Questionnaire Terhebat
Assalamualaikum wbt
Ini bukan entri biasa. Ini entri luar biasa. Questionnaire Terhebat namanya.
1) Apakah pekerjaan yang tiada belas kasihan?
Doktor. Kamu hendak cucuk orang ke, tebuk-tebuk perut dan dada orang ke, hendak arah-arah orang makan ubat ke, nak gasak-gasak dada atau jantung orang ketika CPR ke, nak jolok-jolok mulut untuk di-intubate ke, nak cucuk-cucuk lubang hidung orang dengan salur makan ke, semuanya boleh. Ada kamu dapat buat semua ni pada orang biasa tanpa kamu bergelar doktor? Tidak sama sekali.
Pekerjaan ini juga tidak mempunyai belas kasihan kepada orang yang bergelar doktor itu sendiri. Kalau bukan on call sekali pun, kamu tetap kena sampai jauh lebih awal sebelum 8 pagi dan balik jauh lebih lewat daripada 5 petang. Makan minum tidak terurus dan tidur bukan satu bentuk rehat yang terjamin.
2) Apakah pekerjaan yang tidak membolehkan anda melawa untuk pergi kerja?
Doktor. Kalau pakai tudung, kamu jangan harap nak gayakan keronsang di bahu. Nak pin-pin di belakang kepala ke atau menggayakan tudung ala selendang yang lilit-lilit di kepala pun tidak boleh. Kesemua fesyen ini tidak membolehkan kamu memasukkan stethoscope dengan cepat dan berkesan. Jadi, kekallah kamu dengan gaya yang sterotaip setiap hari. Tudung lepas ke bawah. Skema dengan pin yang tersusun di depan juga.
Untuk yang tidak bertudung pula, jangan harap nak lepas-lepaskan rambut sesuka hati. Kena ikat rambut dengan kemas dengan gaya yang sangat skema. Macam hari pertama kamu menjejakkan kaki di tadika. Ya. Tocang sebegitulah yang ramai masih kekalkan hanya kerana mereka bergelar doktor. Back to school mungkin.
Tidak ramai yang bersolek untuk pergi kerja. Bukannya tidak boleh. Boleh saja. Cuma ramai yang memilih untuk tidak bersolek kerana mereka tahu belum pun pukul 10 pagi, habis segala tepekan bedak ke, gincu ke, dah cair dan tidak kemas lagi dek kerana berpeluh. Tambahan pula, para doktor bukan sesuka hati boleh mengenakan bedak wangi-wangi dan minyak wangi. Ada pesakit terutamanya pesakit lelah yang alah kepada bau-bau begini. Atas nama seorang doktor, terpaksalh tidak berapa mewangikan diri ketika pergi kerja.
Kasut tumit tinggi? Saya kira, kalau ada doktor yang berkasut tumit tinggi sewaktu kerja, mereka itu pastinya sudah mempunyai klinik sendiri atau bekerja di Tabung Darah. Hahahaha. Inilah dua tempat yang paling boleh goyang kaki. Upsss.
3) Apakah pekerjaan yang memerlukan kamu sentiasa belajar?
Doktor. Yang ni tak payah hurailah. Semua pun tahu kenapa. Tak belajar, tersangkutlah kamu di takuk yang sama, sampai bila-bila. Dan untuk belajar itu pula, adalah satu proses yang sangat menyeksa jiwa.
4) Apakah pekerjaan yang dengannya kita boleh menjana ibadah sungguhpun sudah tidak melakukannya?
Doktor. Merawat orang sakit itu adalah ibadah dan jika orang yang kamu rawat itu sembuh dan segar kembali dan dapat meneruskan kehidupan dan ibadahnya, saham untuk kamu pun ada. Saham kamu berbentuk pelaburan sepanjang hayat. Sangat menguntungkan.
Sekian Questionnaire Terhebat. Jawapan nombor 4 selalu menjadi motivasi untuk saya walaupun dilambaki dengan berpuluh-puluh benda yang boleh menjatuhkan semangat saya.
Doktor itu da’i. Pendakwah. Saya teringat keadaannya apabila saya mula-mula bertugas dulu. Sudahlah pesakit kita ni sakit. Amat jarang pula saya jumpa yang solat. Ahli keluarga yang menemani pun ada yang tidak solat. Sedangkan, ruang katil di hospital ini sangat selesa. Ada tabir yang tersendiri dan ini memberikan privasi yang tinggi untuk setiap pesakit. Sebelum itu saya hendak ingatkan, di Malaysia ni, hanya ada beberapa buah saja hospital yang berkonsepkan Mesra Ibadah. Sepatutnya, hal ini tidak memilih hospital. Semua hospital pun boleh mepraktikkan benda yang sama.
Sewaktu awal-awal bertugas dulu, setiap kali berpeluang, saya akan memberitahu pesakit saya arah kiblat dari katil mereka. Untuk pesakit yang ada ditemani ahli keluarga, saya mengingatkan si anak itu untuk menolong ibu bapa mereka mengambil wudhuk. Saya sekadar memberitahu cara yang paling mudah yang boleh mereka guna pakai. Tapi pelaksanaannya, itu semua terpulang kepada mereka.
Ada sekali dulu, saya merawat seorang ustaz, berpangkat Guru Besar untuk sebuah sekolah rendah di bandar ini, yang juga merupakan saudara jauh saya. Sewaktu dia masuk, saya memberitahunya arah kiblat dari katilnya itu. Ustaz ini kerap dimasukkan ke hospital kerana serangan lelah (bronchiol asthma). Selang beberapa hari, ustaz itu dipindahkna ke bilik isolasi yang mana bilik itu merupakan bilik di bawah tanggung jawab saya. Sewaktu pergi untuk mengambil darahnya di suatu pagi, dia berkata kepada saya:
“Tak pernah lagi sejak kali pertama saya masuk hospital dari muda-muda dulu, ada doktor yang beritahu saya arah kiblat dan cara nak solat dari katil. Ni kali pertama saya dengar ada doktor yang ingatkan pesakit tentang solat.”
Entahlah. Waktu itu, dalam hati saya, ada satu rasa saja. Saya sebak.
Nota: Kadang-kadang terasa nak berhenti menulis kisah di hospital di blog ini. Saya kurang senang kalau ada rakan sekerja yang membaca coretan saya. Sangat tidak selesa rasanya.
