Cinta Di Platform 5

Redup petang di kota Kuala
Membawa aku menapak ke sana
Ada wajah redup hendak kusantap
Ada mata bening untuk kutatap
Meredah kota sangguplah aku
Menuju Puduraya bertemu cintaku

Setia si wajah menunggu di bangku
Menunggu walau penatnya seribu
Tersenyum aku
Merenung balas bening matanya
Saat aku duduk di sisinya

Dunia hanya bagai kami
Duduk di situ saling mengerti
Mengerti bahasa mata dan hati

Manusia meribut yang kalut
Tidak mencuri meragut
Dunia kami yang hening
Di Puduraya itu yang bising

Tiba masa beriringan kami
Menuju bas si hijau putih
Tepat masa akan bersilih
Janji dipatri lagi
Esok masih ada buat kami
Menyambung kisah cinta di sini

Di Platform 5
Di pinggir Puduraya
Dunia kami di sebalik sesak kota Kuala

Assalamualaikum wbt

Jangan salah faham ya. Ini bukan kisah cinta saya. Sajak ini dedikasi khas buat Uncle KS (Kassim Selamat) dan isterinya. Sajak ini adaptasi daripada kisah cinta mereka yang termeterai di Platform 5, Puduraya. Walaupun kini duduk mereka tidak sama tinggi, apatah lagi berjalan berlari, namun kasih Auntie Ain buat Uncle KS tiada tandingannya walau bagaimana sekalipun keadaan Uncle KS kini. Didoakan yang terbaik buat mereka berdua. Syurga atas kasih si isteri yang setia di sisi. Jannah atas cinta suami yang tidak berbelah bahagi.

Buat muslimin semua, SALAM MAAL HIJRAH 1429. Jangan lupa ditutup tahun ini dengan bacaan doa akhir tahun dan dibuka tahun baru dengan doa awal tahun. Semalam saya melapangkan masa mengkaji semula kisah pembukaan Kota Constantinople. Semangat Sultan Muhammad Al-Fateh perlu kita contohi. Sejak akil baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud. Lantas menjadikan beliau mempunyai ciri-ciri pemimpin yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. “Sebaik-baik pemimpin adalah sebaik-baik tentera dan rakyat” Itulah dia Sultan Muhammad Al-Fateh [untuk rujukan, ada banyak buku dan website. Tapi yang teringkas yang boleh difahami untuk rujukan: sini]. Jika dalam usia muda beliau sudah boleh mengetuai batalion perang dan pintar sekali akalnya, malulah kita yang semakin menginjak usia tetapi masih kurang pengorbanan buat agama. Sudah punya azam? Saya ada 11 tapi saya khuatir ada yang tidak tercapai. Hmm.

Nota 1: Maaf ya saya tidak dapat menjenguk rumah kawan-kawan semua sangat. Saya demam pula di kemuncak musim sejuk ini. Selepas makan malam semalam, saya terus tidur. Bangun di tengah malam untuk solat Isyak dan makan ubat sahaja. Lepas ini mahu sambung tidur semula. Sakit itu kafarah dosa kan 🙂

Nota 2: Uncle KS, lagu LOST ini buat KS dan isteri. Semoga tabah dan ceria selalu 🙂

Nota 3: Cinta saya pula di platform minyak kot, bukan di Platform 5. Ngeehee~ (Nak jugak tu! Adeh) v(^_^)v

Posted on January 9th, 2008 by Sarah  |  50 Comments »

Kindness Begets Kindness

Assalamualaikum wbt

A tiring weekend I had. I spent the whole Sunday helping my Chinese friends preparing the Hainan Chicken Rice. They asked for our help (me, Fatt and Pena) to be the quality controllers for halal part since we are free from anything. So they used my kitchen to cook and pack the orders for Muslims. (Habislah rak baru yang comel itu~)

One thing I realized most yesterday. Those who are very close to us like Cheng Yu and Guang Lin are very precise about making sure the halal-ness. I respect them for respecting that. Thank you dear friends 🙂 And sometimes, when a few guys came to the front door to pass the cooking stuffs or what, while me or Fatt were sitting at the hall without knowing they were there, so the girlfriends will tell the gentlemen to stand behind the door, not to let them seeing us without hijab. And it’s cute to listen to their steps running towards behind the door to hide themselves eventhough we were ready with our hijabs on.

But they learned one precious thing from me too. While cooking, I’m used to keep the kitchen clean and neat. So whenever I’ve got the chance to do the dishes, I’ll automatically collect the plates, tupperwares and the cutleries. Cheng Yu was amazed by that and said she’s shy with me for having the habit of ‘tunggu dululah’ which finally to her it seems so not lady like nor hygiene.

One all. I learned about the management in running business from them. And they learned about the cooking and cleanliness from me. Let’s make sure our dim sum and kuih lapis plans are on the track okay!

_____________________________________________________________

Hari buat dia:

78) It is not the wind that is blowing. It is not the flag that is moving. It is the mind that is moving.

Posted on January 7th, 2008 by Sarah  |  41 Comments »

Ingat 5 Sebelum 5

Assalamualaikum wbt

Dalam suhu serendah -17’C semalam, selesai solat zohor sekitar jam 1 tengahari, saya, Pena dan Fatt keluar ke Ikea-Mega-Ashan untuk membeli barang-barang keperluan rumah. Ikea; menyediakan barang keperluan rumah. Mega; sebuah pusat membeli-belah yang sangat besar dan Ashan; sebuah hepermarket yang besar. Ketiga-tiga tempat ini letaknya di kawasan yang sama. Berjalan sehari suntuk memang memenatkan jika tidak dirancang dengan sebaiknya. Tujuan utama kami adalah ke Ikea untuk mencari almari dapur dan barang-barang perhiasan yang lain. Sebetulnya saya tidak membeli apa-apa semalam melainkan krim pelembap muka Lumene. Itu saja.

-Malam sebelumnya itu, kami menyambut secara ala kadar hari lahir Chao Yi. I feel so connected to her because we both are Capricorns and love writing. Ini kek yang saya buatkan untuk Chao Yi (junior). Me, Wanie and Diba did the deco

Kami menaiki teksi ke sana memandangkan untuk menunggu perkhidmatan van teksi adalah sangat panjang barisannya dan suhu pula sejuk. Berbaloi saja perjalanan selama 20 minit itu dengan bayaran 200 ruble salam suhu sesejuk itu. Tempat pertama yang dituju adalah Ashan dan di sana, Fatt dan Pena telah memborong stok makanan peribadi mereka dengan banyaknya. Saya hanya ke kaunter barangan kecantikan untuk mendapatkan krim pelembap yang paling sesuai dengan kulit saya sepanjang musim sejuk ini. Saya keluar dulu menuju ke Mega memandankan mereka berdua masih belum selesai membeli barang. Tapi resit pembayaran saya di kaunter bahagian dalam telah tercicir tanpa saya sedari. Nasib baik saja saya tidak ditahan oleh pengawal. Terpaksalah saya berpatah balik dan terbongkok-bongkok mencari resit itu. Dan nasib baik juga saya jenis yang mengingati di mana saya lalu walaupun ratusan manusia padat memenuhi Ashan semalam.

Di Ikea, kami berjaya mendapatkan almari dapur yang dihajati. Harga juga sesuai. Kami klasifikasikan ia sebagai murah. Fatt dan Pena terus memborong bermacam-macam lagi barang di Ikea. Sudahnya saya duduk di atas troli yang membawa almari-yang-perlu-dipasang-sendiri-di rumah berhampiran dengan kaunter dan menelefon emak sementara menanti mereka siap. Mendengar cerita emak yang kepenatan di hari pertama sekolah dan kisah adik-adik yang kembali semula memakai baju sekolah. Semoga adik-adik Ngah rajin-rajin ye tahun ni.

-Fatt dan Pena tersadai di luar Ikea. Penuh dua troli yang ada di hadapan mereka-

Disebabkan terlalu banyak memborong barang yang hampir penuh 2 troli, kami pulang menggunakan khidmat teksi Ikea. Lebur 680 ruble memandangkan kadar bayaran adalah mengikut lokasi yang dituju. Tidak kisahlah. Asalkan saya tidak perlu bersusah payah mengangkut barang-barang ini dengan metro. Sebenarnya, memang mustahil untuk pulang dengan metro. Barang terlalu banyak.

Kami tiba semula ke rumah pada jam 9 malam. Selepas berehat meluruskan kaki yang letih asyik berjalan dan berdiri, tepat jam 12.30 malam tadi, saya dan Pena mula bertukang memasang almari dapur itu. Kebanyakan barangan Ikea memang begini. Perlu dipasang sendiri di rumah. Sudahlah almarinya berat dan kompleks. Memang menguji kesabaran betullah. Orang lain tidur, kami bising bertukang lengkap dengan tukul, screw driver dan lain-lain. Betul-betul jam 3 pagi, semuanya selesai. Kami memindahkan almari ke dapur dan mengemas dapur serba sedikit. Semakin lama, stok makanan kami serumah semakin bertambah. Pelik juga. Hendak dikata kami bawa dengan banyaknya dari Malaysia, rasanya sama saja seperti tahun-tahun sudah. Ada makanan yang beranak-pinak kot.

-OK Acai. Inilah gambar almari dapur yang saya beli tu. Jangan merungut tak tahu rupa almari dapur dah ye. Hihik-

Selesai mengemas dapur ala kadar, baru saya masuk ke bilik. Itupun tidak tidur terus. Saya dan Pena menonton sebuah filem bersama-sama. Rumah pada ketika itu sudah sunyi. Saya hanya dapat melelapkan mata selepas Subuh sekitar jam 7.30 pagi.

Notice board yang kami letakkan di dapur. Merapu je saya dan Pena di tengah malam semalam :p –

Dan siang tadi selepas solat Asar, kami bertiga meredah kawasan Baumanskaya pula untuk mencari sebuah service center untuk membaiki laptop Fatt. Sudah ketemu tapi tutup pula. Dalam website, katanya buka. Suhu hari ini pula jauh lebih sejuk berbanding semalam. Habis merah-merah hidung dan pipi kami. Kamudian kami bertiga menuju ke Novi Cheremushky pula untuk meninjau service center yang ada. Saya menghubungi buat hati saya si Adnan untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang komputer daripadanya. Rupanya adik saya yang seorang itu sedang di perpustakaan menelaah untuk peperiksaan akhir semesternya. Sorry Nan. Ngah tak tahu awak di library waktu tu!

Hampir 2 jam lebih kami di sana. Siap makan sekali. Tapi kami tidak dapat mencari sebarang kedai yang membaiki komputer. Jadinya, kami terpaksa juga ke Acer Service Center pada hari esok. Kami tiba di rumah lebih kurang pukul 9 malam.

Ya. Esok kami terpaksa keluar lagi. Ada dua pula destinasi kami kali ini. Penatnya!

Kesimpulannya, rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara. Kini kami masih muda dan sihat untuk ke hulu ke hilir aktif menjalani kehidupan. Hendak beribadah pun tiada masalah. Gunakanlah nikmat ini dengan sebaiknya. Jangan nanti bila sudah tua dan sakit-sakit, baru hendak menyesal tidak sempat hendak beribadah dengan sempurna. Satu lagi, bagi yang sedang bercuti, manfaatkanlah masa dengan sebaiknya. Janganlah setakat marathon makan, tidur, movie saja ye =) Aktif-aktifkanlah diri ya. Bagi yang di Spartivnaya, apa kata kita pergi snow boarding sama-sama minggu depan? Dengarnya ramai yang meluncur di Yugo Zapadnaya. Judin, apa kata kamu jadi master mind untuk kali ni? Hihi =)

Nota: Maafkan saya dengan lagu pilihan saya kali ini. Agak lagha sedikit tapi saya sekadar hendak mengimbau kenangan dengan seorang kawan baik pada satu masa dulu. The Reason nyanyian Hoobastank.

Posted on January 5th, 2008 by Sarah  |  46 Comments »

Kisah Si Bodoh

Assalamualaikum wbt

Suatu ketika dahulu, saya pernah sangat bodoh. Saya tidak tahu perkataan apa yang patut saya guna walaupun saya benci mengatakan diri saya bodoh. Tetapi itulah hakikat. Lama saya biarkan diri terikat dengan kebodohan itu. Sebab saya tidak tahu dan tidak matang untuk mengatur kaki melangkah keluar dari kebodohan yang saya cipta itu. Mungkin kerana saya masih anak-anak dan tidak punya suara untuk berterus-terang. Kalau boleh diundurkan masa, saya mahu berada semula di suatu ketika dulu di saat sebelum kebodohan itu bermula.

Ada dua sebab saya mahu kembali ke waktu itu. Pertamanya kerana saya harapkan saya lebih matang membuat keputusan pada waktu itu. Agar tidaklah saya terpenjara dalam kebodohan itu. Kebodohan yang buat jiwa saya sakit tanpa mereka yang terlibat tahu bahawa saya tidak bersalah dan saya tersepit. Mereka tidak tahu itu! Kedua kerana saya harapkan insan-insan yang terlibat dalam kebodohan ini lebih berani dan tidak meninggalkan semuanya untuk saya tanggung seorang diri bertahun-tahun. Empat tahun. Ya. Empat tahun. Kenapa mereka itu semuanya lari tutup mata? Kenapa tidak mahu berdepan dengan saya yang saya kira jauh lebih matang dalam menghadapi hal ini daripada mereka? Kenapa dibiarkan masa menentukan semuanya? Penakutkah? Atau mahu meletakkan salah sepenuhnya kepada saya? Saya tidak pernah menipu mereka dan saya sangat jujur dalam meletakkan siapa saya pada masa dan ketika itu. Kenapa sudahnya saya yang dibiarkan dan akhirnya mencipta kebodohan yang saya sesalkan sekarang.

Saya kesal, sedih tetapi cerita bodoh itulah yang menjadikan diri saya yang sekarang. Jadi dalam pada itu, saya berterima kasih kepada mereka yang meletakkan saya dalam kebodohan lampau. Kerana membolehkan saya membezakan yang mana rasa, yang mana jiwa. Yang mana kawan, yang mana teman. Yang mana jahat, yang mana sahabat.

Beberapa hari yang lalu, saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai sahabat. Sungguh saya ikhlas. Saya hargai mereka sebagai sahabat sungguhpun mereka tidak mengiktiraf apatah lagi tahu akan apa yang saya sempurnakan itu. Semoga mereka tidak terleka dan mengulangi penderaan yang pernah mereka lakukan. Semoga mereka tahu di mana untuk menghentikan sebuah pertanyaan.

Buat mereka semua, belajarlah daripada sejarah. Jangan dikelek ke masa hadapan. Yang sudah tu sudahlah. Biarkan sejarah tinggal dengan sebuah noktah. Bukan koma yang ada sambungan. Saya minta maaf atas apa yang terjadi biarpun saya bukanlah punca segala. Saya tahu kamu tidak pernah tahu tentang hal ini. Saya bukanlah punca segala. Jadilah kita sahabat semula. Semoga persahabatan yang pernah wujud dulu, dijernih dan dihidupkan semula. Itu doa saya untuk tahun ini.

Pada hari ini genap empat tahun kita hidup dengan sejarah yang tidak sudah itu. Saya mahu kamu terus sebagai sahabat. Jangan pergi!

Nota: Sajak baru ada di blog lagi satu. Sabut Di Tengah Laut.

Nota 2: Menghayati hikmah Al-Baqarah 2:216 – Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Allah Taala A’lam…

Posted on January 4th, 2008 by Sarah  |  26 Comments »

Menjadi Insan Berguna

Assalamualaikum wbt

Menulis tajuk entry saja sudah membuatkan saya tergelak. Bukannya apa. Bunyinya seperti saya hendak memberi motivasi. Padahal, itulah tema yang saya berikan untuk cuti kali ini. Cewah.

2 hari lepas, saya mengemas bilik, ruang tengah, tandas dan menggilap cermin-cermin yang ada. Hari ini pula, saya, Pena dan Fatt mencuci dapur, membersihkan peti ais, menyusun atur semula sususan perabot di dapur dan malam nanti saya hendak membuat cucur udang. Esok saya hendak ke Ikea. Mencari sebuah almari baru untuk dapur. Alang-alang, bolehlah saya ber-ice skating di Mega. Ya. Wajib jika tidak ramai orang. Terasa seperti orang malas saja jika duduk di rumah.

Menjadi insan yang berguna juga maksudnya saya menjadi orang yang tidak membazir makanan. Apa tidaknya. Asyik makan saja kerjanya. Matilah saya macam ni! Petang dan malam pula saya menghabiskan masa membaca buku-buku yang dibeli itu. Sekali dah menghadap buku, jangan harap saya pandang orang keliling.

Oh ya. Saya suka melihat sambutan tahun baru dari atas katil saya malam tadi. Menghadap ke langit dari katil, saya dapat melihat bunga api yang berwarna-warni. Indahnya (walaupun saya tidak dapat melihat bunga api di Putrajaya :p ). Suasana di luar bangunan hostel juga meriah. Kerana bagi orang tempatan, mereka lebih menyambut tahun baru berbanding Krismas. Kalaupun mereka hendak menyambut Krismas, sambutannya adalah pada 7 Januari kerana mengikut kiraan Orthodox (14 hari lebih lewat daripada Katolik). Kenapa mereka lebih meriah menyambut tahun baru dan kurang meyambut perayaan agama adalah antara kesan ideologi Komunisme satu masa dulu yang menyebabkan orangnya gila kerja dan kurang beragama.

Jadi, cuti tahun baru secara rasminya di sini adalah sehingga 10 Januari. Untuk memberi peluang mereka menyambut tahun baru dan Krismas. Malah, atas suara pekerja yang besar dan berkuasa, gedung-gedung perniagaan yang besar dan kompleks membeli-belah juga ditutup pada 1 Januari. Hebat sungguh suara pekerja di sini. Jika di Malaysia, pada 1 Januari itulah lagi ramai yang hendak keluar membeli-belah di tempat-tempat sebegini kan. Dan pada 25 Disember pula, tiada cuti disediakan. Pelikkan? Tapi inilah kalendar Orthodoxisme yang mereka gunakan.

_____________________________________________________________

Hari buat dia:

77) Teman sejati ialah orang yang mencintaimu meskipun telah mengenalimu dengan sebenar-benarnya iaitu baik dan burukmu.

Posted on January 1st, 2008 by Sarah  |  25 Comments »