Archive for the ‘Life’ Category

Hari Ini Dalam Sejarah

Assalamualaikum wbt

Hari ini di klinik, saya didatangi seorang pesakit perempuan yang kelihatan agak adik bagi saya. Setelah selesai konsultasi dengannya dan saya menyerahkan slip ubat, dia berkata: Dr. Sarah, saya pembaca blog doktor. Dah 3 tahun saya baca.

Dia tersenyum manis dan saya tersengih malu.

Dear readers, thanks for reading! ๐Ÿ˜‰

Posted on October 13th, 2011 by Sarah  |  22 Comments »

Tempat Tumpah Rezeki

Assalamualaikum wbt

Dalam entri sebelum ini saya ada menyatakan bahawa saya sudahpun ditukarkan ke hospital lain. Iya. Di sinilah titik tolaknya saya memulakan tugas sebagai seorang Medical Officer (MO). Alhamdulillah saya ucapkan. Allah sangat mempermudahkan jalan saya sewaktu menjadi seorang HO dulu.

Di kesemua enam posting yang telah saya lalui sebagai seorang HO (Medical, Orthopedic, Paediatric, Obstetric and Gynaecology, Surgical dan Anaesthesiology), tiada satupun yang saya tersangkut. Rekod kerja juga baik, tiada tindakan disiplin atau tatatertib, tiada tempoh extension dan pernah dua kali menjadi ketua HO di dua buah jabatan. Syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi. Tanpa rahmat dan redhanya, saya tidak mungkin dapat menjalani ujian ini dengan baik.

Tips untuk semua adik-adik pelajar perubatan dan para HO yang lain: Jaga disiplin diri, jangan berkira jika terpaksa datang awal dan pulang lewat, jaga hubungan baik dengan tenaga kerja hospital yang lain, tahu kes pesakit kamu lebih daripada pakar, sentiasa memperbaiki diri dengan membaca dan bertanya, merendah diri dan jaga hubungan dengan Allah. Insya Allah, semuanya akan berlalu dengan baik walaupun kadang-kadang tak seperti yang dirancang. Kena marah itu ini dek MO atau pakar tu biasalah, kan.ย ;-)

Ok. Berbalik ke cerita asal. Atas percaturan-Nya, saya dihantar bertugas di Hospital Kuala Lipis berkuat kuasa pada 19 September lepas. Hanya Allah yang tahu apa hikmahnya. Lain yang saya rancang, lain pula yang jadi. Perancangan awal, saya memohon untuk kekal di Jabatan Anaesthesiologi di Hospital Temerloh. Tapi sebaliknya saya mendapat surat pertukaran pula. Dan sayangnya rayuan saya semuanya tidak dilayan. Waktu itu suami saya baru saja menamatkan kontrak kerjanya di Putrajaya untuk menemani saya. Jadi, ada jugalah peneman saya di Kuala Lipis.

Ketika sedang bercuti selepas menamatkan housemanship saya, memang terlalu banyak saya dan suami mengembara. Berulang-alik Temerloh-Putrajaya-Kuala Lipis-Temerloh. Begitulah lebih kurang. Kami ke Kuala Lipis lebih awal untuk mencari rumah sewa. Tapi memang tiada rezeki nak dapat rumah sewa. Semuanya penuh! Setelah emak ayah dan umi baba pun turut ke Lipis bersama kami untuk mencari rumah sewa, akhirnya kami ambil keputusan untuk menyewa di hotel dulu sementara menanti jika ada kekosongan rumah sewa.ย :???:

Alhamdulillah. Rupanya memang rezeki saya di sini agaknya. Saya disambut dengan sangat baik oleh seluruh warga hospital. Hari pertama melapor diri, saya terus kena bekerja. Untuk sementara waktu ini, saya ditempatkan di Jabatan Pesakit Luar (OPD) sebelum diserap penuh ke Jabatan Anaesthesiologi. Kalau ikutkan ada dua orang lagi doktor yang bertugas bersama saya di OPD tapi masing-masing juga ada tanggung jawab lain. Jadi, kadang-kala, saya bertugas sendirian di bahagian klinik bersama dua orang lagi MA dan terpaksa memberi rawatan kepada seratus lebih pesakit sehari!

Penatnya hanya Allah yang tahu. Hakikatnya kami masih kekurangan MO dan pakar di sini. Insya Allah pada tahun baru ini sebuah bangunan baru akan mula beroperasi. Jadi sekarang ni, menurut pengarah, kami sedang menanti kedatangan lebih ramai MO dan pakar dari luar untuk memenuhi kuota.

Syukurnya, suami saya ada bersama saya di sana. Ada beberapi hari yang saya terpaksa pulang jam 11 malam kerana sedang tag call bersama kawan saya, dialah yang akan menjemput saya. Ketika saya di hospital, suami saya duduk di hotel membaca jurnal-jurnal sebagai persediaan viva masternya. Di hospital pula, saya memang tak sempat nak berhenti makan tengah hari. Sudah pukul 2 pun masih ramai lagi di klinik. Saya gagahkan juga menghabiskan pesakit yang datang untuk sesi pagi dan kemudian baru saya berehat sekejap. Berehat yang dimaksudkan ialah solat Zohor dan dan menikmati bekal air Milo panas yang saya bawa di dalam termos kecil. Itu saja. Nak makan memang tak sempat dan tak ada selera.

Biasanya, balik saja dari kerja, saya akan sakit pinggang yang teramat sangat. Maklum sajalah. Saya ke sana dalam keadaan mengandung 26 minggu, kepenatan berulang alikย Temerloh-Putrajaya-Kuala Lipis-Temerloh, bergerak ke seluruh hospital berjalan kaki dan menaiki tangga, duduk terperap di OPD dari jam 8 pagi sehingga 6 petang untuk merawat pesakit, tidak makan dan hanya sempat minum bekal air yang dibawa dari hotel. Pernah sekali tu sebaik masuk saja ke kereta selepas pulang dari kerja, saya mengalami sakit belakang yang teramat sangat sehingga mengalir air mata. Suami saya memandu pulang dan di bilik, saya tidak lalu makan kerana terlalu sakit. Saya hanya terbaring mengiring sambil membengkokkan kaki untuk mengurangkan rasa sakit.

Suami sayalah yang akan mengurut belakang saya. Kasihan saya melihatnya. Sampai sakit-sakit jarinya kerana mengurut belakang saya. Terima kasih ya, abang…

Pada hari Jumaat 2 minggu lepas, saya terlibat dengan satu mesyuarat di Hospital Temerloh. Mesyuarat itu di sebelah pagi. Saya dan suami bertolak balik ke Temerloh pada Khamis malam itu selepas saya habis kerja. Penatnya tidak terkata. Sampai saja di Temerloh, dua-dua pun tidur mati! Keesokannya saya menghadiri mesyuarat di HoSHAS dan sebelah petangnya saya hanya berehat di rumah saja kerana terlalu penat.

Pada petang Ahad itu, kami bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lipis. Tetapi, ada ujian lain pula yang datang. Ujian yang lebih besar. Dua serentak. Sederap ke atas bahu saya.ย Untuk memujuk hati dengan setiap ujian yang datang ini, saya selalu berkata: Mesti ada hikmahnya kenapa semua ni terjadi. Mesti ada! Mesti ada! Mungkin belum masanya lagi untuk saya tahu dan nikmati apakah hikmahnya.ย :roll:

Apa ujiannya, tunggu entri seterusnya.

Sesungguhnya, kita merancang, Allah juga merancang. Dan Allahlah sebaik-baik perancang…

Nota: Saya rasa dah sampai masanya saya kena tukar gambar dan description di Tentang Sarah tu. Hehe.ย :mrgreen:

Posted on October 11th, 2011 by Sarah  |  20 Comments »

Merajuk-merajuk Sayang

Assalamualaikum wbt

Disebabkan jemu duduk seorang diri di wad ni, maka terhasillah karangan saya yang seterusnya. Hehe. Eh, di wad? Kenapa di wad? Ok. Yang itu kita cerita kemudian. Hari ni mama nak cerita kisah mama merajuk dengan ayah. Hihi.

Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Betul tak? Mustahil tiada suami isteri yang tak pernah tak sependapat, bermasam muka, merajuk, bergaduh dan sebagainya. Tapi harapnya, selepas sesi itu berlalu, pasangan tersebut belajar sesuatu daripadanya dan ikatan kasih sayang menjadi lebih kukuh. ๐Ÿ˜‰

Kisahnya, sewaktu dalam perjalanan pulang beraya ke Batu Pahat, saya menyatakan keinginan saya untuk makan Nasi Beriyani Gam Johor. Sangat teringin. Saya belum pernah makan nasi beriyani gam. Kata suami, nanti kita cari bila dah sampai sana.

Hari raya pertama berlalu dengan cepatnya. Tambahan pula, kami hanya tiba di rumah Atuk menjelang jam 10 malam kerana berkumpul dan beraya di rumah datuk saudara di Kampung Bagan terlebih dahulu. Jalan pula sesak apabila hendak balik ke Kampung Parit Haji Sidek. Hari pun sudah malam. Tiada kedai makan kelihatan di sepanjang jalan yang masih buka. Lagipun itu hari raya pertama. Beragaklah sikit, kan. Siapa yang nak buka kedai untuk berniaga. Hehe.

Keesokannya pula, saya dan suami mengikut umi dan baba beraya ke beberapa buah rumah saudara mara di sekitar Batu Pahat. Hampir jam 4 petang, barulah kami bertolak pulang ke Temerloh. Saya tidak makan tengahari kerana sudah bersiap sedia kalau-kalau encik suami memang hendak membawa saya makan nasi beriyani gam. Saya memang sudah teruja sangat. ๐Ÿ˜†

Sayangnya, saya lihat suami saya seperti lupa dan perjalanan diteruskan menuju terus ke arah Yong Peng, kemudian Labis, kemudian Segamat dan seterusnya sudahpun memasuki Gemas. Memang saya diam saja di sepanjang perjalanan. Tanda protes secara diam. Dalam hati saya berkata, mesti suami saya lupa bahawa isterinya ini sedang mengidamkan nasi beriyani gam JOHOR. Bila sudah memasuki Gemas, Negeri Sembilan, ok, sedar dirilah, wahai Sarah. Apa yang diidamkan takkan tercapai dah. Huhu. ๐Ÿ™

Ketika jalan sedang sesak teruk berhampiran Bandar Sri Jempol, suami saya bersuara menanyakan kenapa saya diam dan kelihatan seperti tidak ada mood. Saya memberi alasan sakit pinggang dan memang benci dengan kesesakan jalan raya. Itu memang fakta. Saya memang tak boleh tahan dengan kereta yang banyak-banyak dan tersengguk-sengguk bergerak.

Suami saya bertanya lagi, mesti ada perkara lain yang menjadi isu ni. Alang-alang dia sudah bertanya begitu, saya katakan padanya: “Ada sesuatu yang abang lupa.” Suami saya diam seketika.

Sejurus kemudian dia menjawab. “Abang ingat sayang teringin nak makan nasi beriyani gam. Tapi sayang sendiri tengok mana ada kedai yang buka, kan. Lagipun hari ni raya kedua. Orang tak mula berniaga lagi.”

Saya teringat apa yang suami saya katakan semalamnya itu. “Abang kata dekat dengan Hospital Batu Pahat ada satu kedai best. Tapi kenapa abang tak nak lalu situ dulu tadi? Paling habis, kita cuba cari. Tapi abang tak cuba pun lagi tadi.” ๐Ÿ™

Saya diam, suami saya pun diam. Begitulah perjalanan kami menuju ke Temerloh. Hanya singgah solat sebentar di Masjid Jempol dan kemudian menyambung perjalanan menuju ke Temerloh. Sampai di rumah, saya menghidangkan apa-apa yang boleh kami makan kerana lapar dan kemudian saya terus tidur. Saya sangat keletihan. Esoknya kerja pagi. Maka saya tidur dengan ditemani air mata ibu mengandung yang mengidam nasi beriyani gam. Keranamu nasi beriyani gam, esoknya saya bangun dengan mata yang sembap. Sob sob sob~ ๐Ÿ™

Tapi rajuk sudah hilang. Saya sudah pujuk hati. Saya tidak simpan sikit pun dalam hati walaupun sebenaarnya masih kempunankan nasi beriyani gam itu. Esoknya kami sudah mesra bercinta seperti sedia kala. Hehehe. ๐Ÿ˜€

Dan pada 9 September lepas, itulah hari terakhir saya bertugas sebagai seorang HO dan juga merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Hospital Temerloh. Iya. Saya telah dipindahkan ke sebuah hospital lain untuk meneruskan jawatan MO saya pula. Di mana saya dihantar, itu kita cerita kemudian. Disebabkan saya bercuti sehingga 18 September, saya dan suami mengambil kesempatan ini untuk membuat persiapan menyambut kelahiran anak kami. Kami berdua memang teruja hendak memulakan sesi memburu barang-barang bayi. Semuanya comel-comel! Hehe. ๐Ÿ˜‰

Kami mulakan dengan membuat tinjauan harga dan senarai yang perlu di internet. Ada juga yang terus dibeli sscara online. Dan ketika pulang ke Putrajaya, kami mengambil kesempatan itu untuk ke beberapa buah pusat membeli-belah, Jaya Jusco dan juga ke Fabulous Mom untuk mencari barangan yang telah disenaraikan. Disebabkan Kaklong ada meninggalkan agak banyak pakaian bersaiz newborn milik Anis untuk diperturunkan kepada anak saya pula nanti, jadi kami tak membeli banyak pakaian newborn. Membazir saja nanti. Nanti baby guna baju-baju Kakak Anis dulu ya. Hehe. ๐Ÿ˜‰

Sudah hampir pukul 4 petang, barulah kami hendak pulang ke Presint 14. Suami mengajak saya pergi makan dulu. Dia tahu, sekarang ni jadual makan saya rapat-rapat tapi saya tidak boleh makan banyk-banyak. Tapi saya lihat suami saya tidak masuk ke simpang yang menuju ke Presint 14 mahupun 15. Biasanya kami membeli makanan di restoran-restoran di Presint 15 tu saja. Kata suami, petang tu hendak cari makanan di Bangi pulalah. Saya hanya menurut saja. Janji dapat makan nasi. Perut dah lapar. Hehe.

Saya sebenarnya agak kelembikan pada waktu itu kerana sudah mula sakit pinggang. Tapi sebaik kereta suami mula memasuki kawasan deretan restoran di seksyen berapa entah tu, saya jadi sedikit teruja. Mata saya sebenarnya sudah menangkap satu papan tanda restoran di situ.

Restoran Anje Nasi Beriyani Gam Johor!

Hanya Allah dan suami saya saja yang tahu betapa tersengih dan lebarnya saya tersenyum pada ketika itu! Daripada memesan makanan di kaunter sshinggalah kami duduk menghadap makanan kami. Memang saya tersenyum saja. Selepas suami membacakan doa makan, saya pegang tangan kirinya dan mengucapkan terima kasih dengan diiringi senyum yang lebar meleret. Selepas itu, saya memang tekun menjamah nasi beriyani gam saya sehinggalah licin sepinggan penuh nasi itu. Tak langsung diangkat muka saya ni dan tak sepatahpun keluar apa-apa daripada mulut saya dek kerana terlalu menikmati hidangan itu. Subhanallah. Memang sedap. Sehingga saya licinkan segala apa yang ada di dalam pinggan saya! :mrgreen:

Suami saya hanya diam dan tersenyum dengan gelagat saya. Hehe. Tak mampu nak komen apa dah agaknya. Haa, tu sebabnya orang dah kata. Mengidam orang mengandung ni bukan boleh dibuat main. Hihi. Nasib baik saya bukan mengidam benda pelik-pelik atau mahal-mahal. Cuma sekadar nasi beriyani gam Johor saja. ๐Ÿ™‚

Selesai makan dan basuh tangan, saya mencapai tangan suami dan tak mahu lepaskannya. Itu tanda saya betul-betul berterima kasih dengan apa yang dia lakukan untuk saya.

Terima kasih, abang. Sarah cinta abang banyak-banyak muah muah! Abang tau tu, kan? Sampai bila-bilapun Sarah akan ingat tarikh hari itu: 12 September 2011. ๐Ÿ˜‰

Posted on September 27th, 2011 by Sarah  |  25 Comments »

Rezeki Si Penjual Tempe

Assalamualaikum wbt

Selepas dua hari tiba dari Batu Pahat bersama tempe yang Atuk bekalkan, ayah dan suami saya menggorengnya di dapur. Waktu itu, tempe itu sudahpun masak dan sesuai untuk dimakan. Sebetulnya, ketika kami membawa pulang seplastik tempe buatan Atuk, semuanya masih mentah dan berbungkus dalam daun pisang, berbunjut seperti tapai dan masih belum boleh dimakan. Jadi, seperti biasa, ayah yang selalu bercerita itu ini ketika di meja makan, telah membuka sebuah cerita tentang rezeki si penjual tempe.

Kata ayah, ada seorang pembuat dan penjual tempe ini yang berniaga di sebuah pasar. Saban hari tempenya laku dan tidak ketinggalan juga dengan rezeki beberapa orang penjual tempe yang mencari rezeki di situ. Kemungkinan besar komuniti di situ memang menggemari tempe.

Suatu hari, penjual tempe itu membawa tempenya untuk dijual di pasar. Sesampainya di tapak jualannya, barulah dia mendapati bahawa tempenya masih mentah dan belum boleh dimasak terus jika ada yang membelinya. Dia agak kecewa. Dalam hatinya sudah terlintas bahawa pada hari itu pastinya tiada satupun tempenya akan laku.

Beberapa kali dia membuka beberapa bunjutan tempenya dengan harapan besar bahawa tempenya sudah matang dan boleh dijual untuk dimasak terus. Sayangnya, harapannya memang tidak menjadi kenyataan. Masakan tidak. Yang mentah mestilah kekal mentah. Tak boleh dipaksa-paksa untuk berubah.

Hari semakin menjelang tengahari. Teman-teman penjual tempe yang lain masing-masing sudah mula berkemas untuk pulang. Rezeki mereka cukup baik pada hari itu sedangkan rezekinya pula bagaikan berjauh hati. Tiada satupun tempenya yang laku kerana setiap kali ada pembeli yang datang, dia memberitahu dengan jujur bahawa tempenya masih mentah dan belum boleh dimasak terus. Perlu diperam beberapa hari lagi.

Melihatkan rakan-rakannya mula berkemas, dia juga mula berkemas. Dalam hati, dia redha memang tiada rezekinya untuk hari itu. Sedang dia berkemas, tiba-tiba datang seorang perempuan ke tapaknya. Perempuan itu bertanyakan tempenya. Jawabnya, ada memang ada tapi semuanya masih mentah. Perempuan itu tersenyum. Lalu perempuan itu menyatakan hasratnya hendak membeli kesemua tempenya yang masih mentah itu.

Si penjual tempe itu hairan. Dia menerangkan sekali lagi bahawa tempe itu tidak boleh terus dimasak. Perlu diperam beberapa hari lagi. Perempuan itu mengangguk faham dan tetap mahu membeli tempe mentah itu. Kemudian dia menambah:

“Pakcik, anak saya belajar di luar negara. Dia yang teringinkan tempe. Kalau saya kirimkan tempe yang sudah matang, lembut, mesti sudah tidak elok bila sampai kepadanya nanti. Sebab tu saya nak beli tempe mentah. Saya boleh bungkus dan poskan padanya. Bila sampai nanti, sedang elok saja tempoh tempe tu diperam.”

Penjual tempe itu tersenyum. Rupa-rupanya rezekinya masih murah pada hari itu. Sungguhpun pada awalnya berkali-kali dia memohon kepada Allah dan berharap bahawa ada antara tempe-tempenya yang sudah sedia untuk dijual. Rupa-rupanya percaturan Allah untuknya pada hari itu masih sempurna, jauh di luar jangkaannya. Rezekinya masih murah seperti selalu.

Selesai bercerita, ayah berkata kepada saya, suami dan emak yang berada di meja makan pada waktu itu:

“Don’t push God to grant what we want. Allah always has the best treats for us. Rezeki kita tak putus kalau percayakan Allah.”

Saya mengangguk-nganggukkan kepala. Jangan paksa Allah untuk tunaikan hajat kita. Redhalah dengan pemberianNya yang seadanya itu.

Terima kasih ayah untuk ‘sup ayam buat jiwa’ pada pagi itu. Saya pergi kerja dengan rasa penuh motivasi bahawa rezeki kita pasti ada untuk hari itu. Kalau tidak di awal pagi, mungkin ia datang di penghujung hari nanti, insya Allah.

Dalam hati saya turut mengaitkannya dengan ayah. Ayah tak pernah jemu bersusah-payah dengan perniagaannya yang turun naik. Mungkin, sudah lama ayah berprinsip ‘never push God to grant our wishes’ ini. Di penghujung hari, bulan atau tahun, pasti ada rezeki yang tak disangka-sangka untuk ayah. Sungguhpun tidak banyak, yang sedikit itupun sudah cukup membuatkan ayah dan kami bersyukur.

Posted on September 27th, 2011 by Sarah  |  17 Comments »

Cerita Raya Kami

Assalamualaikum wbt

Terasa berkurun lama tidak menjenguk ke sini. Kali ni memang betul-betul tak jenguk. Tak sempat dan tak larat. Macam-macam yang terjadi sejak sebelum raya dulu. Apa-apapun, Alhamdulillah. Saya redha saja dengan semuanya. Atau dalam ayat lainnya, layankan sajalah Labu.ย :mrgreen:

Alhamdulillah, selepas sempurna sebulan bepuasa dengan penuh susah-payah dan diselang-seli dengan episod kelembikan, Aidilfitri tahun ini saya dan suami sambut secara sederhana di dalam kereta. Dalam kereta? Iya. betul. Kami terlalu banyak mengembara ke sana-sini pada hari raya lepas sehinggakan tidak terasa sangat suasana raya itu sebenarnya. Hehe.

Sehari sebelum raya, saya dan suami bertolak pulang ke Temerloh dari Putrajaya. Sebelum itu, saya menghabiskan masa selama 3 hari di rumah mertua saya di sana. Kiranya, inilah kali pertama saya merasai suasana balik kampung untuk berhari raya. Hihi. Dulu-dulu, saya biasanya akan pulang ke Pulau Pinang untuk berhari raya sama ada beberapa lebih awal atau pada hari raya kedua. Jadi suasananya lain. Tapi perjalanan balik kampung ke Temerloh yang diiringi lagu-lagu raya yang bermacam-macam itu sekejap saja sempat saya hayati. Sebaik saja melepasi Tol Gombak, saya mulai lembik. Jadi, saya hanya tidur di sepanjang perjalanan. Celik saja mata, kami sudahpun berada di Tol Temerloh. Balik kampunglah sangat, kan. Hehe.

Petang itu, kami sekeluarga berbuka beramai-ramai. Kali ini, Abang Hashim, Nan dan Farah tidak ada. Abang Hashim bekerja di hari raya pertama. Jadi dia terkandas di Penang sana. Nan dan Farah pula hanya pulang ke Temerloh pada petang raya pertama. Malam itu, adik-adik saya ke masjid untuk solat sunat Tasbih. Tinggallah saya, Kaklong dan emak di rumah membuat serba sedikit lagi persiapan untuk raya.

Di awal pagi raya tahun ini, rutin saya berubah. Dulu-dulu, setiap kali menjelang raya, saya atau Kaklong akan sibuk memastikan baju raya adik-adik sudah siap bergosok kemas untuk mereka ke masjid. Tapi tahun ini memang berbeza. Adik-adik semua sudah besar. Semuanya menguruskan baju mereka sendiri, cari butang baju melayu sendiri, pakai sampin sendiri dan siap menolong menghidangkan juadah pagi raya untuk makan bersama sebelum ke masjid. Ya Allah. Sudah besar semua adik saya rupanya. Kakakmu ini tiba-tiba terharu.ย :roll:

Rutin pagi raya saya kali ini tertumpu ke arah suami pula. Saya menyiapkan baju melayunya, butang bajunya, sampinnya dan terasa sangat syahdu di saat bersalaman dengan suami di pagi raya. Lebih syahdu saat dia mengucup dahi saya. Dalam hati berkata: Wow. Dah beraya berdua dah tahun ni. Hehe.

Gambar raya yang kelabu asap sebab guna handphone saja. Hehe.

Selepas bersalaman, emak, ayah, suami dan adik-adik semuanya ke masjid untuk solat raya. Saya memang tak larat untuk bergerak merata waktu itu. Jadi, tahun ini saya tidak ke masjid. Saya menemani Kaklong yang sibuk dengan anaknya, Anis, di pagi raya. Tapi pagi raya itu, Anis boleh pula tidur saja sepanjang pagi sehinggakan masa mandi pun tutup mata. Bertuahnyalah budak ni.

Kaklong dan Anis tanpa Abang Hashim di sisi. Sob sob sob.

Sebaik suami sampai dari masjid, kami ke rumah tok dan dua buah rumah saudara lagi di atas bukit ini. Sebelum Zohor tiba, kami sudah bersiap-siaap untuk bertolak balik kampung lagi. Kali ini, destinasi kami ialah Batu Pahat, kampung sebelah emak mertua saya. Keluarga mertua saya menyambut raya pertama di sana. Kami ikut jalan belakang melalui Bahau-Gemas-Segamat-Yong Peng. Agak banyak kereta tapi tidaklah sampai sesak. Tapi kami mengambil masa hampir 4 jam di dalam kereta untuk tiba ke sana. Sampai saja di Batu Pahat, kami terus menuju ke rumah datuk saudara kerana ahli keluarga yang lain sedang berkumpul di sana. Sebenarnya, inilah kali pertama dalam hidup saya ke Batu Pahat. Setelah siap makan malam di sana, barulah kami semua bertolak balik ke rumah Atuk di Kampung Parit Haji Sidek, betul-betul di belakang BP Mall di sana. Hehe. Kampung Atuk di tengah bandar rupanya.ย :grin:

Malam itu saya memang pengsan terus. Penat yang teramat sangat. Kebesokannya, sebelum Subuh lagi, satu rumah sudah riuh. Yang lelaki semuanya ke masjid. Tinggal kami yang perempuan saja solat Subuh di rumah. Saya siap mandi air telaga yang sangat dingin lagi di awal pagi itu. Sangat segar!

Selepas bersarapan, saya dan suami mengikut umi dan baba beraya ke rumah saudara-mara yang belum pernah menemui pengantin tak berapa nak baru ni. Hehe. Yang seronoknya, saya masih dapat duit raya! Hihi. Padahal dah nak dapat anak dah pun. Hihihi. Banyak juga rumah wak-wak yang kami ziarahi. Insya Allah, saya akan cuba mengingati mereka satu persatu. Oh ya. Keluarga di sebelah Johor ini berketurunan Jawa. Atuk saya juga merupakan seorang pembuat dan penjual tempe secara tradisional. Tempenya sangatlah sedap. Saya dan suami kalau makan sambal goreng di rumah Atuk, memang bertambah-bertambah macam tak cukup pinggan. Hehe.

Suami saya dengan muka tak siapnya. Huhu~

Sebelum Asar, kami sudah bersiap-siap untuk pulang ke Temerloh. Apakan daya, saya sudah mula bekerja pada hari raya ketiga. Tapi Masya Allah. Perjalanan pulang mengambil masa sehingga 7 jam! Ini gara-gara tersekat dalam kesesakan jalan raya di kawasan Jempol. Memang punah mood. Saya memang tak tahan dengan kesesakan jalan raya. Saya hanya diam saja di dalam kereta. Ditambah dengan sakit pinggang dan merajuk dengan suami, ehem-ehem, jadi saya hanya diam saja di dalam kereta. Hehe. Cerita pasal merajuk ni kemudianlah ya. :mrgreen:

Sudah hampir tengah malam, barulah kami tiba di Temerloh. Kami membawa bekal tempe segar hasil air tangan Atuk. Selepas mengemas beg ala kadar, saya menyiapkan baju untuk kerja keesokannya dan kemudian terus tidur. Keesokannya, di saat seisi rumah masih lagi tidur, saya sudahpun bertolak ke hospital. Seperti biasa, selepas saja raya, hospital bagaikan sedang mengadakan rumah terbuka dengan meriah. ICU penuh. Wad-wad medikal, ortho dan surgery juga penuh. Kes-kes kemalangan dengan pendarahan otak (intracranial bleed – ICB) memang tak terkata banyaknya. Majoritinya kes ICB di-intubate. Itu belum lagi kes-kes uncontrolled hypertension, diabetes mellitus dan semput segala bagai ni. Sesak nafas saya bekerja hari itu meronda satu hospital seorang diri melihat perkembangan pesakit-pesakit yang berada di bawah seliaan Unit Anaesthesiologi.ย :roll:

Petang itu, suami saya menjemput saya sekitar jam 7 petang di hospital dan kami terus bertolak ke Kuantan pula. Mertua saya berada di sana beraya dengan keluarga sebelah Pahang pula. Sebaik sampai sekitar 8 lebih, kami terus makan. Penuh perut dibuatnya. Hehe. Sekitar jam 11 malam, barulah saya dan suami bertolak pulang. Di pertengahan jalan, kami singgah tidur di R&R dan kemudian menyambung perjalanan. Sampai di rumah sekitar jam 2 pagi dan keesokannya, jam 7 pagi saya sudahpun berada di hospital. Penatnya hanya Allah yang tahu.

Dan pada 9 September lalu, itulah hari terakhir saya bertugas sebagai seorang HO. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Tamat sudah zaman susah-payah hidup menjadi Pegawai Perubatan Latihan Siswazah. Terima kasih ya Allah kerana segalanya sungguh lancar buat saya. Jadi, pada 10 September lepas, barulah kami berpeluang pulang ke Putrajaya untuk beraya di sana pula. Di sana, barulah kami sempat menghadiri beberapa undangan rumah terbuka juga beberapa walimah kawan-kawan.ย ;-)

Iya. Beginilah raya kami. Raya di jalanan dan mengembara. Hehe. Kisah pengembaraan kami sebenarnya belum berakhir. Di sinilah sebenarnya bermulanya pengembaraan kami berdua yang lebih jauh dan bermakna.

Kembara apa yang kami tempuhi, nantikan entri seterusnya ya. ๐Ÿ˜‰

Nota 1: Tahun ni tiada gambar raya sekeluarga. Tak sempat bertemu muka dengan kesemua ahli keluarga secara serentak.

Nota 2: Baby sangat behave dalam perut mama dia ni. Tak banyak kerenah sangat sepanjang mengembara ke sana-sini. Alhamdulillah.

Nota 3: Akhirnya, berat badan saya sudah naik selepas raya ni! Yeyeay~

Posted on September 25th, 2011 by Sarah  |  5 Comments »