Kisah Sebuah Pelarian

Assalamualaikum wbt

Apabila saya mengejar, dia lari. Apabila saya lari, dia tak pula mengejar. Sebaliknya, mereka yang lain pula mengejar-ngejar sehingga saya terkejar-kejar melarikan diri.

Dikejar saat hati sebetulnya hendak lari adalah satu perkara yang menyesakkan hidup.

Hey, larilah jauh-jauh. Kejar-kejar buat apa. Saya sudah lari jauh-jauh. Janganlah kejar dekat-dekat pula. Saya sudah penat. Apa kamu semua tidak penatkah? Awak pula tidak usah cakaplah. Sudah lama awak penat. Atau, awak memang tidak pernah mengejar langsung?

Saya lari bawa dirilah. Eh, memang sudah lama saya lari bawa diri. Jadi, nasihatkan orang-orang awak untuk berundur dari mengejar. Jangan lari-lari lagi. Jangan kejar-kejar lagi. Duduk diam-diam. Buat kerja masing-masing.

Pertandingan tamat. Siapa pemenang? Semuanya kalah. BOOM!

Nota: Fahamkah? Tidak, kan. Yeay!

Posted on March 31st, 2009 by Sarah  |  25 Comments »

Tutup

Assalamualaikum wbt

Tadi saya membelek-belek blog lama saya. Ada beberapa entri yang buat saya tersenyum dan ketawa sendirian. Juga ada entri yang berjaya membuatkan air mata saya bergenang. Entri yang buat rasa marah meluap-luap pun ada juga.

Tetapi saya sudahpun mengambil keputusan, blog lama itu akan ditutup kepada umum secara mutlak. Biar cerita lama saya menjadi hak saya. Biar saya yang simpan semuanya.

ds

Nota 1: Ada banyak benda dalam hidup ni yang perlu kita bertegas dalam menghadapinya. Takpun, jadi saja pengabai yang tegar.

Nota 2: DMA episod hari ini masih belum keluar. Penantian itu satu penyeksaan!

Nota 3: Malam tadi tak boleh tidur. Sakit-sakit badan. Sehinggalah ke hari ini.

Posted on March 30th, 2009 by Sarah  |  32 Comments »

Sarah MS 1

Assalamualaikum wbt

Setiap Ahad, saya akan menghabiskan masa selama tiga jam di meja pingpong. Latihan berbentuk intensif. Sakit-sakit di setiap hujung jari kaki. Kesimpulan yang saya buat, untuk bermain pingpong, kita tidak sesuai menggunakan kasut potongan B. Kasut potongan B akan menyebabkan jari kaki tidak rapat dan lebih banyak ruang untuk bergerak-gerak. Sebaliknya, jika kasut potongan A yang lebih tirus, jari kaki akan rapat dan kaki akan kurang sakit dan lenguh selepas bermain.

Dalam permainan pingpong, badan akan selalu dibongkokkan sedikit ke hadapan sebagai persiapan untuk menerima bola dari pihak lawan. Jadi, kaki akan dibukakan untuk mendapatkan kestabilan badan dan bahagian pinggang ke bawah banyak digunakan untuk mengawal pergerakan mengejar bola. Jika kasut tidak kena dengan kaki, aktiviti ini akan menjadi amat menyakitkan.

Mulai minggu depan, saya terpaksa mengeluarkan semula kasut Adidas yang saya gunakan untuk bersukan dulu-dulu. Tadi konon-konon nak tunjuk kuat. Saya hanya memakai kasut Skechers yang biasa saya gunakan ke hospital. Sekarang kaki semua sakit-sakit. Padanlah muka sendiri, kan. Oh. Bukan saya seorang. Padan muka Wanie juga. Dia pun sama saja macam saya. Hahaha.

Oh ya. Baru teringat. Saya masih berhutang 70 Ruble kepada Wanie untuk duit teksi dan roti yang dibayarkannya tadi. Mahu ke bilik Wanie sekarang juga.

“Hai orang sebelah, orang di sini nak datang bayar hutang”, laung Sarah kepada Wanie yang sedang menekun di mejanya. Mari lihat jersi saya tahun ini. Ini jersi peribadi. Bukan jersi pasukan lagi. Senyum~

sarahms

Nota 1: Hari Isnin saya cuti sehari. Dapatlah qadha’ study.

Nota 2: Takziah untuk keluarga junior saya, Addi Mokhtar, atas pemergian ayahnya tengahari tadi. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Nota 3: Saya seriau bila mendengar berita begini. Semoga emak dan ayah sihat-sihat saja di rumah. Esok Ngah telefon, ok.

Posted on March 29th, 2009 by Sarah  |  22 Comments »

Sejam Untuk Bumi

Assalamualaikum wbt

Ada dua perkara yang hendak saya kongsikan. Pertamanya berkenaan kempen Sejam Untuk Bumi atau lebih dikenali sebagai Earth Hour pada 28 Mac 2009. Kempen kesedaran untuk mengingatkan manusia bahawa setiap daripada kita ada tanggung jawab untuk memulihara dunia. Kempen untuk  mengingatkan bahawa kita sebenarnya boleh berubah dengan menjimatkan penggunaan sumber tenaga dan seterusnya mengurangkan penghasilan tenaga juga. Tepat pukul 8.30 malam tadi, kami serumah pun mula memadamkan lampu. Sebelum itu, siapa yang hendak makan nasi, sudah siap-siap mengisi nasi dan lauk. Siapa hendak minum air, sudah siap-siap membancuh air dan membawa masuk ke dalam bilik. Sumber cahaya kami malam ini hanyalah secawan lilin aromaterapi berbau vanila.

img_1280img_1286img_1284

img_1282img_1287img_1291

Keduanya berkenaan Penjimatan Masa Siang atau Daylight Saving Time (DST) yang akan bermula pada hari esok untuk kami di Moscow ini. Apa itu DST? Saya malas hendak terangkan panjang berjela secara saintifik. Untuk mudahkan, sila baca perbincangan saya dengan kawan-kawan di Plurk di sini. Nanti jangan tanya dah ya. Saya memang malas hendak menerangkan untuk kesekian kalinya. Hehe.

Nota: Pening kepala dah 24 jam. Lagi tengah malam, bertambah sakit jadinya. Hati pun macam terguris. Terguris banyak. Dan sedih dengan apa yang jadi.

Posted on March 29th, 2009 by Sarah  |  6 Comments »

Ultimatum Kebahagiaan

Assalamualaikum wbt

Beberapa hari lepas, saya ada bermain teka-teki dengan Azam, rakan sekumpulan saya, ketika di hospital. Salah satu daripada soalan yang diajukan oleh Azam, saya panjangkan kepada adik saya di Malaysia. Adik saya ni penuh dengan humor orangnya. Sengaja saya hendak melihat sejauh mana akalnya berfikir untuk menjawab soalan itu. Saya jangka, Adi akan menjawab sepantas kilat. Tapi agak lama saya menunggu, dalam perjalanan balik dari hospital barulah dibalasnya.

Sebaik terbacakan jawapannya, saya tergelak seorang. Jawapannya tidak seperti dia yang selalu. Terlalu skema dan logik. Luar biasa pula Adi kali ini. Dalam hati saya membuat kesimpulan. Budak-budak lepasan SPM memang beginilah agaknya. Otak masih skema. Huhu.

Sampai di rumah, Adi ada menghubungi saya semula. Bunyinya seakan merajuk sebab saya tidak membalas mesejnya semula. Saya sedang memasak sebenarnya pada waktu itu. Sewaktu jam sudahpun menunjukkan pukul 11.45 malam di Malaysia, saya terus menelefon Adi. Tapi tak pula berangkat. Dan keesokkan  harinya, saya menelefon Adi sekali lagi untuk menebus kesalahan tidak membalas mesejnya.

Rupa-rupanya, Adi sedang berbuka puasa dengan emak pada waktu itu. Dia berpuasa nazar katanya. Sempatlah saya berseloroh itu ini dengannya. Saya menegurnya, kenapa dia gelak berbeza dengan dulu. Saya kata, macam nyah saja. Dia lagi gelak. Sabar betullah budak ni. Dia kata, takkanlah nak gelak berdekah-dekah. Tak sopan langsung. Aiseh. Saya lagi rela dia tergelak besar daripada gelak seperti itu. Bila saya menegur, lagi dibuat-buatnya gelak itu. Sabar banyak-banyak, Sarah.

Tadi saya menelefon rumah. Hajatnya hendak bercakap dengan emak. Tapi Adi yang menjawab. Katanya, dia yang baru balik dari kerja pun pelik. Rumah kosong. Tidak tahulah emak dan adik-adik ke mana. Lalu, berbual lamalah saya dengan Adi. Dalam pada berbual itu, kami merancang satu projek untuk dijayakan bersama. Apa projeknya, ahha! Itu kena tunggu.

kecik5

Yang saya ingat, saya ceritakan tentang perbalahan Kaklong dan Adnan di Facebook tentang gambar waktu kecil-kecil dulu yang saya tag dengan nama mereka. Masing-masing mengatakan diri masing-masing paling comel. Laju Adi membuat kesimpulan: Awak ni macam tak tahu je, Ngah. Diorang tu mana nak mengalah. Mesti nak mengaku diorang lagi comel. Hahaha. Ambil sekali, Kaklong, Nan!

Informasi terkini tentang keluarga di rumah:

1. Rumah sedang diubah suai (lagi!). Ada cat sana sini sikit-sikit. Tukar semua pintu. Emak ayah ni macam nak buat kenduri besar saja gayanya.

2. Emak kata, raya tahun ni mesti meriah. Sebab semuanya ada. Kaklong pun sudah membeli tiket kapal terbang untuk balik bercuti raya nanti. Wah! Maju, handal, tangkas, cekap dan amanah betul Kaklong!

3. Adi kata, business ayah maju sekarang ni. Alhamdulillah.

4. Ayah bagi gaji/upah yang agak besar untuk Adi. Ini bagi sayalah. Huhu. Tapi yang bagusnya, duit minyak untuk kereta Kaklong yang digunakannya, dia tanggung sendiri. Bagus ni.

5. Adi sedang menunggu panggilan kemasukan ke universiti. Moga-moga dipermudahkan Allah.

6. Adlan sudahpun bekerja. Kerja elok-elok ya, Lan. Nanti nak kena ambil exam untuk naik lagi.

7. Adam mengambil aliran Akaun. Nampaknya, dialah yang pertama sekali mengambil aliran ini di kalangan kami semua.

8. Adik yang masih bersekolah tu semuanya tuisyen. Habislah emak! 😛

9. Adi kata, malam ni mereka semua akan bergelap untuk Earth Hour. Saya bertanya, akan berlilinkah mereka nanti. Jawabnya, buat apa. Sejam saja. Nak bergelap, biar gelap terus. Bila lagi nak buli adik-adik ikut suka hati. Weh, salah guna kuasa betul Adi ni! Ayah, baik ayah suruh Adi jadi imam solat Isyak malam ni. Lepas tu, suruh dia conduct wirid lepas solat Isyak tu lama-lama sikit. Kata dulu selalu jadi imam di asrama kan. 😀

Apakah tanggung jawab kita sebagai seorang anak? Berusaha menjadi yang terbaik untuk keluarga kita dalam apapun bidang yang kita ceburi, mendoakan kesejahteraan serta kebahagiaan ibu bapa dan keluarga kita. Juga menjaga maruah keluarga secara total. Jika pincang satu, kita patut malu untuk menghadap ibu bapa kita dan Allah suatu hari nanti.

Ya Allah. Semoga adik-adik saya menjadi insan berguna untuk keluarga, bangsa dan agama.

ngahadi

Nota: Kadang-kadang internet boleh menjadi sangat menjengkelkan. Percayalah.

Posted on March 28th, 2009 by Sarah  |  28 Comments »