Sindrom Pra-Cuti
Assalamualaikum wbt
Sebenarnya tadi ada entry lain yang saya sudah kemaskinikan. Tapi atas sebab yang buat saya tidak sedap hati, terus saya buang entry itu. Siapa sudah terbaca, rezekilah tu. Hentahlah. Tidak kena dengan jiwa agaknya.
Hari ini (Rabu) saya ada lecture terakhir yang perlu dihadiri dan esok pula merupakan hari terakhir saya perlu berlabcoat putih untuk tahun ini. Nanti sebulan lebih saya tidak perlu menyentuh labcoat itu. Di saat ini saya muflis. Ada 30 ruble (=RM4.50) saja duit dalam tangan. Bukannya apa. Setiap kali ke mesin ATM terdekat dengan kawasan hostel ini, asyik tidak berfungsi saja sejak Jumaat lepas. Tadi pula saya beratur di mesin ATM di tingkat bawah hospital. Elok saja tiba giliran saya, terus saja tertera ‘Sorry. We are temporarily out of service.’ Ikutkan hati, rasa hendak diketuk-ketuk saja mesin itu. Tapi, rasional lebih mengusai hati. Nak tak nak, esok saya wajib keluarkan duit untuk perbelanjaan bulan Januari. Sebenarnya bukannya saya terlebih belanja untuk bulan ini tapi saya banyak dahulukan untuk membeli barang dapur rumah dan membayar bil-bil yang perlu. Tanggungjawab seorang kakak kan. Nanti-nanti pandailah adik-adik rumah ni mengambil alih tugas saya ini. Saya pun bukannya lama dah di sini (seronok dah nak habis belajar!). Hujung minggu ini bolehlah kami mengira akaun perbelanjaan rumah.
Tiga hari kebelakangan ini, saya terlalu gila dengan nasyid yang saya sertakan ini. Bisikan Malam. Ini semua gara-gara berjaga di waktu malam dan di pagi buta yang buat saya rasa tersentuh bila mendengarnya. Tapi saya tiada mp3 nasyid ini. Jadi Imeem lah sumber saya. Ada sesiapa hendak memberi?
Oh, tadi saya buat kuih lapis, pemanis mulut untuk ayam tandoori dan sotong masak masam manis tadi. Ini pertama kali saya membuat sendiri kuih ni. Kalau di Malaysia, jangan harap nak buat sendiri. Teori saya senang saja. Kenapa nak bersusah payah buat sedangkan dengan RM1 saja sudah boleh dapat 3 ketul kuih lapis ini dan rasanya sedap pula (dapat melariskan jualan Makcik jual kuih tu). Dulu saya pernah belajar cara-cara membuat bersama emak tapi sudah lupa semuanya sebab saya masih di sekolah rendah pada waktu itu. Di rumah, kami menggelarnya kuih flat. Bajet budak yang bercakap omputih kot waktu kecil-kecil dulu. Sudahnya terbiasa sampailah dah besar panjang ini. Kalau tidak silap, Adik Azizi tidak boleh dipisahkan dengan kuih lapis kalau kami membeli di pasar tani, pasar malam atau pekan sehari Ahad. Kuih wajib untuknya. Jadi tadi dengan bertuangurukan buku resepi saya, maka jadilah kuih lapis saya yang boleh tahan jugalah rasanya. Lain kali, saya cuba lagi untuk baiki kualiti. Haih. Senang suami saya nanti. Ngahaha.
Selepas makan tadi saya membelek-belek Youtube. Entah apalah yang saya hendak cari, saya sendiri pun sudah lupa. Sudahnya saya terjumpa klip lagu Harapan nyanyian Fazli Zainal ketika semifinal Muzik-muzik. Saya tidak mengikuti perkembangan muzik tanah air. Pendek cerita, saya ini jahil pasal lagu-lagu dan semuanya ini. Jadi saya bukanlah orang yang layak membuat ulasan atau memberikan kritikan tentang dunia muzik. Kosong otak tentang bidang ini. Tapi sayang sungguh saya kira andainya lagu yang baik dan puitis bahasanya menjadi sumbang kerana nyanyiannya yang kurang baik. Saya sangat suka lagu itu (satu masa dulu sebab puitis bahasanya. Mungkin ada yang tidak tahu lagu ini kot). Dan dari situ saya lihat pula klip Faizal Tahir mendendangkan lagu Mahakarya Cinta ketika semifinal yang sama. Pendapat jujur saya yang buta seni ini, Faizal Tahir mempunyai satu x-factor yang sudah tidak dipunyai oleh penyanyi tempatan pada hari ini. Dia luar biasa. Ada suara, ada gaya (rupa tolak tepi sebab muka ala-ala rock kapak pun iya juga saya rasa. Hehe). Cukup. Saya tidak mahu mengulas lebih kerana setiap orang pastinya ada pendapat tersendiri tentang Faizal.
Kesimpulannya, kadang-kadang saya geram (rrrrrr) melihat ramai penyanyi baru yang terjun ke bidang ini tapi tidak menyediakan diri selengkapnya untuk bergelar penghibur. Kalau mereka ada azam dan matlamat untuk memberikan yang terbaik dan menjadi yang terbaik, tidak mustahil ada masa depan yang baik untuk mereka dan ada kualiti yang baik untuk industri muzik negara. Aissh. Sebenarnya saya bukan hendak buat kesimpulan tentang industri muzik kita. Tetapi bagaimana kita sebagai diri kita yang sekarang ini boleh memberikan yang terbaik untuk mendapatkan yang terbaik untuk diri kita dan yang orang berdekatan dengan kita. Janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Sudah lama terus mengeras. Lepas tu hilang sebab dipijak dan diseret oleh selipar-selipar yang lalu lalang.
Inilah sindrom pra-cuti. Memasak, memasak dan memasak. Internet pun iya juga. Tidur saja tidak masuk dalam senarai lagi =)
Nota: Macam pengotor je penyudah tu 🙂 Tapi tak kisahlah. Memang fakta pun kan. Heheh.
Nota appresiasi: Terima kasih Judin atas hasil nukilan yang ditujukan untuk saya yang diletakkan di blog kami berdua. KS terharu. Judin adalah junior saya di sini yang berkongsi minat yang sama – sajak. Belum pernah ada orang nak tujukan sajak ke, syair ke untuk saya. Boss Judin, KS suka tau =)
_____________________________________________________________
Hari buat dia:
75) Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya.