Mimpi

Assalamualaikum wbt

Malam tadi saya bermimpi. Siap ada Wanie dan seorang kawan semasa sekolah rendah dulu yang turut muncul dalam mimpi kali ini. Saya cuba mengingati plot mimpi saya. Yang saya ingat, kami ada bergaduh untuk membacakan ayat Quran yang mana satukah untuk memberi peringatan kepada seorang kawan kami.

Sudahnya, ayat pilihan kami adalah daripada Surah Al-Fatir ayat ke-19. Satu lagi ayat yang kami balahkan untuk dibacakan ialah daripada surah ke-109. Ayat yang terakhir. Pada mulanya saya tidak ingat surah apakah itu.

Jadi, selepas Subuh pagi tadi, saya terus membuka Quran Tafsir berwarna biru yang saya letakkan di atas meja. Saya terus membuka surah Al-Fatir ayat ke-19.

“Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat.”

Untuk memehami maksud ayat ini, saya merujuk beberapa ayat sebelum ayat ini. Dalam ayat ke-18, telah menceritakan segalanya. Kalau kita berbuasa dosa, kita akan menanggung sendiri dosa kita dan kita tidak boleh mempertanggungjawabkan dosa kita ke atas orang lain. Untuk memahami dengan lebih lanjut, rajin-rajinlah rujuk Quran Tafsir masing-masing ya. Ada jalan cerita yang menarik selepas ayat ke-19 tu.

Seterusnya, saya mencari apakah pula surah ke-109. Kalau pandai mencongak susunan surah dalam Al-Quran, semua tahu kedudukan Surah Al-Kafirun di kedudukan yang teratas di muka kedua sebelum surah terakhir. Satu muka surat ada tiga surah. Jadi, Al-Kafirun merupakan surah ke-6 yang terakhir. Laju saya membuka Surah Al-Kafirun dan ternyata Al-Kafirun adalah surah yang ke-109. Ayat terakhir surah ini menyempurnakan penyudah mimpi saya malam tadi:

“Untukmu agamamu dan untukku agamaku.”

Kesimpulannya, mahukah kita memimpin hidup kita mengikut jalan selain daripada jalan agama kita? Dan sekiranya tersalah, adakah kita hendak mempersalahkan orang lain dan mempertanggungjawabkan kesalahan kita itu kepada mereka?

Allah sudahpun memberi peringatan dan pilihan. Tinggal kita saja untuk memilih: jalan agama-Nya atau jalan selainnya.

Nota 1: Kisah setahun dulu berulang lagi. Kredit untuk ayah saya kerana genetiknya yang ekspresif pada saya ni. 😛

Nota 2: Nota 2 untuk entri lepas tu skrip dalam drama Cinta Buat Ain lah. Takde maknanya saya nak menjiwang dengan ayat macam tu dengan kawan-kawan. Tak ke kembang tekak dibuatnya? Hahaha. 😆

Posted on March 13th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »

Ragut

Assalamualaikum wbt

Hari ini saya menggigil duduk di dalam bilik. Niat untuk keluar membeli barang peribadi yang sudah kosong terpaksa dibatalkan. Kepala berpusing sehingga berdiri pun tak stabil. Sejak pagi, tiada apa yang saya jamah lagi kecuali segelas air.

Kaki sejuk. Diselimutkan pun tetap sejuk. Bibir pucat. Hidung tersumbat. Dahi panas. Kulit bersentuh kulit adalah amat seksa rasanya. Sendi dan badan semuanya sakit. Nampak gayanya, ada potensi untuk demam teruk lagi.

Nak demam pun demamlah. Asal jangan kena jangkitan paru-paru lagi sudahlah. Seksa rasanya. Dan tolonglah jangan terlalu lama Kau ragut nikmat kesihatan ini, Ya Allah. Hospital saya jauh dan memerlukan tenaga untuk berulang-alik ke sana.

Lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin.

Nota 1: Betul kata kawan saya. Saya ni kerap demam. Sampai dah tegar dengan sakit-sakit semua ni.

Nota 2: – Saya kena ragut tadi. – Ha! Apa yang hilangnya? – Hati.

Posted on March 11th, 2009 by Sarah  |  44 Comments »

Pengembara

Assalamualaikum wbt

Sejak awal pagi semalam, berkali-kali saya menerima ucapan ‘s vesnoi!’ daripada kawan-kawan saya yang berbangsa Rusia. Maksudnya ialah ‘selamat bermusim bunga!’. Nampaknya, memang gembira sungguh mereka dengan keadaan cuaca yang sudah semakin memanas ni.

Suhu hari semalam hanyalah 0’C. Bagi kami di sini, suhu begini sudah sangat nyaman dan tidak memerlukan pakaian yang terlalu tebal. Yang sedang-sedang saja sudah cukup. Jalan sangat lecah sekarang ni. Salji dalam proses hendak cair. Di hujung seluar jeans yang dipakai tak terkata kotornya.

Hendak dijadikan cerita, semalam saya ke hospital seorang diri seperti biasa. Sampai di stesyen metro yang dituju, saya perlu menaiki bas pula untuk ke hospital. Saya sudah lupa nombor bas yang menuju ke sana tapi saya ingat nama jalannya. Jadi, saya pun membeleklah beberapa buah bas yang sudah sampai untuk mengambil penumpang. Saya jumpa sebuah. Nombor 141. Saya terus naik.

Di pertengahan jalan, bas ini membelok ke arah lain. Saya sedikit resah pada mulanya. Tapi disebabkan saya sudah terlalu biasa meredah ke mana-mana seorang diri, saya tidak kisah langsung kemungkinan bas ini akan melalui jalan lain dulu kerana saya yakin akhirnya ia akan melalui jalan berhampiran hospital juga. Sistem bas di sini sangat sistematik. Saya percaya pada laluan perjalanan yang tercatat di dinding bas.

Kalaupun sungguh bas ini akan menyimpang entah ke mana-mana lagi, insya Allah saya boleh survive. Saya bertolak awal dari rumah dan saya masih ada banyak masa waktu itu. Di sepanjang perjalanan melalui kawasan perumahan dan sekolah, mata saya fokus memerhatikan sekitar. Saya hendak cuba mengecam jalan. Saya berkata dalam hati, kalau akhirnya bas ini tidak melalui jalan yang saya tuju, saya akan turun saja di mana-mana nak menaiki teksi saja. Ini niat saya.

Tapi saya tidak terus turun. Suara hati saya kuat mengatakan jalan yang dilalui ini akan menuju ke arah hospital juga. Tidak lama kemudian, saya ternampak simpang empat dan di tepinya ada sebuah kiosk menjual minuman dan biskut. Saya cam tempat itu. Tanpa mendengar suara dari mesin suara automatik yang menyebut nama-nama perhentian bas di situ, saya terus turun.

Tadaaaaaa! Saya terus boleh melihat bangunan hospital yang paling tinggi dari tempat saya turun. Rupa-rupanya, bas itu melalui jalan belakang dan melalui simpang empat yang paling hampir dengan hospital. Biasanya, kami semua melalui jalan utama yang lurus saja dari arah bandar. Dari tepi jalan besar untuk menuju ke hospital pula, kami perlu berjalan kaki dalam 10 ke 15 minit. Tapi hari ini, saya hanya perlu berjalan selama 5 minit saja. Dalam keadaan santai pula tu.

Setiap yang terjadi itu pasti ada hikmahnya. Belajar dari pengalaman adalah pengajaran yang paling baik dalam hidup. Sedangkan Vienna dan Uzbekistan pun saya pernah pergi seorang diri, inikan pula setakat dalam Moscow ni saja. Insya Allah, selagi ada duit dalam tangan dan mulut tidak malu bertanya jika ada apa-apa yang tidak tahu, campaklah ke mana sekalipun, insya Allah, I will survive. Huahuahua. :mrgreen: Oh ya. Ini juga mungkin adalah hikmah di sebalik memulakan perjalanan dengan doa keluar rumah dan langkah kanan. 🙂

Nota 1: Esok dan seterusnya saya akan menaiki bas itu lagi, insya Allah.

Nota 2: Dalam metro menuju ke stesyen yang dituju, dua orang makcik masuk dan duduk di tepi saya. Saya sedang berdiri ketika itu. Menurut mereka, baru saja sebelum itu ada seorang pemuda mati dibunuh di Vakzal Kurskaya (Stesyen Keretapi Kurskaya). Jadi untuk junior yang menggunakan laluan biru tua menuju ke Ismailovkaya mahupun semua pelajar tahun lima dan enam yang menuju ke Semenovskaya atau Pervomaiskaya, semoga kita semua lebih berhati-hati. Geng tu dah mula beroperasi kot. 😡

Nota 3: Hari ini hari pelepasan untuk group saya. Library day. Bukan cuti umum. Tapi hari untuk ke perpustakaan mengambil buku (jika perlu) dan membuat persiapan sendiri (self-study). Kebetulan terdemam pula malam tadi. Jadi hari ini hari untuk berehat saja di Dunia Sarah.

Posted on March 11th, 2009 by Sarah  |  26 Comments »

Sambutan Hari Wanita 2009

71

Assalamualaikum wbt

Semalam, kami di sini meraikan Hari Wanita di Kedutaan Besar Malaysia. Khas untuk perempuan saja bersama staf wanita pihak kedutaan. Memang meriah. Di awal pagi lagi, aktiviti Women Amazing Race (WAR) sudahpun bermula. Housemates saya yang lain semuanya menyertai WAR. Hanya saya dan Emy yang tidak menyertai WAR.

Pertandingan sajak telah bemula seminggu lebih sebelum itu lagi. Pada mulanya, saya memang berniat untuk menyertainya tapi saya rasa idea saya semakin kaku dan tiada jiwa. Jadi, saya batalkan niat saya. Sebenarnya saya ada menulis sebuah sajak pada minggu lalu. Tapi selepas mendapatkan pendapat Wanie, katanya, terlalu mendalam maksud saya dalam sajak tu. Saya terus batalkan niat untuk menghantar penyertaan. Keesokannya, dalam perjalanan ke hospital, ketika di dalam metro, idea saya datang dan saya menconteng terus idea itu di atas kertas. Tarikh tutupnya ialah pada hari Jumaat malam Sabtu. 15 minit sebelum tamat tempoh penyertaan, baru saya menghantar karya saya. Huhu. Terkocoh-kacah waktu tu. Tajuk kali ini ialah Bila Tuhan Katakan Jadi.

Satu lagi, pada malam yang sama, saya dan Emy beserta lapan orang lagi junior tahun empat yang lain (Ili, Balqis, Izzni, Syikin, Hatim, Tiqah, Wani dan Mekti) telah sepakat untuk menubuhkan sebuah kumpulan nasyid. Penyertaan kami dihantar betul-betul sebelum tamat tempoh.

Dan pada hari semalam, hendak dipendekkan cerita, maka kami semuapun bertandinglah. Dua buah nasyid yang kami pertaruhkan. Hikmah (Subhanallah) OST Hikmah dan Pesona Zulaikha (Suhaimi). Dengan busana jubah hitam, tudung lilit-lilit dandan-dandan macam Kumpulan Al-Jawahir hasil kreativiti Diba tu lagi, kami rasa macam Mak Datin saja. Huhu.

Jujur saya katakan, persedian kami amat lambat dan tidak sehebat kumpulan lain agaknya. Sudahlah di saat akhir baru menubuhkan pasukan, masing-masing pun kurang pengalaman bernasyid semua ni. Oh ya. Jangan tanya saya mana videonya. Saya tidak akan kongsikan. 😉

Semasa acara nasyid berlangsung, ia telah diselang-selikan dengan deklamasi sajak oleh empat peserta yang mendapat empat tempat tertinggi. Tapi waktu itu, tiada siapapun yang tahu siapa pemenangnya mengikut urutan. Saya turut terpilih untuk mendeklamasikan sajak yang terkocoh-kacah saya hantar tu. Selain itu, turut dipertandingkan ialah Busana Muslimah. Ini lagi meriah. Kami siap boleh mengundi ala-ala reality show untuk menentukan pemenang.

Ok ok. Saya pendekkan terus. Keputusan diumumkan. Untuk WAR, pasukan pelajar tahun enam telah menang (Syima, Rodo, Lisa, Krin, Krun). Yeah! Hidup 6th year! Pasukan housemates saya pun tak kurang hebatnya. Mereka mendapat tempat ketiga! Hoyeah! Untuk pertandingan sajak, ok, mari gelak-gelak dulu, hahaha. Saya telah mendapat tempat pertama! Alhamdulillah. Hidup 6th year lagi! Hahaha. Untuk Busana Muslimah, bagi kategori kasual, Baiz telah memenanginya. Ini buddy saya ni. Sekali lagi, hidup 6th year!

Dan keputusan yang paling ditunggu-tunggu ialah untuk pertandingan nasyid. Selepas semua hadiah saguhati diberikan, kami semua sudah tercengang-cengang. Maksudnya, kami mungkin mendapat tempat ketiga. Tengok-tengok, tempat ketiga bukan milik kami. Maksudnya, mungkin antara naib johan atau johan. Tetapi sebaik keputusan naib johan diumumkan dan ia bukan milik kami, habis gamat dewan kedutaan kerana kumpulan nasyid saya dan kawan-kawan yang datang telah mula bersorak kerana tanpa disangka kami akhirnya menjadi johan pertandingan nasyid ini! Serius tak percaya. Kami masuk di saat akhir dan nasyid yang kami bawakan tidak sepopular yang kumpulan lain bawakan. Apa-apapun, Alhamdulillah kami semua ucapkan.

Untuk semua ahli kumpulan Soutul Alam, kamu semua memang best! KS akan ingat kenangan dengan kamu semua ni. Tak sangka betul gabungan kali ni menjadi. Dan untuk junior-junior yang lain, kalau nak rasa jadi hebat, cepat-cepat jadi 6th year. Mesti semua dah mantap bab-bab berlari panjat tangga escalator yang tinggi nak mati tu laju-laju, redah shopping complex untuk cari check point dan macam-macam lagi. Hehe. Ini kata-kata semangat ni. Teruskan sampai tahun akhir di sini ya. Jangan separuh jalan je. Huhu. 😆

Nota 1: Salam Maulidul Rasul. Insya Allah nanti saya update kan aktiviti Maulidul Rasul kami pula.

Nota 2: Ili, Syikin, Wanie, Mekti, Izzni, Balqis, Hatim, Tiqah dan Emy, TERIMA KASIH TAK TERHINGGA sebab kamu semua memang sangat best! Siap ajar KS rap lagi! 😎

Nota 3: Terima kasih kepada pelajar-pelajar lelaki yang telah bermurah hati memasak untuk kami semua pada hari semalam. Serius lauk ayam tu sedap.

Nota 4: Tahun depan dah tiada Hari Wanita 8 Mac yang meriah macam di sini lagi. Huhu.

Posted on March 9th, 2009 by Sarah  |  45 Comments »

Komitmen

grp6

Assalamualaikum wbt

Sejak petang semalam, saya belum betul-betul rasakan rehat yang sempurna. Malam tadi, sehingga pagi buta barulah saya balik ke bilik. Sebelum itu, ada hal lain yang memerlukan komitmen saya. Pagi tadi pun begitu. Tengahari pun sama. Dan baru sekejap tadi semuanya berakhir. Tapi sekejap lagi, mungkin selepas Mahgrib, ada hal lain yang perlu dilaksanakan. Mungkin sehingga tengah malam.

Esok 8 Mac. Sambutan Hari Wanita. Di sini, budaya meraikan Hari Wanita amat menyerlah. Terasa istimewa sungguh. Sempena Hari Wanita 2009, IMAMRSC-Moscow telah merancang satu sambutan khas untuk golongan wanita sahaja. Ada banyak acara yang disediakan. Untuk cerita lanjut, kena tunggu hari esoklah. Saya pun ada menyertai beberapa acara. Tak tahulah apa jadi nanti. Huhu.

Penat masih tak hilang. Saya tak mahu menulis panjang. Di atas ni gambar group saya bersama doktor kami di hari terakhir posting Obstetrics sebaik selesai menjawab MCQ test. Kami semua hormat sungguhlah kepada doktor kami ni. Dia sangat hebat dan telah memahamkan banyak perkara penting sebelum kami menduduki state exam nanti. Terima kasih, doktor.

Nota 1: Esok genap setahun PRU12. Ke manakah hala tuju Malaysia selepas setahun berlalu ya.

Nota 2: Banyak sangat bunga dijual sempena sambutan Hari Wanita di sini. Di mana-mana saja boleh melihat orang memegang bunga. Tambahan pula, stok tulip segar sudah banyak. Semakin galak semua orang mahu meraikan keriangan yang musim bunga bawakan.

Posted on March 7th, 2009 by Sarah  |  15 Comments »