Hilang
Assalamualaikum wbt
Malas pula rasanya hendak menyambung cerita di entri lepas. Lagipun, bila cerita disimpan lama-lama, sudah tidak seronok pula jadinya. Lagipun cerita yang tertangguh tu tak penting. Jadi kita boleh abaikan sajalah. Huhu. Mesti ada yang bengang, kan. Ada ke patut cerita separuh-separuh pula.
Saya hendak cerita lain pula kali ni. 5 Novemver lepas, saya on call di wad bawah. Kenanga 14. Keesokan paginya, saya bergegas naik ke wad saya di Kenanga 12. Disebabkan saya sudah lambat untuk memulakan round saya di wad, jadi saya campak saja kesemua barang saya di bilik rehat HO itu. Balik kerja petang itu, saya ke kafe untuk membeli air. Sudah sampai di kaunter hendak membayar air, tengok-tengok beg duit saya tiada. Nasib baik ada Ain dan Muneer (kawan-kawan sama belajar di Moscow dulu) yang beratur di sebelah saya. Muneerlah yang membayarkan air saya dulu.
Saya tidak sedap hati. Tapi saya cuba berbaik sangka. Saya terus balik ke rumah untuk memeriksa sama ada saya ada tertinggal beg duit di rumah. Puas mencari. Tapi memang tiada. Malam itu saya keluar makan bersama ayah dan adik-adik saya. Emak tiada di rumah kerana ada perkhemahan dengan murid-murid sekolahnya. Selepas makan, saya meminta ayah menghantar saya kembali ke hospital untuk memeriksa bilik HO tempat kami semua menyimpan barang. Sedihnya… Memang beg duit saya sudah hilang. DICURI! Menyampah betullah.
Ikutkan, ini sudah kali ketiga beg duit saya dicuri. Tapi, inilah kali pertama saya kehilangan semua barang penting. Saya kehilangan kad pengenalan dan lesen kereta juga! Eiiiii! Ada persamaan di antara ketiga-tiga kes ini. Kesemuanya dicuri oleh pekerja yang mencuci atau membersihkan bilik. Kali pertama dulu di Egypt ketika saya bercuti ke sana. Waktu itu, room service yang mencuri. Saya kehilangan 400 USD waktu itu. Bengang betul, kan.
Kali kedua pula pada tahun lepas. Dicuri oleh pekerja yang membersihkan belakang hostel kami di Moscow. Waktu itu saya sedang mengikuti latihan futsal di kawasan lapang belakang hostel. Yang ini memang bengang tapi ada banyak hikmah yang terjadi. Yang kali ini Radicare pula yang mencuri. Lagilah saya bengang. Sebab habis satu purse itu diambilnya. Dengan kad pengenalannya, lesen memandunya, kad banknya, duitnya. Dan kali ini, saya kehilangan RM400!!!! Bengangnya!!!!!!! Kebetulan sangat saya membawa duit lebih hari itu kerana berhajat hendak pergi servis kereta kakak saya selepas balik kerja. Tapi lain pula jadinya. Geram tahap petala kelapan belas jadinya. Eiiiii… RM400 tu lebih dari cukup untuk belanja sebulan saya tau.
Jadi, hari Sabtu itu, selepas habis kerja tengahari itu, saya terus ke Balai Polis. Sepanjang 24 tahun menjadi orang Temerloh ni, itulah kali pertama saya masuk ke perkarangan Balai Polis itu. Selesai membuat laporan kehilangan kad pengenalan dan barang-barang penting itu, saya dibawa berjumpa dengan inspektor bahagian siasatan ke apa entah. Saya mengikut saja. Dalam kepala, saya membayangkan satu susuk yang berperut ke hadapan sedikit dengan misai tebal dan berwajah garang. Tiba-tiba…
“Jemput masuk, cik. Sila duduk. Sila duduk.” Mak aih. Rupa-rupanya, Tuan Inspektor tu sangatlah muda belia. Dengan pakaian kasualnya tu, cukup syaratlah untuk saya mengatakan dia kacak. Hahahahaha. Malu pula saya dengan diri sendiri dengan apa yang saya bayangkan sebentar tadi. Huhu. Ok ok. Harapnya tiada warga kerja Balai Polis Temerloh yang membaca blog ini. Huhu.
Jadi sekarang ni, saya hanya menggunakan kad pengenalan sementara. Lesen memandu telah siap dibuat baru tapi kad bank masih belum boleh diproses kerana perlu menunggu kad pengenalan betul siap. Nampak gayanya, walaupun sudah ada gaji di penghujung bulan ni, tiada maknanya juga sebab saya tidak boleh mengeluarkan duit dengan bebas. Kena guna buku banklah pula jawabnya. Macamlah saya ni ada masa sangat nak keluar di waktu pejabat untuk ke bank, kan. T____T
Yang paling saya terkilan, saya kehilangan dua benda lagi. Sebentuk cincin emas yang saya letakkan di bahagian zip duit syiling dan kad metro lama saya ketika di Moscow dulu. Cincin itu pemberian emak saya selepas SPM dulu. Saya tanggalkan cincin itu ketika hari pertama bekerja di sini dulu kerana kami tidak boleh memakai cincin ketika bekerja. Terkilan betul saya. Sekarang, saya langsung tiada cincin dah. T___T Kad metro itu pula menyimpan banyak kenangan sepanjang saya berada di Moscow. Dengan kad itulah saya ke hulu- ke hilir suatu masa dulu. Terkilannya…
Nota 1: Sekarang, beg sandang saya yang warna coklat itu sudah kehilangan temannya yang sedondon itu. Saya pakai beg duit buruk-buruk je sekarang. Kalau ikut hati, nak bunjut-bunjutkan duit dalam sapu tangan je pun cukup dah. Siapa yang curi jugak, memang tak selamatlah hidup dia di dunia ini. Menyusahkan saya je kena keluar masuk Balai Polis sehingga terjumpa Tuan Inspektor muda tu. Haha.
Nota 2: Ok. Nak tulis entri kedua pula. Saya tengah bosan ni. Tu sebab rajin pula nak menulis. ![]()

