Archive for the ‘Life’ Category

Tentang Blog

Assalamualaikum wbt

Sekarang sudah jadi buntu tidak tahu apa yang hendak dituliskan di sini. Cuma satu saja yang seronok. Domain blog saya ni sudah dibayar oleh adik saya sampai ke tahun depan. Ada hampir dua tahun lagi baru akan tamat tempoh. Maksudnya apa? Tak bolehlah saya membazirkan blog ini begitu saja. Sedangkan saya baru saja berniat, bila sudah mula kerja nanti, mungkin akan dihapuskan blog ini. (Sudahlah berbayar setiap tahun, agak kerek pula tu blog ni. Blogspot dulu lagi fun, kan.) :mrgreen:

Kerana dengan menulis blog ini sebenarnya mendatangkan kekusutan yang teramat sangat kepada jiwa. Daripada fungsi utamanya sebagai tempat lepak secara sihat dengan menulis perkhabaran terkini dan mencatat sesuatu untuk kenangan, tapi dalam sekelip mata boleh menjadi tempat yang mendatangkan seribu satu tensi.

Apa tidaknya. Melalui blog ni sebenarnya ada pelbagai jenis gangguan makhluk halus telah saya terima. Yang tak halus pun ada juga. Yang halusnya sebab gangguan diterima secara tidak langsung. Melalui orang lain yang kemudian sampai juga kepada saya. Meletup kejap kepala bila terpaksa berhadapan dengan hal ini. Gangguan makhluk tak halus pula diterima secara terus kepada saya. Yang ini lagi sakit jiwa. Kalau dulu di Moscow, bila ada saja gangguan-gangguan begini timbul, saya akan terus mengadu pada Fareena. Itu penyimpan mohor-mohor besar saya tu. Maka, untuk mengurangkan tensi gangguan-gangguan makhluk ini, kami akan menganyam segugus dua ketupat bersama-sama. Apabila rasa geram, kusut dan separa menyampah sudah hilang, maka akan kembalilah kami menjalankan aktiviti  hidup secara normal.

Jadi sebenarnya menulis blog ini ada baik dan ada buruknya. Tapi bagi saya, sampai masanya saya akan berhenti juga. Cuma persoalannya kenapa dan bila tu, hanya Allah yang tahu.

Wah. Entri bercirikan begini tak tulis pun tak mengapa, kan. Hehe. Tujuan menulis di awal tadi sekadar hendak beritahu, kepada makhluk-makhluk yang bersifat halus atau tidak (Ha.. Ha.. Tak tahu. Siapa makan cili, dia rasa pedas), janganlah kacau saya banyak sangat. Saya tak suka. Haha. Kan senang begini. Saya cakap terus terang saja. Tak payah nak selindung-selindung.

Nota 1: Tapi saya suka dikacau oleh seseorang. Hahaha. Siapa? Siapa? Siapa?

Nota 2: Saya kepenatan tapi tidak boleh lelap lagi. Mendengar zikir Ustaz Badrul Amin sangat menenangkan jiwa dalam gelap-gelap begini.

Posted on July 16th, 2009 by Sarah  |  46 Comments »

Rumahku Syurgaku

Assalamualaikum wbt

Tidak banyak yang sempat saya lakukan semalam. Bangun tidur pun sudah agak lambat. Masih mengalami jet lag. Sebaik bangun, mestilah menikmati sarapan yang emak sediakan. Tapi di rumah tiada sesiapun kecuali Adam. Dia tidak sihat, jadi tidak ke sekolah. Yang lain semuanya sudah keluar.

Sekitar 11 pagi saya memulakan operasi mengemas kotak-kotak. Banyaknya. Tak terdaya hendak mengangkat seorang diri. Ada Adik Iman datang ke rumah. Konon-konon hendak menolong saya. Sudahnya lagi disepahkannya barang saya. Aduhai. Suruh pegang sampah pun, dia sumbat semula sampah ke dalam kotak saya. Huhu. Iman comel yang teramat sangat. Nasib baik dia tidak takut dengan saya sebab dia masih tidak cam saya. Oh ya. Iman ni adik sepupu saya. Cucu terbongsu dalam keluarga sebelah Pahang, setakat ini.

DSC_0071

Sebelum Zohor masuk, saya berhenti mengemas. Kena mandi. Badan dah berlengas. Panasnya hari semalam. Sambil mengemas itupun, saya sempat online Plurk dan Facebook. Huhu. Sempat melihat perkembangan terkini kawan-kawan yang berderet-deret hendak kahwin tidak lama lagi.

Sementara menunggu emak balik bersama adik-adik, saya keluar rumah, ke bahagian belakang rumah. Ayah ada membuat stor baru dan ditambah di bahagian luar rumah. Saya menjenguk ke sana. Yang saya hairankan, apa kena ada kawasan lapang bersinki di sebelah stor itu? Siap bersimen cantik. Macam tempat basuh pinggan orang kenduri-kendara saja. Jawapan saya terjawab di sebelah malamnya.

Bila emak balik, saya pun ada teman bercerita. Dari A sampai Z saya bercerita dengan emak. Tapi belum sempat bergosip lagi. Ini baru cerita sipi-sipi saja. Nanti sampai masanya, barulah cerita versi penuh. Dari siapa makan anggur terbanyak sampailah siapa takut dengan imigresen. Uishh. Ni gosip hangat ni. Emak kena kenal watak-watak dalam hidup saya ini. Hehe.

DSC_0078

Di sebelah petang, saya dan adik-adik ke rumah Tok Chik. Sengaja mahu melawat Tok Chik. Sambil tu, dapatlah mengebas rambutan gading yang sudah menguning di pokok rambutan Tok Chik tu. Saya bawa Iman sekali. Cuba tengok beza warna Aiman dan Iman. Aiman sudah gelap sungguh. Dia kuat main bola budak ni.

Di sebelah malamnya, emak masuk ke bilik saya. Bercerita anak beranaklah pula, kan. Emak memberitahu tentang kecurian yang berlaku di rumah (jangan tanya, saya tak nak cerita). Juga menjawab persoalan kenapa ada sinki di tapak lapang bersimen itu. Kata emak: Senang nanti. Nak kenduri-kendara, dah siap ada tempat basuh pinggan. Mana tahu dekat-dekat ni nanti dah nak ada kenduri.

Gulp! Mak aih. Emak ayah saya sudah bersiap sedia nampaknya ya. Siaplah Kaklong dan Nan. Hahaha. Saya tak apa. Selamat lagi rasanya daripada dihujani soalan-soalan ‘siapa, darimana dan bila’.

Kata emak: Tak kisahlah siapa dulu. Ada, jalan terus. Tak payah tangguh.

Mari, mari kekandaku, adindaku. Mari buat kenduri. Hahaha. Atau mungkin sepupu-sepupuku? Mari, mari. Jangan malu, jangan segan. Mak Ngah dengan Ayah Ngah sponsor tempat basuh pinggan bersama hulubalangnya. Ada enam anak bujang menanti di rumah ni untuk jadi askar. :mrgreen:

DSC_0162

Sebelum menjelang tengah malam, saya bersesi fotografi. I love the photographer. He makes me look sweet. Hahaha. Ayah sayalah! Ups. Terpaksa guna bilik tetamu untuk dijadikan studio. Bilik sendiri penuh dengan barang lagi. Kotak bersusun tinggi, luggages masih di atas lantai. 😀

Nota 1: Percaya atau tidak, saya sedang makan nasi ni. Dah pukul 1.30 pagi waktu saya memanaskan lauk tadi. Duduk di rumah sangatlah menggembirakan hati dan perut. 😆 😆 😆

Nota 2: Internet slow ni. Saya balas komen pagi esoklah ya. Insya Allah laju.

Posted on July 14th, 2009 by Sarah  |  40 Comments »

Selamat Pagi, Malaysia!

Assalamualaikum wbt

Apa khabar semua? Alhamdulillah saya telah selamat sampai ke Malaysia. Sangat gembira sebaik melihat kelibat ahli keluarga yang menunggu di KLIA. Terlepas rindu di hati. Yang sedihnya ialah ketika berpisah dengan kawan-kawan. Kebetulan, enam orang lagi groupmates saya pulang bersama dalam penerbangan yang sama. Kami bersalaman sesama kami, saling meminta maaf dan berharap semoga akan bertemu lagi suatu hari nanti.

Destinasi pertama mestilah pergi makan. Mee sup Gombak! Tak kira, tak kira. Nanti mahu makan mee basah mak pula. Elok saja sampai di bukit rumah saya, satu kejutan telah menunggu. Fuyyo! Macam tak percaya. Macam pintu gerbang istana saja. Hahaha.

Sebaik ayah memberhentikan kereta di depan rumah, terus saya berlari ke rumah Tok dulu. Tok masih belum tidur. Menunggu saya sampai, katanya. Jumpa Adik Iman. Oh oh. Comelnya budak kecil tu! Kemudian, baru saya balik ke rumah saya. Masuk saja ke ruang tengah dapur, wah, ada kelainan juga. Adik-adik saya kata, itu belum lihat yang lain lagi. Jeng jeng jeng. Apakah yang lain itu ya?

Saya berlari ek bilik. Waaaaaaa~ Bilik saya serba-serbi sudah lain. Cantiknya mummy! Suka, suka, suka. Terkinja-kinja saya seorang diri di situ. Tiba-tiba emak kata: Itu bilik Kaklong. Errrkk. Terhenti sekejap kegembiraan. Saya bertanya: Jadi Ngah dah duduk bilik lain ke? Emak membuka pintu bilik sebelahnya (dalam banyak-banyak bilik rumah saya ni, saya belum pernah duduk bilik yang ini).

Tadaaaaaaa~ Sukanya! Cantik. Cantik. terus saya peluk emak. Terima kasih emak. Hadiah betul ni. Suka, suka, suka! Hihi. Tapi bila saya menjenguk ke ruang tamu, masya Allah, kotak-kotak saya semuanya berlonggok lagi di situ. Terus emak berpesan: Esok kemas kotak-kotak ni. Barang-barang lama zaman SPM dulu pun kemas juga. Mana yang nak lagi, mana yang tak nak. Asingkan elok-elok.

Uhuuu. Ok emak. Esok Ngah kemas. Memandangkan esok rumah akan kosong sebab emak, ayah dan adik-adik akan pergi kerja dan sekolah, maka akan mengemas kotaklah saya jawabnya.

Iyakah akan mengemas kotak? Entah-entah berinternet aje! Huhuhu.

Oh. Sudah merindui Moscow dan segala isinya. Selamat pagi, Malaysia tercinta. Selamat malam, Moskva. Kota cahaya yang sentiasa di hati saya.

Tidur…

Nota: Bila semua nak berkumpul kat rumah ni -__-

Posted on July 13th, 2009 by Sarah  |  33 Comments »

Selamat Tinggal Moscow (Finale)

DSC_0681

Assalamualaikum wbt

Semalam ketika saya menaiki teksi menuju ke kedutaan, saya sebak sendirian. Kerana saya terfikir, inilah teksi terakhir yang akan saya naiki di Moscow.

Kemudian saya ke Universitetsky Mall untuk membeli barang. Dari situ, saya menaiki metro ke stesyen Krapotkinskaya. Saya diam saja ketika berada di dalam metro walaupun ada Baiz dan Eza bersama. Saya tahu, kalau saya banyak bersuara, nanti air mata saya jatuh. Kerana saya terfikir, inilah metro terakhir yang akan saya naiki. Jadi, saya mahu menikmati metro itu sepuas-puasnya. Saya tenung lampu, pintu, tempat duduk, palang tangan dan peta metro yang tertampal di dindingnya. Memang saya tidak menangis tapi air mata sudahpun bergenang-genang.

Selesai urusan di Krapotkinskaya, saya melintasi Coffee House. Saya berpatah semula untuk singgah ke sana. Saya amat menggemari Cappucino Iced di situ. Saya singgah semata-mata untuk memesan air itu. Kerana saya fikir, inilah kali terakhir saya dapat menikmatinya.

Saya terus menunggu bas untuk balik ke rumah. Menaiki bas adalah lebih dekat dan memudahkan dari situ. Sebaik saja bas sampai, saya terus duduk di bahagian paling belakang untuk menikmati pemandangan bas itu secara luas. Juga dapat melihat ke luar dengan jelas. Kerana saya fikir, inilah kali terakhir saya akan menaiki bas di Moscow dan melalui jalan rutin ulang-alik menggunakan bas.

Setibanya di rumah, saya terduduk sebentar. Barang-barang saya biarkan di tepi beg. Stokin pun masih belum ditanggal. Saya duduk di tepi katil. Saya terasa sunyi. Rasa terasing. Rasa jauh. Kerana semua yang dekat di hati saya selama enam tahun di sini akan mula meninggalkan rumah kami yang satu ini.

Dan sekarang, rasa sedih itu berganda-ganda. Kerana pada hari ini, saya akan meninggalkan Bumi Rusia ini untuk pulang ke Malaysia. Terima kasih Moscow atas permukiman yang penuh makna ini. Terima kasih atas segalanya. Terima kasih kerana mendidik saya dalam tempoh enam tahun yang berharga ini. Terima kasih kerana menjadi rumah yang sangat manis untuk saya kenang selamanya.

Selamat tinggal Moscow. Semoga terus menjadi rumah agung untuk insan yang bertandang mencari ilmu dan tauladan. Semoga saya dapat bertandang lagi jika diizinkan Tuhan.

Dari Moscow dengan cinta. Kembara saya di Tanah Tsar berakhir di sini. Wassalam.

Nota: Sedih yang teramat sedih…

Posted on July 11th, 2009 by Sarah  |  48 Comments »

Selamat Tinggal Moscow (Episod 2)

sabor

Assalamualaikum wbt

Di saat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Sheremetevo 2 dulu, hanya satu tanggapan mudah saya tentang Moscow pada ketika itu. Kunonya! Tapi disebabkan sudah diingatkan oleh para senior yang melawat ke INTEC dulu supaya tidak meletakkan harapan yang tinggi tentang Rusia, jadi saya tidaklah terlalu terkejut. Masa berlalu. Sekarang, kompleks Sheremetevo 2 Airport adalah sangat luas dan moden. Dilengkapi dengan aerotrain untuk menghubung terus kawasan itu ke pusat bandar.

Dalam perjalanan menuju ke Hostel Pushkin, hostel pertama kami semua, kami dibawa menaiki bas khas. Ketika di dalam bas, saya duduk diam saja memerhati ke luar tingkap. Dalam hati saya, ada beberapa soalan berlegar. Kenapalah pokok di Rusia ni nampak tak sihat saja. Daun tak hijau sangat. Macam penuh debu saja gayanya. Kereta pun sama. Memang berdebu sungguh. Selepas beberapa hari dan sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan di hostel dan laluan ulang-alik ke kelas, barulah saya tahu di mana kebodohan saya. Waktu itu hampir masuk ke musim luruh. Daun sudah mula hendak menguning. Memanglah begitu warnanya! Cuaca pula kering-panas kerana berada di antara musim panas dan luruh. Disebabkan itu udara berdebu dan adalah tidak berguna jika kereta dibasuh selalu. Pasti akan kotor semula. Aduhai. Tergelak seorang bila teringatkan hal ini. Lama kelamaan, saya dapat menerima kenyataan ini. Bukannya mereka sengaja, tapi cuaca dan udara yang menyebabkan segalanya jadi begitu.

Ketika mula tiba di sini dulu, saya cukup tidak suka akan bunyi alat penggera kereta milik jiran tetangga di sekitar Hostel Pushkin yang berbunyi di waktu malam. Bising itu satu hal. Berbeza-beza pula bunyinya itu. Ada siren polis. Bunyi bomba. Bunyi ambulan. Kalaulah ada bunyi roket, agaknya, mungkin ada yang menggunakannya. Saya suka tidur yang senyap sunyi. Biar terang tidak mengapa. Asalkan jangan ada bunyi. Perkara kecil begitu pun boleh menjadi sebab saya tidak ada mood apabila bangun keesokan paginya. Tetapi, lama kelamaan, saya sudah terbiasa dengan suasana itu. Sampaikan kadang-kadang saya terfikir, kenapa kereta yang selalu berbunyi siren polis itu senyap sunyi malam ini?

Saya juga kurang gemar akan musim peralihan di antara musim sejuk ke musim bunga. Pertamanya kerana jalan penuh lecah. Salji mula mencair. Habis kotor hujung seluar. Kalau pakai seluar jeans, bukannya setiap hari kita basuh seluar pun kan. Tapi kalau dah kotor, nak tak nak memang terpaksa dibasuh jugalah. Kotornya bukan sedikit. Habis terpercik sampai ke betis. Jenuh hendak membasuh. Keduanya kerana dalam keadaan lembap begitu, laluan tar untuk pejalan kaki di tepi-tepi jalan dipenuhi dengan cacing. Bukan sekadar cacing biasa. Tapi datuk kepada segala cacing! Warna merah pudar, besar, lembah-sejuk badannya dan bertebaran di atas jalan. Gelilah tengok. Naik bulu roma bila cacing-cacing ini berlonggok beramai-ramai di satu tempat yang sama. Tapi semakin lama di sini, semakin alah dengan hujung seluar yang kotor dan cacing di atas jalan. Mungkin kalau tiada cacing, itu yang lebih memelikkan.

Di saat awal-awal menggunakan metro dulu, saya rasa pening bila metro berayun-ayun kerana terlalu laju. Hendak membaca tidak boleh. Inikan pula hendak melelapkan mata. Tapi itu semua tidak lama. Selang dua bulan selepas itu, metrolah tempat paling selesa untuk tidur dalam perjalanan ke kelas mahupun pulang ke hostel. Dan kalau hendak studi pun, apa yang dibaca pun sangat cepat masuk bila berada di dalam metro. Terus jatuh suka pada metro. Dahlah efisyen. Berjasa pula tu.

Dulu-dulu kalau ke kafe di dalam bangunan akademik, tiada benda sangat yang dijual. Paling habis ada salad, potato puree dan pizza. Kalau mahu pirazhok (pai berinti), kena beli di kedai luar. Kedai Nyum Nyum warna merah. Bila pandang saja kepada salad, saya sudah rasa semacam. Tak mengenyangkan langsung. Sudahnya, hampir setiap hari kami pergi beli pai berinti epal, ceri, aprikot atau buah-buahan yang lain di kedai luar. Kadang-kala, kami turun makan pizza segera di kafe yang satu lagi. Tapi sekarang, bila singgah untuk makan di mana-mana, salad menjadi menu wajib. Sedap makan salad rupanya ya. Tambahan pula, di Livan House (kedai halal), ada menyediakan pelbagai salad yang halal dimakan. Serius saya suka.

Orang kata, kalau mula-mula benci, nanti lama-lama jatuh cinta. Ya. Saya akui hal ini dalam ruang lingkup hubungan saya dan Moscow. Saya geram itu, tak suka ini, benci begitu, tak mahu begini tentang Moscow. Tapi sudahnya, saya jatuh cinta dengan segala yang saya lalui dan hidupi di sini.

Kerana itu, Moscow punya tempat yang istimewa dalam hati saya. Kerana itu saya sebak untuk meninggal rumah saya ini.

Nota 1: Sekejap lagi, pelajar tajaan MARA batch saya akan berangkat balik. Sedihnya. Ya Allah, satukanlah hati-hati kami dan rahmatilah persahabatan kami selama ini. Untuk semua kawan-kawan (Auyun, Shima, Rodo, Krun, Krin, Glid, Asrul, Aizat, Mubin, Faiz, Lutfi, Posto, Israfil dan Nazlin), terima kasih atas segala perkongsian kita selama ini. Maafkan saya atas semua salah silap selama kita hidup bersama di sini. Kita jumpa nanti di Malaysia. 😥

Nota 2: Maghrib tadi Auntie Arfah dan Uncle Suhaimi datang melawat kami semua buat kali terakhir. Ya Rabbi. Sedihnya. Terima kasih Auntie dan Uncle. Both of you have been a great mom and dad to all of us here. Kami akan rindukan Auntie dan Uncle! 😥

Posted on July 11th, 2009 by Sarah  |  20 Comments »