Namanya Yen Shu
Cukup cerita pilihanraya. Saya hendak berkongsi kisah yang terjadi pada hari Khamis lalu. Sebenarnya permulaan segalanya adalah kira-kira sebulan yang lalu ketika saya sedang beratur untuk urusan visa di bangunan dekan.
Ketika sedang berbaris bersama Farah, tiba-tiba seorang lelaki Arab memotong barisan kami. Saya bengang. Farah juga begitu. Saya bertanya secara baik kepada lelaki itu dan berniat supaya dia faham bahawa kami beratur lebih dahulu daripadanya. Tapi, banyak pula alasan yang lelaki itu berikan. Dan sebenarnya, perbualan kami itu agak tegang (dalam Bahasa Rusia) dan saya sendiri tidak sangka boleh ‘bertekak’ dengan lancarnya dalam bahasa itu. Tapi kebiasaanya di luar sedar, kita memang boleh jadi begitu jika berada dalam keadaan terdesak. Kami menang. Ada seorang lelaki Arab lain memarahi lelaki pertama tadi kerana tidak menghormati hak orang lain. Dan pada ketika itu, saya sedar bahawa tingkah saya dan Farah diperhatikan oleh seorang lelaki yang beratur di belakang Farah.
Saya malu sebenarnya. Nampak seperti saya ini garang pula. Atau, lebih teruk mungkin saya ini nampak ganas. Saya bukan begitu. Lepas dari itu, saya diam saja sepanjang menunggu giliran kami. Setakat yang dapat saya amati, lelaki itu warganegara Cina, dari Tanah Besar. Tapi rupanya seakan-akan orang Korea. Sebetulnya, saya tidak dapat membezakan sama ada dia seorang bangsa Cina dari Malaysia atau dari Tanah Besar.
Sehinggalah pada hari Khamis lepas, kami bertemu lagi kerana urusan visa kami selesai pada hari yang sama juga. Kali ini, dia telah tiba lebih awal daripada saya dan Farah. Jadi, kali ini saya dan Farah beratur di belakangnya pula. Dia berkemeja biru muda dan dipadankan dengan kardigan kotak biru tua. Kemas rapi. Sewaktu mengambil passport dan visa kami itulah baru saya tahu bahawa dia warganegara Cina. Selesai urusan di situ, Farah terus pulang dan saya pula ada mesyuarat dengan Timbalan Dekan. Sekitar pukul 4 petang baru saya pulang.
Saya keluar dari bangunan itu sekitar jam 4.o5 petang. Ada cahaya matahari waktu itu. Suhu pastinya positif waktu itu. Saya terus berjalan kaki menuju ke hostel dalam kadar sederhana laju. Sebelum menyeberang jalan di sebelah kedai bunga berhampiran bangunan dekan, saya terdengar ada derap kaki di belakang saya. Saya toleh. Saya lihat, lelaki tadi berjalan di belakang saya. Saya teruskan saja perjalanan saya. Sebaik tiba di tepi jalan untuk melintas, saya sedar lelaki itu sudah berdiri di tepi saya, betul-betul berselisih dengan bahu kanan saya. Saya dengar dia menyebut davai yang bermaksud mari setelah dipastikan tiada kereta di kiri kanan jalan. Saya terus melintas bersamanya.
Di seberang jalan, dia tersenyum. Saya senyum sedikit tapi agak kekok kerana saya tidak tahu apa yang hendak direaksikan kepadanya. Tiba-tiba dia bersuara: Awak tinggal di hostel Spartivnaya juga ke? Saya menjawab semula: Ye. Kat situlah.
Bermula dari situ, menyusullah soalan-soalan lain daripadanya dan kami seperti sudah kenal lama. Perbualan kami seperti ayam dan itik. Bahasa perantaraan kami ialah Bahasa Rusia. Dia masih tidak berapa fasih kerana baru 2 tahun di sini dalam bidang Pharmacy dan saya pula tidaklah hebat mana berbahasa termpatan. Cukup makan sajalah kiranya. Sudah banyak yang dibualkan tentang pelajaran, barulah dia memperkenalkan dirinya: Saya Yen Shu. Saya nak panggil awak apa pula? Saya jawab pendek: Sarah. Yen Shu berkata semula: Sarah. International name. Dia senyum.
Kami merentas pasar berdekatan kawasan hostel ini. Sewaktu ada kereta sorong besar yang memungut kotak-kotak lalu berhampiran kami, Yen Shu berjalan di sebelah kiri saya iaitu di sebelah kereta sorong itu. Saya senyum. Dia lelaki yang prihatin. Saya senyum saja sebab tidak tahu apa yang patut direaksikan.
Sebaik tiba di pintu utama House No. 16 itu, dia membukakan pintu. Yen Shu bukan seorang yang banyak cakap. Dia nampak pendiam dan memang dia sangat menjaga bahasa yang digunakan ketika berkomunikasi dengan saya. Dan dia tenang saja ketika bercakap. Dia sensitif atau peka dengan keadaan sekeliling. Itu kesimpulan ringkas tentang Yen Shu di sepanjang perjalanan pulang kami petang itu. Tidak dilupakan, air mukanya manis dan tenang. Ya. Tenang. Jujur, saya suka melihatnya.
Sampai di tangga utama, saya katakan padanya saya akan menggunakan tangga saja untuk naik ke rumah. Yen Shu membalas bahawa dia akan menggunakan lif di bahagian tengah untuk ke tingkat 7. Sebelum berpisah membawa haluan masing-masing, dia bertanya: Sarah, awak nak ke tingkat berapa? Saya sedikit cemas waktu itu. Saya menjawab: Tingkat 3. Dengan jawapan itu, dia senyum sedikit dan berlalu selepas mengucapkan: Da svidaniya (jumpa lagi).
Saya tersenyum berjalan menuju ke bilik. Dan apabila sampai ke bilik, baru saya sedar bahawa disebabkan terlalu cemas sepanjang berjalan pulang dengan Yen Shu tadi, saya tersalah memberitahu tingkat rumah saya.
Saya tinggal di tingkat 2 sebenarnya! Baru kini saya tahu bahawa jika saya gabra, saya boleh tersasul sebegini sekali. Kesimpulannya, lain kali tenangkan diri kamu semua dan jangan sampai tersasul benda-benda yang remeh begini ye. Malu betul saya jika Yen Shu tahu yang saya gelabah dan tersasul sebenarnya.
Nota: Tahniah buat sahabat baik saya Mimie dan suaminya Azrin yang telah menerima kehadiran cahaya mata sulung mereka pada 10 Mac 2008, jam 8 pagi di Hospital Serdang. Mimie, saya happy sangat bila dapat mesej awak pagi semalam. Buat Sarah Ayana, welcome to the world! [Mimie dan Azrin, saya terharu dengan nama Sarah tu. Sungguh! Doakan saya pulak ye.]