Archive for the ‘Raya’ Category

Cerita Raya Kami

Assalamualaikum wbt

Terasa berkurun lama tidak menjenguk ke sini. Kali ni memang betul-betul tak jenguk. Tak sempat dan tak larat. Macam-macam yang terjadi sejak sebelum raya dulu. Apa-apapun, Alhamdulillah. Saya redha saja dengan semuanya. Atau dalam ayat lainnya, layankan sajalah Labu. :mrgreen:

Alhamdulillah, selepas sempurna sebulan bepuasa dengan penuh susah-payah dan diselang-seli dengan episod kelembikan, Aidilfitri tahun ini saya dan suami sambut secara sederhana di dalam kereta. Dalam kereta? Iya. betul. Kami terlalu banyak mengembara ke sana-sini pada hari raya lepas sehinggakan tidak terasa sangat suasana raya itu sebenarnya. Hehe.

Sehari sebelum raya, saya dan suami bertolak pulang ke Temerloh dari Putrajaya. Sebelum itu, saya menghabiskan masa selama 3 hari di rumah mertua saya di sana. Kiranya, inilah kali pertama saya merasai suasana balik kampung untuk berhari raya. Hihi. Dulu-dulu, saya biasanya akan pulang ke Pulau Pinang untuk berhari raya sama ada beberapa lebih awal atau pada hari raya kedua. Jadi suasananya lain. Tapi perjalanan balik kampung ke Temerloh yang diiringi lagu-lagu raya yang bermacam-macam itu sekejap saja sempat saya hayati. Sebaik saja melepasi Tol Gombak, saya mulai lembik. Jadi, saya hanya tidur di sepanjang perjalanan. Celik saja mata, kami sudahpun berada di Tol Temerloh. Balik kampunglah sangat, kan. Hehe.

Petang itu, kami sekeluarga berbuka beramai-ramai. Kali ini, Abang Hashim, Nan dan Farah tidak ada. Abang Hashim bekerja di hari raya pertama. Jadi dia terkandas di Penang sana. Nan dan Farah pula hanya pulang ke Temerloh pada petang raya pertama. Malam itu, adik-adik saya ke masjid untuk solat sunat Tasbih. Tinggallah saya, Kaklong dan emak di rumah membuat serba sedikit lagi persiapan untuk raya.

Di awal pagi raya tahun ini, rutin saya berubah. Dulu-dulu, setiap kali menjelang raya, saya atau Kaklong akan sibuk memastikan baju raya adik-adik sudah siap bergosok kemas untuk mereka ke masjid. Tapi tahun ini memang berbeza. Adik-adik semua sudah besar. Semuanya menguruskan baju mereka sendiri, cari butang baju melayu sendiri, pakai sampin sendiri dan siap menolong menghidangkan juadah pagi raya untuk makan bersama sebelum ke masjid. Ya Allah. Sudah besar semua adik saya rupanya. Kakakmu ini tiba-tiba terharu. :roll:

Rutin pagi raya saya kali ini tertumpu ke arah suami pula. Saya menyiapkan baju melayunya, butang bajunya, sampinnya dan terasa sangat syahdu di saat bersalaman dengan suami di pagi raya. Lebih syahdu saat dia mengucup dahi saya. Dalam hati berkata: Wow. Dah beraya berdua dah tahun ni. Hehe.

Gambar raya yang kelabu asap sebab guna handphone saja. Hehe.

Selepas bersalaman, emak, ayah, suami dan adik-adik semuanya ke masjid untuk solat raya. Saya memang tak larat untuk bergerak merata waktu itu. Jadi, tahun ini saya tidak ke masjid. Saya menemani Kaklong yang sibuk dengan anaknya, Anis, di pagi raya. Tapi pagi raya itu, Anis boleh pula tidur saja sepanjang pagi sehinggakan masa mandi pun tutup mata. Bertuahnyalah budak ni.

Kaklong dan Anis tanpa Abang Hashim di sisi. Sob sob sob.

Sebaik suami sampai dari masjid, kami ke rumah tok dan dua buah rumah saudara lagi di atas bukit ini. Sebelum Zohor tiba, kami sudah bersiap-siaap untuk bertolak balik kampung lagi. Kali ini, destinasi kami ialah Batu Pahat, kampung sebelah emak mertua saya. Keluarga mertua saya menyambut raya pertama di sana. Kami ikut jalan belakang melalui Bahau-Gemas-Segamat-Yong Peng. Agak banyak kereta tapi tidaklah sampai sesak. Tapi kami mengambil masa hampir 4 jam di dalam kereta untuk tiba ke sana. Sampai saja di Batu Pahat, kami terus menuju ke rumah datuk saudara kerana ahli keluarga yang lain sedang berkumpul di sana. Sebenarnya, inilah kali pertama dalam hidup saya ke Batu Pahat. Setelah siap makan malam di sana, barulah kami semua bertolak balik ke rumah Atuk di Kampung Parit Haji Sidek, betul-betul di belakang BP Mall di sana. Hehe. Kampung Atuk di tengah bandar rupanya. :grin:

Malam itu saya memang pengsan terus. Penat yang teramat sangat. Kebesokannya, sebelum Subuh lagi, satu rumah sudah riuh. Yang lelaki semuanya ke masjid. Tinggal kami yang perempuan saja solat Subuh di rumah. Saya siap mandi air telaga yang sangat dingin lagi di awal pagi itu. Sangat segar!

Selepas bersarapan, saya dan suami mengikut umi dan baba beraya ke rumah saudara-mara yang belum pernah menemui pengantin tak berapa nak baru ni. Hehe. Yang seronoknya, saya masih dapat duit raya! Hihi. Padahal dah nak dapat anak dah pun. Hihihi. Banyak juga rumah wak-wak yang kami ziarahi. Insya Allah, saya akan cuba mengingati mereka satu persatu. Oh ya. Keluarga di sebelah Johor ini berketurunan Jawa. Atuk saya juga merupakan seorang pembuat dan penjual tempe secara tradisional. Tempenya sangatlah sedap. Saya dan suami kalau makan sambal goreng di rumah Atuk, memang bertambah-bertambah macam tak cukup pinggan. Hehe.

Suami saya dengan muka tak siapnya. Huhu~

Sebelum Asar, kami sudah bersiap-siap untuk pulang ke Temerloh. Apakan daya, saya sudah mula bekerja pada hari raya ketiga. Tapi Masya Allah. Perjalanan pulang mengambil masa sehingga 7 jam! Ini gara-gara tersekat dalam kesesakan jalan raya di kawasan Jempol. Memang punah mood. Saya memang tak tahan dengan kesesakan jalan raya. Saya hanya diam saja di dalam kereta. Ditambah dengan sakit pinggang dan merajuk dengan suami, ehem-ehem, jadi saya hanya diam saja di dalam kereta. Hehe. Cerita pasal merajuk ni kemudianlah ya. :mrgreen:

Sudah hampir tengah malam, barulah kami tiba di Temerloh. Kami membawa bekal tempe segar hasil air tangan Atuk. Selepas mengemas beg ala kadar, saya menyiapkan baju untuk kerja keesokannya dan kemudian terus tidur. Keesokannya, di saat seisi rumah masih lagi tidur, saya sudahpun bertolak ke hospital. Seperti biasa, selepas saja raya, hospital bagaikan sedang mengadakan rumah terbuka dengan meriah. ICU penuh. Wad-wad medikal, ortho dan surgery juga penuh. Kes-kes kemalangan dengan pendarahan otak (intracranial bleed – ICB) memang tak terkata banyaknya. Majoritinya kes ICB di-intubate. Itu belum lagi kes-kes uncontrolled hypertension, diabetes mellitus dan semput segala bagai ni. Sesak nafas saya bekerja hari itu meronda satu hospital seorang diri melihat perkembangan pesakit-pesakit yang berada di bawah seliaan Unit Anaesthesiologi. :roll:

Petang itu, suami saya menjemput saya sekitar jam 7 petang di hospital dan kami terus bertolak ke Kuantan pula. Mertua saya berada di sana beraya dengan keluarga sebelah Pahang pula. Sebaik sampai sekitar 8 lebih, kami terus makan. Penuh perut dibuatnya. Hehe. Sekitar jam 11 malam, barulah saya dan suami bertolak pulang. Di pertengahan jalan, kami singgah tidur di R&R dan kemudian menyambung perjalanan. Sampai di rumah sekitar jam 2 pagi dan keesokannya, jam 7 pagi saya sudahpun berada di hospital. Penatnya hanya Allah yang tahu.

Dan pada 9 September lalu, itulah hari terakhir saya bertugas sebagai seorang HO. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Tamat sudah zaman susah-payah hidup menjadi Pegawai Perubatan Latihan Siswazah. Terima kasih ya Allah kerana segalanya sungguh lancar buat saya. Jadi, pada 10 September lepas, barulah kami berpeluang pulang ke Putrajaya untuk beraya di sana pula. Di sana, barulah kami sempat menghadiri beberapa undangan rumah terbuka juga beberapa walimah kawan-kawan. ;-)

Iya. Beginilah raya kami. Raya di jalanan dan mengembara. Hehe. Kisah pengembaraan kami sebenarnya belum berakhir. Di sinilah sebenarnya bermulanya pengembaraan kami berdua yang lebih jauh dan bermakna.

Kembara apa yang kami tempuhi, nantikan entri seterusnya ya. 😉

Nota 1: Tahun ni tiada gambar raya sekeluarga. Tak sempat bertemu muka dengan kesemua ahli keluarga secara serentak.

Nota 2: Baby sangat behave dalam perut mama dia ni. Tak banyak kerenah sangat sepanjang mengembara ke sana-sini. Alhamdulillah.

Nota 3: Akhirnya, berat badan saya sudah naik selepas raya ni! Yeyeay~

Posted on September 25th, 2011 by Sarah  |  5 Comments »

Beginilah Di sini

Assalamualaikum wbt

10 Zulhijjah pun berlalu. Sekelip mata. Petang Sabtu lalu, kami serumah berbuka puasa bersama. Menunya nasi tomato saja. Masing-masing menelefon keluarga pada malam raya saja. Sebelah malamnya, saya menyediakan kuah kacang dan Wanie membuat persediaan bahan-bahan untuk soto.

Pagi raya, hanya saya, Wanie dan Fareena berkesempatan ke kedutaan untuk solat raya kerana Fatt, Diba dan Emy ada kelas. Amira (tetamu dari Jordan itu) turut mengikut kami ke sana. Sampai tepat pada masanya, terus solat raya, makan-makan, ambil-ambil gambar dan terus pulang. Sampai di rumah tepat pukul 12 tenghari. Sekitar pukul 2.30, saya dan Fareena sekadar menolong Wanie menyudahkan apa yang patut saja untuk sotonya kerana selepas Maghrib, dia menjemput rakan sekumpulannya untuk makan-makan di rumah. Kemudian ke rumah Ammar (abang Amira) pula. Makan-makan lagi. Nasi beriyani gam pula. Saya sekadar pergi memenuhi jemputan saja. Terlalu mengantuk sehingga tak lalu makan.

Balik ke rumah tepat jam 7 petang. Terus solat Isyak dan… bummmm. Tidur. 11.15 tadi baru terjaga kerana ada kerja yang perlu diselesaikan.

Hajat pada hari ini terlaksana. Lega rasa hati.

Hajat 1 : Dengar Suara Tok Lebak
Saya: Assalamualaikum Tok! Ngangah ni Tok! Selamat hari raya, Tok.
Tok Lebak: Waalaikumussalam. Ha. Selamat hari raya, Ngah.
Saya: Tok sihat ke tak ni?
Tok Lebak: Ha?
Saya: (lagi kuat) Tok sihat tak ni?
Tok Lebak: Ha?
Saya: (makin kuat) Tok sihat tak ni?
Tok Lebak: Ha. Sihat. Sihat. Cuma sakit-sakit badan je. Nak buat gone (loghat Temerloh, maksud: macam mana) Ngah. Badan orang tua.
…..
Saya: Muhammad, Tok tu sakit ke? Tu dia kata dia sakit-sakit badan sikit tu?
Muhammad (sepupu): Ate dia pergi kelakar (loghat Temerloh, maksud: buat kerja luar rumah) kat tebing kita tu, mana tak sakitnya badan tu.
Saya: Hah. Ate kan lagi. Lagi satu, Tok tu apa kehalnya tiba-tiba jadi tak dengar?
Muhammad: (gelak-gelak) Telefon ni yang ada bunyi kerak-keruk. Tu yang jadi tak clear tu.
Saya: Laa hai. Ingatkan Tok dah tak dengar. Bulan lepas elok amat lagi ha.
Kami: (gelak-gelak)

Hajat 2 : Dengar Suara Tok Penang
Tok Penang: Assamualaikum.
Saya: Waalaikumussalam. Tok, cheq ni. Sarah.
Tok Penang: Haa. Sarah. Hang tang mana ni?
Saya: Sarah kat Moscow la Tok. Tang mana lagi (gelak-gelak). Selamat hari ghaya, Tok.
Tok Penang: Selamat hari ghaya. Hang lagu mana la ni? Pak hang habaq hang takdak kad bank.
Saya: Ok je Tok. Ayah bagi duit. Tak tau bila nak dapat kad baghu. Tok masak apa hari ni? Sapa duk ada kat ghumah?
Tok Penang: Mat Nazri ja. Mak Lang hang balik Sungai Petani dah. Dia mai buat-buat ketupat semalam. Tadi balik dah.
Saya: Tok tak buat besamah ka?
Tok Penang: Sapa nak makan. Hang ada pun hang bukan buleh makan.
Kami: (gelak-gelak)

Pengorbanan saya setiap kali tibanya Hari Raya Korban ialah berkorban untuk tidak makan daging. Sedihnya. Kali terakhir saya makan daging bila saya menggila melanggar pantang makan Besamah Daging yang Tok Penang saya masak 3-4 tahun sudah. Padan muka. Habis muka bengkak-bengkak jadi alien. Buat kecoh satu kampung saja bila semua risau tengok saya sampai sesak-sesak nafas. Lawak pun iya juga. Dan pengorbanan kedua ialah bersabar apabila emak ayah memberitahu menu masakan di rumah. Tapi yang kali ni tidak terkilan sangat kerana Kaklong yang masak. Huhu.

Alah. Tak kisah. Di sini saya ingin mengumumkan, inilah raya terakhir yang saya sambut di sini. Tahun depan, saya akan beraya di rumah bersama keluarga tercinta (ini sangat benar) dan juga suami saya (ini sangat tipu). Terima kasih kepada Fareena yang sudah berpenat-lelah menggembleng tenaga menyusun kolaj gambar kali ini. Saya pemalas. Curi saja dengan izinnya.

Posted on December 9th, 2008 by Sarah  |  14 Comments »

Aidil Adha 1429H

Posted on December 6th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Hari Minggu

Assalamualaikum wbt

Kelmarin, saya hanya 2 jam sempat lelapkan mata. Itupun hanya setelah 25 jam tak tidur. Awal pagi semalam sudah bangun untuk menyiapkan kuah kacang. Menjelang tengahari semuanya selesai dan saya terus tidur. Bangun saja sudah Zohor. Mengemas rumah ala kadar, bersiap dan sudah mula ada tetamu datang ke rumah.

Untuk Rumah Terbuka universiti anjuran SMSA kali ini memang meriah. Yang datang terlalu ramai sehinggakan makanan tidak cukup. Saya kasihan melihat mereka yang datang di penghujung acara. Ada juadah yang mereka tak sempat rasa. Dapat saja makanan, saya jamah hujung-hujung jari saja. Terus saya ambil keputusan balik ke rumah. Makan di sana sajalah. Rumah pun di tingkat 2 saja. Angkat kaki.

Di rumah, baru makan sedikit, saya dah berhenti. Ada 3 sebab. Pertama, kalau saya dah terlalu lapar (tak makan apa-apa langsung sejak sehari sebelum itu), saya memang akan hilang selera untuk makan bila makanan sudah di depan mata. Kedua, kerana terlalu letih. Ketiga, kegelian melihat telatah beberapa orang yang membuatkan selera makan saya terbantut. Terus saya masuk dapur untuk mengemas. Dapat panggilan daripada junior. Mereka dalam perjalanan ke sini. 9 orang. Alamak. Makanan di rumah terbuka itupun dah habis, takkan nak biarkan mereka pulang begitu saja, kan. Terus saya keluarkan ayam dari peti. Sediakan bahan-bahan untuk buat rendang. Emy tanak nasi dan Fatt sediakan bahan-bahan untuk nasi goreng. Selesai menggoreng nasi, barulah saya dapat menyentuh air. Saya minta Pena belikan. Wajib air sejuk. Sebab berperang di dapur memang sangat panas rasanya. Selepas Maghrib, kami pun makan beramai-ramai.

Selepas tetamu beredar, ada Auyun dan Kreen di rumah saya. Ini rakan 1 batch. Kami pun apa lagi. Berbincang (baca: berborak kencang) tentang isu sejagat. Homoseksualism. Masalah besar ni. Tunggu entri seterusnya untuk kupasan lanjut. Menjelang 11 malam, rumah pun kosong. Saya dah tak larat nak mandi dah. Terus tidur. Sudah 2 malam saya tidur tanpa mandi terlebih dulu. Bau dapur sudah sebati dengan bilik.

Apa saya tunggu lagi merepek-repek di sini. Hari ini hari Ahad. Saya perlu membasuh baju yang sangat banyak. Hajat asal hendak ke Kedutaan hari ini. Ada program di sana. Tapi, malas lebih dominan dan badan lenguh-lenguh. Ate kalo udah maleh tu, maleh le jugak. Ye dak? Hehe. Keknye nok gonekan. Badan kome ni dah tak ‘ghok’ nak kulu-kilir. Terkohoit dah.

Nota: Siapa faham apa saya tulis di hujung tu, memang saya tabik springlah =)

Posted on October 12th, 2008 by Sarah  |  40 Comments »

Tag Raya

Assalamualaikum wbt

Sejak bila puasa penuh?

Mula berpuasa sejak tadika. Puasa penuh sejak darjah 1.

Pernah ponteng puasa dan apa alasannya?
Waktu darjah 3, dalam kelas Al-Quran di surau sekolah, tiba-tiba ada darah mengalir keluar melalui mulut saya. Menitis-nitis atas helaian Al-Quran. Emak datang sekolah dan bawa saya terus ke klinik. Gastrik saja, kata doktor (gastritis). Waktu itu Ramadhan. Saya terpaksa berbuka serta-merta. Tapi bila dah tingkatan 4, baru tahu rupanya saya ada gastric ulcer. Dan Ramadhan tahun lepas, ketika saya sakit teruk tu, saya tinggal 4 hari puasa kerana keadaan diri yang sangat tak mengizinkan.

Pernah bermain mercun dan bunga-api?
Mestilah pernah. Tapi saya kurang meraikan sangat benda-benda alah ni kerana masih terasa fobia saya terbakar tahun 1993 dulu. Saya main gitu-gitu aje.

Juadah yang paling disukai ketika berbuka?
Apa-apa saja yang emak masak. Saya lagi suka makanan berasaskan mee berbanding nasi untuk berbuka. Ni dulu-dulu. Sekarang, tak dapat nasi waktu berbuka, rasa longlai 1 badan. Hehe. Kalau di rumah, dulu-dulu emak mesti sediakan nasi dan lauk juga makanan seperti mee hailam atau bihun atau apa sajalah yang bukan nasi. Tapi sekarang ni, berapa orang saja yang tinggal di rumah. Emak masak yang sederhana saja. Agaknya tahun depan, meriah semulalah Ramadhan kami. Erk, ni yang buat saya nak kerja di Temerloh saja ni. Boleh tolong tengokkan adik-adik kan. *Alasan*

Lagu raya kegemaran?Beraya di mana tahun ini?
Hanya 3 lagu yang ‘sentiasa hijau’ di hati saya:
1) P. Ramlee – Dendang Perantau
2) Hail Amir dan Uji Rashid – Seloka Hari Raya
3) M. Nasir – Satu Hari Di Hari Raya
Beraya semestinyalah di Tanah Tsar ini. Season Finale Autumn Version =)

Pernah bertugas di Hari Raya?
Belum bekerja lagi. Setakat ni, hanya pernah mempunyai kelas di pagi raya ketika di tahun 2. Erm. Tapi pernah bertugas sebagai pencuci pinggan-mangkuk rasmi ketika hari raya. Hehe. Sebab rumah saya pastinya akan diserbu oleh saudara-mara, orang kampung dan kawan-kawan ayah sebab rumah saya merupakan lokasi lepak-lepak terbaik untuk makan laksa Penang yang best! Emak saya sangat handal membuat Laksa Penang. Sampaikan, orang tersilap sangka ingatkan ayah saya tu orang Temerloh kerana dialeknya yang dah macam orang tempatan manakala emak pula yang disangka orang Penang.

Kenangan paling manis pada Hari Raya?
Hehe. Sentiasa manis. Terutamanya raya tahun 2002 selepas tamat SPM (kali terakhir beraya bersama keluarga) dan pada tahun ini (kali terakhir beraya di Moscow).

Posted on October 11th, 2008 by Sarah  |  7 Comments »