Archive for the ‘Life’ Category

Menjadi Bunga Yang Tenang

Assalamualaikum wbt

Saya belajar sesuatu yang baru tentang manusia. Kita adalah lebih cantik apabila tersenyum. Dan dengan senyuman boleh melembutkan jiwa yang keras. Juga menenangkan hati yang gelisah. Terima kasih kepada semua yang tersenyum kepada saya selama ini kerana senyuman kamu semua telah memulihkan jiwa saya.

Senyuman terbesar telah saya peroleh daripada:

1) Surah An-Nur. Kaklong dan sepupu saya, Hidayah, menasihati saya supaya membaca surah ini. Bukan setakat tersenyum di muka, tapi juga di jiwa.

2) Emak memanggil saya Bunga. Kata emak, ini nama klasik dari emak untuk saya. Saya tersenyum setiap kali mendapat mesej daripada emak sejak beberapa hari ini. Saya memanggil emak pula sebagai Emak Bunga. Juga akan saya gelar sebagai Emak Melati kerana nama Kaklong pula adalah Melati.

3) Ayah menelefon dan sebaik mendengar suara saya, ayah berkata: “Alah, takde apalah tu. Jangan fikir berapa lama lagi nak exam. Fikir tak lama dah nak balik.” Kenapa cool sangat ayah ni, ya?

4) Dan kata-kata semangat yang saya terima daripada kamu semua. Saya bukan patah semangat. Saya cuma hilang punca buat seketika. Saya kongsikan semula nasihat yang telah saya terima. Kalau terasa seperti hilang punca, bacalah Al-Quran dan atur tidur dengan sebaiknya. Hidup akan tenang dan tersusun.

Allah sayang saya. Allah sayang kita semua. Dia tidak akan menyeksa kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Ya. Allah sayang kita semua!

Hai kawan-kawan. Nama saya Bunga. Bunga Orked. Semoga semuanya sihat dan berada dalam rahmat Allah. Dan semoga hidup kamu semua ceria dan indah seperti sekuntum bunga.

Nota 1: Ingatlah. Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. (Ar-Ra’d : 28)

Nota 2: Kita akan rasa sangat best (entahlah, tak reti nak terangkan dengan jelas perasaan tu) bila kita dapat menolong kawan kita. Kan? 😉

Posted on May 28th, 2009 by Sarah  |  35 Comments »

Tekanan

Assalamualaikum wbt

Tinggal sepuluh hari lagi untuk State Exam. Semakin belajar, terasa semakin banyak yang tidak tahu. Semakin rasa banyak yang tidak tahu, semakin rasa buntu. Semakin rasa buntu, semakin rasa tertekan. Semakin rasa tertekan, semakin rasa tidak boleh belajar. Semakin rasa tidak boleh belajar, semakin rasa hendak menjerit saja. Rantaiannya tak sudah-sudah. Titik akhirnya sama ada dua: gila atau mati. Adoi!

Minggu ini minggu terakhir saya bergelar pelajar. Tamat kelas Jumaat ini, tiada lagi sesi di hospital bersama para doktor, tiada lagi bertemu pesakit, tiada lagi mendengar sungutan makcik yang menjaga cloak roam atau apa-apa sajalah yang boleh menghilangkan mood di pagi hari.

Dalam situasi tak berapa nak boleh belajar sangat ni, kepala sangat mudah sakit. Perkara-perkara yang pantang saya lihat depan mata pun sangat mudah untuk membuatkan saya naik angin. Lantai bilik air basah, saya mulalah membebel seorang. Atas rak dapur berselerak pun saya membebel seorang. Selipar yang digunakan di dalam rumah yang berselerak pun boleh buat saya rasa nak membebel seorang. Makin tidak tenang rasanya. Dalam pada bebel-bebel tu, saya buatkan juga apa yang patut. Kalau di rumah, tanyalah mak ayah saya. Sayalah yang paling kuat membebel bab-bab kekemasan, kebersihan dan segala benda alah ni. Lepas saya dah puas membebel, siaplah saya kena sound semula dengan ayah saya: Kalau tak nak buat, sudah. Jangan bising. Jadi, baik saya bising-bising dulu, lepas tu saya buat juga. Ye dak. Terlepas sikit tekanan ini.

Di saat ini, satu perkara saja yang berlegar di kepala saya. Saya rasa hendak tidur lama-lama untuk menghilangkan tekanan. Dan saya tak rasa hendak bercakap dengan sesiapa. Memang dalam seminggu dua kebelakangan ini, saya sangat jarang bercakap. Saya hidup dalam dunia saya saja. Sekali dua, air mata pun sangat mudah mengalir.

Jika formula tekanan ialah begini:

 p = \frac{dF_\perp}{dA} \,

Di mana  F_\perp \, ialah daya yang berserenjang dengan permukaan dan  A \, pula ialah luas permukaan, maka saya sifatkan tekanan yang sedang saya rasakan ini adalah di tahap yang paling maksimum kerana di seluruh permukaan badan saya ini dapat dirasakan tujahan daya yang berserenjang dengannya. Kalau ada yang tak faham pun, buat-buat faham sajalah. Ini teori sewaktu belajar Fizik tingkatan 5 dulu. Mesti Puan Norasiah sayang saya sebab saya ingat lagi. Hahaha.

Saya serius ni. Tekanan sedang sangat tinggi. Bersifat tujahan dari luar dan luapan dari dalam kepala. Antara dua perkara yang saya terasa hendak buat itu, saya amat jelas, perkara yang pertama itu adalah mustahil untuk saya buat buat masa ini. Kalau saya buat juga, itu namanya tak sedar diri exam tinggal lagi SEPULUH hari.

Nota: Arghhhhhh….! Saya tidak mahu cuak. Saya mahu tenang!

Posted on May 26th, 2009 by Sarah  |  28 Comments »

Jatuh Cinta

Assalamualaikum wbt

Di sini jam sudah menunjukkan pukul 8.15 malam. Tapi hari masih lagi cerah. Sayangnya, sepanjang hari ini hujan turun dan angin kuat berpusu-pusu di luar. Semalam pun hujan. Saya basah kuyup meredah hujan balik dari hospital tengahari semalam.

Alhamdulillah. Dua, tiga hari ini terasa sangat berkualiti. Dapat fokus dengan studi dan sakit perut pun sudah reda. Habit saya, sambil belajar saya akan mendengar Imeem yang memutarkan lagu secara rambang. Saya akan mulakan dengan sebuah lagu yang saya terasa mahu dengar dan seterusnya auto suggest akan memilihkan lagu-lagu yang berkaitan untuk dimainkan selepas itu. Sekejap tadi, saya memulakan dengan lagu (Jangan gelak. Saya memang suka/tahu lagu-lagu lama lebih daripada lagu-lagu baru) Masih Terserlah Ayumu nyanyian Exist. Selepas itu berkumandang pula lagu Di sana Menanti Di sini Menunggu nyanyian Ukays. Nostalgia sungguh lagu-lagu ini. Saya tergerak hati hendak melihat komen-komen yang ditinggalkan untuk lagu Ukays ini. Dan saya menjumpai ini. Saya memang ketawa seorang diri membacanya. Sarah oh Sarah.

Bagaimana anda tahu bahawa anda telah jatuh cinta:

1. Anda tidak akan marah terlalu lama dan akan berusaha untuk mengawal kemarahan anda terhadapnya.
Komen Sarah: Rasanya betul kot. Tapi sayangnya, kadang-kala, masing-masing terlalu ego untuk mengalah.

2. Anda akan sentiasa merindui dia.
Komen Sarah: Hihi. Mungkin kot. Tapi bukanlah 24/7.

3. Apabila berjalan dengan dia, anda akan berjalan dengan perlahan.

4. Anda akan tersipu-sipu malu apabila bersama dengannya.

5. Apabila anda berfikir tentang dirinya, jantung anda akan berdegup pantas.
Komen Sarah: Tidaklah sampai berdegup pantas kot. Tapi terasa dia begitu dekat walaupun hakikatnya jauh.

6. Hanya dengan mendengar suaranya, anda akan tersenyum tanpa sebab.
Komen Sarah: Err… Betul!

7. Apabila anda melihat dia, anda tidak akan peduli orang di sekeliling anda. Anda cuma melihat dia seorang.

8. Anda akan mula mendengar lagu yang berirama balada.
Komen Sarah: Adakah ini dalam erti kata lainnya dimaksudkan sebagai jiwang? Tapi lagu-lagu yang bercirikan rock tak berapa masuklah dengan jiwa saya. Oh. Alasan!

9. Dia sentiasa di fikiran anda.
Komen Sarah: Kalaupun bukan setiap saat (Haram tu. Lalai daripada mengingati Allah), tapi setiap hari mesti akan ada teringat.

10. Anda akan sentiasa terhidu baunya.

11. Anda menyedari bahawa anda akan tersenyum apabila memikirkan tentang diri dia.
Komen Sarah: Kalau saya kata betul, macam mana?

12. Anda akan lakukan apa sahaja untuk dirinya.

13. Apabila anda membaca ini, pada masa yang sama, ada seseorang di dalam fikiran anda.
Komen Sarah: Erm… Tiada komen untuk ini. *lariiiiiiii kuat-kuat, jauh-jauh*

Kenapa ada fakta yang saya batalkan? Kerana bagi saya, fakta-fakta itu tidak masuk akal dan tidak kena dengan jiwa saya. Mungkin untuk sesetengah daripada kamu, fakta yang telah dibatalkan itu logik dan menepati citarasa. Terpulang. Cuma bagi saya, err, tiada kerja untuk saya merindui baunya mahupun tidak mempedulikan orang lain di sekeliling saya. Kalau ada DSAI berhampiran kami, saya mesti akan lebih peduli ke arah DSAI. Hahaha. Eh, gelak pula. Saya serius ni.

Saya yakin, mesti ada yang tersenyum sendirian dan cuba mengaitkan fakta-fakta ini dengan diri masing-masing. Menurut satu kajian psikologi, jatuh cinta adalah satu unsur positif yang boleh mengundang beribu-ribu lagi unsur positif untuk seseorang itu. Jadi, jangan sia-siakan rasa cinta yang ada. Jatuhkan ia pada seseorang yang boleh mengundang sesuatu yang positif untuk kamu. Bukannya pada seseorang yang boleh menebarkan cas negatif kepada kamu.

Tapi pokok pangkalnya, jangan diundang sesuatu yang menjauhkan kita dari mengingati Allah. Kalau bercinta sampai lupa Tuhan, lupa halal haram, itu bukan cinta. Itu nafsu.

Selingan 1: Pegang tangan dengan bukan muhrim tu haram. Ingat tau. Haram. Cubit sikit-sikit pun tak boleh.

Selingan 2: Dengan kekasih mana boleh buka aurat. Dia bukan suami/isteri kita lagi. Cinta bukan syarat yang menghalalkan segalanya. Kalau nak juga, kahwinlah. Habis cerita. Tapi jangan pula kahwin sebab nak halalkan segalanya saja. Kahwin tu satu lagi babnya dalam hidup kita yang menuntut tanggung jawab dan persefahaman.

Alamak. Saya ni sudah jadi seperti Ustazah Bahiyah pula. Tapi,  memang mengingatkan sesama kita ni adalah tanggung jawab setiap Muslim. Semoga diri kita terpelihara daripada maksiat yang kita tidak sedar atau dilalaikan oleh syaitan. 🙂

Nota 1: Saya masih belum memenuhi semua kriteria di atas. Jadi saya bukan dalam kategori sudah jatuh cinta. Amaran ni, jangan buat kesimpulan awal. Saya tak suka. 😆

Nota 2: Kalau saya jatuh cinta, saya tidak suka unsur-unsur tidak matang seperti cemburu dan merajuk teruk-teruk. Menyampah pula tengok orang merajuk entah apa-apa. Huhu. Saya mahu dia percayakan saya seperti mana saya percayakan dia. (Lagu tema: Sila dengar lagu di sidebar) 😎

Nota 3: Saya rindu pada komuniti Plurk saya terutamanya Kak Izzah, Along Riena, Falin, Sufi, Adikbucuk, Ainul, Arina dan Syazwana.

Posted on May 24th, 2009 by Sarah  |  60 Comments »

Dari Moscow Dengan Cinta (iv)

Assalamualaikum wbt

Enam hari tidak menulis di sini. Kali ini tidak gian langsung. Tiada apa yang hendak digiankan buat masa ini. Dalam otak serabut dengan pelbagai benda lain. Sehinggakan, kalau ditanya dengan tiba-tiba, saya boleh termangu-mangu sekejap sebab sedang memikirkan hal lain. Mungkin jawapan kes yang sedang saya selesaikan. Mungkin sedang cuba mengingati rawatan untuk beberapa penyakit. Mungkin juga sedang peras ugut diri  sendiri dalam diam kerana tidak dapat memberikan jawapan kes yang dibuat tadi dengan baik. Bila tengah merungut dalam hati seorang diri, ditegur pula dek orang lain, tidakkah termangu-mangu jadinya? Oh lupa. Orang sekarang sebut ‘blur’.

Gambar rambang untuk minggu ini berlatarbelakangkan Victory Park (Park Pobedy). Taman ini dibina sempena memperingati Perang Dunia Kedua yang berlaku antara tahun 1941-1945. Masih ingat soalan saya tentang stesyen metro manakah yang terdalam sekali di Moscow? Jawapannya ialah  Stesyen Park Pobedy. Eceh, dah tak surprise dah pun. Namapun tengah bercerita tentang Park Pobedy ini, kan. Takkanlah jawapannya Stesyen Central Park, New York pula kan.

Read the rest of this entry »

Posted on May 22nd, 2009 by Sarah  |  44 Comments »

Pada Hari Ini

Assalamualaikum wbt

“Ya Allahu Ya Rabbi Ya Fatahu Ya Alim Ya Rahmanu Ya Rahim…”, ucap Sarah sebaik terjaga dari tidur tadi. Ditolehnya ke jam dinding yang tergantung di kepala katil. Sudah pukul 5.30 petang. Hampir dua jam dia tertidur rupanya.

Oh. Tak kuasa saya menulis cerpen apatah lagi novel. Saja menunjukkan kekesalan yang teramat sangat kerana terlelap selama dua jam tadi. Malam tadi saya tidak cukup tidur. Berniat hendak bangun sedikit lambat sebelum ke hospital pagi tadi. Tapi dua jam sebelum itupun sudah terjaga. Tensi sedikit. Muka pun kelihatan separa membara semangat di jiwa. Ohoh. Sungguh ni. Abaikan perenggan yang tidak membina minda ini. Orang baru bangun tidur memang mamai. Laptop pun dirasakannya seperti plasma TV yang boleh dibuat untuk menonton Eurovision’09. Sudahlah, Sarah. Sedar diri sikit. TV di rumah ni dah berapa bulan tak bersentuh.

Disebabkan esok kumpulan saya tidak ada kelas kerana kami telah tamat posting kami pada hari ini (diawalkan sehari), maka saya hendak mengambil peluang malam ini untuk membaca blog kawan-kawan. Tahukah anda wahai pembaca blogku sekelian, saya tidak pernah tertinggal sebarang kemaskini terkini daripada kamu semua. Terima kasih kepada Google Reader yang banyak membantu menguruskan capaian terkini ini. Ewah.

Jadi, saya hendak menerjah ke blog Acai melihat gambar-gambar terbaru yang diambil di beberapa majlis pertunangan dan perkahwinan baru-baru ini. Apakah rupanya wajah baru blog Diya. Saya sangat hendak tahu kenapa Diya hendak berkahwin dengan seorang doktor. Dan kenapa akhirnya emak ayah Diya tidak menamakan Diya dengan nama Maisarah. Dan saya juga hendak cuba menjadi pengomen pertama di entri Saffa. Alaaaaaaaaa. Yang ini mesti tak sempat. Saffa ni popular. Orang berderet hendak menyerbu entrinya yang terkini. Ilmu apa Saffa pakai ni, Saffa? Hehe. Blog Chika pun mestilah saya hendak baca. Sebenarnya semuanya dah baca. Memang tergelak seorang diri dibuatnya. Tapi ni nak pergi mengomen pula. Hidup tidak berseri jika tiada entri baru dari Chika. Ewah~

Saya juga ada menyimpan hajat untuk mengomen di beberapa entri lama di Noktah Hitam yang menarik minat saya tetapi terpaksa dipendamkan selama ini kerana tidak cukup masa. Saya hendak menyakat seorang tetamu di blog Yasir yang gayanya macam syok-sendiri-datang-blog-orang-buat-macam-blog-sendiri. Eh, terseksa jiwa sungguh kalau bertemu dengan orang begini, tidakkah begitu? Ampunkan saya, Yasir. Awak tak bagi pun, saya nak mencuba juga kali ini. Sinis-sinis mesra? Ayuh kita. Dan tidak dilupakan, pastilah saya hendak meng-ehem-ehem-kan diri saya bertapa menatap berita kawan saya, si anak muda yang gigih itu. Mahu tahu blog dia? Oh. Hukumnya haram. Halal untuk saya saja. Hahaha.

Seperkara lagi, saya hendak mengulang tanya sekali lagi. Ada tak pembaca blog ini yang bernama Hafizan? Kalau lepas ni tetap tiada respon daripada sesiapa yang bernama Hafizan, saya anggap orang ini tiada dan soalan ini tidak akan diulang lagi. Aik, bukankah mengulang sesuatu perkara itu hukumnya sunat sebanyak tiga kali? Seperti membasuh anggota ketika berwuduk? Tapi tak apalah. Buat yang harus dua kali saja sudah cukup. Teballah muka saya hendek menempel di blog sendiri bertanyakan kewujudan orang bernama Hafizan seperti melukut di tepian gantang (peribahasa ni buat main Regu mesti seronok, susah orang nak teka peribahasa ni).

Ayuhlah. Ayuh kita membaca. Membaca apa? Membaca blog. Sebelum itu, Selamat Hari Lahir sekali agi untuk ayah yang tersayang. Ayah, emak belanja ayah tak tadi? Ngah dah plan dengan emak suruh treat ayah di sebuah restoran on the way to Kuala Lipis tu. Kalau mak tak buat, bagaimanalah agaknya emak membalas budi ayah memasak Mi Bandung Special di hari ibu yang lalu.

Nota 1: Maafkan saya kerana memang sudah agak jarang dapat meninggalkan komen di blog kawan-kawan. Final exam saya sudah dekat. Itulah yang menjadi keutamaan saya buat masa ini sehingga sebulan dari sekarang.

Nota 2: Tahukah anda, dua bulan dari hari ini, saya sudahpun berada di Malaysia. Orang putih kata, back for good. Balik untuk kebaikan atau untuk diperhambakan pula? Haha. Tak payah jawab. Simpan dalam hati untuk dirasakan sendiri sudah cukuplah, Sarah. :mrgreen:

Nota 3: Tahniah untuk Kaklong yang bergraduasi untuk kali yang kedua dalam hidupnya pada hari ini! Erk… Kaklong sudah dua kali konvo, saya ni sekali pun belum lagi. Masih mahukah kalian menghantar anak belajar bidang perubatan? Hakikatnya, anak anda akan tamat belajar lambat daripada rakan sebaya yang lain, dia terseksa hampir 5-6 tahun dan anda akan mendengar anak anda mengeluh kesah tentang pelbagai kesengsaraan hidup di sepanjang tempoh itu. Semoga Allah merahmati kalian yang berniat murni ini. 🙂

Posted on May 14th, 2009 by Sarah  |  42 Comments »