1100 Kampung Lebak

Assalamualaikum wbt

Rasanya tak perlu diterangkan panjang lebar. Saya tersangat rindukan rumah, emak ayah dan adik beradik saya. Hendak menelefon mereka, telefon masih belum ber-top up. Bilalah saya hendak keluar ni. Di luar hari sedang hujan. Memang mendung. Demam makin menjadi-jadi. Bersin tak sudah-sudah. Saya hendak balik rumah. Saya rindukan rumah saya. Saya rindukan bilik tidur saya.

Janganlah cemburu ye melihat kehijauan kawasan rumah saya. Tapi ini rumah Tok Halimah. Rumah saya betul-betul di belakangnya saja. Di depannya ada buai di bawah pokok semarak, di atas bukit menghadap Sungai Pahang. Di belakang rumah saya ada kawasan rumput hijau. Pernah main baring-baring dengan adik-adik. Di tepi rumah ada banyak pokok buah. Inilah kelebihan duduk di kawasan kampung. Bangganya saya menjadi anak kampung. Nak balik rumah! Demam-demam ni teringatkan bubur nasi Mak Tam!

Inilah buah hati saya. Kaklong, Adnan, Adlan, Adi, Adam, Azizi, Aiman. Semuanya tinggi menggalah mengalahkan ayah. Sungguh ni. Bangun pagi tadi rasa sebak sangat. Sebab teringatkan mereka semua. Rasa nak nangis… Mood saya dah hilang semula. Saya rindukan mereka. Dan juga cinta saya di Malaysia… *Matilah spekulasi :p

Posted on April 21st, 2008 by Sarah  |  32 Comments »

Kisah Cuti Hari #3

Assalamualaikum wbt

Hari ini Alhamdulillah berkualiti. Bangun awal pagi tapi demam pula. Soksek-soksek hidung ini (inikah bunyi selesema?) dan batuk-batuk juga. Saya kurang gemar bila batuk-batuk begini. Pertamanya sebab saya mudah sakit di bahagian abdomen (perut) apabila batuk dan keduanya kerana teringatkan ketika saya sakit teruk hujung tahun lepas. Seksanya waktu itu.

Kenapa berkualiti? Sebab dapat berdhuha awal dan kemudian ada usrah naqibat diikuti dengan sedikit perbincangan tentang program yang akan kami jalankan untuk pelajar perempuan di sini tak lama lagi. Tapi hal ini belum rasmi. Nanti saya ceritakan dengan penuh tentang hal ini ya.

Apabila balik ke rumah, perut terasa lapar dan saya tak berselera memandang roti. Wah! Baru saya sedar sepanjang seminggu ini, baru 2 kali saya menyentuh roti. Biasanya, rotilah yang menjadi makanan rasmi saya bila tidak berselera. Jadi, saya memasak untuk makan tengahari. Selesai makan, ada pula usrah saya dengan anak-anak buah saya. Oh. Saya mama usrah yang macho. Tanya mereka kalau tak percaya. Usrah hari ini sangat meriah. Entah kenapa. Hati terasa penuh.

Selesai usrah, saya cuba hendak menanti Asar tapi masih lambat. Badan pula memanas. Jadi saya makan ubat dan tidur. Tapi Masya Allah, lama pula saya tidur. Tapi bila sedar, Alhamdulillah makin kebah panasnya cuma batuk yang menyakitkan abdomen masih ada dan soksek-soksek hidung masih berterusan.

Dalam entri lepas, ada yang mencadangkan supaya saya keluar berjalan-jalan untuk mengisi rasa bosan cuti ini. Masalahnya tidak boleh keluar sesuka hati. Atau yang sebaiknya, tidak payahlah keluar langsung. Ada sebab kenapa begini tapi macam yang saya terangkan dalam nota kaki selang empat entri yang lalu, saya memang malas dan tak terasa hendak bercerita tentang hal ini. Handphone saya pun tak ber-top up. Tadi terasa hendak keluar sangat-sangat untuk men-top up tapi memandangkan badan demam dan hari hujan, saya lalu membatalkan niat.

Dalam pada saya rasa hari ini berkualiti, ada sesuatu yang merosakkan hari saya. Teman serumah saya pastinya jelas akan hal ini. Saya tidak tahu bagaimana hendak menyusun ayat menceritakan tentang hal ini. Tapi ringkasnya, cukuplah sekadar saya katakan satu lagi perkara yang saya tidak suka ialah berkawan kerana bersebab (friends for benefits). Dan kita diperkotak-katikkan. Skemanya ayat. Ayat tidak skema, saya dipergunakan dan dalam masa yang sama kita dipandang salah dan rendah. Tidak seronok kan bila jadi begini?

Dan untuk seorang kawan lama, selamat bertunang. Semoga ikatan ini kekal dan membawa ke bab kedua dan seterusnya. Didoakan yang baik-baik saja menanti awak dan dia. Dan buat Saiful Adilin di Germany, Selamat Hari Lahir. Semoga panjang umur dan murah rezeki.

Nota:
Ada isu menarik di sini. Salahkah perigi mencari timba?

Posted on April 21st, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Kisah Cuti Hari #2

Assalamualaikum wbt

Saya tak tahanlah keadaan cuti begini. Malam tadi saya lelap ketika hari sudahpun mencecah jam 6.30 pagi. Sudah terang benderang di luar. Langsir memang dirapatkan supaya cahaya matahari yang terbit awal tidak mengganggu tidur orang lain. Saya berniat untuk tidur dengan puas sebab semalaman saya memang tidak boleh tidur.

Tapi baru sejam dua terlelap, saya sudah terbangun. Untuk menidurkan diri semula, saya memasang playlist nasyid dan memakai headphone. Tapi tetap tidak boleh lelap. Saya terus bangun dan membuat apa-apa yang patut. Tapi hari ini memang tidak berkualiti. Paling habis pun, saya berjaya membaca 3 jurnal perubatan yang menarik berkenaan dengan autopsi mayat dan pembedahan otak. Perut pun tak berkualiti. Tak menjamah apa-apa sehinggalah malam. Tengahari tadi, Imen rakan Tunisia saya datang ke rumah. Berbual barang sejam dua. Dia bertanya kenapa ada tertulis nota ‘Uskutii!’ yang ditulis dalam Bahasa Arab yang ditampalkan di depan meja belajar saya? Saya jawab, kerana saya tidak mahu semua yang saya rasa terluah keluar atau dizahirkan. Jadi saya menasihatkan diri saya supaya uskut.

Yang agak berkualiti cuma 1. Dapat beraerobik dengan gembiranya ketika rumah kosong. Yang ada hanya saya dan Wanie. Empat yang lain menghadiri jamuan di rumah kawan. Saya dan Wanie juga sempat berbincang tentang beberapa isu termasuklah jahat baiknya diri kita dan cara kita untuk berubah. Tapi apa kesimpulannya?

Susah jika kita terpaksa berhadapan dengan orang yang keras kepala dan selalu rasa dirinya betul. Kita bukan mencari alasan tapi setiap daripada kita pastinya tahu apakah yang mampu dan tidak untuk kita laksanakan. Dan jangan kerana kita rasa kita sudah bagus lalu kita mengharapkan orang lain berada sama paras dengan kita. Kadang kala, ada kekangan dan kekurangan yang tidak dapat dielakkan dalam diri seseorang. Wallahu a’lam.

Buat emak yang Ngah sayangi, semoga cepat sihat. Ngah jadi kurang ceria bila dapat tahu emak sudah beberapa hari tidak sihat.

Buat rakan-rakan, jangan cari saya di YM. Memang tidak akan jumpa. YM saya bermasalah.

Sungguh, saya tidak ada mood untuk buat apa saja sekarang ini.

Posted on April 20th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Kalaulah Boleh Mengidam, Saya Mahu…

Assalamualaikum wbt

Kalaulah saya boleh menyatakan 5 hadiah yang saya hajati, memang ada beberapa perkara yang terlintas. Tapi saya bukanlah orang yang sukakan barang berjenama, terlalu up-to-date atau bercitarasa tinggi. Yang akan saya senaraikan ini hanyalah barang idamanlah kiranya. Tak dapat, tak jadi masalah. Dari kecil, kami adik-beradik tak dimanjakan dengan hadiah. Setiap kali peperiksaan kalau dapat cemerlang, paling habis kami akan mendapat hadiah jam tangan, keluar makan atau… Atau apa ya? Saya pun sudah tidak ingat. Sebab memang tak dibiasakan dengan hadiah-hadiah. Kalau betullah emak ayah perlu bagi hadiah pada kami semua selepas exam, alamatnya memang setiap hujung tahun tercekiklah mereka menyusun perbelanjaan kerana semuanya menghulurkan buku rekod dengan tertera keputusan yang baik. Bagi saya, sayalah yang perlu memberi hadiah semula kepada mereka kerana mereka telah menyekolahkan saya. Dan setakat umur budak sekolah, hadiah terbaik yang boleh diberikan ialah buku rekod yang tak pernah bertukar nombor. Didoakan ini sudah menjadi hadiah terbaik untuk emak dan ayah. Ok. Mari lihat senarainya.

:: Macbook Pro 15’4 MA895 ::
Saya mula berminat dengan Macbook Pro (MP) sejak menjadi pengintip tidak rasmi di sebuah blog kepunyaan En. Batu yang sangat menarik. Setiap hari wajib saya menjenguk ke sana 4-5 kali. (Linknya saya tidak boleh letakkan. Kalau tidak, dia akan dapat mengesan siapalah silent reader di blognya itu.) Dari hari ke hari saya semakin menyukai MP. Kacak sungguh. Badan macam model gitu. Tip top. Skrin pun teramatlah menepati citarasa mata saya. Ada banyak lagilah sebabnya. Harganya sekitar RM8000++. Ini yang membantutkan impian. Tak apa. Saya tak kisah pun tak dapat. Cuma sudah jatuh cinta dengan MP.

:: Menjelajah ke Timur Tengah ::
Kalau orang lain berlumba-lumba hendak menjejakkan kaki ke Eropah, ke UK, Ireland dan negara-negara tersohor yang lain contohnya, atau hendak ke Amerika, saya tidaklah teringin sangat hendak ke sana. Lupa pula hendak beritahu. Saya belum pernah pun sampai ke UK. Ramai je yang gelakkan saya atas fakta ini. Pokoknya, saya tak teringin sangat pun. Saya lebih berminat untuk ke negara-negara di Timur Tengah. Saya lebih berminat dengan tamadun Arab. Tamadun zaman kegemilangan Islam juga melihat negara-negara yang mempunyai komuniti Islam yang tidak disangkakan. Saya teringat dahulu Mak Andak ada menyebut tentang Morocco. Saya teringin ke sana. Tapi entahlah bila. Pokok pangkalnya masa dan wang.

:: Mazda 6 ::
Kacak amat. Tak perlu cerita panjanglah. Sebab memang kacak. Tapi ini memang angan-angan sajalah. Harganya di Malaysia mencecah RM140 ribu. Membazir pula berhabis kerana kereta. Kalau nanti sudah bekerluarga, baik saya fikirkan tentang rumah dan pelaburan masa depan untuk anak-anak. Kalau kereta, pakai Wira atau Waja pun sudah ok kan.

:: Sony Ericson W54S ::
Saya pernah ceritakan di sini dahulu. Masih belum beli. Waktu telefon lama dulu rosak, saya pakai beli saja apa-apa yang sempat saya jumpa dalam lingkungan bajet masa itu. Mungkin nanti di Malaysia kalau harganya sudah turun, saya belilah. Tapi selagi telefon yang ada ini masih elok, tak kuasa saya beli yang baru pula kot. Jangan membazir.

:: Ke Air terjun dengan keluarga ::
Ini serius ni tau. Saya terkilan sebab tidak sempat ke air terjun ketika balik cuti lepas sedangkan bukannya jauh dari rumah pun. Bila tengok video ayah hari tu, rasa sebak pun ada walaupun gelaknya lagi banyak (ayah tahu kenapa Ngah gelak). Cuti nanti, wajib pergi. Memang terasa hati bila tengok gambar yang lain-lain pergi air terjun hari tu. Lupa hendak beritahu. Saya memang sukakan kawasan air terjun.

Ok. Siap. Sebenarnya ini adalah tag daripada Syam (Kid). Mari nak cerita sikit tentang Syam. Dia merupakan seorang junior yang kini menuntut di Nizhny Novgorad Medical State Academy. Mengenalinya kerana sama-sama berada dalam board PPIM-RSC. Kadang-kadang dia panggil saya KS. Tapi sekarang saya rasa dia panggil saya Kak Sarah. Makin mengenali Syam sejak bekerja bersama ketika program Simposium’07 di Kota Bharu. Waktu itu baru saya tahu tarikh lahirnya 11 Ogos dan sampai sekarang saya ingat fakta tentang tarikh lahir ini. Dia sangat handal komputer. Inilah contoh pelajar perubatan yang serba boleh.

Saya juga ditanya apakan ciptaan yang paling saya kagumi. Jika jawapannya dari skop seorang hamba, jawapan saya pastilah manusia. kerana Sang Pencipta itu telah menciptakan manusia yang sangat kompleks ini dengan sesempurnanya. Terperinci dari segala sudut. Maha suci Allah. Tapi dari segi teknologi, saya mengagumi bagaimana teknologi dalam neurosurgery dicipta. Terutamanya yang melibatkan otak. Sangat rumit dan kompleks. Apa-apapun, semuanya adalah idea kebijaksanaan kurniaan Allah.

Dan saya juga ditanya apakah yang paling tidak saya sukai. Jawapannya senang saja. Orang yang menipu dan tidak menepati waktu. Saya memang tidak suka. Lain kata, pantang betul saya dengan orang yang begini.

Saya tidak akan memanjangkan tag. Cukuplah sampai di sini. Kebetulan ada masa terluang, saya terus kemas kinikan blog untuk kali kedua pada hari ini. Bagi sesiapa yang juga tahu tentang blog En. Batu itu, janganlah dibocorkan rahsia saya ya. Sampai ke hari ini, dia tidak pernah tahu siapa saya. Huhu.

Posted on April 19th, 2008 by Sarah  |  21 Comments »

Kisah Cuti Hari #1

Assalamualaikum wbt

Ya Allah. Hendak menamatkan hari pertama cuti, terasa mati kutu betul. Hendak keluar tidak boleh. Sudahnya dari awal pagi saya hanya duduk-duduk di dalam bilik. Sungguh. Memang mati kutu. Selepas Zohor, saya sudah tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat. Makan dah berkali-kali, senaman pun sudah, rehat pun sudah. Saya duduk-duduk membaca buku di atas katil. Sudahnya tertidur. Dalam tidur sempat bermimpi menyelamatkan seorang perempuan yang mengelar kedua belah tangannya. Darah memang penuh. Tidurnya tak lama mana pun tapi bila terjaga terasa amat penat kerana dalam mimpi tersebut, saya bersungguh-sungguh cuba menyelamatkannya. Kenapa saya selalu bermimpi yang ganas-ganas begini? Tapi seronok juga sebab saya sempat beramali dalam mimpi. Habis segala ilmu diguna pakai untuk menyelamatkannya. Pelik betul.

Selepas Asar, kami serumah bermain Saidina sehingga sebelum Maghrib. Maghrib hari semalam, semua pelajar perempuan Malaysia yang tinggal setingkat dengan kami berjemaah di rumah kami. Minggu hadapan di rumah Anna pula rasanya. Tazkirah hari ini, uhuk, Ustazah Sarah yang bertugas.

Sementara menanti untuk bertolak ke jamuan makan di rumah Ili, kami serumah bermain kotak beracun. Memang seronok. Tambahan pula, main bersama ahli rumah sendiri saja. Semuanya sudah saling mengenali dan tidak segan silu dengan denda-denda yang dikenakan.

Inilah antara makanan yang saya jamah sejak pagi lagi. Dimulai dengan keropok, jemput-jemput ikan bilis, makan nasi dengan ayam masak tomato dan sup sayur. Ketika di rumah Ili, ada ayam goreng, kentang, zapekanka (sejenis pai makanan tempatan), sushi, puding jagung, agar-agar dan karamel telur. Jadi, bagi sesiapa yang tahu berapa berat saya turun bulan lepas, jangan risau. Cuti 5 hari ini saya cukup yakin boleh mengembangbiakkan semula badan dengan jayanya.

Airnya pula air apa? Wajiblah bagi saya Nescafe panas. Dan di saat ini, saya sedang minum teh susu panas. Teh wangi dari Syria lagi tu. Jangan jealous ye =)

p/s: Bismillahirrahmanirrahim…

Posted on April 19th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »