Saya tiada mood sungguh untuk buat apa-apapun semalam. Bangun awal pagi dah. Sedang saya membaca nota, saya menerima mesej dari senior bahas saya sewaktu sekolah di Khairiah dulu. Mengkhabarkan berita baik darinya. Saya amat rapat dengannya tapi sayangnya melepaslah saya untuk ke walimahnya. Nampaknya, kehilangan dan kesunyian semakin dirasai.
Saya rasa macam tiada mood sungguh. Saya ke dapur dan tak pasal-pasal saya masak Nasi Lemak untuk sarapan pagi semalam. Siap dengan teh susunya. Selesai memasak, makan dengan menghadap laptop dan kemudian saya sambung membaca. Sebelum Zohor, saya terlelap sekejap. Bangun, solat Zohor, mandi, hendak solat Asar hajatnya tapi saya menerima mesej daripada seorang kawan baik di Malaysia. Oh. Seorang lagi yang akan melangsungkan walimahnya. Kehilangan dan kesunyian makin terasa.
Saya solat Asar dan kemudian duduk menekun untuk membaca semula. Tapi tak masuk. Tak boleh fokus. Perasaan tiada mood tu lebih menguasai. Berat betul rasa kepala. Saya ke dapur. Keluarkan ikan dari peti, solat Maghrib dan kemudian ke dapur semula untuk menyiang ikan, kupas bawang semuanyalah untuk menyediakan makan malam pula. Wanie dan Diba teringin nak makan Asam Pedas. Jadi semalam saya buatkanlah Asam Pedas. Sambil memasak, saya memasang radio Relax.fx kuat-kuat (guna earphones). Kalau boleh tak mahu dengar apa-apapun tentang dunia ni.
Selesai memasak, makan, berborak acuh tak acuh dengan Wanie dan Pena, sudahnya saya tidur. Waktu tu baru pukul 7 malam. Tapi saya dah tak boleh fikir nak buat apa. Daripada terus rasa moody, baik saya tidur. Yang saya geramkan pada diri saya ialah, semalam saya makan banyak sangat. Dua kali makan Nasi Lemak, petang makan nasi dengan lauk pula. Lepas tu terus tidur! Sikitpun saya tak keluar dari rumah hari semalam. Rasa nak pecah kepala ni duduk dalam rumah dan bilik saja.
Bila terbangun, ada Sha datang. Saya berbual dengan Sha dan yang lain-lain sehingga tengah malam. Sha masih belum makan. Saya mengajak Sha makan. Nah! Saya makan untuk kali yang keempat semalam! Tengah malam pula tu! Kononnya nak bersahur tapi tiga pusingan nasi sepanjang siang semalam dah lebih dari cukup untuk bekalan tenaga berpuasa hari ni. Tak sahur dengan nasi pun tak mengapa dah. Tapi gatal juga nak makan nasi.
Bertambahlah moody dengan diri sendiri. Bencinya bila ada perasaan tak sedap macam ni. Rasa berat kepala ni. Rasa buntu. Rasa nak pecah dada tak tahu nak buat apa. Nak membaca pun tak masuk. Nak bercakap dengan orang pun tak berperasaan. Tu yang jadi acuh tak acuh je bila bercakap.
Kesimpulannya, saya tiada mood. Saya budak gemuk. Saya tak suka apa yang saya fikir dan rasa sekarang ni. Saya tak sabar nak habis belajar dan lari dari kehidupan yang kosong dan entah apa-apa kat sini.
Nota: Politik Malaysia semakin hari semakin cacat. Serius cacat serba-serbi.
Posted on February 5th, 2009 by Sarah | 10 Comments »
Menjadi lumrah dalam hidup, ada satu peringkat itu kita akan rasakan semua yang terapat dalam hidup kita mulai menjauh dan meninggalkan kita. Mereka mula membina kehidupan sendiri dan terpisah dari kita. Tanpa boleh mengatakan ‘jangan’, mereka tetap akan pergi. Kita yang tinggal ini tiada pilihan lain selain untuk mendoakan kebahagian mereka.
Jika dulu kita ada tempat untuk bercerita itu ini, berkongsi seribu satu kenangan bersama-sama, menangis ketawa bersama juga berkongsi rahsia. Tetapi sampai satu tahap itu, kita terpaksa melepas pergi semua peluang ini. Kerana mereka mulai membina kehidupan sendiri dan berkongsi segala cerita dengan orang lain. Yang jauh lebih penting.
Memang susah untuk merelakan tetapi di sudut hati kita gembira kerana mereka sudahpun bertemu dengan separuh jiwa mereka yang boleh membahagiakan mereka. Dalam kita merelakan, kita juga mendoakan. Moga-moga mereka bahagia. Moga-moga juga mereka tak lupakan kita.
Persoalan yang paling utama untuk kita, kenapa perlu ada rasa terkilan itu? Sebenarnya, apa yang paling tepat untuk menghuraikan rasa terkilan itu? Kerana kita rasa kehilangan atau kesunyian berseorangan?
Nota: Cintaku tertinggal di Malaysia.
Posted on February 4th, 2009 by Sarah | 23 Comments »
Ucap tama untuk hari ini, selamat hari lahir untuk roommate saya, Fatt. Dah 22 tahun dah umurnya. Semoga dimurahkan rezeki dalam segalanya. Malam tadi kami serumah masak-masak dan menjemput kawan-kawan yang dah balik dari bercuti datang ke rumah. Buat ringkas saja.Kawan-kawan rapat saja.
Yang seronoknya, bila bertemu dengan junior-junior saya ni, banyaklah cerita yang keluar. Paling lucu, bila saya dan Wani Mohammad bersidang berdua atas katil bercerita itu ini sehingga hampir 1 pagi. Topik perbualan kami punyalah luas. Bermula dengan cerita haiwan peliharaan kucing-kucing di rumah, melompat ke cerita haiwan yang menggelikan lipas, katak pisang semua tu, terus ke cerita ular lidi, ular kapak masuk rumah, cerita macam mana kucing masing-masing mati pula, melompat pula ke cerita rumah hendak dimasuki pencuri zaman dulu-dulu dan diakhiri dengan cerita budak-budak minum ubat batuk.
Lengkap satu kitar dunia, barulah kami tiba ke topik yang boleh memberikan kesimpulan dan peringatan yang baik untuk kami. Cuba bayangkan kalau kami berhenti setakat cerita katak pisang melompat dari lubang jamban ke atas, apa faedahnya yang kami dapat ye? Nasib baik waktu kawan-kawan serumah Wani ni nak berangkat balik, kami dah tiba ke cerita ketagih minum ubat batuk tu. Ada juga pengajarannya. Hehe.
Selesai semuanya, kami mengemas meja, rumah dan dapur. Masya Allah. Banyaknya lipas bila musim sejuk ni. Serius. Esok servis racun lipas tu akan datang ke rumah untuk menyembur racun. Keadaan di sini pelik. Lipas memang banyak tapi kecil-kecil saja saiznya. Kalau nak dibandingkan dengan lipas Malaysia yang besar dan boleh terbang tu, memang jauh panggang dari api jawabnya. Lipas sini kalau ditemukan dengan lipas Malaysia memang akan merasakan kompleks inferioriti yang tinggi. Jadi tadi kami mengosongkan dapur kami kerana servis itu akan datang pagi esok dan demi kebersihan dan keselamatan pinggan mangkuk periuk kuali kami, semuanya kami pindahkan ke ruang tengah rumah.
Selepas selesai urusan pindah randah, saya mengambil pewangi rumah dan dengan sengajanya saya gunakan sebagai penyembur serangga. Haha. Berlonggok mati lipas kecil-kecil tu. Serba guna juga rupanya penyembur ni. Harum semerbak dapur saya. Selesai menyapu, masuk ke bilik dan terus hendak tidur. Tapi Fatt, Mily dan Sha baru hendak mula menekun menonton filem Rogue. Kisah buaya ganas yang telah membaham ramai orang. Saya tak berhajat hendak turut serta. Jadi saya duduk menyandar di katil hendak menyambung membaca buku The Last Tsar itu. Tapi posisi itu membolehkan saya melihat skrin laptop Fatt.
Kemudian saya baring. Dari celah kerusi dan meja belajar saya, saya dapat melihat skrin juga. Bila saya paling ke arah bertertangan, memang tidak dapat melihat apa-apa tapi suara memang jelaslah kedengaran kan. Sampaikan, saya yang dah baring tu pun dapat menerangkan apa yang terjadi kepada mereka yang menonton! Sudahnya, saya capai cermin mata, duduk di atas katil dan menonton dari jauh.
Ya Rabbi. Rasa nak tercabut anak tekak saya menonton filem itu. Asyik terkejut itu, terkejut ini. Saya yang paling jauh dari skrin. 3 meter kot jaraknya. Tapi saya yang paling selalu terkejut. Dah namapun penakut kan. Kena sergah sikit dek buaya besar tu, saya dah menjerit dah. Bila ada satu babak ni, saya dah mula ada semangat untuk menonton dari dekat (tapi saya tanggalkan pula cermin mata saya). Hahaha. Jadi saya menyelit di tepi Sha. Tiba-tiba, waktu itulah buayanya muncul. Saya terus cabut duduk di meja saya. Menonton dari jauh lagi baik untuk saya kot. Haha.
Jalan ceritanya kira baguslah juga. Cuma pelik kenapalah bantuan keselamatan lambat sangat tiba. Macam tak logik saja. Kalau dah namanya safari air, patutnya sebarang kehilangan dikesan dengan segera jika bot tidak pulang pada waktunya, kan. Ok ok. Saya bukan hendak buat review pun kat sini.
Tapi sekarang yang saya perlukan ialah air masak dan ubat batuk (Eh, ubat batuk? Baru tadi dapat pengajaran. Tapi saya bukan nak tonggak minum sampai ketagih tu. Hehe). Tekak sakit. Harap nanti saya kahwin dengan orang yang tak berapa nak berani macam saya juga. Jadi tidaklah dia ajak saya tengok cerita seram, hantu atau yang memerlukan kuasa tekak untuk menjerit ni. Menjerit dan terkejut (dan ketakutan) pada masa yang sama adalah sangat memenatkan.
Nota: Belajar tanpa terikat dengan jadual kelas adalah sangat santai. Cepat betul masuk. Alhamdulillah 😉
Posted on February 3rd, 2009 by Sarah | 21 Comments »
Perasan atau tidak, sebenarnya masyarakat kita ini bila diprovok, dihadapkan dengan satu isu besar baru hendak tergadah. Baru hendak peduli keliling. Baru hendak melatah mengucap panjang. Tapi sebelum sesuatu itu terjadi, kita selalu terlupa hendak periksa diri sendiri.
Sebulan dua yang lepas, isu blog Adiba Ahmad yang mempermainkan Islam, mengeji Nabi Muhammad SAW dan menyamakan Islam itu dengan segala kejijikan tiba-tiba menjadi perhatian ramai. Semua panas dan berapi dengan kejian dan hinaan yang dilemparkan oleh si pembawa propaganda.
Sedangkan kalau kita sedar, keadaan mempersendakan Islam itu telah lama wujud dalam masyarakat Islam itu sendiri. Tak lama selepas blog itu ditutup, si pembawa propaganda bodoh itu menulis di tapak baru pula. Masih dengan tema yang sama. Tapi masyarakat sudah tidak sepanas kemunculan blog yang pertama. Adakah sentimen kesedaran itu wujud sacara berkala? Bila dah muak, terus tutup mata saja.
Dan beberapa hari kebelakangan ini, muncul pula blog baru. Kali ini bahasa perantaraannya adalah Bahasa Inggeris. Kali ini penulisannya lebih berani dengan mengutarakan perbandingan yang lebih ilmiah yang kononnya lebih relevan untuk membuktikan Islam itu buruk dan penuh dengan cacat-cela. Saya tak pasti bagaimana media di Malaysia menerima kemunculan blog yang ini pula. Terkejut beruk seperti kemunculan blog pertama dulu atau tidak. Tapi pendekatan blog yang terkini ini lebih merbahaya. Dia membuat perbandingan. Kalau ada yang baca dan tidak kuat aqidahnya, boleh terangguk-angguk percaya. Angguk-angguk sikit-sikit pun dah boleh terpesong aqidah. Bahaya sungguh.
Tambahan pula, bahasanya ialah Inggeris. Segala jenis bangsa pun boleh baca dan memahami. Cuma kali ini dia tidak memberatkan kepada mana-mana agama. Kononnya si pembawa propaganda kali ini mengamalkan pegangan tanpa agama. Siap ada beberapa testimoni daripada beberapa orang Melayu Murtad yang bangga tidak lagi berpegang kepada mana-mana agama. Dalam testimoni tersebut, mereka menjelaskan kejelekan yang mereka lihat wujud dalam Islam yang menyebabkan Islam itu tidak layak sama sekali untuk dipilih sebagai agama yang benar.
Saya tak teragak-agak untuk mengatakan mereka inilah yang bodoh kerana penilaian dibuat secara kasar dan bukannya dengan kajian untuk mengetahui sebab dan hikmah kenapa wujudnya syariah yang sedemikian dalam Islam.
Antaranya, dia mempertikaikan kenapa perlu memakai tudung yang baginya adalah sangat bodoh untuk dilakukan di negara yang panas lembap seperti di Malaysia itu. Katanya, tak bertudung ke, bertudung ke, potensi untuk dirosaki oleh lelaki sama saja. Hey, tak berakal sungguhlah alasan. Lagi, segala yang dipertikaikannya tentang hak suami untuk memukul isteri setelah dinasihati dan berasingan tempat tidur itu adalah sangat jelas menunjukkan bahawa dia seorang yang ‘banyak cakap dari ilmunya’.
Dengan terang-terang dia menyebut bahawa ‘suami berhak memukul isteri jika isteri tidak membuat seperti yang disuruhnya’. Hey! Dalam erti kata ini, Islam bukan membenarkan suami memukul isteri bilamana dia tidak mahu buat apa saja yang diminta oleh suami. Spesifiknya dalam kes ini ialah apabila isteri membuat kemungkaran. Bukannya bila suami suruh isteri buat sambal belacan, tapi si isteri buat budu, lepas tu suami tegur, si isteri buat lagi, pisah tempat tidur pula dan seterusnya boleh pukul terus. Bukan begitu. Dalam hal ini memukul tak disabitkan dalam kes langsung. Sebab bukan berunsur kemungkaran pun.
Hai lah manusia. Nampak sangat si pembawa propaganda ini tidak berilmu ketika dia masih Islam. Mana tidaknya. Al-Quran pun dibacanya lompat-lompat. Ada pula ibu bapa yang tidak melihat Islam sebagai jalan hidup. Pulak tu, boleh pula dia berbangga sebagai pemegang markah tertinggi dalam Pendidikan Islam sewaktu SPM dan dengan itu dia mengisytiharkan dirinya sebagai ‘seorang yang sangat faham dengan selok-belok Islam’ hanya kerana dia mendapat markah tertinggi dalam subjek tersebut. Hey hey hey. Pelik sungguhlah manusia ni.
Jadi sekarang, nak salahkan si murtad ini saja pun tak berguna. Memang cara hidupnya, didikan yang diterimanya sejak kecil tak menjuruskan dia menjadi seorang pencinta agama sebaliknya pencinta wanita, pencinta jejaka dan pencinta dunia. Jadi siapa yang patut dipersalahkan? Ibu bapanya? Ya. Itu memang. Lagi? Dirinya sendiri kerana terlalu bodoh untuk menilai yang disebaliknya? Pun ya juga. Pandai tu memang pandai dah tapi tak reti untuk berfikir. Lagi? Salahkan sistem pendidikan di Malaysia (Fardhu Ain dan Pendidikan Islam) yang menurutnya tak menggalakkannya untuk tahu lebih tentang benda yang baru? Sejak umur 7 hingga 11 tahun, asyik mengulang benda yang sama. Bosan jadinya. Pun ya juga. Salah masyarakat Muslim itu sendiri kerana tidak memperlihatkan tauladan yang baik? Mungkin ya juga.
Jadi, kesimpulannya, kes-kes murtad yang terjadi sekarang ini adalah salah kita semua. Salah bersama. Bilamana satu pihak dengan yang lain berkerjasama memperlihatkan yang buruk-buruk tentang Islam, baik dari segi tauladan, pendidikan, asuhan di rumah dan pekerti masyarakat Muslim itu sendiri, semuanya bergabung sehingga menampakkan Islam itu buruk. Ilmu tentang Islam pula tidak sampai secara menyeluruh. Hiburan dan ‘kebebasan’ yang dibawakan oleh agama lain lebih menarik hati.
Dalam bidang perubatan, ada satu sindrom ini namanya Robin Hood Phenomenon. Satu salur darah di jantung kecil saiznya kerana tersumbat. Satu lagi salur darah adalah normal. Apabila tersalah memberi ubat (Beta Blocker), saiz salur darah yang tersumbat tadi akan semakin mengecil dan darah tidak dapat melaluinya langsung. Jadi, jalan alternatif bagi darah ialah berpindah untuk melalui salur darah yang sihat tadi. Dalam kes ini, darah dikatakan telah ‘dicuri’ oleh salur darah yang kedua itu. Ini menyebabkan sebahagian tisu jantung tidak mendapat bekalan oksigen dan sebahagian yang lain mendapat oksigen yang berlebihan. Kenapa digelar sebagai Robin Hood kerana situasi ‘mencuri’ darah itu yang sinonim dalam lagendanya sebagai pencuri senyap-senyap.
Inilah situasinya sekarang. Laluan untuk orang semakin mengenal apa itu Islam sudahlah tersekat, tersumbat dengan segala macam halangan. Wujud pula jalan alternatif untuk manusia semakin mengecap kebahagiaan hidup di dunia. Mestilah ramai yang memilih jalan alternatif itu. Sudahnya, apa yang tinggal pada Islam? Semakin membusuk dan mati.
Jadi bagaimana hendak memperbetulkan keadaan ini? Betulkan diri kita sendiri, cari ilmu, kenali Islam, jadikan diri kita sebagai cermin untuk orang melihat keindahan Islam. Memang susah tapi kita kena cuba. Zaman Nabi dulu, kalau tidak Nabi sendiri yang menjadi contoh terbaik, para sahabat ketika itu pun boleh diharap untuk menjadi cerminan keindahan yang dibawakan oleh Islam. Jadi kita mesti berusaha menjadi seperti itu. Bagi yang berkuasa pula, betulkan sistem pendidikan dan sebaran maklumat. Apa guna ada kuasa tapi tak digunakan untuk membaikpulihkan mana-mana yang kurang.
Sebaliknya, jangan pula kita jadi tukang amuk, berapi membara-bara bila semua ini terjadi sedangkan di sebalik semua ini, kita juga ada sahamnya secara langsung atau tidak. Orang putih kata, let’s get back to the basic. Kita orang yang tak putih ni pun patut aplikasikan yang sama. Ayuh!
Nota 1: Saya peminat Afgan. Suaranya sangat bagus untuk telinga dan jiwa saya. Ini lagu yang paling saya minati. Mari hayati.
Nota 2: Saya memang minat Afgan! Ah, takde kerja betul saya ni. 😛
Posted on February 2nd, 2009 by Sarah | 41 Comments »
Siang tadi, saya tertunggu-tunggu Maghrib masuk. Saya tak sabar hendak solat dan tidur. Saya tak bersemangat hendak membuat benda lain. Tapi selepas selesai solat, Fareena dan Diba mengajak saya menonton filem lama tentang sejarah Rasputin. Sambil itu, kami semua makan nasi. Elok saja nasi sepinggan habis, mengantuk saya pun datang. Sebenarnya saya bukan mengantuk. Tapi saya bosan. Lebih-lebih lagi bila hari sudah gelap sekitar 5 petang, saya tak tahu hendak buat apa. Sesiapa yang ajak saya menonton apa-apa filem pun saya dah tak lalu dah. Bosan dengan rutin yang sama saja.
Bila bangun saja, saya rasa tak bersemangat sungguh. Nak buat apapun rasa tak menjadi saja. Rasa nak makan, nanti gemuk menjadi-jadi. Rasa nak mula belajar, mood memang tiada lagi. Rasa nak mengemas almari, saya nak tunggu roommates saya tidur dulu. Rasa nak memasak, bekas bakar kek rumah saya ada orang pinjam tak pulang-pulang. Rasa nak telefon orang, semuapun dah tidur di Malaysia. Rasa nak makan lagi, tak boleh. Nanti berat makin naik.
Sudahnya duduk di meja, belek-belek jadual untuk Spring Semester ini yang ada 9 posting yang pendek-pendek saja tempoh setiap satunya. Bila saya belek jadual ulangkaji yang perlu saya buat, baru rasa tersentap sikit. Apa lagi yang saya buat? Belek-belek nilai normal untuk segala jenis analisis dan mengosongkan laptop daripada segala fail yang tak diperlukan.
Esok siang (hari nilah tu), segalanya akan bermula. Insya Allah saya akan bangun awal pagi dan memulakan semula revision saya yang dihentikan sepanjang cuti sejak 21 Januari lepas. Malam ini malam terakhir untuk rasa tak bersemangat, malas-malas, tiada mood dan segala yang negatif ni. Kasi peluang untuk otak lepas tekanan dengan moody doody begini. Esok semuanya mesti berubah. Mesti.
Resolusi: Usaha lebih kuat, kurangkan tidur, kurangkan bercakap, kurangkan bermain, kurangkan internet dan lebih ignorant.
Bila tengok semula jadual Spring Semester ini yang tertulis di bawahnya ‘MALAYSIA, HERE I COME!!!’, rasa bersemangat sangat hendak memulakan hari esok dengan sebaik mungkin. Semoga tempoh seminggu sebelum sem baru bermula membolehkan saya mempersiapkan diri dengan mood belajar yang maksimum.
Nota: Bila berbual dengan Kaklong, mesti bermula dengan gembira-gembira, selisih pendapat sikit, geram-geram, gembira-gembira semula dan akhirnya akan sebak. Kaklong tetaplah Kaklong di hati saya.
Posted on February 2nd, 2009 by Sarah | 24 Comments »