Hidup Yang Penuh Fitrah

Assalamualaikum wbt

Sepanjang berada di jabatan ini (O&G), ada banyak insiden lucu telah terjadi. Tapi bila dikenang semula, saya rasa ini asam garam yang perlu diterima untuk men’tarbiah’ pesakit dan juga diri sendiri.

Insiden 1

Saya ditempatkan di dewan bersalin (selepas ini akan ditulis sebagai labor room) bersama empat orang HO yang lain. Ditakdirkan Allah, pada suatu hari, ada seorang pesakit dihantar turun daripada antenatal ward (wad sebelum bersalin) untuk dipecahkan air ketuban (artificial rupture of membrane) (ARM) dan augmentation menggunakan pitocin. Pesakit ini seorang berketurunan India, 23 tahun, mengandung anak pertama dan mempunyai Gestational Diabetes Mellitus on diet control (GDM). Sehari sebelum itu pesakit ini telah dimasukkan ke wad untuk menjalani induction of labor (IOL) dengan belon. Saya difahamkan, ketika di wad pun, tiada siapapun yang dapat memujuknya untuk memberikan kerjasama untuk memasukkan belon untuk IOL. Sehinggalah MO yang ada ketika itu terpaksa memasukkan belon ke saluran peranakan dalam keadaan kakinya tidak diangkat! Owh. Sangat susah. Saya pun tak dapat nak membayangkan betapa keras hati dan degilnya pesakit ini.

Ketika di labor room, pada mulanya ada seorang doktor lain yang melihat pesakit ini untuk di ARM-kan. Tapi doktor itu sudah tidak dapat bersabar lagi kerana terpaksa menunggu sehingga 40 minit untuk mendapatkan kerjasama daripadanya. Sedangkan ada ramai pesakit lain yang perlu diselesaikan di labor room pada hari itu. Sudahnya, saya pergi melihat pesakit tersebut dan selepas memujuknya seketika, dia bersetuju untuk memberikan kerjasama untuk di ARM -kan.

Kusangka panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Cewah =p Tiba-tiba pesakit ini meronta-meronta dan tidak mahu prosedur itu dibuat. Alasannya ialah takut dan tidak mahu sakit. Aduhai. Nak bersalin nanti jauh lebih sakit dik oi. T______________T Kami semua meninggalkannya bersama suami seketika di bilik itu dan beredar menyelesaikan perkara-perkara lain. Selepas sejam lebih berlalu, akhirnya ada seorang HO lelaki berbangsa India berjaya memujuknya. Pesakit itu diberikan peluang untuk memilih doktor mana satukah yang diinginkan untuk meng-ARM-kan dirinya. Dia memilih saya! Adeh =p Maka saya pun memakai sterile gloves dan berdiri di sisi kanannya. Ramai staff nurse berada bersama saya untuk membantu saya memegang pesakit itu sekiranya dia meronta lagi.

Baru saja saya memegang hook yang digunakan untuk ARM, tiba-tiba dia meronta-ronta dengan kuatnya dan kakinya telah menendang perut saya sehingga terperosok saya kebelakang. Senak saya dibuatnya. Dan pada waktu itu jugalah seorang staff nurse yang sudah sangat senior berkhidmat di labor room ini memarahi pesakit itu:

“Awak ni, kita nak tolong bagi permudahkan bersalin, awak pergi sepak-sepak, tendang-tendang orang lain pulak. Tu awak tendang doktor tu. Dia pun mengandung jugak. Kalau apa-apa jadi pada baby dia, awak nak tanggung kat mahkamah?”

Begitulah bunyi bebelan daripada staff tersebut. Err… Yang digaris dan ditebalkan itu adalah penting ya. Huhuhu~ Pesakit itu terdiam. Dia memandang saya dengan muka sedih. Saya pun buat muka sedih juga. Tangan saya mengusap perut. Bukannya sebab saya risaukan kandungan palsu tu. Tapi memang saya sedang kesenakan! Rasa macam pecah usus dibuatnya. Suasana di bilik itu pun agak hening seketika melihatkan pesakit itu yang tiba-tiba saja diam. Mungkin dia takut kerana telah menendang perut saya dengan sekuat hati. Lalu, saya pun memecah keheningan itu.

“Bukan awak sorang yang nak bersalin. Ramai lagi yang dah pernah bersalin. Yang kami dah tolong pecahkan air ketuban untuk percepatkan proses bersalin. Tapi kalau awak tak bagi kerjasama, macam mana baby nak keluar. Kalau sekarang awak kata sakit, baby dah nak keluar nanti jauh lagi sakit. Saya dulu pun pernah bersalin jugak. Saya ni jauh berganda-ganda kecik dari awak. Kalau nak ikutkan, saya lagi takut sebab mungkin baby saya tak boleh keluar. Tapi Tuhan tak cipta kita jadi perempuan kalau kita ni takde  power nak tahan sakit waktu bersalin. Ok. Awak tolong saya, saya tolong awak. Kesian kat baby saya dah kena tendang tadi. Jom cepat.”

Selepas saya memberikan syarahan percuma kepadanya, pesakit itupun memberikan kerjasama untuk ARM walaupun kakinya dikeraskan sehingga tersepit saya di situ. Hehe. Sebaik saja saya keluar dari bilik itu, terkekek-kekek saya bersama-sama staff nurse yang menyaksikan drama itu tadi menahan ketawa di kaunter tengah di labor room. Tak pasa-pasal saja pada hari itu saya sudah bergelar ibu beranak satu yang sedang mengandungkan anak kedua! :lol:

Insiden 2

Seorang perempuan Melayu, 28 tahun, mengandung anak kedua yang mana anak pertamanya lahir melalui Emergency Lower Segment Caesarean Section (EMLSCS) kerana anak sudah lemas (fetal distress). Kali ini dia dimasukkan ke wad untuk di IOL pada usia kandungan 38 minggu kerana mempunyai GDM on insulin. Selepas dimasukkan prostin dos yang pertama, dia menangis kerana katanya dia rasa tidak mampu untuk bersalin secara normal. Katanya, dia tidak ada kekuatan untuk itu. Pada malam itu, dia merayu kepada MO supaya dibenarkan untuk menjalani LSCS sekali lagi. MO itu memberi peluang padanya berbincang dulu dengan suami dan menunggu kata putus pakar pada keesokan paginya.

Pagi tadi ketika saya membuat morning review, saya mengkaunselingnya sekali lagi berkenaan permintaannya dan risiko serta komplikasi yang boleh dihadapinya. Selepas seketika, pesakit itu mula berdialog dengan saya sambil saya menulis review saya pagi tadi.

Pesakit: Doktor dah kawin?
Saya: (Terdiam sekejap) Dah.
Pesakit: Doktor ada anak?
Saya: Ada. Sorang. Baru 6 bulan.
Pesakit: Doktor bersalin secara normal ke?
Saya: Haah. Normal. Kenapa, puan?
Pesakit: Badan doktor jauh lagi kecik dari saya. Mana doktor dapat confident nak pushing, nak tahan sakit lagi?
Saya: Puan, sakit nak bersalin tu fitrah. Sampaikan Nabi kata kita ni berjihad waktu nak bersalin tu. Kalau ditakdirkan kita mati, kita mati syahid time tu tau. Kalaulah perempuan ni diciptakan tak tahan sakit nak bersalin, dari awal dulu lagi Allah cipta biar lelaki yang lahirkan anak. Betul tak? Kita ada doa dan selawat nak permudahkan bersalin. Doa Nabi Yunus tu boleh kata ada kat mana-mana je di labor room tu. Kita usaha, tawakkal. Kalau tak boleh jugak bersalin normal, baru kita operation. Rugi puan tak rasa lagi macam mana bersalin secara normal tu sedangkan puan takde apa-apa masalah pun untuk tak cuba bersalin biasa dulu kali ni.
Pesakit: (Dia tenung saja saya dengan air muka yang cukup sayu)

Selepas melihat pesakit tersebut diam dan memandang saya sebegitu sekali, saya berkata: “Elok je lepas bersalin dan puan dapat dengar baby puan menangis dan diletakkan atas badan puan, hanya Allah je yang tahu betapa bahagianya rasa hati. Segala rasa sakit pun hilang, puan.” Saya senyum dan kemudian berlalu ke katil pesakit seterusnya.

Ketika pakar membuat ward round, selepas dikaunseling semula oleh pakar, pesakit itu meminta masa untuk memikirkan semula permintaannya tadi. Setakat sehingga jam 6 petang tadi, dia masih lagi di wad dan tidak meneruskan permintaannya untuk menjalan LSCS. Esok pagi baru saya akan tahu apakah perkembangan kes itu.

Sebenarnya ada sedikit pengajaran yang hendak saya kongsikan di sini. Setiap kali berdepan dengan insiden-insiden sebegini, saya dapat bezakan pendekatan yang saya berikan kepada pesakit. Untuk yang bukan Islam, cara untuk saya memujuk dan memberikan nasihat kepada mereka agak terhad. Saya tidak dapat menyuruhnya mengamalkan doa itu dan ini. Saya tidak dapat menyuruhnya memperbanyakkan selawat untuk mengurangkan rasa gemuruhnya. Juga tidak dapat mengingatkannya supaya melafazkan syahadah jika sakit sudah semakin kuat dan jika sekiranya perlu untuk dibedah. Ini semua sebahagian daripada tanggungjawab doktor muslim untuk pesakit muslim. Untuk pesakit muslim, selain berikhtiar, saya dapat mengingatkan mereka supaya memperbanyakkan doa dan selawat. Ini tawakkal kita kepada Allah. Bukti pergantungan kita kepada Allah dan bukannya kerana kudrat kitalah hingga kita mampu melahirkan anak. Tanpa kasih sayang Allah, mungkin kita tidak mempunyai kekuatan langsung untuk selamat bersalin.

Kita hanya merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang. Tak salah kan kita berusaha dulu sebelum terus menyerah kalah untuk dibedah (selagi tiada indikasi yang memerlukan pembedahan kecemasan diteruskan). Wallahu a’lam =)

Nota 1: Dah dua kali saya ‘jadi’ wanita beranak satu. :mrgreen:

Nota 2: Cuba tengok dua gambar di atas ni. Tak sejuk ke rasa hati dapat pegang tangan si kecil dan tatap mata mereka yang bersinar tu? :smile:

Nota 3: Photos credit to Mr. Photographer pujaan. ;-)

Posted on December 28th, 2010 by Sarah  |  35 Comments »

Hujan Cinta Di Kuala Lumpur

Assalamualaikum wbt

Hari ini dalam sejarah. Hujan cinta di Kuala Lumpur.

Sarah Shukor

Nota 1: Ini Faiz. Anak saudara Farah. Sangat comel. Nanti nak anak comel macam Faiz~ 😉

Nota 2: “One big happy family..” “.. is in the making.” 🙂

Posted on December 21st, 2010 by Sarah  |  19 Comments »

Selamat Pengantin Baru Adnan Dan Farah

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah. Nan dan Farah sudahpun selesai diijabkabulkan pada 11 Disember lepas. Majlis risepsi sebelah perempuan pun berjalan lancar baik yang di rumah mahupun yang di dewan. Begitu juga dengan majlis sambut menantu sebelah pihak lelaki yang di berlangsung di kediaman kami pada 18 Disember lepas. Untuk Nan dan Farah: Selamat menjalani alam rumah tangga dengan penuh mawaddah dan sakinah. Barakallahu lakuma wa jam’a bainakuma fi khair =)

(Gambar bukan sepenuhnya milik saya. Ada yang saya ambil daripada koleksi kawan-kawan Nan dan Farah. Gambar penuh masih ada pada OP majlis: Acai Jawe dan Kerul Shukor) =)

Nota: Ada banyak sangat urusan yang saya perlu selesaikan. Doakan semuanya dipermudahkan ye =)

Posted on December 21st, 2010 by Sarah  |  7 Comments »

Jemputan Walimah

Assalamualaikum wbt

Semamangnya kami sekeluarga amat menantikan kehadiran bulan Disember. Akhirnya Disember tiba juga dan hari yang ditunggu-tunggu akan menjelma. Insya Allah, pada bulan ini sekali lagi keluarga kami akan bertambah ahlinya. 🙂

Pada hari esok, 11 Disember 2010, adik saya Adnan akan mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihannya, Farah. Mereka telah bertunang pada Mac lalu. Majlis akad nikah akan berlangsung di rumah farah di Ampang dan majlis resepsi akan berlangsung pada 12 Disember 2010 di Dewan Perdana Felda. Majlis di sebelah lelaki pula akan berlangsung pada 18 Disember ini di rumah kami di Temerloh.

Di kesempatan ini, saya mewakili keluarga berbesar hati untuk menjemput rakan-rakan pembaca yang berkesempatan untuk bertandang ke Temerloh pada 18 Disember ini untuk sama-sama meraikan pasangan Adnan dan Farah. Kalau waktu Kaklong kahwin saya saya tidak sempat hendak menjemput rakan-rakan semua, jadi kali ini, bagi sesiapa yang berdekatan, sudi-sudilah bertandang ya. 🙂

Hari semalam saya berkata kepada emak: Macam tak percaya je Nan nak kahwin dah. Teringat lagi dulu-dulu dia ganas sangat pergi rejam ayam lepas tu bakar buat macam ayam panggang. Siap ada hati lagi tu nak makan ayam tu. Adui. Gelak saja emak mendengar apa yang saya katakan. Dan saya pula terasa mata seperti sedikit bergenang. Saya ni kan sensitif orangnya. =p

Ya. Adik saya akan bergelar suami orang! Buat Nan, selamat memikul amanah dunia dan akhirat. Selamat mejadi imam yang memimpin dengan sebaiknya. Selamat pengantin baru Nan dan Farah!

Nota: Kaklong bertemu jodoh dengan kawan sekolah menengahnya. Nan pula bertemu jodoh dengan kawan seuniversitinya. Saya nanti dengan kawan sehospitalkah? :cool:

Posted on December 10th, 2010 by Sarah  |  41 Comments »

Kronologi Bergambar

Assalamualaikum wbt

Memang malam ni terasa hendak menulis dan menulis lagi. Tadi sebaik saja elok dari pitam (saya tak berapa sihat sebenarnya ni), keterujaan untuk menulis tu datang membuak-buak. Bukan setakat blog yang saya tulis, diari dan buku kecil untuk mengemaskankinikan hal-hal peribadi pun saya tambah macam-macam lagi. Itupun setelah bermacam-macam input diberikan oleh emak pada petang tadi.

Tapi kali ni saya hendak berkongsi gambar-gambar sejak di posting Orthopedic sehingga yang terkini. Cerita sikit-sikit saja. Hehe. Ketika di Orthopedic, ada satu peristiwa pelik berlaku. Petunjuknya ada di entri ini. Hehe. Dan sejak hari itu, saya sentiasa menjadi bahan usikan pakar saya, Miss Nur, bila isu ini berbangkit di kalangan kami. Ketika di posting ini, saya sangat suka dengan team yang ada bersama-sama ketika itu. Mungkin kerana kami sudah saling mengenali sejak dari posting yang sebelumnya dan mempunyai cara kerja yang hampir sekepala. Jadi, team ketika itu sangat best.

Kemudian, saya bertukar ke posting Paediatric. Bersama kanak-kanak dan bayi-bayi memang sangat serasi dengan jiwa saya. Yang tak serasinya ialah beban kerja yang tak sudah-sudah. Saya oncall dengan sangat banyak dalam sebulan. Oncall pula adalah secara selang sehari (every other day -EOD-). Memang rasa hidup tak terurus langsung. Terseksa jiwa rasanya. Tapi di sinilah saya belajar erti bertahan dan bersabar secara maksimum.

Empat bulan berada di jabatan itu, saya mengenali Adam. Sejak dia lahir saya melihatnya di depan mata sehinggalah dia diambil oleh keluarga angkat. Memang sebak tidak terkata ketika hari dia dibawa pulang oleh keluarga angkatnya itu.

Saya juga mengenali Iskhandar yang dijangkiti Kawasaki’s Disease yang melibatkan komplikasi Ventricular Aneurysm di jantungnya. Saya yang mengiringinya ke IJN dan dia kini sudah kembali aktif seperti sebelumnya. Melihatkan perkembangan positif pesakit-pesakit di depan mata terutamanya bayi-bayi dan kanak-kanak yang masih belum masuk ke fasa nakal (=p) adalah sangat membahagiakan.

Ketika ditempatkan di unit SCN dan NICU, ketika oncall dan perlu mengambil darah bayi sekitar jam tiga, empat pagi, saya suka berselawat dengan mereka. Tak kisahlah bangsa apapun bayi itu. Fitrahnya mereka adalah Islam. Saya pun rasa tenang dan tidak tertekan dengan puluhan bayi yang perlu diambil darah mereka pagi-pagi tu. Dan di penghujung posting Paediatric, berat saya hanyalah 46.3 kg sahaja. Huuu… Dan hari terakhir saya di situ, saya pergi ke wad yang paling saya suka, Melor 1. Lama saya bertugas secara solo di situ. Jadi saya agak rapat dengan kakitangan wad itu berbanding wad kanak-kanak yang lain. Sebelum balik, seorang staff nurse bertanya: Doktor, bila nak update blog? Dah lama tertinggal macam tu je. Aduh! Ada staff yang mengikuti blog ini rupanya. Err… Boleh tak taknak update terus kalau macam tu? Hehe :razz:

Dan yang terkini, saya berada di Obstetric and Gynecology (O&G). Di sinilah saya bertemu jiwa saya. Kalau ada rezeki, saya mahu buat O&G lepas ni. Boleh tak, awak? Hehe. Kalau orang lain paling tidak suka oncall di Labour Room, bagi saya, saya paling suka oncall di sini. Kalau boleh saya tak mahu oncall di bahagian antenatal, postnatal atau gynecology. Huhu. Tapi, yang menjadikan keberadaan di bahagian-bahagian tertentu itu seronok atau tidak turut dipengaruhi oleh team pada waktu itu. Hehe.

Tambahan pula, sepupu saya, Nisa, pun berada dalam posting yang sama pada masa ini. Sebelum ini kami sama-sama di Paediatric. Sekarang kami sama-sama di O&G. Bersamanya, saya memang merasakan kelainan. Saya ada sumber semangat dan tempat mengadu. ;-)

Dan, bila saja ada masa terluang, paling kurang sebulan sekali, saya mesti akan meluangkan masa bersama kawan baik saya, Wahida Saedan. Ingat tak dulu kami berdua pernah berdiskusi secara serius tentang masa depan dan memuncakkan harapan dalam doa? Hehe. Itu sesi bulanan kami tu. Bertemu di mana-mana dan menceritakan perkembangan terkini masing-masing secara terperinci. Cewah~ Alhamdulillah. Kerana adanya Wahida, saya masih lagi ada kawan untuk keluar bersama di bandar kecil yang tenang ini. Aktiviti bulanan kami yang wajib juga ialah memenuhi jemputan kahwin kawan-kawan lama dulu bersama-sama. T___T

Nota: Selalu berangan nanti dah kawin boleh keluar jalan-jalan dengan suami pula. :mrgreen:

Posted on December 8th, 2010 by Sarah  |  18 Comments »