Assalamualaikum wbt
Tiba-tiba saya teringat suatu insiden di kafe hospital lebih kurang sebulan lebih yang lalu. Ketika itu saya masih di Jabatan O&G. Saya masih lagi bersama Nisa, sepupu saya, di wad antenatal. Jika Nisa ada masa, dia yang akan turun membelikan makanan tengahari untuk saya. Sekiranya dia oncall dan saya pula yang berpeluang turun ke kafe, saya akan membelikan untuknya pula.
Jadi pada suatu hari itu, saya tidak oncall, Nisa oncall dan kami sama-sama kelaparan. Saya menawarkan diri untuk turun ke kafe membelikan makanan untuknya. Seperti biasa, rutin air kami adalah sama. Nescafe ais. Saya memilih sejenis lauk untuknya dan sejenis sayur. Begitu juga saya. Saya bajet, harganya sekitar RM7.50 saja. Tiada masalah tu. Insya Allah memang cukup duit yang saya ada dalam poket. Oh ya. Saya jenis yang tidak membawa dompet ke hospital. Maksud saya, saya tidak akan mengusung dompet di dalam beg mahupun poket sebab sudah serik dicuri orang tahun 2009 dulu. Jadi, saya lagi selesa membawa sejumlah wang yang secukupnya saja di dalam poket. Biasanya kalau saya bawa RM10 di dalam poket, saya boleh bertahan selama tiga hari.
Begitu juga kesnya dengan hari itu. Saya yakin pada hari sebelumnya itu, saya ada memasukkan RM10 ke dalam poket. Jadi sebaik saja sampai di kaunter, harga makanan yang saya beli ialah RM7.50. Saya menyeluk poket. Alamak! Yang ada hanyalah helaian duit seringgit dan beberapa keping duit syiling saja. Terkial-kial saya mengira helai demi helai duit yang ada. Dan jumlah yang saya dapat ialah RM7 sahaja. Sebenarnya orang kafe itu sudah kata tidak mengapalah jika saya tidak cukup duit dulu kerana saya agak rapat dengannya. Tapi saya segan untuk berhutang dengan pihak kafe. Tiba-tiba, orang seterusnya yang beratur di sebelah saya untuk membayar di kaunter itu menegur:
“Eh, Kak Sarah! Takpe. Nah guna duit saya dulu. Tak cukup 50 sen ye?”
Ooo. Rupa-rupanya, itu adalah junior saya ketika bersekolah di Al-Mukmin dulu. Najwa namanya. Kakaknya merupakan rakan sekelas saya sehingga tamat darjah 6 dan tiga tahun bersama-sama di Al-Khairiah. Najwa sedang menjalani latihan praktikal Dietitian di Hospital Temerloh.
“Alamak. Terima kasih banyak-banyak ye, Najwa. Tak sangka jumpa kamu kat kafe ni.”
Begitulah kisahnya. Kesimpulannya, doktor ni bukannya banyak duit pun. Huhu. Cuba tengok saya. Duit pun tak cukup nak bayar makanan di kafe. Cemas-cemas lagi nak kena berhutang dengan orang kafe. Insiden ni sebenarnya mengetuk hati saya seketika. Baru saya tersedar. Allah nak bagi peringatan pada saya, sudah membersihkan harta dengan berinfaq ke belum. Sama ada sedar atau tak, selain zakat, infaq juga merupakan cara kita membersihkan harta, hati dan nafsu kita. Dan yang paling jelas maksudnya, infaq ni dapat membantu meringankan beban saudara seagama kita. Inilah salah satu sumbangan kita di jalan dakwah.
Sebelum berpisah dengan Najwa, dia bertanya:
“Eh, Kak Sarah dah nak kawin ye?”
Saya tersenyum padanya.
“Insya Allah. Jemput datang bulan tiga nanti ye.”
Iya. Insya Allah, saya akan mendirikan rumah tangga kurang sebulan dari sekarang. Kita cerita-cerita di lain entri ya. Mohon didoakan semuanya berjalan lancar ya =)
Nota: Asyik stress je saya di Surgical ni. Oncall selang sehari. Habis hilang seri muka. 