Archive for the ‘Moscow’ Category

Beginilah Di sini

Assalamualaikum wbt

10 Zulhijjah pun berlalu. Sekelip mata. Petang Sabtu lalu, kami serumah berbuka puasa bersama. Menunya nasi tomato saja. Masing-masing menelefon keluarga pada malam raya saja. Sebelah malamnya, saya menyediakan kuah kacang dan Wanie membuat persediaan bahan-bahan untuk soto.

Pagi raya, hanya saya, Wanie dan Fareena berkesempatan ke kedutaan untuk solat raya kerana Fatt, Diba dan Emy ada kelas. Amira (tetamu dari Jordan itu) turut mengikut kami ke sana. Sampai tepat pada masanya, terus solat raya, makan-makan, ambil-ambil gambar dan terus pulang. Sampai di rumah tepat pukul 12 tenghari. Sekitar pukul 2.30, saya dan Fareena sekadar menolong Wanie menyudahkan apa yang patut saja untuk sotonya kerana selepas Maghrib, dia menjemput rakan sekumpulannya untuk makan-makan di rumah. Kemudian ke rumah Ammar (abang Amira) pula. Makan-makan lagi. Nasi beriyani gam pula. Saya sekadar pergi memenuhi jemputan saja. Terlalu mengantuk sehingga tak lalu makan.

Balik ke rumah tepat jam 7 petang. Terus solat Isyak dan… bummmm. Tidur. 11.15 tadi baru terjaga kerana ada kerja yang perlu diselesaikan.

Hajat pada hari ini terlaksana. Lega rasa hati.

Hajat 1 : Dengar Suara Tok Lebak
Saya: Assalamualaikum Tok! Ngangah ni Tok! Selamat hari raya, Tok.
Tok Lebak: Waalaikumussalam. Ha. Selamat hari raya, Ngah.
Saya: Tok sihat ke tak ni?
Tok Lebak: Ha?
Saya: (lagi kuat) Tok sihat tak ni?
Tok Lebak: Ha?
Saya: (makin kuat) Tok sihat tak ni?
Tok Lebak: Ha. Sihat. Sihat. Cuma sakit-sakit badan je. Nak buat gone (loghat Temerloh, maksud: macam mana) Ngah. Badan orang tua.
…..
Saya: Muhammad, Tok tu sakit ke? Tu dia kata dia sakit-sakit badan sikit tu?
Muhammad (sepupu): Ate dia pergi kelakar (loghat Temerloh, maksud: buat kerja luar rumah) kat tebing kita tu, mana tak sakitnya badan tu.
Saya: Hah. Ate kan lagi. Lagi satu, Tok tu apa kehalnya tiba-tiba jadi tak dengar?
Muhammad: (gelak-gelak) Telefon ni yang ada bunyi kerak-keruk. Tu yang jadi tak clear tu.
Saya: Laa hai. Ingatkan Tok dah tak dengar. Bulan lepas elok amat lagi ha.
Kami: (gelak-gelak)

Hajat 2 : Dengar Suara Tok Penang
Tok Penang: Assamualaikum.
Saya: Waalaikumussalam. Tok, cheq ni. Sarah.
Tok Penang: Haa. Sarah. Hang tang mana ni?
Saya: Sarah kat Moscow la Tok. Tang mana lagi (gelak-gelak). Selamat hari ghaya, Tok.
Tok Penang: Selamat hari ghaya. Hang lagu mana la ni? Pak hang habaq hang takdak kad bank.
Saya: Ok je Tok. Ayah bagi duit. Tak tau bila nak dapat kad baghu. Tok masak apa hari ni? Sapa duk ada kat ghumah?
Tok Penang: Mat Nazri ja. Mak Lang hang balik Sungai Petani dah. Dia mai buat-buat ketupat semalam. Tadi balik dah.
Saya: Tok tak buat besamah ka?
Tok Penang: Sapa nak makan. Hang ada pun hang bukan buleh makan.
Kami: (gelak-gelak)

Pengorbanan saya setiap kali tibanya Hari Raya Korban ialah berkorban untuk tidak makan daging. Sedihnya. Kali terakhir saya makan daging bila saya menggila melanggar pantang makan Besamah Daging yang Tok Penang saya masak 3-4 tahun sudah. Padan muka. Habis muka bengkak-bengkak jadi alien. Buat kecoh satu kampung saja bila semua risau tengok saya sampai sesak-sesak nafas. Lawak pun iya juga. Dan pengorbanan kedua ialah bersabar apabila emak ayah memberitahu menu masakan di rumah. Tapi yang kali ni tidak terkilan sangat kerana Kaklong yang masak. Huhu.

Alah. Tak kisah. Di sini saya ingin mengumumkan, inilah raya terakhir yang saya sambut di sini. Tahun depan, saya akan beraya di rumah bersama keluarga tercinta (ini sangat benar) dan juga suami saya (ini sangat tipu). Terima kasih kepada Fareena yang sudah berpenat-lelah menggembleng tenaga menyusun kolaj gambar kali ini. Saya pemalas. Curi saja dengan izinnya.

Posted on December 9th, 2008 by Sarah  |  14 Comments »

Aidil Adha 1429H

Posted on December 6th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Hari Kegembiraan

Assalamualaikum wbt

13 jam bejauhan daripada rumah. Pagi ke rutin Tropical Disease seperti biasa. Ada berita baik dan buruk. Berita buruknya, kes Influenza sedang memuncak sekarang ini di Moscow. Jangkitan virus pada saluran pernafasan. Berita baiknya, kami diberi cuti bermula dari hari Sabtu sehingga Rabu untuk mengelakkan perkara ini! 5 hari cuti. Hehe.

Maksudnya, boleh pergi solat raya pada hari Isnin nanti dan saya ada banyak masa untuk menyiapkan presentation yang perlu disiapkan sebelum Rabu yang perlu memenuhi standard piawaian WHO. Kerana pada hari Khamis nanti kami semua akan membentang kes kajian kami di hadapan Ketua Jabatan yang merupakan wakil dari WHO. Nasib baik untuk menyerahkan slide yang disediakan kami tidak perlu ke hospital sebaliknya hanya perlu mengemailkan saja kepada Assistant Professor kami itu. Dia akan memeriksanya dan sebarang respon akan dimaklumkan melalui email saja. (Dia tahu kami malas hendak keluar kalau dah diberi cuti) =p

Tadi petang saya ke elektif Obstetrics lagi di Kashirskaya. Bermaghrib di dalam metro saja. Orang lain dah balik kerja, saya bersama Auyun, Faiz, Nazlin dan Iman pula kena pergi kerja. Sebaik habis elektif, kami berempat (kecuali Iman) menyertai kawan-kawan se-batch berkumpul di Korean Restaurant. Kami makan yang paling murah (hahaha) sebab masing-masing nak berjimat. Serius sesi permainan Truth or Dare tadi telah membongkar banyak rahsia setelah 6 tahun berada di sini. Boleh tersenyum seorang teringat permainan tadi.

Sebelum pulang, kami berjalan kaki di tepi Sungai Moscow dan kemudian baru menuju ke metro yang tidak jauh letaknya daripada hostel kami. Tiba di rumah, tetamu yang saya nanti-nantikan telah pun tiba daripada Jordan. Selamat datang ke Moscow, Amira. Comel sungguh adik Ammar ni rupanya ya.

Dan malam ini saya sangat gembira. Sesi memberi laporan mingguan kepada bos saya. Bos, kita ada banyak masa sampai Rabu. *Lariiiii*

Nota: Lagu ini saja suka-suka untuk gelak ketawa senyum ria di hujung minggu yang wardah =)

Posted on December 6th, 2008 by Sarah  |  11 Comments »

Telefon

Assalamualaikum wbt

Di kemuncak musim sejuk, Isyak masuk sekitar jam 5.45 petang dan Subuh pula masuk sekitar 6.30 pagi. Menjadi kebiasaan ketika cuti musim sejuk, ramai yang solat Isyak di awal waktu, tidur awal dan bangun sekitar 8 pagi kerana masih dalam waktu Subuh.

Ketika di tahun satu, beginilah saya menikmati musim cuti. Masih budak-budak. Asyik fikir hendak tidur saja. Tambahan pula, bila tengok kawan-kawan yang lain tidur, kita pun hilang punca tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Paling habis, di malam hari kami menonton filem beramai-ramai dengan rakan se-batch, bermain Uno Card dan bagi kaki ping-pong seperti saya, sangguplah kami turun ke tingkah bawah hostel (Pushkin Hostel) semata-mata untuk bermain ping-pong sehingga jam 3 pagi.

Ketika itu, kemudahan internet hanya boleh didapati di Cyber Cafe di tingkat 4 hostel tersebut. Harganya dahlah mahal. Jadi terpaksalah berfikir dua kali untuk kerap ke sana. Tapi, perkhidmatan telefon sangat murah. Ada pelbagai pakej yang ditawarkan. Ada tiga buah syarikat utama di sini. Megafon, MTC dan Beeline. Saya memilih Megafon kerana perkhidmatannya sangat murah dan ketika itu selalu berlaku crossline yang membolehkan kami menelefon Malaysia dengan percuma.

Kalau crossline sedang berlaku, habis tersebar luas di kalangan kami semua rakyat Malaysia di tingkat 13 dan 14 itu. Semua pun apa lagi. Pakat menelefon keluarga atau kawan masing-masing sementara crossline masih terjadi. Tapi kalau crossline di tengah malam buta waktu Malaysia, untuk orang seperti saya, tak dapatlah hendak menghubungi sesiapa kerana keluarga pun sedang tidur.

Megafon ketika itu menawarkan 3 pakej perkhidmatan (seperti Celcom dulu-dulu). Ada O’lite, Ultralite dan Fix. Saya menggunakan O’lite. Kosnya hanya 1 sen USD per SMS (ke mana saja) dan 3 sen USD per minit panggilan di dalam Moscow. Bagi Ultralite pula, panggilan sesama Ultralite adalah percuma. Cubalah bayangkan. Betapa murah kos penggunaan telefon kami ketika itu.

Tapi, apa kaitannya cuti musim sejuk dengan perkhidmatan telefon semua ini ya?

Hehe. Saya pernah berbual dengan seorang kawan dari pukul 11 malam sehingga 6 pagi ketika musim sejuk dulu-dulu menggunakan perkhidmatan Ultralite yang percuma itu. Saya tiada Ultralite tapi berjaya meminjam abang senior sebelah bilik punya. Dan kawan saya juga tiada Ultralite tetapi dia meminjam kawannya punya. Habis berbual, hari sudah Subuh. Selesai solat Subuh, barulah tidur sepuas-puasnya. Bijak sungguh kami mengguna pakai peluang yang ada!

Sangatlah tiada kehidupan ketika itu, kan. Moscow dulu dan sekarang sangatlah berbeza. Warga Malaysia di Moscow dulu dan sekarang juga sudah sangat berbeza.

Tag dari Kak Inah yang bertangguh lama dah. Gambar kandid spontan katanya. Saya ni masih tak ada kamera baru lagi. Hari tu Fareena tiba-tiba ambilkan gambar ni ketika saya bertugas di bahagian paramedik perempuan untuk Liga Futsal, kira spontan jugalah ye Kak Inah. Ini kenangan dengan Fiza Si Comel. Jangan nangis-nangis dah ye Fiza. Kita orang perempuan ni ada banyak benda yang kena beralah dan jaga =) (simbolik kegemukan yang sedang saya alami!)

Nota 1: Jangan buat macam saya ye. Orang lain bergayut boleh meninggikan diri. Saya bergayut tak tinggi-tinggi juga. Aishh…

Nota 2: Musim sejuk juga kami di sini kuat beribadah. Ramai yang rajin berpuasa sunat. Maklum sajalah. Siang pendek. Hikmahnya juga sangat bagus. Taklah cepat gemuk. Jadi apa lagi. Buat kawan-kawan di Moscow, kita lancarkan kempen puasa sunat ye. Sikitpun tak rugi untuk jasmani apatah lagi rohani. Hehe.

Posted on December 5th, 2008 by Sarah  |  10 Comments »

Dari Kerana Mata (ii)

Assalamualaikum wbt

Sehari lebih tidak menulis di sini terasa lain. Biasanya di sinilah saya menghabiskan masa lapang yang ada. Cumanya mata saya dalam keadaan yang tak mengizinkan saya menatap skrin laptop lama-lama. Percaya atau tidak, ada darah dalam mata kanan saya. Gambar? Tak usah tengoklah. Nanti ada yang takut. Diagnosis? Ah. Tak usah fikir dulu. Klise betul entri ini. Moga ketemu lagi nanti.

Nota 1:
Lagu yang saya letak untuk kali ini selalu mengingatkan saya tentang musim sejuk. Apa kaitannya ya? Sebab pertama kali mendengar lagu ini ketika musim sejuk tahun lalu dan salah satu perasaan yang selalu saya gambarkan berkaitan dengan musim sejuk ialah kesunyian.

Nota 2: Kelmarin saya terserempak dengan Yen Shu!

Posted on December 3rd, 2008 by Sarah  |  20 Comments »