorang lagi kawan ayah yang selalu ke rumah ialah Uncle Yap. Dia merupakan seorang kontraktor. Rumah kami pun dialah kontraktornya. Dia selalu ke rumah kami. Kadang-kadang tu tujuannya bukan sekadar hendak melawat tapi hendak memeriksa keadaan rumah kami kalau-kalau perlu dicat barukah, berhajat hendak menambah apa-apakah. Orang berniaga memang selalu fikir begitu kan.Padahal rumah saya masih elok sempurna.

Uncle Yap ni jenis yang mengambil berat. Bila dia datang, dia suka bertanya pasal pelajaran. Tanya periksa nombor berapa. Tanya nanti besar nak jadi apa. Bila dia tahu kami adik beradik dapat nombor sekian-sekian, dia akan bagi nasihat suruh belajar pandai-pandai supaya tak susah di hari muka. Suka betul dia bagi nasihat begini. Sampai dah boleh hafal dialognya. Kalau Uncle Hiu sangat berbudi bahasa orangnya tapi kelihatan moden, Uncle Yap pula masih pekat dengan segala dialek Hakka-nya dan begitu juga dengan cara berpakaiannya yang betul-betul tipikal Cina.

Tapi saya suka Uncle Yap. Dia ni juga mesti datang beraya ke rumah pada hari raya. Kalau dia datang beraya, kami pun dapat duit raya. Dulu-dulu dapat RM2 tu dah cukup banyak kan. Seronoklah rasa. Duduk dalam rumah pun boleh dapat duit raya. Uncle Yap ni kalau datang ke rumah, dia usung habis semua anak-anak lelaki dia, kaum kerabat dia sekali. Dulu saya ingat lagi nama anak lelakinya yang bekerja dengannya tu. Tapi sekarang sudah lupa. Dia selalu panggil saya Amoi saja. Tu sebab dulu saya ingat namanya. Bayangkanlah. Saya mengenali mereka semua ini sejak berumur 6 tahun ketika rumah saya sedang dibina.

Tapi sekarang pun saya sudah tidak mendengar cerita mereka. Yang saya tahu, Uncle Yap tidak berapa sihat. Dia kuat merokok. Saya pernah terserempak dengannya di hospital dulu.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada Uncle Hiu dan keluarga, Uncle Yap dan keluarga, Uncle Pajak Gadai sebelah kedai ayah dulu, Uncle Patrick kawan emak di Boss Optical, Esther dan Justin kawan-kawan rapat saya di sini dan juga dua kawan baik saya, Faaiqah dan Hidayah Hassan, yang kedua-duanya mempunyai darah keturunan Cina dalam keluarga mereka.

Buat Farah Ramlee yang juga merupakan anak campuran Melayu-Cina, Kak Ngah gembira atas penghijrahan yang awak lakukan sempena Tahun Baru Cina kali ini. Semoga Allah merahmati kamu dan jalan yang kamu pilih ini. πŸ™‚

Nota 1: Saya sakit tengkuk. Tak dapat nak menghadap laptop sangat membaca blog kawan-kawan.

Nota 2: Selamat datang kepada yang baru menemui blog ini. Sepuluh jari disusun sekali lagi (masihlah saya kena ucapkan ni selagi penemuan tak sudah-sudah ni masih terjadi). πŸ˜‰

Posted on January 26th, 2009 by Sarah  |  4 Comments »

Selamat Hari Lahir Wanie

wanie

Pada pagi-pagi yang menyinsing
pada malam-malam yang hening
adalah kau matahari
adalah kau bulan bersemi
juga seluruh detik masa
antara keduanya.

Aku takkan mampu
membawa satu tamsilan.
Atau menggubah sesuatu
untuk kubuat bandingan.
Kalau itulah kejayaanku
maka itulah kejahilanku
kerana mencipta kau yang kedua
tak tertanding pada kau yang sedia.

Kerana kau lembut budi, sopan diri,
senyum manis, luhur terpuji.
Kerana kau berani berdiri, teguh sendiri,
diam bernyawa, riuh berjiwa.
Kerana kau keharumanku yang indah
kerana kau sahabat yang setia.

Assalamualaikum wbt

Saya tak perlu menghurai panjang. Sajak ini menceritakan segalanya. Betapa ‘kau’ itu istimewa orangnya. Mustahil ada taranya. Hanya satu dalam dunia. Selamat hari lahir yang ke-22 buat Wanie. Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan segala yang terbaik buat kamu.

KS selalu berangan, kalaulah KS sebaya kamu, mesti lebih seronok meniti hari-hari di sini bersama-sama. Kita boleh ke kelas bersama, berpasangan dalam pingpong untuk tempoh yang lebih lama, berkongsi nota, berbincang isu semasa, bermuzakarah agama dan yang paling berharga mencari erti hidup bersama-sama. Mesti ada hikmahnya kenapa Allah temukan kita dengan dua tahun beza. Supaya kita lebih menghargai setiap detik yang ada dan supaya kita lebih sayang sesama kita. πŸ™‚

Selamat hari lahir Wanie!

Nota: Selamat datang kepada yang baru menemui blog ini. Sepuluh jari disusun sekali lagi. (Masih kena ucap ni selagi penemuan tak sudah-sudah ni masih terjadi) πŸ˜€

Posted on January 26th, 2009 by Sarah  |  21 Comments »