Archive for the ‘Pregnancy’ Category

Kehidupan

Assalamualaikum wbt

Memang dari sehari ke sehari niat hendak menulis di sini telah tertangguh. Bukan saja kerana sibuk dengan kerja, tetapi juga kerana ada 1001 aktiviti lain yang lebih diutamakan. Dalam tempoh 8 bulan ini, bukan saja ada agenda besar iaitu berpindah rumah (lagi) telah berlaku. Yang jauh lebih dahsyat, rumah yang dibeli kali ini kami selesaikan segala urusan mengecat, membaik pulih dan bertukang segala apa yang patut dengan mengerah keringat kami sendiri.

Saya rasa, cerita tentang rumah ini perlu saya asingkan entrinya. Terlalu istimewa jalan ceritanya untuk saya dan suami kenang bila sudah tua-tua nanti. Yang banyak mengajar kami erti susah payah kehidupan. Huhu. Memang boleh menangis terharu bila diingat semula.

Selain itu, saya juga telah mencabar diri saya untuk terlibat sebagai focal person dalam sebuah projek amal. Projek Beg Sekolah Musim Kedua. Kalau tahun lalu saya rasa saya tidak mampu untuk turut serta sebagai focal person kerana terlalu sibuk, sampai bila saya hendak beralasan lagi, kan. Jadi saya cabar diri saya untuk turut terlibat secara serius pada kali ini. Walaupun sebenarnya, hanya Allah yang tahu betapa saya sangat sibuk sejak Ogos yang lalu. Saya minta izin suami untuk turut serta. Dan semestinya, projek amal yang memakan masa beberapa bulan ini, memerlukan pengorbanan masa dan tenaga bukan saja diri saya tetapi suami dan anak-anak juga. Terlalu banyak pengalaman yang saya raih hasil menyertai projek ini. Memang tidak akan dapat saya tukar ganti dengan sesuatu yang lain. Insya Allah, kisah saya menyertai projek ini juga akan saya khaskan sebuah entri istimewa untuknya.

Bagi urusan kerja pula, mulai tahun lepas lagi, saya sudah mula menjaga atau menjadi officer in charge bagi dua buah negeri serentak. Selangor dan Melaka. Jadi memang bertambah sibuklah saya kerana supervisor saya merupakan seorang JUSA C dan dia memang menyerahkan sepenuhnya segala kerja-kerja perancangan sama ada yang melibatkan projek hospital atau klinik kepada saya untuk kedua-dua buah negeri ini. Dalam seminggu, biasanya hanya dua hari saja saya berada di pejabat di Putrajaya. Selebihnya saya akan kerja di luar pejabat sama ada ke JKR di Kuala Lumpur, ke tapak projek mahupun ada sesi interaksi khas bersama kontraktor dan konsultan projek.

Suami saya pula memang terikat dengan jadual kerja bertugas di luar pejabat yang sangat kerap. Jadi, mahu tak mahu, memang saya yang akan menguruskan Izz dan Zayd di pagi hari untuk menghantar mereka ke sekolah dan taska sebelum memecut menuju ke JKR di Kuala Lumpur ataupun ke destinasi mesyuarat yang lain. Kalau masuk ke pejabat pula, memang telah tersusun surat dan memo untuk diambil tindakan segera. Saya susun mengikut keutamaan, penuh berderet di atas meja. Sehinggakan, supervisor saya sudah tahu dengan cara saya. Kalau dia hendak meletakkan surat baru, di meja saya, dia akan susunkan sebagaimana saya menyusun surat-surat lain yang telah sedia ada. Huhu. Balik lewat sudah menjadi rutin kerana ada banyak perkara perlu diselesaikan sebelum saya keluar outstation lagi keesokan harinya.

Oh ya. Bila saya sebut supervisor, maksudnya dia adalah pakar saya. Pakar Perubatan Kesihatan Awam. Inilah pakar yang menyelia tugas saya dan yang paling utama, markah SKT saya adalah tertakluk kepadanya. Huahaha. Dalam pada sedikit cerewet sifatnya itu (cerewet banyak sebenarnya), Alhamdulillah, markah SKT saya sudah 2 tahun melebihi 93%. Huhu. Kiranya, cerewet-cerewet pun, dia puas hatilah dengan kualiti kerja saya, kan. Haha.

Bila cerita tentang kerja di Perancangan ini, memang ramai kawan lama saya yang sinikal dan menganggap tugas ini mudah. Kerja waktu pejabat, duduk di meja saja, menaip surat, menghadiri mesyuarat, memberi maklum balas, tidak perlu oncall, tidak perlu kerja lebih masa dan segala yang merendahkan martabat seorang doktor di Kesihatan Awam berbanding doktor di bidang klinikal. Hakikatnya, semua tanggapan itu adalah salah. Sudah kerap benar saya terasa hati, sakit hati dan sikit lagi nak marah bila mendengar tanggapan mereka itu. Pernah dua sesi yang saya hadiri yang turut melibatkan pakar-pakar klinikal yang memandang rendah bidang kerja para doktor dan paramedik yang bertugas sama ada di Ibu Pejabat mahupun di Jabatan Kesihatan Negeri. Mereka tak sedar bahawasanya kedua-dua bidang ini saling melengkapi. Saling memerlukan. Pernah saya ditujah dengan ayat yang cukup membuatkan saya sedih yang dilepaskan oleh seorang pakar di sebuah hospital yang saya terlibat dalam projek di sana.

“Awak bukan pakar. Mana awak tahu semua ni.”

Dush. Memang pedih menyiat hati sehingga saya sudah tidak ada mood untuk meneruskan sesi tersebut. Saya diam saja selepas itu. Lantaklah apa pakar tersebut hendak bangkangkan. Apa dia ingat, dia seorang pakar jadi dia tahu segalanya? Semestinya tidak. Sudah menjadi tugas saya yang antara lainnya untuk memandu arah mereka tentang skop projek, skop perancangan perubatan, kerja-kerja yang berkaitan dengan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal yang terlibat juga implikasi kos yang boleh menjejaskan perjalanan projek sekiranya ianya melebihi peruntukan. Dalam erti kata lainnya, walaupun saya bukan seorang pakar klinikal, tapi saya lebih tahu berbanding dia tentang segala kerja-kerja yang melibatkan arkitektual, mekanikal, elektrikal, sivil dan struktur, keperluan ICT sehingga ke perincian server room atau data center bagi sesebuah hospital dan saya juga memerlukan ilmu asas untuk merangka Preliminary Detail Abstract (PDA) yang dikeluarkan oleh Ukur Bahan. Ingat senangkah semua ini?

Saya masih ingat, sebaik saya membuat keputusan untuk menolak tawaran master baru-baru ini dan insiden pakar memperlekehkan tugas saya di Perancangan, saya balik rumah dalam keadaan mood memang ke lautlah. Tetapi, ada satu ayat yang diluahkan oleh suami saya yang membuatkan saya rasa sangat dihargai atas segala pengorbanan saya untuk terus berada di sini.

“Terima kasih sayang sebab banyak berkorban untuk abang dan anak-anak. Kalau bukan sayang yang berkorban tolak master Anaesth dulu dan sambung kerja kat sini, entah macam mana keadaan anak-anak masa abang tak ada. Tak apa kalau sayang tak ada master sekalipun. Allah dan abang tahu betapa banyak sayang dah berkorban untuk abang dan anak-anak dan betapa susahnya kerja sayang sekarang.”

Apabila saya nyatakan padanya bahawa saya sudah nekad untuk menolak tawaran master untuk Kesihatan Awam ini pula, sekali lagi suami menyatakan sokongan bahawa Allah lebih tahu betapa ini juga adalah antara pengorbanan yang saya buat demi keluarga kecil kami.

Tapi sudah pastilah, memang terdetik rasa sedih tidak dapat meneruskan hajat saya yang satu ini. Iaitu untuk emak dan ayah dapat hadir ke masjlis konvokesyen saya. Sobssss. Dulu sewaktu degree, emak dan ayah tidak dapat datang ke Moscow. Saya memasang niat, saya mesti dapat membawa emak dan ayah hadir ke konvokesyen master saya pula. Nampaknya buat masa ini, masih belum tertunai lagi niat ini. Sewaktu melihat emak dan ayah silih berganti menghadiri majlis konvokesyen tiga orang adik saya yang bergraduasi pada tahun lepas, terdetik rasa terkilan kerana majlis saya tidak dapat dihadiri oleh mereka dulu.

Hmm… Tak apalah. Saya memujuk diri, selepas anak-anak membesar dan stabil, saya masih boleh menyambung pelajaran. Tidak semestinya saya mesti menyambung dalam bidang klinikal mahupun kesihatan awam dan melalui proses tapisan untuk merebut biasiswa HLP. Saya boleh menyambung dalam apa saja bidang yang saya mahu. Apa saja. Malah, apabila takaful saya matang tempoh hari pun, memang saya sudah sukukan duitnya untuk digunakan bagi tujuan menyambung pelajaran kelak. Supaya saya tidak perlu bergantung harap pada HLP yang ada had umur untuk memohon dan keterikatan dengan kontrak selepas tamat belajar.

Perihal anak-anak pula, saya kira semuanya cukup sempurna buat masa ini. Tahun ini Izz sudahpun masuk ke sesi persekolahan tadika untuk 6 tahun. Sekejap saja masa berlalu. Tahun hadapan Izz akan masuk ke alam sekolah rendah pula. Zayd pula telah saya mulakan sesi playschool di tadika yang sama dengan Izz. Umurnya akan mencecah 3 tahun pada Mei ini. Buat masa ini, Alhamdulillah, saya rasa mereka berdua cukup mudah untuk diuruskan dan otak mereka bagaikan span yang menyerap apa saja ilmu yang dicurahkan. Moga-moga kecerdasan mereka berdua dikekalkan Allah dan dapat saya dan suami manfaatkan untuk mencorak mereka menjadi muslim yang baik lagi membawa kebaikan.

Insya Allah, tahun ini juga Izz dan Zayd akan menerima seorang adik baru. Fuh. Ini yang saya nak tulis dari awal tadi sebenarnya. Sebab tak pernah ada entri atau sebarang cerita yang saya coretkan mengenai pregnancy kali ini. Rasa macam tidak adil pula untuk anak ini. Huhu. Doakan semuanya selamat dan dipermudahkan. Cerita tentang kandungan keempat ini akan saya tulis dalam entri seterusnya. Sesungguhnya anak ini menjadi pengubat hati selepas keguguran anak syurga saya, Izz Haikal, pada tahun 2015 yang lalu.

Didoakan, semoga sahabat-sahabat semua pun berada dalam keadaan yang baik-baik dan sentiasa dalam redha Allah jua. Selamat malam!

 

Posted on February 27th, 2017 by Sarah  |  6 Comments »

Allah Ada Bersamamu, Anak Syurgaku.

Assalamualaikum wbt

Jumaat yang penuh barakah.

Sewaktu menjemput Izz di tadikanya sebentar tadi, saya terlihat 2 orang budak lelaki yang baru saja turun dari van sekolah dan berlari menuju ke rumah mereka. Di pintu pagar rumah tersebut, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang menunggu di situ. Barangkali itu adik kepada 2 orang budak lelaki tersebut.

Saya terbayangkan Izz dan Zayd. Mungkin suatu hari nanti beginilah keadaan mereka. Berlarian pulang ke rumah sekembalinya dari sekolah. Tapi sayangnya, rezeki untuk seorang adik perempuan menanti mereka di pagar rumah masih belum ada. Atau setepatnya, rezeki seorang adik untuk mereka berdua belum lagi tiba.

Atau yang lebih tepat, rezeki itu baru saja kembali semula kepada penciptanya.

Selesai Subuh pagi tadi, mama menyambut sendiri kelahiran janin mama yang berusia 3 bulan. Missed miscarriage yang hanya mama tahu 11 hari yang lalu. Alhamdulillah ala kulli hal. Sempurna keluarnya beserta kantung. Sebesar tapak tangan sudah saiznya. Allah lebih menyayanginya lebih daripada apa yang bakal mama dan ayah berikan.

Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita sekeluarga. Allah Maha Penyayang mendatangkan rasa bahagia dan gembira buat kita sekeluarga apabila diberitakan perkhabaran adik baby akan lahir tahun depan. Allah jugalah Yang Maha Baik memudahkan pemergian anak syurga ini. Kerana Allah itu Maha Segala Tahu apa hikmahnya dan kenapa dipinjamkan seketika lalu terus diambilNya tanpa sempat zahirnya dipeluk-cium, ditatap-tatang, disusu, dididik dan disayangi sepenuh jiwa. Allah memang Maha Tahu kenapa waktu ini yang dipilihNya untuk mengambil kembali anak syurga ini.

Di hari Jumaat yang penuh barakah ini, mama dan ayah berlapang dada dengan pemergian ini. Kami yakin ada hikmah yang sangat besar mengapa semua ini direncanakan ke atas kami. Dan salah satunya ialah, mama dan ayah tahu, ada seseorang sedang menanti mama, ayah, Abang Izz dan Abang Zayd di syurga. Nantikan kami di sana. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa mama dan ayah untuk berkumpul bersama kamu di syurga nanti.

Petang tadi, sebaik tiba di rumah Tok Wan dan Tok di Temerloh, ayah mengebumikan jasad kecilmu di tanah subur di belakang rumah. Sayu hati mama tatkala meletakkan balutan kecil itu ke dalam tanah. Kerana buat masa ini, ini sajalah rezeki mama dapat melihat jasad kamu buat kali terakhirnya, yang lahirnya terlalu awal, terlalu kecil dan tanpa nyawa. Semoga kita bertemu lagi nanti di syurga.

Bermainlah di sana.
Bergembiralah.
Allah ada bersamamu, anak syurgaku.

Mama,
28 Ogos 2015

Posted on August 28th, 2015 by Sarah  |  4 Comments »

Nota Untuk Anak Mama

This is a backdated entry. Specially dedicated for my son. Was written at the end of my pregnancy. But had no time to finalize it until one day before the delivery. But I was already in labour pain before I could publish it. Dear my son, Izz Zamani. This is the story of our journey together. The precious 40 weeks of my life.

Assalamualaikum anak mama,

Apa agaknya anak mama tengah buat tu? Keras-keras perut mama malam ni. Mama rasa, sejak mama sampai saja di rumah petang tadi, anak mama macam ajak mama pergi berenang saja gayanya. Berombak-ombak perut mama. Geli tau, sayang. Alhamdulillah. Mama sendiri tak sangka, diam tak diam tinggal lagi 13 hari saja sebelum tibanya due date sayang. Mama tahu, apa-apapun boleh berlaku dalam tempoh ni. Tapi setiap hari mama dan ayah berdoa banyak-banyak supaya sayang sihat dan selamat dilahirkan seperti yang dijangka. 1 Januari 2012. Itulah tarikh jangkaannya. Mama harap sangat anak mama akan lahir pada hari tu. Bolehlah sayang geng dengan mama. Kita sama-sama jadi Januarian ya, sayang!

Dah lama sebenarnya mama nak tuliskan nota ni untuk anak mama ni. Supaya satu hari nanti, bila sayang dah besar, dah boleh baca sendiri, sayang boleh baca semula kenangan sayang hidup selama 9 bulan bersama mama, dalam rahim mama. Mama tak tahu nak kata macam mana tapi pengalaman selama 9 bulan inilah yang tak ternilai harganya. Mama lalui satu fasa yang tak pernah mama jangkakan dalam hidup.

Mama ingat lagi tarikh mama tahu yang mama mengandung. 21 April. Waktu tu mama masih sakit-sakit tengkuk akibat kemalangan dulu tu. Mama saja cuba-cuba buat UPT di rumah. Sangat tak percaya yang keputusannya positif. Mama MMS-kan gambarnya kepada ayah. Ayah ketika itu sedang menuju ke tempat usrah. MMS itu berbunyi: Assalamualaikum ayah! Terus ayah menelefon mama untuk mendapatkan kepastian. Iya. Kami berdua sangat gembira dan bersyukur atas nikmat ini. Sejak malam itu, ayah sangat banyak menasihati mama supaya tidak terlalu aktif dan jangan stress dengan kerja.

Tapi mama ni masih lagi seorang HO pada ketika itu. Selepas bulan April tamat, mama kembali diberikan oncall setelah sebulan direhatkan daripada sebarang oncall akibat cervical injury yang mama alami. Disebabkan mama sudah senior, sudah berada di posting yang kelima dan sudah hampir menamatkan posting di Surgical, mama asyik-asyik diletakkan oncall sebagai 5th call. Tugasnya ialah menjaga kes-kes surgical di wad kanak-kanak Melor 1, kes-kes rujukan di periferi, kes-kes kritikal di ICU/HDW, membantu resusitasi di Kecemasan dan mengiri pesakit yang perlu dirujuk ke hospital luar seperti Hospital Kuala Lumpur atau Kuantan. Bertugas sebagai 5th call sangat banyak perlu bergerak. Kadang-kadang mama terpaksa berlari. Tidak dapat tidak, dalam hati mama sangat risau akan keadaan anak mama. Bolehkah anak mama survive? Usia kandungan baru mencecah 8 minggu waktu itu. Mama risau mama akan keguguran.

Mama masih ingat lagi. Pada satu malam tu, mama oncall sebagai 5th call lagi. Mama baru saja naik ke wad Melor 1 untuk berehat setelah berulang-alik dari Tabung Darah ke Red Zone. Ada kes UGIB. Mula-mula ambil packed cell 3 beg. Lepas tu hantar DIVC regime pula. Lepas tu kena ambil packed cell lagi. Memang separuh mati mama rasakan kepenatannya. Jarak antara Tabung Darah dan Kecemasan adalah antara dua hujung bangunan kompleks hospital yang luas tu! Selepas pesakit stabil dan mama iringinya ke wad Kenanga 7, mama berniat untuk naik berehat di bilik komputer HO di Melor 1. Baru saja mama duduk di kerusi, mama menerima panggilan. MO oncall mama memaklumkan berkemungkinan akan ada satu kes yang perlu dihantar ke HKL pada malam itu. Kes ICB. Allahu Akbar. Dalam hati mama berdoa moga-moga kes itu tidak perlu di-transfer ke HKL. Mama sangat perlukan rehat!

Kalau anak mama nak tahu, bilik komputer tempat mama jadikan tempat berehat tu bukannya ada katil. Yang ada cuma dua buah kerusi (kusyennya lembut jugalah) tapi agak tinggi yang jika digabungkan, tempat duduknya boleh muat untuk orang bertubuh kecil baring. Dulu-dulu waktu sebelum mengandung, mama akan tidur di atas kerusi itu saja. Ada juga sebuah kerusi lipat yang boleh dijadikan tempat baring di dalam bilik itu tapi sudah rosak dan ditumpangkan sementara di situ. Tapi sejak mama mengandung, mama tidak berani tidur di atas kerusi lipat yang rosak itu mahupun kerusi duduk yang agak tinggi berwarna biru itu. Mama takut jatuh dan membahayakan anak mama. Jadi, mama memilih untuk membentangkan selimut tebal di atas lantai di belakang meja komputer itu untuk mama berbaring. Dalam hati, mama sedih sebab dalam keadaan mengandung begini, mama terpaksa lalui semua itu.

Di wad itu ada bilik oncall HO. Tapi bilik itu digunakan (atau setepatnya dikhaskan) oleh HO Paediatrik yang oncall kerana itu wad multidisiplin mereka. Untuk HO Surgical pula, ada dua bilik oncall di wad lelaki dan perempuan. Tapi kedua-duanya digunakan oleh HO yang oncall di setiap wad itu. Jadi, memang orang 5th call merempat sikit hidupnya. Nasib badanlah, kan. Jadi pada malam itu, mama hanya sempat berehat dengan menunaikan solat Isyak di bilik komputer itu dan makan sebungkus roti bun ikan bilis Gardenia yang kecil tu. Tak sempat habis lagi roti tu, MO mama menelefon kembali. Dia memerlukan mama untuk menyelesaikan kes di Kecemasan. Mama capai labcoat dan stethoscope. Terus mama meluru ke lif. Di Kecemasan, terdapat 2 kes ICB menanti dan satu lagi kes baru UGIB. Dah nyata-nyata mama perlu berulang-alik ke Tabung Darah lagi untuk ketiga-tiga kes itu.

Selepas selesai menstabilkan mereka semua, salah satu daripada kes ICB itu mama perlu iringi pesakit tu ke HKL. Sudah tentulah naik ambulan nenoneno huyung-hayang gegar-gegar dari Temerloh, kan. Pesakit itu pula intubated dan hemodinamiknya dibantu oleh inotropes. Keadaannya tidak berapa stabil. Waktu itu jam menunjukkan pukul 4.45 am. Mama tiba di HKL sudah hampir jam 6 pagi. Selepas selesai memindahkan pesakit tersebut ke Unit Neurosurgical, mama pulang bersama team mama ke Temerloh. Mama terlentok di dalam ambulan. Kepenatan yang teramat sangat. Sampai di wad semula pada pukul 9.30 pagi. Mama meneruskan ward round bersama pakar dalam keadaan mengantuk, kelaparan dan tak mandi pagi! Huhu. Selepas itu, mama turun ke Klinik Pakar SOPD, tengaharinya membuat review di wad seperti biasa dan pada pukul 5 petang mama masih di wad menyelesaikan PM round bersama pakar.  Hampir pukul 6 barulah mama mula berkemas untuk pulang.

Mama macam kebuluran bila tiba di rumah. Elok saja selepas makan, mama hendak mandi. Ya Allah. Terkejut sungguh mama kerana mama lihat mama sedang mengalami pendarahan. Mama terasa cuak yang teramat sangat. Usia kamu di dalam rahim baru 8 minggu. Apa-apa saja boleh berlaku. Mama menangis sekejap. Tapi macam cuba mempositifkan diri. Mama tidak rasa sakit. Jadi mama simpulkan kemungkinan anak mama masih selamat. Cuma mengalami Threatened Abortion. Mama tidak memberitahu ayah pun. Mama menelefon sepupu mama, Maklong Nisa, yang juga satu posting dengan mama di Surgical. Mama memintanya untuk scan mama di Labour Room. Kebetulan, Ayah Tam Adi bercuti sem di rumah. Dia yang menghantarkan mama ke hospital. Setelah di scan, mama rasa sedih sangat. Denyutan jantung kamu tak dapat dilihat. Tapi sac masih regular dan IUGS kelihatan dengan jelas. Mama pasrah. MO O&G mulakan Duphaston untuk mama dan mama perlu rehat selama 2 minggu. Mama memberitahu ayah tentang hal ini. Ayah sedih tapi ayah ajak mama banyakkan berdoa agar anak mama selamat.

Walaupun diberikan MC 2 minggu, tapi apakan daya. Mama tak boleh guna! Cuti mama sudah habis. Kalau mama bercuti juga, nanti mama akan di extend posting ni mengikut jumlah cuti mama. Mama tak mahu kena extend. Mama tak pernah kena extend sebelum ni. Kawan-kawan satu posting dengan mama yang maklum akan hal ini menggantikan oncall mama dalam tempoh semingu. Selepas seminggu, mama kembali oncall walaupun ketika itu, ada ketikanya, pendarahan masih berlaku. Mama tawakkal saja. Mama masih ingat. Kawan mama yang banyak membantu dan memahami mama ialah Dr. Faizal (yang gantikan mama jadi Ketua HO dan membuat jadual oncall), Dr. Ili (tolong mama ketika mama mengalami pendarahan ketika oncall), Dr. Marissa, Dr. Michelle (kawan baik mama) dan tentunya sepupu kesayangan mama, Dr. Nisa. Pada masa yang sama juga, kami semua sedang menjayakan Surgical Night untuk jabatan kami. Mama jadi Naib Pengerusi. Walaupun keadaan mama begini, mama tak ralat untuk bekerja siang malam bagi menjayakan program itu kerana kawan-kawan yang terlibat sebagai AJK semuanya sangat membantu dan bersemangat.

Dalam tempoh 2 minggu itu, badan mama memang lemah. Mama ajak ayah pergi membuat scan di sebuah klinik swasta di Mentakab. Alhamdulillah! Denyutan jantung anak mama kelihatan! Anak mama survived! Mama dan ayah sangat bersyukur. Ayah melarang mama membuat kerja berat. Tapi apa yang mama boleh buat? Memang semua yang ada di wad tu adalah kerja rutin kami semua sebagai doktor. Tidak dapat tidak, memang mama tetap bekerja seperti biasa.

Selepas masalah Threatened Abortion selesai, mama mula muntah-muntah dengan teruk. Mama ada cerita ini dalam satu entri lama dulu. Hampir 5 kg berat mama turun. Tak larat sungguh rasanya. Waktu itu mama sudah pun berada dalam posting terakhir sebagai HO Anaesthesiology. Ketika berada di OT, berulang-aliklah mama ke tandas untuk muntah. Pernah mama dimasukkan air dan berehat di bilik oncall. Pernah juga dihantar ke Kecemasan dan terima drip lagi. Muntah sampai berdarah-darah. Muka mama pun ada bintik-bintik darah kecil-kecil. Dah macam ada episodes of asphyxia je dah masa muntah tu. Tapi kerja tetap kerja. Cuma mama jadi sangat pendiam untuk elakkan mual semakin teruk. Memang pendiamlah kiranya. Tak seperti biasa. Haha. Nampak sangat mama ni banyak cakap juga, kan.

Pernah sekali tu, mama ikut ayah balik ke Putrajaya. Tiga hari di sana, tiga hari jugalah mama melepek. Muntah-muntah tak usah cakaplah. Terlalu kerap. Hari ketiga tu, ayah bawa mama ke klinik. Masuk drip lagi sekali. Dan keadaan mama sangatlah pucat ketika itu. Nak berjalan pun terketar-ketar jadinya. Doktor di klinik tu kawan ummi (nenek kamu). Dr. Rohaya namanya. Dia sangat lembut dan banyak memberikan kata perangsang kepada mama. Sepatutnya mama perlu dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk admission. Tapi mama tak mahu. Mama kena balik ke Temerloh sebab lusanya tu mama kerja. Mama dapat MC tapi MC daripada GP tak laku untuk kami ni. So MC tu awal-awal lagi mama dah simpan bawah bantal sajalah. Waktu tu, usia kamu baru 16 minggu. Dan waktu scan di situ, mama dah pun tahu apa jantina kamu nanti, insya Allah. Hebat betullah Dr. Rohaya tu. Hehe.

Sewaktu usia kamu 18 minggu lebih, mama sudah mula rasakan tendangan pertama kamu di dalam perut. Subhanallah! Amazing betul rasanya. Mama sedang makan cendol dengan Mak Tam Ani ketika itu. Terus mama telefon ayah. Sejak itu, mama macam ternanti-nanti bila lagi akan merasa tendangan-tendangan kecil itu. Seronok betul rasa. Kalau tengah malam tiba-tiba mama merasa tendangan kamu, mama boleh tersenyum seorang diri. Hehe.

Alhamdulillah, mama berjaya berpuasa sebulan penuh. Keadaan muntah-muntah tu pun hanya hilang selepas hari raya. Waktu itu usia kamu sudah masuk 25 minggu. Barulah keadaan pulih. Dan selera makan mama mencanak-canak naik. Tapi berat mama tidaklah naik mana sangat. Yang paling mama suka makan ialah aiskrim Magnum Classic! Suka gila! Ayah risau je mama akan overweight tapi ayah tetap belikan mama aiskrim tu. Haha. Allah tu maha tahu segalanya. Elok saja mama dari alahan mengandung, mama dipindahkan ke Kuala Lipis pula. Di situlah mama dan ayah mula duduk di rumah sewa pertama kita.

Mama suka bekerja di Kuala Lipis. Keadaannya tak sesibuk di Temerloh dulu. Dan mama ditempatkan di Jabatan Anaesthesiologi juga. Mama suka! Sebab mama sangat minat Anaesth! Sebelum memulakan kerja di OT, mama ditempatkan terlebih dahulu di OPD. Jaga klinik pesakit luar dan buat general call. Penat Ya Rabbi! Disebabkan itulah mama mengalami premature contraction ketika kamu baru berusia 27 minggu. Menangis mama memikirkan kamu mungkin dilahirkan tidak cukup bulan. 27 minggu itu adalah telalu kecil! Severe premature! Hampir seminggu mama ditahan di wad di Temerloh. Mama memang banyak menangis ketika itu tapi pada masa yang sama mama juga banyak berdoa. Alhamdulillah segalanya selamat.

Kalau anak mama nak tahu, yang paling mama sedihkan sekali ialah bila mengenangkan keadaan mama yang sarat dan tinggal berseorangan di sana. Ramaaaai sangat yang tanya mama, kuat ke duduk seorang diri kat sana? Sedihnya hati bila berulang kali orang tanya soalan tu. Hakikatnya, mama sangaaaaat sedih. Setiap hari mama rasakan kosong dan sunyi. Mama hanya bercakap bila di hospital. Bila bertemu rakan sekerja. Di rumah, hanya sunyi yang menemani mama. Kalau mama tak oncall, pukul 5 lebih mama sudah sampai di rumah. Mama akan ternanti-nanti ayah menelefon. Ayah sibuk ketika ini. Selalu balik lewat. Kadang-kadang bila mama menelefon ayah, ayah masih lagi di pejabat. Sebelah malamnya pula kadang-kadang ayah ada urusan lain. Hari yang ayah ada usrah, mama akan tunggu ayah telefon selewat 12 tengah malam. Sunyi tak terkata hidup mama.

Mama uruskan semuanya sendirian. Daripada makan minum sehinggalah sakit lenguh badan mama. Apabila mendengar suara ayah di telefon, mama mesti menangis. Siapa kata mama kuat? Cengeng sebenarnya mama ni tau. Kadang-kadang, ayah tak perlu bersuara pun. Cukup dengan menerima panggilan ayah dah boleh buat mama menangis. Setiap pagi mama bangun pada pukul 5.30 am. Apabila mama ke bilik air untuk mandi, mama selalu berpesan pada diri mama sendiri. Mama perlu berhati-hati. Lantai basah, licin. Jangan jatuh. Setiap kali mama ceritakan pesan mama pada diri sendiri ini kepada ayah, ayah akan diam di hujung talian dan mungkin juga menangis sebenarnya. Lalu ayah akan berkata: Maafkan abang. Abang tak dapat teman sayang kat sana. Mama bergenang air mata tapi mama ingatkan ayah: Takpe. Allah jaga mama dan baby di sini.

Pernah pada satu hari, mama turun membantu di klinik OPD kerana tidak cukup doktor. Beban kerjanya sudah tentulah berat. Waktu itu kamu sudah pun masuk 36 minggu. Pesakit sangatlah ramai. Mama duduk di kerusi terlalu lama sehingga mama sakit pinggang yang amat sangat. Mama memandu pulang ke rumah dalam keadaan sakit. Sudahnya, mama langsung tidak dapat tidur walaupun sepicing pada malam itu. Ayah risau. Mama sudah tertekan dengan mata yang tak boleh lelap. Mama mengaji saja sepanjang malam. Banyak kali ayah telefon untuk menemani mama. Badan mama terasa lemah sebab tidak boleh tidur. Keesokannya itu mama oncall. Alhamdulillah, selepas pukul 5 petang, tiada kes kecemasan. Mama balik berehat di rumah. Mama berkira-kira, selepas Isyak, mama hendak tidur terus, takut-takut ada kes di tengah malam buta. Nanti tak sempat tidur pula.

Selesai saja mama berdoa, ayah menelefon mama. Ayah bertanya apa yang mama sedang buat. Mama jawab, mama baru sudah solat dan sudah hendak tidur selepas itu. Tiba-tiba ayah menyuruh mama membuka pintu. Ayah sedang menunggu di luar pintu. Ya Allah. Terperanjat sungguh mama. Ayah balik! Dengan bertelekung, mama membuka pintu dan terus memeluk ayah. Mama dan ayah menangis berpelukan. Ayah kata, ayah balik semata-mata untuk menemani mama tidur. Ayah nak pastikan mama tidur. Malam itu, mama boleh tidur, Alhamdulillah. Dan keesokannya, ayah bertolak untuk pergi kerja pada jam 5 pagi dan mama ke hospital pada jam 6.30 pagi kerana ada kes secara tiba-tiba. Walaupun penat mama belum hilang sepenuhnya, tapi mama gembira kerana ayah pulang untuk menemani kita.

Oh ya. Kalau anak mama nak tahu, sepanjang mengandungkan kamu ni, mama sudah 2 kali khatam Al-Quran. Alhamdulillah. Memang Al-Quran lah peneman mama setiap hari di rumah ni. Subuh-Subuh mama mengaji. Maghrib mama mengaji. Lepas Isyak pun mengaji. Bila sunyi mama mengaji. Bila tak boleh tidur mama mengaji. Mama bacakan Al-Quran untuk tenangkan hati mama dan mama hendak kenalkan anak mama dengan ayat-ayat Allah ni. Setiap kali lepas mengaji, mama rasa puas. Hilang rasa penat. Dan yang pasti, respon dari anak mama pun lebih aktif. Main tendang-tendang kat dalam. Suka betul mama. Huhu. Sekarang pula mama sedang cuba menghabiskan Surah Yasin sebanyak 40 kali. Kebetulan, ketika mama khatam kali yang kedua, cukup-cukup saja 40 hari sebelum due date kamu. Moga-moga Allah permudahkan proses kelahiran kamu nanti, ya sayang.

Anak mama, insya Allah kalau diizinkan, mama berniat untuk menyusukan kamu sepenuhnya dengan susu badan selama dua tahun. Mama dah siap sediakan pam dan segala gadget yang perlu untuk membuat stok susu nanti. Mama mahukan barakah dalam membesarkan kamu dengan susu ibu seperti mana yang dituntut di dalam Al-Quran dan mengikut sunnah Rasulullah. Mama harap, dengan barakah susu ibu, anak mama akan menjadi mukmin yang mentauhidkan Allah dan tak gentar untuk menyebarkan kebenaran itu. Setiap hari mama mendoakan ini. Dan mama sentiasa luahkan apa mama doakan dan rasa ini kepada ayah. Ayahlah penyokong nombor satu mama. Moga-moga nanti Allah murahkan rezeki anak mama dengan susu yang banyak dan tak putus-putus, insya Allah.

Anak mama, di saat mama menulis penutup nota ini, mama baru saja pulang daripada last check up di Klinik Desa Lebak. Mama sendirian saja ketika ini. Kebetulan yang lain keluar pula. Sebenarnya mama sudah mula rasa sakit-sakit. Tapi kekerapannya masih jarak-jarak. Mama rasa, memang sudah sampai masanya kamu nak keluar, ya? Hehe. Sambil menulis ini, sekejap-sekejap mama akan memegang pinggang menahan sakit. Ya. Mama yakin ini memang contraction pain. Huuu. Tiba-tiba mama rasa seram sejuk. Mama dah nak bersalin! Anak mama dah nak keluar!

Apa-apapun, mama nak anak mama tahu. Mama terlalu menghargai pengalaman kita hidup sebagai satu selama 40 minggu ini. Pengalaman yang terlalu berharga. Pengalaman yang tak boleh ditukar ganti. Kita hidup sebagai satu jasad, berkongsi segalanya. Terima kasih kerana memberikan mama pengalaman ini. Terima kasih kerana menemani mama di saat mama sunyi. Semoga mama dan ayah dapat menjadi ibu bapa terbaik buat kamu di dunia ini nanti.

Sakit dah semakin kerap ni. Andai kata mama syahid ketika melahirkan kamu, mama nak anak mama tahu, mama terlalu sayang kamu! Jika tak sempat bertemu di dunia, jadilah anak soleh yang mendoakan mama sentiasa. Moga-moga Allah temukan kita di syurga.

Sayang sepenuh jiwa,

Mama.

Nota: 8 Mac – Selamat Hari Wanita. Peliharalah diri dan aurat kita. Sesungguhnya kita adalah harta yang amat berharga. 😉

Posted on March 8th, 2012 by Sarah  |  43 Comments »