Archive for the ‘Holiday’ Category

Nota Dari Eropah Timur (i)

Assalamualaikum wbt

Akhirnya saya dapat kembali menulis di sini. Rindunya pada blog. Huhu. Macam rindu pada siapa aje. Alhamdulillah. Percutian saya bersama Fareena (Pena) dan Fatini (Fatt) berjalan lancar. Sepanjang berkelana, saya hanya sempat menggunakan internet selama setengah jam saja.

Kami bertolak dari rumah pada petang 16 Jun lalu dengan menaiki metro dan bas menuju ke airport. Tanpa disangka-sangka, dalam 1km menuju ke balai berlepas, jalan jam dengan teruk. Sebaik turun dari bas, kami berlari-lari menuju ke kaunter check-in. Kamilah orang terakhir yang berada di situ! Lega, Alhamdulillah. Kami tiba di Vienna, Austria pada jam 11.30 malam. Ada beberapa insiden lucu berlaku di sini tapi akan saya ceritakan dalam entri khas nanti. Sebenarnya, pada malam kami tiba di Vienna itu, kami bermalam di airport saja. Pertamanya kerana hotel dan hostel yang murah yang menepati bajet kami telah habis kerana EURO 2008 yang berlangsung di sana. Keduanya memang kami hendak berjimat. Jadi tidak kisahlah terpaksa melepak di airport pada malam itu. Balai ketibaan lengang pada tengah malam. Ada 24h McDonald’s dan banyak kerusi kosong. Ada beberapa lagi pengembara muda (cewah) seperti kami yang bermalam di airport juga. Untuk sarapan pagi, saya dan Pena menyediakan sandwich tuna sebaik selesai solat Subuh pada jam 3 pagi. Selepas solat, baru saya terlelap. Sebelum bertolak ke pusat bandar menaiki aerotrain OBB, kami menikmati minuman panas di McD. Air sajalah. Makan tidak. Aiyo. Mahal oo. Cukuplah makan sandwich buatan sendiri, kan. Berjimat beb. Huhu.

Sebaik tiba di pusat bandar Vienna, kami terus menuju ke International Bus Terminal dengan menaiki subway. Kami bergerak 100% berpandukan peta dan maklumat daripada kaunter informasi pelancong. Vienna bandar yang cantik, sangat bersih dan tenang. Penduduknya sangat ramah dan sanggup menolong walaupun kita tidak meminta. Sebenarnya, ini kali kedua saya ke Vienna. Kali pertama adalah pada tahun 2005 seorang diri. Huhu. Di terminal bas, kami terus mendapatkan tiket petang ke Prague, Republik Czech dan kemudiannya menyimpan beg di tempat simpanan. Seterusnya, mengembaralah kami ke seluruh kota Vienna dengan dimulai ke Schonbrunn Palace. Sangat cantik! Oh ye. Kebetulan, dalam perjalanan ke sana, Pena yang bertopi (yang ada tulisan Rusia) telah ditegur oleh seorang gadis Jepun. Nasu Tomoko. Adakah Pena boleh berbahasa Rusia? (kerana tulisan di topi itu). Setelah bercerita sedikit sebanyak, rupa-rupanya dia juga menuntut di Moscow, lebih tepat di Pushkin Institute, dalam jurusan Linguistik dan Kesenian Rusia. Di situlah dulu saya tinggal ketika di tahun pertama dan kedua. Bermula dari situ, kami tidak lagi bertiga. Sebaliknya berempat. Tapi kemudiannya kami berpisah kerana kami bertiga mengejar masa untuk ke tempat-tempat lain. Kami berjaya menaiki Wein Ferris Wheel, ferris wheel tertua di Eropah! Gerabaknya juga sudah lama tapi masih sangat kukuh dan cantik. Dan juga unik! Di situlah juga letaknya stadium bola yang digunakan untuk EURO 2008.

Antara tempat-tempat lain yang telah kami pergi ialah Rathaus, University of Vienna, Parliament of Austria, Staatsoper Opera House, Cathedral St.-apa-entah (lupa nama, hihi), Stephansplatz dan City Center di mana cenderamata boleh didapati dengan banyaknya tapi dengan sangat mahal. Huhu. Kami ni kan kedekut. Beli mana yang berkenan dan perlu saja. Tak boleh melebih-lebih. Pokai nanti. Matawang di sini ialah Euro. 1 Euro bersamaan RM5.80. Jadi pandai-pandailah berpada, kan (Sebenarnya takut terlari bajet. Hikss). Dan pada petangnya kami menaiki Euroline Express Bus menuju ke Prague. Memang kami sangat penat setelah seharian berjalan. Dalam bas, memang kami tidur saja. Tapi, kawasan ladang gandum di sepanjang perjalanan ke Prague sangat cantik dan memukau. Pokok ros juga tumbuh merata di mana-mana saja. Yang boleh saya katakan, petani-petani di Republik Czech mempunyai taraf hidup yang jauh lebih baik berbanding di negara kita. Rumah mereka semuanya bagaikan kawasan perumahan 2 tingkat yang sangat selesa di Malaysia. Saya rasa mereka beruntung kerana polisi negara mereka yang tidak mengkesampingkan pembangunan para petani yang memberi sumbangan ekonomi yang tidak kurang besarnya pada republik tersebut.

Sebaik tibanya di Prague, persepsi pertama kami ialah ‘Alamak, macam Rusia!’. Jahat betul mulut kami :p Terus kami ada rasa sedikit kurang senang kerana bandar tempat kami turun dari bas adalah tipikal seperti bandar kecil di Rusia. Bahasanya juga hampir sama cuma tidak menggunakan alfabet Rusia yang pelik-pelik itu. Kami terus menuju ke hotel. Ya Rabbi. Selesanya hotel kami walaupun harganya sangat murah. Sebaik sampai ke bilik, perkara pertama yang kami buat ialah mandi. Yahuu. Dan pada malamnya kami bertiga tidur mati kerana kepenatan. Kaki dan badan memang sangat lenguh. Bangun Subuh dan kemudian sambung tidur. Jam 6.30 pagi baru bangun untuk bersiap memulakan pengembaraan hari ini. Kami berada di Prague selama 2 hari. Pada hari pertama, kami menjelajah ke seluruh bandar Prague. Pada mulanya kami menaiki mtero dan tram menuju ke istananya yang terletak di atas bukit. Kawasannya sangat luas! Kami turun naik bukit dengan berjalan kaki. Penat sangat. Tapi kawasannya sangatlah segar, bersih dan cantik. Dan apa yang membezakan warga Prague dengan orang Rusia ialah keramahan mereka. Kami berkali-kali, tanpa meminta, telah dibantu oleh seorang pakcik orang tempatan dan menceritakan pelbagai sejarah republik tersebut kepada kami dan mencadangkan kami ke beberapa buah taman yang didakwanya adalah ‘Taman Romantik’. Hehe. Tapi kami tidak pergi pun. Setelah menyeberangi Charles Bridge, kami berjalan dari Stary Mesta (Old Town) tanpa arah yang spesifik dan akhirnya sampai ke Novy Mesta (New Town). Jika mengikut peta, jaraknya adalah sangat jauh dan kami hanya berjalan kaki merentas dua tempat ini!

Di sebuah kedai, saya ditegur oleh seorang lelaki berbangsa Arab. Warga Tunisia. Selepas berbasi-basi lebih kurang dan dia menguji tahap Bahasa Arab saya, saya mengambil kesempatan bertanyakan tentang kedai makan halal. Terus diberikannya arah yang terperinci untuk ke situ. Dan pada petang itu, kami makan malam (merangkumi makan tengahari) di kedai itu. Sebelum tiba di kedai itu, di tengah-tengah alam yang entah mana punca, saya terdengar nama saya dipanggil. Kak Sarah Shukor. Dua kali. Mata melilau sekejap dan terpandangkan muka 2 orang perempuan bertudung. Orang Malaysia pastinya. Setelah dia menerangkan siapa dia dan kenapa dia mengenali saya, barulah saya dapat mengecam siapakah itu. Kecilnya dunia. Yang memanggil nama saya itu ialah Aina Mardhiah. Junior saya ketika di KISAS. Yang lebih saya terkejut, rupanya itu adalah adik angkat kepada Aizuddeen, kawan saya yang kini bekerja di London (Izu, kantoi dah! Kecil je dunia ni. Baru saya tahu awak kaki chatting ye zaman sekolah dulu. Huahua). Tak sangka sungguh Aina dapat mengecam saya setelah 6 tahun tidak bertemu.

Sebenarnya, kami bertiga merancang untuk menikmati keindahan malam di Prague. Kota muzik yang romantis. Lorong-lorong kecil yang bersimpang-siur di tengah bandarnya sangat cantik. Sistem pengangkutannya sangat bagus. Saya berikan 10 bintang untuk sistem pengankutan di Prague. Baik metronya, basnya mahupun tramnya yang sangat sistematik. Peta yang kami miliki juga menyenaraikan segala nombor bus mahupun tram yang melalui jalan-jalan yang ingin kami tujui. Jadi tiada istilah sesat di sini. Dan dari jam 12.30 malam sehingga jam 4.30 pagi, ada tram malam yang disediakan untuk menikmati keindahan malam kota Prague. Inilah yang kami rancang mahu nikmati. Sebaik sudah makan di kedai halal tersebut, jam hampir mencecah pukul 8 malam (masih cerah). Kami pulang dulu untuk solat jamak ta’khir Zohor dan Asar. Ikut perancangan, sebaik selesai Maghrib kami akan keluar semula. Yang lucunya, masing-masing tertidur kepenatan dan terbangun pada jam 11 malam untuk solat Maghrib dan Isyak lalu menyambung tidur. Tersangat penat! Seharian kami tertlalu banyak berjalan kaki. Lenguh-lenguh dan sakit-sakit badan tapi rasa sangat berbaloi. Lepas bangun Subuh pada pukul 3.30, kami sambung tidur dan hanya menyambung pengembaraan hari kedua di Prague pada pukul 7 pagi.

Hari kedua kami peruntukkan untuk mencari cendera mata. Terutamanya kristal. Republik Czech popular dengan kristalnya yang berjenama Bohemia (mesti ramai yang tahu, kan). Kristal Austria (Swarovsky) juga popular di sini. Maka pada hari kedua kami penat menjelajah sana sini mencari kedai yang menawarkan harga yang berpatutan. Memborong jugalah kami di sini. Matawang republik ini ialah Crown (Koruna). 1 Euro bersamaan 246 Crown. Pada jam 2 petang, kami menuju ke terminal bas. Bas kami untuk menuju ke Budapest, Hungary akan bergerak pada jam 4 petang. Sengaja kami datang awal. Untuk berehat-rehat di Cyber Cafe yang berdekatan. Huhu. Sangap kami tidak mendapat internet selama 3 hari. Huhu. Baru 3 hari kami mengembari, kami bertiga sudah hitam garing di bawah terik matahari musim panas. Saya seorang budak hitam. Haha. Oh ye. Ada seorang budak sepet tu telah mencalit tahi kambing kering pada saya dari jauh. Saya akan balas satu hari nanti. Jagalah ye :p

Gambar terakhir ini saya ambil ketika dalam perjalanan ke Budapest merentasi ladang gandum di kawasan luar bandar Republik Czech. Gambarnya agak kabur kerana bas sedang bergerak. Tapi gambar ini betul-betul membuatkan saya teringatkan blog saya, rakan-rakan blogger dan pembaca-pembaca My World. Langit biru, rumput hijau dan sebatang pokok =)

Cukup ini dahulu Nota dari Eropah Timur untuk kali ini. Saya akan sambung nanti. Sekarang jam menunjukkan pukul 2.55 pagi. Saya masih belum tidur. Menunggu Subuh dan mahu habiskan mengemas barang. Siang nanti saya akan terbang lagi.

Kali ini terbang menuju ke kampung halaman tercinta pula, Malaysia!!! Jaga diri ye semua. Insya Allah berblog dari Malaysia pula nanti =) Daa~ Salam.

Posted on June 23rd, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Berakhirnya Tahun Lima

Assalamualaikum wbt

Yeay~ Alhamdulillah. Exam telahpun berakhir pagi ini. Alhamdulillah tahun ini Allah limpahkan rezeki yang tak terhingga buat saya. Saya mendapat Excellent Mark untuk kesemua 8 subjek. Alhamdulillah. Dengan berakhirnya exam sebentar tadi, maka rasmilah kini saya bergelar pelajar perubatan tahun akhir. Macam tak percaya. Perjuangan saya hampir menuju penyudah. Tapi saya takut sebenarnya untuk masuk ke alam pekerjaan nanti.

Nasihat buat junior terutamanya adik-adik rumah saya yang akan masuk ke tahun klinikal, jangan bertangguh. Sentiasa bersedia sebelum ke kelas dan sentiasa membuat persediaan exam dari awal. Tahun klinikal bukan seperti tahun 1, 2 atau 3. Letih, padat dan tertekan.

Terima kasih buat semua groupmates saya yang sememangnya best! Hidup saya lengkap di Moscow ini kerana ada kamu semua. Sama-sama kita tempuh setahun yang terakhir ini dengan jayanya ya. Buat Faisal, Wendy, Davina, Farah, Smoque, Meor, Fizy, Mus, Thines dan Azam, selamat bercuti. Jumpa di sem depan ok. Kekalkan ke-best-an group kita (^^,)v

Thanks Faisal for the pic

Hari tu saya ada katakan yang saya ada satu berita gembira, kan? Sebenarnya, petang ini, saya, Fareena dan Fatini akan bertolak ke Vienna. Yeay! Bercuti 6 hari. Destinasi kami:

Moscow-Vienna-Prague-Budapest-Bratislava-Vienna-Moscow

Pada mulanya kami merancang untuk ke Itali. Tapi tidak kena pula dengan jadual exam kami. Jadi kami menukar rancangan. So, Vienna, here we come! Jadi, jumpa lagi Ahad depan ya!

Daa~ Salam.

Posted on June 16th, 2008 by Sarah  |  33 Comments »

Cerita Cuti Nanti

Assalamualaikum wbt

2 hari yang lepas cukup memenatkan buat saya. Hari exam. Malamnya tidak boleh lelap mata. Sudahnya hanya tertidur barang sejam setengah saja. Selesai exam, saya dan Baiz ke Ismailovsky Park (rujuk entri ini untuk lihat suasana di sana). Mencari cenderamata untuk dibawa pulang nanti. Sudahlah tidak bersarapan, exam habis lewat, kami berdua sampai ketar lutut kerana kelaparan. Sudahnya selepas beberapa kali menawafi tempat tersebut, kami singgah makan di Teremok, restoran makanan segera tempatan yang menghidangkan Blinni (lempeng) sebagai menu utama. Baiz makan blinni pisang dan coklat. Saya pula blinni strawberry dan walnut. Lepas makan, Baiz pulang terus ke hostelnya. Saya pula ke Center. Sampai rumah, solat, telefon ayah dan emak, dan terus tidur.

Isnin ini saya ada exam yang terakhir. Tak sabarnya. Satu saja lagi. Lepas itu merdeka. Ops silap. Bukan merdeka. Saya akan bergelar pelajar tahun akhir! Waaa… Macam tak percaya. Sedikit saja lagi perjuangan saya di sini. Saya rasa saya tidak akan sempat untuk menulis tentang perancangan masa cuti saya nanti. Sementara masih ada masa untuk berehat, saya terasa nak cerita tentang apa yang saya rancangkan sepanjang cuti nanti.

Seawal cuti, saya akan ke Bangi. Sahabat baik saya dah nak kahwin. Huu… Gembiranya. Alhamdulillah sampai sudah jodoh mereka berdua. Juga hendak berjumpa dengan Kak Inah. Ada dating gitu. Kemudian, saya akan sibuk berulang-alik ke JHEOA di KL untuk menguruskan satu program. Kemudian saya kena ke Perak. Program yang dimaksudkan ialah Homestay di Perkampungan Orang Asli dan POS pilihan adalah di Sungai Siput. Tak sabar rasanya. Sebaik selepas program, saya akan terus ke Kelantan. Seorang lagi sahabat baik saya akan kahwin. Yang ini saya sengaja pergi awal sedikit. Nak memborong serunding di sana. Huhu. Lagi, saya mahu balik kampung di Penang. Ini wajib wajib wajib. Juga bertemu Bro Fisol dan Kak Mai di Jitra. Tak sabar rasanya. Di awal cuti sekolah Ogos nanti, seorang senior yang paling saya rapat akan berkahwin. Yang ini pun wajib saya hadiri. Hihi. Ini antara yang wajib dipenuhi. Lain-lain, mestilah saya hendak bermanja di rumah. Tak sabarnya dapat duduk-duduk rehatkan diri di rumah. Makan masakan emak, jogging dengan adik-adik, main dengan baby Mak Tam yang sudah tidak baby sangat, masak-masak, mencuba resepi baru dan kalau berkesempatan, saya nak tamatkan ilmu menjahit daripada Tok saya. Haa… Nanti bolehlah orang tempah telekung dengan saya =) Tok saya punya telekung jahit tangan cantik tau.

Manusia ini hanya merancang. Tapi segalanya Allah jua yang menentukan. Kalau ikutkan hati, ada beberapa lagi yang hendak saya senaraikan sebagai wajib, tapi saya takut untuk meletakkan harapan sebab tidak mahu nanti rasa terkilan. Yang penting, balik cuti kali ini saya tidak perlu buat praktikal (Sebenarnya malas sebab elektif saja. Cukuplah saya sudah terlalu penat dengan kepadatan masa di sini). Jadi saya ada lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga.

Tak sabarnya nak balik Malaysia. My Boleh-Land, nantikan kepulangan anak watanmu ini. Huhu~

Nota: Selamat Hari Lahir Kak Lina! Sempat ke kita jumpa nanti? Erm… Mahu itu Hafiy! Mahu tonyoh-tonyoh gomol-gomol dia 😀

Posted on June 13th, 2008 by Sarah  |  30 Comments »

Kisah Cuti Hari #3

Assalamualaikum wbt

Hari ini Alhamdulillah berkualiti. Bangun awal pagi tapi demam pula. Soksek-soksek hidung ini (inikah bunyi selesema?) dan batuk-batuk juga. Saya kurang gemar bila batuk-batuk begini. Pertamanya sebab saya mudah sakit di bahagian abdomen (perut) apabila batuk dan keduanya kerana teringatkan ketika saya sakit teruk hujung tahun lepas. Seksanya waktu itu.

Kenapa berkualiti? Sebab dapat berdhuha awal dan kemudian ada usrah naqibat diikuti dengan sedikit perbincangan tentang program yang akan kami jalankan untuk pelajar perempuan di sini tak lama lagi. Tapi hal ini belum rasmi. Nanti saya ceritakan dengan penuh tentang hal ini ya.

Apabila balik ke rumah, perut terasa lapar dan saya tak berselera memandang roti. Wah! Baru saya sedar sepanjang seminggu ini, baru 2 kali saya menyentuh roti. Biasanya, rotilah yang menjadi makanan rasmi saya bila tidak berselera. Jadi, saya memasak untuk makan tengahari. Selesai makan, ada pula usrah saya dengan anak-anak buah saya. Oh. Saya mama usrah yang macho. Tanya mereka kalau tak percaya. Usrah hari ini sangat meriah. Entah kenapa. Hati terasa penuh.

Selesai usrah, saya cuba hendak menanti Asar tapi masih lambat. Badan pula memanas. Jadi saya makan ubat dan tidur. Tapi Masya Allah, lama pula saya tidur. Tapi bila sedar, Alhamdulillah makin kebah panasnya cuma batuk yang menyakitkan abdomen masih ada dan soksek-soksek hidung masih berterusan.

Dalam entri lepas, ada yang mencadangkan supaya saya keluar berjalan-jalan untuk mengisi rasa bosan cuti ini. Masalahnya tidak boleh keluar sesuka hati. Atau yang sebaiknya, tidak payahlah keluar langsung. Ada sebab kenapa begini tapi macam yang saya terangkan dalam nota kaki selang empat entri yang lalu, saya memang malas dan tak terasa hendak bercerita tentang hal ini. Handphone saya pun tak ber-top up. Tadi terasa hendak keluar sangat-sangat untuk men-top up tapi memandangkan badan demam dan hari hujan, saya lalu membatalkan niat.

Dalam pada saya rasa hari ini berkualiti, ada sesuatu yang merosakkan hari saya. Teman serumah saya pastinya jelas akan hal ini. Saya tidak tahu bagaimana hendak menyusun ayat menceritakan tentang hal ini. Tapi ringkasnya, cukuplah sekadar saya katakan satu lagi perkara yang saya tidak suka ialah berkawan kerana bersebab (friends for benefits). Dan kita diperkotak-katikkan. Skemanya ayat. Ayat tidak skema, saya dipergunakan dan dalam masa yang sama kita dipandang salah dan rendah. Tidak seronok kan bila jadi begini?

Dan untuk seorang kawan lama, selamat bertunang. Semoga ikatan ini kekal dan membawa ke bab kedua dan seterusnya. Didoakan yang baik-baik saja menanti awak dan dia. Dan buat Saiful Adilin di Germany, Selamat Hari Lahir. Semoga panjang umur dan murah rezeki.

Nota:
Ada isu menarik di sini. Salahkah perigi mencari timba?

Posted on April 21st, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Kisah Cuti Hari #2

Assalamualaikum wbt

Saya tak tahanlah keadaan cuti begini. Malam tadi saya lelap ketika hari sudahpun mencecah jam 6.30 pagi. Sudah terang benderang di luar. Langsir memang dirapatkan supaya cahaya matahari yang terbit awal tidak mengganggu tidur orang lain. Saya berniat untuk tidur dengan puas sebab semalaman saya memang tidak boleh tidur.

Tapi baru sejam dua terlelap, saya sudah terbangun. Untuk menidurkan diri semula, saya memasang playlist nasyid dan memakai headphone. Tapi tetap tidak boleh lelap. Saya terus bangun dan membuat apa-apa yang patut. Tapi hari ini memang tidak berkualiti. Paling habis pun, saya berjaya membaca 3 jurnal perubatan yang menarik berkenaan dengan autopsi mayat dan pembedahan otak. Perut pun tak berkualiti. Tak menjamah apa-apa sehinggalah malam. Tengahari tadi, Imen rakan Tunisia saya datang ke rumah. Berbual barang sejam dua. Dia bertanya kenapa ada tertulis nota ‘Uskutii!’ yang ditulis dalam Bahasa Arab yang ditampalkan di depan meja belajar saya? Saya jawab, kerana saya tidak mahu semua yang saya rasa terluah keluar atau dizahirkan. Jadi saya menasihatkan diri saya supaya uskut.

Yang agak berkualiti cuma 1. Dapat beraerobik dengan gembiranya ketika rumah kosong. Yang ada hanya saya dan Wanie. Empat yang lain menghadiri jamuan di rumah kawan. Saya dan Wanie juga sempat berbincang tentang beberapa isu termasuklah jahat baiknya diri kita dan cara kita untuk berubah. Tapi apa kesimpulannya?

Susah jika kita terpaksa berhadapan dengan orang yang keras kepala dan selalu rasa dirinya betul. Kita bukan mencari alasan tapi setiap daripada kita pastinya tahu apakah yang mampu dan tidak untuk kita laksanakan. Dan jangan kerana kita rasa kita sudah bagus lalu kita mengharapkan orang lain berada sama paras dengan kita. Kadang kala, ada kekangan dan kekurangan yang tidak dapat dielakkan dalam diri seseorang. Wallahu a’lam.

Buat emak yang Ngah sayangi, semoga cepat sihat. Ngah jadi kurang ceria bila dapat tahu emak sudah beberapa hari tidak sihat.

Buat rakan-rakan, jangan cari saya di YM. Memang tidak akan jumpa. YM saya bermasalah.

Sungguh, saya tidak ada mood untuk buat apa saja sekarang ini.

Posted on April 20th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »