Archive for the ‘Life’ Category

Minggu Kuarantin

Assalamualaikum wbt

Ini cerita saya sendiri ditahan di wad. Seboleh mungkin, saya akan meringkaskan cerita ini. Saya hendak tidur awal malam ni. Huhu.

Pada mulanya, saya diberikan MC hanya pada Isnin lepas. Tetapi pada hari Selasa pula, saya diberi lagi dua hari MC kerana keadaan demam, batuk, selsema dan muntah-muntah saya masih belum berkurangan.

Pada hari Rabu itu, saya gagahkan juga diri untuk ke hospital kerana saya tak tahan dengan panggilan-panggilan dan asakan-asakan dari luar yang mengheret saya supaya rasa bersalah kerana bercuti sakit. Haha. Apa punya ayatlah saya tulis ni. Tapi itulah yang saya rasa. Maka, saya bangun awal pagi seperti biasa dan bersiap-siap untuk pergi kerja juga walaupun MC saya masih berbaki satu hari lagi.

Tapi keadaan saya masih lagi lemah pada Subuh itu. Saya terus menghubungi specialist saya. Beliau yang bertanggung jawab ke atas cuti-cuti para HO. Sewaktu saya menghubunginya pada hari sebelumnya, beliau ada menyuruh saya melaporkan keadaan diri saya yang terkini pada keesokan harinya. Sejak hari Selasa lagi beliau sudah mengesyaki sesuatu. Jadi ketika saya menghubunginya, beliau terus mengarahkan saya ditahan di wad pantauan H1N1. Iya. Wad itulah yang saban hari saya kunjungi jika ada prosedur seperti ambil darah atau membuat review pesakit yang positif H1N1. Itu adalah wad isolasi. Specialist saya menyuruh saya terus ke Kecemasan dan dimasukkan ke wad terus dari sana.

Saya pun dengan berat hati dan sedikit menggemparkan rumah di Subuh hari Rabu itu pun mula mengemas sedikit barang untuk dibawa ke wad. Sedih juga rasanya. Saya lebih senang diberikan cuti dan berehat di rumah saja. Setibanya di Kecemasan, periksa itu ini, buat X-ray, ambil darah, tunggu MO datang, periksa-periksa lagi dan terus saya dihantar untuk ke wad. Status saya ialah disyaki. Suspected H1N1. Maka pada saat inilah bermulanya drama Melayu bertajuk Dari Mata Sarah bermula. Tetapi Akif Zamaninya tiada. Hahaha.

Saya memujuk-mujuk MO saya (Saya kan sedang posting di Medical. Yang review kes H1N1 semestinya doktor-doktor dari jabatan saya juga) untuk membenarkan saya dikuarantin di rumah saja. Pujuk punya pujuk sampai bergenang-genanglah juga air mata saya, akhirnya saya dilepaskan untuk balik dan menjalani kuarantin di rumah saja. MC saya dipanjangkan sehingga hari Jumaat untuk melengkapkan lima hari mengambil Tamiflu (antiviral).

Petang Rabu itu, bahagian pentadbiran menelefon menyuruh saya datang pada keesokan harinya untuk sesi bersama Pengarah. Kebetulan, memang pada pagi Khamis saya perlu datang semula ke hospital untuk ujian darah dan throat swab lagi.

Jadi, selepas sesi bersama Pengarah semalam, saya ditahan di wad isolasi itu lagi. Dari 9 pagi sampailah 1 tengahari lebih. Tak larat betul berada di situ. Dah selesai semuanya, saya terus balik. Sepanjang sakit-sakit ni, ayahlah yang menghantar saya ke sana ke mari. Di rumah, saya memang tidur saja. Keluar dari bilik hanya untuk minum, mandi dan menghadap internet. Makan sangat kurang. Saya tidak berselera makan. Kalau boleh makan pun selepas itu pasti muntah. Tapi mujur semakin hari semakin boleh menerima makanan masuk ke tekak. Terasa bertenaga sikit.

Hari ini merupakan hari terakhir saya diberi cuti sakit. Esok sudah mula bertugas kembali. Sebenarnya saya masih belum elok lagi. Memang sudah tidak demam. Tapi batuk saya kong kong kong masih bergema lagi. Macam mana nak mendekati pesakit? Pesakit pun takut tengok saya batuk kuat lagi ni.

Dalam pada sakit-sakit ni, petang tadi saya sempat keluar bertemu kawan-kawan. Saya pakat untuk bertemu Wahida di bandar. Kebetulan Amri hendak bertemu saya untuk menyerahkan sesuatu. Amri datang bersama sepupunya Lope. Sedang duduk-duduk di Old Town, tiba-tiba MO saya yang memberi pelepasan untuk kuarantin di rumah tu masuk ke kedai itu juga. Adoi. Kantoi pula saya di situ. Tapi dia juga kantoi. Hihi. Apa dia? Shhhhh. Biarlah rahsia. 😉

Ok. Itu saja ceritanya. Saya disyaki H1N1. Sudah lima hari saya tidak bekerja. Esok saya akan mula bertugas semula. Baki cuti saya adalah sangat sedikit untuk menghabiskan lagi tiga bulan di sini. Macam mana ni? 🙁 🙁 🙁

Nota: Emak Amri meninggal dunia awal pagi tadi. Emaknya merupakan bekas pesakit saya dua minggu yang lalu. Amri datang untuk menyerahkan sesuatu, hadiah dari arwah emaknya untuk saya. Saya sangat terharu. Al-Fatihah untuk arwah. Semoga arwah ditempatkan bersama para mukminin yang dijanjikan syurga.

Posted on October 9th, 2009 by Sarah  |  17 Comments »

Dalam Dilema

Assalamualaikum wbt

Baru saja dua hari lepas saya kata saya tak pernah bercuti sejak mula bekerja ni. Alih-alih, semalam saya cuti mengejut dan begitu juga hari ini. Saya demam panas. Pakej lengkap dengan batuk-batuk, selesema, sakit tekak, muntah-muntah, kurang darah merah dan tekanan darah rendah. Daripada sehari, cuti saya ditambah lagi dua hari.

Tapi rasanya esok saya tetap akan pergi kerja. Bukan apa. Walaupun cuti, ramai betul yang telefon tak sudah-sudah. Sedangkan saya sudah memberitahu operator bahawa saya tidak bertugas pada hari semalam dan hari ini. Tapi tetap juga menderu-deru orang yang telefon.

Kalau ikutkan, nak saja saya tutup telefon. Nak rehat sungguh-sungguh. Tapi kalau tutup telefon, nanti hal-hal peribadi pula yang tergendala. Betullah kata senior-senior. Bila sudah mula bekerja, maknanya saya tiada kehidupan peribadi. Personal life. Nombor telefon semua doktor wajib diberikan kepada operator. Ada apa-apa, semua orang boleh menelefon operator minta untuk disambungkan terus kepada kami. Kadang tu, baru saja hendak solat di surau, ada panggilan dari hospital. Wajib angkat. Bila dijawab, rupa-rupanya dari Kecemasan. Minta datang untuk clerk case. Masalahnya ada dua oang lagi partner saya sebagai 3rd call pada hari yang sama. Di mana mereka? Terpaksalah saya bergegas solat dan kemudian berlari menuju ke Kecemasan. Berlari ok. Bukan berjalan laju-laju.

Walaupun saya masih MC pada hari ini, saya tetap ke hospital pagi tadi. Seminggu yang lalu, seorang pasekit saya telah dibenarkan balik tetapi dia sudah mempunyai temujanji untuk U/S HBS dan CT Thorax (malas pula saya nak terangkan apa dua benda alah ni =p ). Tarikhnya pada hari ini. Untuk CT Thorax, doktor perlu mengiringi pesakit. Jadi pagi tadi saya ke hospital untuk bertemu pasakit saya ini dan juga anaknya. Pakcik ni sudah menjadi pesakit saya sejak dia mula-mula ditahan di wad dulu. Jadi, saya sangat mengambil berat akan perkembangannya. Selesai semuanya tadi, baru saya bertolak pulang.

Kebetulan saya masih demam dan pening-pening. Saya singgah di Klinik Kesihatan Daerah saja untuk mengambil ubat muntah. Tapi tak pasal-pasal, ramai pula yang menghubungi. Tanya kenapa saya MC. Berapa hari saya MC. Dah beritahu specialist ke belum. Tadi kenapa datang hospital. Esok kerja ke tidak. Hari ni dah rasa sihat ke tidak. Petang ni datang kerja boleh ke tak. Ya Rabbi. Bercampur aduk perasaan saya waktu tu. Hendak saja saya marah kalau ikutkan rasa tidak sabar. Macam saya ini adalah seorang pesalah kerana bercuti sakit. Bukannya saya pinta-pinta sakit ini.

Saya sudahpun memberitahu specialist. Malah, specialist saya sangat mengambil berat atas apa yang terjadi ni. Iyalah. Dia risau saya H1N1 positif. Kalau ikutkan, MC saya masih berbaki satu hari lagi. Tapi nampak gayanya, dengan desakan bertalu-talu dari orang sekeliling, saya tetap akan pergi kerja juga pada hari esok. Memang secara peribadi saya hendak pergi juga esok sebab saya tidak betah duduk di rumah apabila teringatkan pesakit-pesakit saya di wad. Sampaikan termimpi-mimpi pasal mereka. Dengan emak ayah pun saya asyik bercakap tentang mereka saja.

Tapi asakan dari luar betul-betul buat saya rasa saya ni tiada hak untuk diri saya sendiri. Kadang tu bukan apa, saya rasa saya sangat kerdil di jabatan saya tu. Sampai saya rasakan, setiap yang saya buat adalah salah. Entahlah. Saya harap saya dapat buang perasaan yang begini secepatnya. Kalau tidak, saya tidak akan ada rasa yakin untuk bergerak dengan sendiri. Asyik rasa saya sedang buat salah saja.

Tapi lain pula keadaannya sewaktu sedang on call. Saya rasa lebih yakin walaupun berseorangan saja ketika itu. Walaupun letih, mengantuk dan segalanyalah yang lembik-lembik, tapi saya tetap bersemangat hendak melalui tempoh on call saya sehingga ke esok pagi dan kemudian menyambung tugas harian di waktu pagi di wad saya seperti biasa. Tiada perasaan serba salah menghantui saya. Tapi bila diapit oleh hal-hal luar yang menyesakkan, saya mula akan rasa goyah. Saya rasa tidak senang untuk bergerak dan membuat kerja. Entahlah.

Apabila membaca dilema yang diutarakan oleh Hakimah, saya sangat menyetujuinya. Hakimah ni kawan saya sejak di PASUM dulu. Dia kini berkhidmat di Melaka juga di Medical. Setiap apa yang diceritakannya, hampir semuanya saya rasai juga.  Cuma setakat ini, saya tidak pernahlah pula dimarah teruk-teruk atau kena maki hamun. Alhamdulillah saya masih terhindar dari bencana itu.

Tapi, perihal solat dan kesempatan bermesra dengan Tuhan adalah sangat terbatas. Sejak bekerja, saya biasanya solat Zohor sekitar 3 lebih. Untuk Asar pula, sudah pukul 6, baru sempat menjengah ke surau. Biasanya saya akan duduk rehat di surau sehingga Maghrib masuk. Tapi kalau dipanggil ke Kecemasan atau ada kes yang perlu di review di wad-wad lain, maksudnya Maghrib saya di hujung waktulah. Terlepas waktu pun pernah. Waktu itu saya di Kecemasan sedang menguruskan kes Epilepsy + Intracranial Bleeding 2′ to uncontrolled HPT (saya malas nak terang panjang lebar eh =p ). Kalut benar keadaan waktu itu. Bila keadaan sudah stabil, saya lihat jam, Masya Allah, sudah terlepas Asar rupanya. Dah nak masuk Isya’ dah pun. Saya meminta kebenaran daripada MO saya untuk berehat sekejap. Saya berlalu ke surau dalam keadaan penuh kesal.

Saya jelas duduk perkara ini jatuh dalam hukum darurat untuk kami semua dan ada rukhsahnya yang tersendiri. Tapi secara peribadi, saya tidak gemar dan terasa amat bersalah sekali kepada Tuhan. Mengaji pula, Ya Allahu Ya Rabbi. Selepas Ramadhan, saya tidak lagi berkesempatan menghadap Al-Quran setiap hari. Selang-selang hari. Itupun kejap saja. Besar sungguh dilema yang saya rasakan. Sebab saya berubah menjadi seorang yang lain sejak memikul jawatan ini.

Jadi, saya sangat memahami apa yang sedang Hakimah rasai. Semuanya serba-serbi sama dengan apa yang saya rasa. Mungkin kerana kami dari latar belakang yang hampir sama. Jadi apabila tersepit dalam situasi yang sebegini, rasa bersalah semakin menjadi-jadi. Saya pun nak berazam sepertinya. Walau sibuk yang bagaimana sekalipun, saya akan mengutamakan solat dan akan meluangkan masa untuk mengaji setiap hari.

Saya tidak mahu menjadi saya lain hanya kerana tanggung jawab yang sedang dipikul ini. Sedangkan, tanggung jawab ini sepatutnya menjadikan saya sebagai seorang pengumpul pahala yang lebih cekap mengatur dan mencuri masa.

Ya Allah. Cepat-cepatlah Kau buangkan rasa tidak selesa ini dari hati saya. Dan jatuhkanlah saya semula kalau ketinggian ini makin menghinakan saya di mata-Mu, Ya Tuhan.

Rabbi yassir wa la tu’assir.

Nota: Kalaulah saya boleh meminta-minta, saya tidak mahu bersuamikan seorang doktor dan tidak mahu anak-anak saya menjadi doktor. Hahaha. 😆

Posted on October 6th, 2009 by Sarah  |  11 Comments »

Dunia Seorang Houseman Officer

Assalamualaikum wbt

Yeay!!! Akhirnya saya berkesempatan untuk menatap dunia saya kembali. Apa khabar dunia? Apa cerita raya kamu semua? Apa perkembangan terkini kamu semua? Serius saya katakan, saya memang tidak berkesempatan langsung untuk mengikuti perkembangan kawan-kawan semua. Urusan diri sendiri pun terabai, inikan pula hal-hal luar.

Mesti ada yang berminat hendak tahu kisah hidup seorang Houseman Officer (HO) kan? Kalau ikutkan, ada 1001 cerita hendak saya kongsikan dengan kamu semua. Terutamanya untuk pelajar-pelajar perubatan. Kalau boleh, saya hendak adik-adik semua tahu apa keadaannya dalam dunia pekerjaan sebenar nanti. Kalau boleh, saya tidak mahu ada yang kekok-kekok atau kena marah tak pasal-pasal dek senior-senior di jabatan masing-masing. Kalau boleh saya tidak mahu lihat pelajar lepasan luar negara dipandang rendah oleh pelajar tempatan. Kalau boleh, saya tidak mahu lihat wujudnya diskriminasi dan double standard antara para HO baru. Tapi manalah sempat saya hendak menceritakan segalanya. Jadi secara mudahnya, kalau berkesempatan, saya akan berkongsi pengalaman saya sebagai HO di sini.

Dalam tempoh tiga minggu ini, ada macam-macam perkara terjadi. Sejujurnya, saya sudah lupa kronologinya dengan tepat. Tapi tak kira. Saya nak cerita juga. Hahaha. Sifat gila kuasa di blog sendiri sudah kembali menjelma. :mrgreen:

Selesai melapor diri di bahagian pengurusan, saya bersama Dr. K (Saya tak nak sebutkan nama watak-watak terbaru dalam hidup saya ni. Jadi saya sebutkan singkatannya sajalah ye) ditempatkan di Jabatan Perubatan. Selalunya kami akan sebut sebagai Medical saja. Ini posting pertama saya sebagai HO. Ada lima lagi posting yang lain. Ada sembilan orang semuanya yang melapor diri pada hari yang sama dengan saya. Hanya seorang saja yang saya kenal. Kebetulan kami dari universiti yang sama. Apabila saya dapat tahu saya ditempatkan di Medical, saya langsung tidak menolak. Tidak terfikir langsung hendak tukar suka sama suka dengan kawan-kawan yang lain. Bagi saya, ini permulaan yang baik. Bagi pelajar-pelajar perubtan, kamu semua mesti faham kenapa, kan. Medical adalah tunjang dalam bidang perubatan. Segala bidang lain pun pasti akan merujuk ke Medical atas pelbagai jenis komplikasi yang dihadapi pesakit. Jadi saya kira, ini adalah permulaan yang sangat baik untuk saya. Tapi tak dinafikan, inilah posting yang paling sibuk sekali. PALING SIBUK. Huhuhu.

Lima hari pertama saya di Medical, saya perlu menjalani tagging. Maksudnya, HO baru akan mengikut HO yang lebih senior untuk memantapkan diri dengan suasana baru di wad masing-masing, sistem kerja, prosedur-prosedur utama dan segalanyalah. Saya keluar rumah sebaik selesai Subuh (lepas Sahur) dan tamat dengan rasminya pada pukul 12 malam. Biasanya, saya hanya akan tiba ke rumah semula pada pukul 2 pagi. Huhu. Lima hari pertama tu terasa juga penatnya. Ketara sangat perubahan jadual harian. Jadi memang terasa penat. Tapi, saya sangat sukakan kesibukan dan kepenatan itu! Wahahahaa. Gila kerja saja bunyinya. Tapi saya kata betul. Saya sangat enjoy dapat bekerja. Saya enjoy dapat bertemu pesakit. Maklum sajalah. Kali terakhir saya bertemu pesakit ialah sebelum final exam yang lalu. Dah tiga bulan. Huhu.

Ketika tagging, saya cuba sedaya upaya untuk memantapkan diri saya dengan segala sistem dan borang-borang yang perlu saya biasakan ketika bekerja di wad. Punyalah banyak borang itu ini yang perlu diisi. Untuk setiap prosedur, ada saja borang-borang tertentu yang saya kena ingat. Jenuh weh. Yang paling saya tak boleh lupa, hari pertama bermulanya tagging saya, saya bangun pada pukul 4 pagi semata-mata untuk membelek internet dan memeriksa segala shortform yang sangat banyak digunakan oleh doktor-doktor di Malaysia. Bagi HO lepasan universiti tempatan, mereka tiada masalah dengan hal itu. Tapi bagi saya, itu adalah masalah besar. Takkan semuanya hendak bertanya orang, kan. Jadi untuk tagging hari pertama itu, saya meletakkan target untuk tidak blur sangat dengan segala ringkasan yang ada. Sumpah saya kata, ada beberapa shortform yang langsung tidak boleh saya jangka apa maksudnya. Tapi bila sudah tahu, alamak, itukah maksudnya. Geram sungguh rasa. Huhu. Tapi tak mengapa. Masalah ini masalah teknikal yang boleh diselesaikan seiring dengan meningkatnya pengalaman. Jadi, jangan tensi-tensi ya kawan-kawan dan adik-adik yang akan menjadi HO suatu hari nanti. Hehe. Kalau mereka yang sebelum ini pun boleh, saya boleh, kamu semua nanti juga pasti boleh.

Selesai lima hari tagging, semua HO baru di Medical sudah mula on call. Sistemnya Every Other Day (EOD). Maksudnya begini. Saya keluar pagi ini untuk pergi kerja. Terus sambung petang dan malamnya dengan on call. Dan terus sambung keesokannya paginya dengan jadual kerja seperti biasa sehingga 5 petang. Sebelah malamnya, saya adalah post call. Tidak terlibat dengan sesi atas panggilan. Boleh berehat sepuas-puasnya. Tapi keesokan paginya, saya akan kembali bekerja, sambung on call, sambung kerja keesokan paginya dan hanya akan pulang di sebelah petangnya. Selang satu malam saya on call. Ini namanya EOD. Tak faham? Tak apalah. Tak payah nak faham sangat pun. Huhu.

Jadi, berlarutanlah EOD saya sehinggalah ke hari ini. Kiranya, saya keluar rumah dari awal pagi semalam, sambung malam tadi dan petang tadi baru balik. Malam ni saya post call. Malam ini boleh tidur puas-puas, bersosial dengan adik beradik atau makan banyak-banyak. Dan esok akan berulang semula rutin yang sebegitu.

Secara peribadi, saya memang tak ada masa yang spesifik untuk rehat. Sampaikan ada pesakit saya tanya saya begini: Doktor ni tak balik-balik rumah ke? Dah 3 hari saya kat sini, pagi petang siang malam saya nampak doktor ada kat sini. Huhu. Ya. Saya tak nafikan. Bertugas di Jabatan Perubatan adalah sangat sibuk. Lebih-lebih lagi jika sedang on call dan wad sendiri menjadi wad aktif. Wad aktif bermaksud wad itu menjadi wad yang menerima semua kes baru untuk hari itu bagi disiplin perubatan. Memang penat tak terkatalah. Mana nak urus kemasukan baru. Mana nak urus pesakit asystole. Mana nak buat CPR. Mana nak intubate. Bila sudah sibuk sebegitu sekali, perihal diri sendiri memang tak teringat langsung dah.

Seingat saya, dua hari terakhir berpuasa, saya sempat balik berbuka di rumah. Kebetulan semua adik beradik saya sudah berkumpul di rumah. Pukul 6.45 petang saya memecut balik. Sampai sebelum pukul 7. Terbaring sekejap di depan TV. Kemudian berbuka puasa beramai-ramai, saya berkejar untuk solat Maghrib dan kemudian terus bergegas balik ke hospital. Pukul 8 malam, saya sudah kembali berada di dalam wad. Fuh. Waktu berbuka pula, saya hanya lalu minum air. Makan dah tak lalu langsung kerana kepenatan.

Begitu juga selepas hari raya. Walaupun sudah tidak berpuasa, saya tidak jumpa masa yang sesuai untuk turun makan di kafe. Sudahnya, sampailah keesokannya harinya selepas selesai on call, barulah saya makan. Itupun bila sudah sampai ke rumah semula, baru saya makan. Pernah sampai 48 jam saya tidak makan apa-apa. Setakat minum air masak saja. Fuh. Hypo habislah rasanya. Maka disebabkan itu, selepas sebelas hari bekerja, saya kebetulan termenimbang berat badan. Makanya, dalam masa sebelas hari, saya telah turun 5 kg! Muahahahahha. Baju-baju saya semuanya terasa longgar. LONGGAR yang SANGAT LONGGAR. Kahkahkah. Tak payah nak diet-diet. Badan saya dah sekeping dah ni. Dalam masa seminggu ni pun saya tak makan apa sangat. Saya rasa mungkin dah turun lagi 2-3 kg kot.

Cerita raya saya. Saya tidak cuti pada hari tersebut. Ha. Sejak mula bekerja sehinggalah ke hari ini, saya langsung tidak pernah bercuti. Sabtu ke, Ahad ke, raya ke, tak ke, semua saya kerja. Huhu. Sampaikan kadang-kadang saya terlupa hari itu hari apa. Tapi pada tengahari raya lalu, specialist saya memberi saya masa rehat tengahari yang agak lama. 2 jam setengah tu adalah lama bagi saya. Hehe. Saya pun apa lagi. Terus cabut balik rumah. Beraya bersama keluarga, bergambar sikit-sikit buat kenangan, pergi ke rumah Tok saya dan dua buah rumah saudara terdekat berhampiran dengan rumah, kemudian saya balik rumah dan tidur. Hahahhaha. Tak bermakna sungguh! Ada ke patut pergi tidur pula. Tapi memang saya sangat penat. Malam raya tu saya balik ke rumah pada pukul 2 lebih. Pukul 6 pula saya dah berada di hospital semula. Selepas Zohor baru saya bangun dan terus pulang ke hospital. Sepatutnya saya akan habis kerja pada pukul 12 malam tapi sekali lagi, seorang specialist yang lain pula dengan baik hatinya menyuruh saya pulang awal. Jadi, pukul 6.30 petang saya sudah mula memandu pulang. Tapi tiada makna juga. Sampai saja rumah, mandi-mandi, terus tidur. Muahahaha. Sampaikan, ada saudara yang pulang beraya di rumah Tok pun tidak sempat saya jumpa. Mana tidaknya. Saya keluar hari masih gelap. Orang masih tidur. Balik pula sudah tengah malam. Orang pun dah tidur semula. Tapi yang seronoknya, saya masih dapat duit raya! Wihiii. Kan bagus jadi orang yang tak bergaji lagi ni. Hehe. Tapi siaplah tahun depan. Kopak poket nak kena bagi duit raya kepada adik-adik saudara. Huhu.

Dari segi kehidupan peribadi, ada banyak kelebihannya saya bertugas di sini. Yang paling utama, baju tudung labcoat saya semuanya ada orang basuhkan. Huhuhuhu. Dengan tidak malunya saya mengaku bahawa saya tidak sempat hendak menguruskan makan pakai saya sendiri. Nasib baik ada emak dan Mak Tam. Mereka berdualah yang membasuhkan baju-baju saya. Memanglah guna mesin basuh tapi sepatutnya itu semua saya sendiri yang uruskan. Tugas saya setiap hari hanyalah mengemas bilik tidur dan membuka tingkap bilik sebelum ke hospital. Bila balik, tingkap sudah ditutupkan, baju-baju yang sudah dilipat bersusun di atas meja saya. Sayangnya, budak bertuah seorang ni takkan sempat nak susunkan semula baju-baju berlipat itu ke dalam almari. Hahaha. Sudahnya, sampai tiga, empat hari baju-baju itu bersusun tinggi di atas meja dan katil. Katil saya pula, separuhnya dipenuhi nota-nota. Hanya sebahagian saja yang saya gunakan untuk tidur. Nasiblah katil besar. Kalau katil single, manalah saya nak letak nota-nota tu. Hahahah. Yang pastinya, nota-nota tu hanya sempat saya baca tiga, empat ayat saja. Lepas itu, nota tu yang baca saya.

Alam pekerjaan memang berbeza. Saya dapat rasakan saya semakin matang. Jauh berbeza daripada saya yang dulu. Banyak perkara yang memerlukan saya membuat pertimbangan dengan sebijaknya. Kawan-kawan sekerja adalah kawan-kawan nyata yang ada di depan mata. Kawan-kawan yang jauh di mata, fuh, memang susah untuk dihubungi selalu. Saya minta maaf kepada kawan-kawan yang ada SMS saya tapi saya tak sempat nak balas-balas lagi. Ampun banyak-banyak ya.

Oh ya. Staff nurse ramai yang memanggil saya Budak Kecik. Kata mereka, saya ni kecil sangat. Sampaikan, pernah sekali tu, time saya on call, saya tinggalkan lab coat di wad dan turun ke kafe. Pakcik Kafe tu ingatkan saya ni anak orang mana entah yang datang hendak membeli air. Aduhai. Muka saya tak macam budak-budak kot. Saya ni cuma pendek je lah.

Dan sebenarnya saya rasa sangat bertuah dapat berkhidmat di tempat sendiri. Dalam tempoh hampir sebulan ini, saya sudah sempat merawat bekas ustaz saya sendiri ketika di SMA Al-Khairiah dulu, emak kepada cikgu saya di AL-Khairiah, emak kepada kawan lama saya yang sudah hampir lapan tahun tidak saya temui, ayah saudara sepupu saya sendiri dan beberapa orang lagi yang saya kenali.

Sejujurnya, saya ni berjiwa sentimental. Ada banyak insiden di hospital yang membuatkan saya terkebil-kebil menahan air mata daripada jatuh. Contohnya, melihat kasih seorang emak yang menjaga anaknya yang menghidap Panhypopituitarism. Setiap kali hendak mengambil darah anaknya, emaknya mesti menundukkan kepala. Dia tidak mahu melihat anaknya dicucuk. Dia memang tidak cakap kepada saya bahawa dia tidak sanggup melihat hal itu tapi saya sangat sedar akan hal itu. Terkesan betul hati saya. Lagi, saya dapat melihat kasih adik beradik yang menjaga emak mereka yang terkena serangan Angin Ahmar. Berak kencing makan minum emak mereka dijaga dengan sebaiknya. Tersentuh betul hati saya melihat kesepakatan adik beradik itu.

Dengan rakan-rakan sekerja pula, oh, merekalah pemberi semangat untuk saya terus kekal meneruskan profesyen sebagai seorang pegawai perubatan. Kalau hari ini saya menerima kata-kata rangsangan, esok saya pula yang memberi semnagat untuk kawan-kawan yang lain di jabatan ini. Tidak kira Melayu ke, India ke, Cina ke, kami rapat dan saling membantu untuk memantapkan diri masing-masing. Tiada kiasuism. Alhamdulillah. Dan saya sangat suka jika on call sebagai 3rd call bersama Dr. R. Wallaweh. Dia seorang MO yang sangat best! Memang penat dan banyak kerja diarahkannya. Tap[i Dr. R sangat menjaga perasaan saya dan mengajar mana-mana yang saya tidak tahu. Saya sangat hormatkan Dr. R. Bak kata akak-akak nurse di wad saya, saya ni adik Dr. R. Tak boleh buli-buli saya. Nanti Dr. R akan marah. Hahahaha. Dan tak ketinggalan, mestilah ada insiden-insiden dimarah dan menangis. Muahahahhaha. Mestilah, kan. Ini lumrah. Kalau saya tertekan atau geram pun, semuanya disebabkan oleh seorang saja. MO di wad saya tu. Dr. P. Tak tahulah kenapa, semua orang dibalunnya setiap pagi. Bengang betul jadinya. Semua orang lain adalah tidak sempurna. Cara dia saja yang sempurna. Tak kisahlah awak HO ke, MO ke, pakar ke, dia suka membebel tak berhenti-henti. Nasib baik dia bukan orang Malaysia. Jadi apa yang dibebelkannya saya tak ambil pusing langsung dah. Hahaha.

Kebetulan, ada Dr. D yang sangat prihatin. Dia menceritakan kepada saya apa yang pernah dilalui oleh HO lain sebelum saya. Kena baling fail, kena herdik depan pesakit. Kena halau. Huhu. Tu lagi seram. Paling kurang, saya hanya kena dengan dia sebab ubat untuk pesakit yang di withold telah diberikan juga kepada mereka. Itu bukan salah saya pun sebenarnya. Waktu itu ada kesilapan teknikal di antara pertukaran shift malam ke pagi. Maklumat tidak lengkap. Jadi ada yang terlepas pandang akan hal itu. Dan tak pasal-pasal saya pun kena balun. Balunlah nak balun apapun. Malas saya nak ambil pusing dah dengan bebelan dan marah-marah dia yang tak pernah sudah itu. Hahaha.

Dan, erm, saya masih pelik, kenapa ada seorang doktor itu kelihatannya seperti kurang senang untuk berbual dengan saya. Tapi dengan orang lain dia sangat mesra dan murah dengan gelak tawa. Tapi bila dengan saya, jadi kaku dan dingin. Adakah saya nampak terlalu serius untuk didekati sebagaimana dia mendekati kawan-kawan yang lain? Hmm. Kita tunggu jawapannya dalam siri yang lain ya.

Daa~ Malam ni saya nak keluar makan dengan adik-adik saya. Dari petang tadi saya berjanji dengan mereka. Sayangnya kakak mereka ni memang suka tidur bila tidak kerja. Kahkahkahkahkah.

Nota: Saya sangat suka gambar raya keluarga saya tahun ini. Selepas 6 tahun, akhirnya ada kembali gambar raya sekeluarga yang sempurna. 😉

Posted on October 4th, 2009 by Sarah  |  34 Comments »

Kehidupan Baru

Assalamualaikum wbt

Selamat seminggu berkursus. Selesai sudah semuanya. Banyak yang terjadi di sana tapi episod cuti-cuti, jalan-jalan, makan-makan memang tidak ada sangatlah. Tapi, ada satu petang ketika di Pangkor, saya berkesempatan pergi berbasikal mengelilingi kawasan pulau, masuk kampung Cina dan main air sekejap di pantai bersama Nadia dan Baiz.

Selebihnya hanya program di dalam dewan, taklimat dan sebelah senjanya berbuka puasa bersama kawan-kawan. Malam, sebaik selesai program, masuk bilik terus tidur. Penat. Tidak sempat hendak buat apa-apa pun.

Dan esok, satu kehidupan baru akan bermula. Saya akan melapor diri di Jabatan Kesihatan Negeri dan kemudian terus melapor diri di hospital.

Jangan sebut pasal raya depan saya. Saya tidak akan beraya, tidak ada cuti raya dan tidak ada masa lapang langsung pun raya ini walaupun saya ditempatkan dekat saja dengan rumah.

Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat beribadah di hari-hari terakhir Ramadhan dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maafkan segala silap dan salah saya selama ini. Semoga kamu semua bergembira di pagi Syawal nanti tanda kemenangan kita melawan hawa nafsu selama sebulan ini.

Insya Allah, kalau ada masa, saya akan menulis cerita-cerita terbaru saya sepanjang menjalani housemanship nanti. Didoakan semuanya baik-baik saja ya sama ada di pihak saya mahupun kamu semua.

Nota 1: Terima kasih kepada semua yang ada berkongsi pendapat, pengalaman dan segalanya untuk dua entri sebelum ini. Saya tak ada masa hendak membalas semuanya.

Nota 2: Dunia saya ni akan menjadi dunia terbengkalai untuk sementara waktu. Tak payah jenguk sini pun tak apalah ye.

Posted on September 15th, 2009 by Sarah  |  24 Comments »

Barang Lepas Usah Dikenang

Assalamualaikum wbt

“Asal kapas jadi benang
Benang dipintal dibuat kain
Barang lepas usah dikenang
Sudah menjadi hak orang lain”

Pernah dengar lagu ini? Sangat mengalun jiwa. Rugi siapa yang tidak tahu. Saya suka betul lagu ini. Sudahlah pantun dinyanyi-nyanyikan. Dendangannya pula sungguh merdu. Memang terbaik!

Apa kaitannya lagu ini dengan entri ini? Tiada apapun. Saya cuma hendak kata kepada diri saya dan kawan-kawan semua, janganlah kita terkurung dan mengurung diri kita dalam lipatan sejarah. Apa yang sudah lepas, kita lepaskan. Memang bukan rezeki kita untuk memiliki sesuatu itu, kan. Mesti ada hikmah mengapa kita terpilih untuk berhadapan dengan kehilangan.

Jawapannya, kerana Allah hendak menggantikan yang hilang itu dengan sesuatu yang lebih baik.

Logiknya, pernah tak kita kehilangan sesuatu, kasut misalnya, yang dikebas orang. Tak terjejak lagi ke mana perginya kasut itu. Kita menangis selaut air mata darah sekalipun, takkan kita temui semula kasut itu, kan? Jadi adalah lebih baik kita meredhakan kehilangan itu. Pergi kedai kasut, beli sepasang yang baru. Mungkin tidak semahal, secantik mahupun berkualiti seperti yang hilang itu. Tapi pasti ada hikmahnya.

Akhirnya, kita berkasut semula. Bukankah ini jauh lebih baik daripada tidak berkasut? Kita menjadi lebih menghargai apa yang kita ada walaupun dalam serba sederhana. Dan lama kelamaan, kita sedar bahawa kisah kasut yang hilang itu adalah platform untuk kita mendapat sepasang kasut baru.

Dapat kasut baru, tidak gembirakah kita? Pastilah gembira, bukan? Paling kurang, kita ada satu kehidupan yang baru dengan kasut yang serba sederhana itu. Kehidupan dengan kasut itulah yang menggerakkan kita untuk meneruskan perjalanan ke hadapan.

Ada hikmahnya. Itu pasti. Benang yang sudah dipintal menjadi kain pun sudah tidak boleh kita undurkan untuk mendapatkan kapas kembali. Dicarik, koyak. Dibakar, hangus. Jadi, biarkan yang hilang itu hilang. Hargai apa yang ada seadanya. Sebelum ia juga turut hilang. Dan kita merana sekali lagi kerananya.

Sepatutnya pada hari ini, 9 september 2009, saya sudahpun bergelar isteri orang. Hahahahahahaha. Ini adalah ayat penyata yang paling kelakar pernah saya buat. Nak percaya, percayalah. Tak nak percaya pun tak mengapa. Sebab saya pun tak berapa nak percaya sangat dengan ayat penyata saya tu.

Tapi saya bersyukur, saya mengalami kehilangan. Maka saya masih belum berkahwin lagi. Maka saya boleh menulis entri berdoa kepada Allah yang lalu. Maka saya boleh bercerita tentang pertemuan dengan anak muda yang gigih tanpa ada yang perlu cemburu buta. Maka saya masih boleh menyebut-nyebut tentang Encik Anggur yang istimewa. Hahahaha. Banyak sungguh hikmah selepas kehilangan itu, kan.

Penutupnya sudah cukup menceritakan kesemuanya, kan? Jadi mari kita semua tidur.

Esok saya akan berkelana jauh. Kursus Induksi dan Kenegaraan untuk Pegawai Perubatan menanti saya di Pulau Pangkor. Maka saya dengan rasminya sudah kehilangan masa lapang saya. Ada hikmahnya.

Hikmahnya, saya akan menjadi sibuk dan hidup saya akan terisi. Kembali. Sekali lagi. Seperti dulu.

Sebelum masuk tidur, selamat hari lahir bekas Abang Pujaanku. Cewah! Hahahaha. Pergi tidurlah, Sarah. Merepek je tak sudah-sudah budak ni.

Kamu semua jangan layan sangat otak saya yang tak ketat skru sangat ni. Hehe. Apapun, saya ikhlas menujukan ucapan itu untuknya. Ruginya, dia tidak tahu kewujudan diri saya di alam maya ini. [Dengan harapan dia tidak pernah Google nama saya macam yang kamu-kamu semua pernah buat] :mrgreen:

Nota: Check list Ramadhan – Tadarus dah jauh mana? Tarawikh ada tinggal tak? Ada buat Qiamullail tak? Yang wajib berzakat dah berzakat ke belum? Ada bersedekah tak? Kita tanda mana-mana yang dah selesai ye. Alhamdulillah.

Posted on September 9th, 2009 by Sarah  |  41 Comments »