Archive for the ‘Family’ Category

Azizi Oh Azizi!

Assalamualaikum wbt

Azizi adik yang kedua bongsu. Dia sangat menyukai Bahasa Melayu. Ini gara-gara cikgu tuisyennya, Cikgu Ros, yang sangat pandai mengajarnya subjek tersebut ketika mengikuti kelas tuisyen peribadi di rumah Cikgu Ros. Kami menyakat Azizi mengatakan dia adalah anak angkat Cikgu Ros. Pengaruh daripada tuisyen itu, dia selalu menggunakan perkataan-perkataan yang bombastik, yang jarang-jarang kita guna dalam kehidupan harian. Kalau bernasib baik, dapatlah kami mendengar dia berperibahasa dan berpepatah. Mengalahkan orang tua bunyinya!

Pada suatu petang, dalam perjalanan menuju ke hostel Adi untuk melawatnya, ayah menelefon emak. Ayah bertanya, dah nak bertolak ke tempat Adi kah. Emak mengatakan ya kerana mengikut persetujuan pagi itu, ayah menyuruh emak ke sana bertemankan saya saja. Rupa-rupanya kami berselisih dengan kereta ayah pada waktu itu jadi ayah ternampak akan kami dan menyuruh kami patah balik untuk menjemputnya terlebih dahulu. Ayah mahu ikut sekali ke sana. Lalu, Azizi yang turut ada di dalam kereta pada ketika itu berkata: Emak dengan ayah ni bagai isi dengan kuku. Air dicincang pun takkan putus.

Saya dan emak gelak besar dalam kereta. Azizi tersengih-sengih. Dia bertanya, salahkah ayat tu? Lalu dia memberikan perbahasa seterusnya: Ke yang sebetulnya muafakat membawa berkat? Mendengarkan itu, lagilah saya dan emak tergelak.

Petang semalam, emak sibuk memasak di dapur. Emak mahu membuat mee kari. Mak gembira. Kesemua kami 8 beradik akan berkumpul di rumah. Sedang emak membasuh sesuatu di singki dapur belakang, Azizi bertanya: Mak, ada apa-apa nak Zizi tolong tak? Sebaik lepas dia bertanya, dia menambah: Hehe. Zizi ni ajak-ajak ayam je. Tiba-tiba Kaklong tergelak besar. Saya pada mulanya tidak mendengar apa yang Azizi katakan. Lepas diulang oleh Kaklong, barulah saya tahu kisahnya. Saya pun tergelak sama. Habis tu apa, tanyanya. Kaklong membetulkan: Hangat-hangat tahi ayam la Zizi!

Habis kami bertiga yang ada di dapur ketika itu tergelak besar. Azizi memang begitu. Obsesif dengan segala unsur keindahan bahasa ini!

Ok. Hari ini ahli rumah saya lengkap kesemuanya. Oh, gembiranya!

Posted on July 19th, 2008 by Sarah  |  19 Comments »

Nostalgia Kecil-kecil Dulu

Assalamualaikum wbt

Sejak malam semalam, selepas makan malam, saya menyelongkar album-album lama untuk melihat semula gambar-gambar sewaktu kecil. Gembiranya hati. Banyak khazanah lama yang saya jumpa. Tapi yang sedihnya, gambar saya sewakti bayi tersangatlah sedikit. Sebenarnya nak je saya kata tiada langsung tapi siang tadi saya meneruskan pencarian gambar-gambar itu, akhirnya saya terjumpalah sekeping dua gambar ketika bayi. Yang banyaknya ialah gambar Kaklong. Saya mengomel-ngomel pada Mak Tam. Banyaknya gambar Kaklong ye. Gambar umur baru berapa hari. Gambar baru pandai meniarap. Gambar baru pandai merangkak. Gambar baru mula menapak. Gambar dengan buah petola yang jauh lebih panjang darinya. Gambar dia pandu lori. Gambar dia menyapu sampah (sapuan yang pertama agaknya) dan bermaca-macam aksi lagilah. Teori yang ada dalam kepala saya ialah: Anak sulung. Rasa berkobar-kobar untuk melihat anak itu membesar semestinya lebih lagi berbanding anak yang seterusnya kan. Tapi memang Kaklong tersangat comel. Saya rasa, jika saya ini orang luar dan terlihatkan Kaklong ketika kecil, saya dengan jujurnya akan mengatakan budak itu comel. Geram saya tengok pipi dan mata Kaklong. Rasa nak cubit-cubit je. Tapi kasihan saya tau. Memang gambar saya sikit sangat sewaktu bayi. Saya jumpa 2 saja. Rasa nak nangis je tau. Huhu.

Pagi tadi emak ke sekolah. Ada mesyuarat agung PIBG. Malam semalam saya tidak tidur sepicing pun. Memang tak boleh lelap. Sudahnya, selepas emak bertolak, saya terus beroperasi mengemas rumah secara besar-besaran. Termasuklah beroperasi di laci album-album lama ini. Dan ini hasilnya yang saya dapat kutip! Bersungguh saya scan gambar-gambar ni semua setelah selesai mengemas =)

Ini gambar saya berumur 2-3 bulan. Cuba lihat pandangan mata Kaklong terhadap bayi kecil molek itu? Bagaikan hendak menerkam bayi tu je kan? Entah-entah, saya menangis dibuat dek Kaklong kot. Huhu~

Ini ketika saya berumur 2 tahun 1 hari :p Yang kecil itu adalah Nan. Cuba lihat apa yang saya sedang lakukan. Kenakalan saya mengacau budak-budak sudah terserlah sejak kecil lagi rupanya. Hakhak =)

Saya seakan masih ingat suasana ini. Sedangkan waktu itu saya baru berumur 2 tahun lebih. Emak siapkan saya dan Kaklong di awal pagi kerana hendak bertolak ke majlis konvo ayah. Terasa bertuah dapat lihat ayah sendiri konvo waktu masih kecil lagi. Hehe. Ada satu gambar yang lain, Kaklong memakai topi konvo ayah dan memegang scroll ijazah itu. Tadi petang, saya tanya emak. Kenapa gambar saya tiada? Kata emak, saya yang tidak mahu. Adui. Rugi betul. Kalau tak, mesti saya ada gambar yang sama macam Kaklong. *ada unsur-unsur cemburu di sini* :p

Ini gambar di pagi raya kedua. Saya masih ingat suasana pagi raya ketika kecil-kecil dulu. Biasanya hari pertama kami berbaju kurung dan hari kedua kami akan dipakaikan sepersalinan mexi atau t-shirt begini. Cuba tengok kasut kami. Ini kasut favourite kami waktu kecil dulu tau. Saya rasa sampai umur 6 tahun saya suka memakai model kasut yang begitu. Dan rambut saya pula. Hahaha. Rambut cendawan! (Farah Ramlee, ni lah yang Kak Ngah cerita mushroom head waktu kecik-kecik tu. Sama macam kamu jugak kan. Hehehe.)

Inilah Nan, Kaklong dan saya. Kami bertiga sempat membesar bersama untuk jangka yang lama sebelum Lan lahir. Jadi, kami bertiga sangat rapat sehingga kini. Biasanya inilah ‘uniform’ kami di pagi raya. Sedondon je 3 beradik. Tudung memang wajib. Muka Kaklong memang tak berubah sehingga kini. Saya pula, hanya mata yang kekal sama sehingga sekarang. Tengok mata pun boleh cam itu saya. Tapi muka saya jauh berubah. Mungkin kerana dulu saya pernah terbakar (1993). Nan pula sejak kecil mukanya macam anak Mat Saleh sesat. Dia terkena genetik itu kot. Tapi semakin membesar, semakin Melayu mukanya. Huhu. (Farah Ramlee, awak sangat untung tau. Nanti anak awak dapat la kot genetik mixed Nan tu. Mesti comel gabungan Ayuni dan Nan. Huhu) :p

Saya dan Kaklong selalu memakai Mexi sewaktu kecil dulu. Jubah yang bercoraklah kiranya. Tok yang jahitkan untuk kami. Seingat saya, saya tidak pernah ada skirt pendek kecuali sehelai yang Tok belikan untuk kesemua cucu perempuannya ketika itu sewaktu pulang dari Mekah. Lain-lain, biasanya saya gemar bermexi dan berseluar track. Ketika ini saya berumur 4 tahun. Lokasi saya dan Kaklong berdiri inilah tempat di mana tumbuhnya Pokok Semarak di depan rumah Tok dan di situlah adanya buai yang selalu saya naiki itu =)

Gambar yang akhir ini, masih ingat saya cerita waktu Hari Graduasi Tadika, saya membaca Al-Quran untuk majlis pembukaan dengan tersekat-sekat seperti radio rosak? Haa…! Inilah gambarnya. Cuba tengok orang kat meja di tepi tu. Jahatnya. Dia gelakkan saya! Nak nangis!!!
Huhu. Entri ini ada berbaur cemburu pada Kaklong kan :p Tidak sebenarnya. Saya tak cemburu langsung. Sebenarnya saya sangat tak sabar menunggu siang kerana hari ini Kaklong akan balik ke rumah! Saya dapat berjumpa dengan my other half ini!!!

Kesimpulan entri ini ialah, saya sangat bulat waktu kecil dulu (~~,)v

Posted on June 29th, 2008 by Sarah  |  21 Comments »

Bercakap Bahasa Budak

Assalamualaikum wbt

Malam sebelum bertolak balik hari Selasa lepas, saya tidak tidur walau sepicing pun. Sepanjang malam saya mengemas barang, buku-buku di rak dan membasuh baju. Pukul 7 pagi, teksi datang menjemput untuk ke airport. Kami bertujuh pada waktu itu. Yang lucunya, kami semua memakai tema warna yang sama hitam, putih dan biru gelap. Disebabkan kemengantukan yang dahsyat, sebaik kapal terbang berlepas, saya terus lelap. Kebetulan di sebelah saya ialah Akmal, pelajar tahun 2 (junior KISAS). Tak sempat cerita banyak, terus saya terlelap. Begitu juga perjalanan dari Tashkent ke KL. 7 jam setengah rasanya seperti 2 jam lebih saja. Saya tidur saja sepanjang jalan.

Sebaik tiba di KLIA, emak dan ayah masih belum tiba. Saya memaklumkan pada mereka bahawa flight akan tiba sedikit lewat. Sebaliknya tiba tepat pada masanya. Sementara menunggu, sempat lagi saya terlelap. Kisah apa saya kan. Terlalu mengantuk. Saya lelap juga. Sebelum itu, saya sempat berjumpa dengan sahabat baik saya, Faaiqah yang juga baru tiba dari Cairo. Ibunya juga ada bersama datang menjemputnya. Sudah setahun tak bertemu. Berpelukanlah kami di sana. Seri wajah pengantin makin terserlah di wajahnya. Hihi.

Sebaik terjaga dari tidur, saya menegakkan kepala dan terlihat kereta ayah berhenti betul-betul di hadapan arrival hall. Emak yang keluar mencari saya. Saya sudah nampak dari jauh dan terus meluru memeluk emak. Kemudian memeluk ayah pula. Terlepas rindu pada kedua-duanya. Dalam perjalanan pulang, ayah bertanya, nak makan nasi atau mee? Laju saya menjawab: Nasi!

Sempat lagi saya tertidur sebelum berhenti makan nasi di Melawati. Menu saya tengahari itu ialah Nasi Beriyani! Kemudian kami terus menyambung perjalanan ke Temerloh. Dan sepanjang jalan itu saya tidur lagi di tempat duduk belakang. Siap boleh baring lagi tu. Sedar-sedar saja, kami sudah pun menghampiri kawasan rumah. Sebaik tiba di rumah, saya berjalan-jalan di dalam rumah dari ruang tamu ke dapur dan ke ruang tamu semula. Melihat-lihat rumahlah kononnya. Selepas meletakkan barang-barang di dalam bilik, saya membuka peti. Ada buah betik sejuk! Rezeki sungguh. Sebenarnya rumah saya memang tak putus bekalan betik. Ada pokok betik yang sentiasa berbuah. Tapi kena berebut dengan burung. Huhu. Buah yang di bahagian atas, burung yang punya. Buah yang di bahagian bawah, kami yang punya. Huhu. Ini namanya rezeki Allah dikongsi sama rata. Hehe.

Kemudian saya ke rumah Tok. Ingin berjumpa Tok dan yang lain. Tapi Tok masih belum pulang dari masjid. Yang ada Mak Tam dan keluarga. Dah setahun dah budak kecik tu. Seronok betul saya dapat main dengan Iman. Tahun lepas waktu saya balik bercuti, Iman baru saja lahir. Kini sudah setahun. Sudah berjalan jatuh bangun, sudah bising mulut dan sudah pandai menggigit orang. Hoho. Sakit.

Pagi tadi, sekitar jam 7.30am, rumah saya sudah kosong. Semua sudah ke sekolah dan kerja. Kebosananlah saya seorang diri di rumah. Tapi sekitar jam 9 pagi, saya terdengar bunyi tapak kaki Mak Tam datang ke rumah untuk mengambil baju untuk dijemur. Mak Tam membawa Iman sekali. Saya pun apa lagi. Bermain dengan Imanlah di laman rumah. Saya pangku dia di atas riba. Saya menyebut ayam dengan nada menyuruhnya mengulang sebut semula perkataan itu. A-yam. Dia balas: Yam. Saya menyebut pula: Po-kok. Dia membalas: Kok. Aishh. Ada-ada saja budak kecik ni ye. Saya sebut: Mo-tor (ada scooter arwah Chik saya yang meninggal Oktober lalu di garaj hadapan rumah). Dia membalas: Broom. Aik. Melebih pula dia ye. Bila bab motor je, tahu pula dia untuk membuat bunyi.

Bila saya dukung dia masuk ke rumah, kami menonton TV rancangan kartun. Ada itik. Saya menyebut: I-tik. Dia membalas: Tik. Dan selepas itu membuat ulangan: Tik-tik-tik. Haha. Saya tergelak sungguh waktu itu. Selepas itu saya menyebut Kak-Ngah. Nama sayalah tu. Dia diam dan tenung saja muka saya. Kemudian dia membalas: Tok.

Uwa……… Saya bukan Tok la. Saya Kak Ngah. Jauh benar iras muka Tok dengan muka saya yang muda remaja lagi comel dan ceria ini :p Uwaaaaaa…. Jagalah Adik Iman. Esok Kak Ngah kenakan awak semula tau :p

Posted on June 26th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Penyakit Keturunan

Assalamualaikum wbt

Semalam saya menelefon rumah seperti biasa. Bual dengan ayah. Bual dengan emak. Emak memberitahu serba sedikit keputusan peperiksaan pertengahan tahun adik-adik. Kata emak, adik-adik semuanya rendah-rendah saja Bahasa Melayunya. Pelik. Maka saya pun berbual dengan adik-adik yang di rumah kecuali Aiman. Sudah tidur awal kerana hendak bangun tengok bola katanya. Yang ada hanyalah Adam dan Azizi.

Selidik punya selidik, mereka semua ni sama saja. Adui. Apa nak jadi. Bahasa Inggeris semuanya tinggi tapi Bahasa Melayunya pula rendah. Selepas membebel pada Adam yang akan mengambil PMR pada tahun ini, saya megomel-ngomel pada emak pula. Kenapalah pelik sangat adik-adik ni. Nak dikata tidak cakap Melayu, hari-hari pun berbahasa Melayu. Emak jawab:

“Diorang ni semua kan kaki lagu. English je la hari-hari. Faham-faham je la, Ngah. Budak laki ni lain. Kena pantau, duduk sebelah dia, baru nak buat. ” Adui la… Itukah alasannya. Gelak sajalah saya dan emak. Saya tanya emak, saya dulu-dulu macam mana ye. Kena dikerah semua ke baru hendak buat? Emak jawab:

“Awak bertiga dulu, sampai Nan, tak pun. Duduklah masing-masing memerap dalam bilik masing-masing, buat kerja masing-masing. Tak exam pun belajar jugak.” Wah. Terus ketawa-ketawa kami semalam mengingatkan Kaklong, saya dan Adnan dulu-dulu. Kami bertiga yang di atas ni kiranya budak baiklah. Huhu. Tiba-tiba saya teringat waktu saya dalam tingkatan 2, ketika itu saya sudahpun berada dalam pasukan bahas sekolah. Satu hari cikgu bahas saya menegur saya. Kebetulan dia adalah guru kelas kepada Adnan. Katanya:

“Sarah, apa nak jadilah dengan adik kamu si Adnan tu. Bahasa Melayu dia rendah. Bahasa Inggeris je asyik A. Kakaknya pembahas, adiknya Bahasa Melayu pun C.” Cikgu itu menegur bukan marah, tapi dalam keadaan ketawa-ketawa. Tapi nak buat macam mana. Bukannya saya boleh tukar Nan untuk jadi macam saya, kan. Dah kelebihan dia waktu itu adalah pada Bahasa Inggerisnya. Kebetulan, dia wakil syarahan Bahasa Inggeris ketika itu.

Dalam hati baru saya dapat kaitkan, ini penyakit keturunan ni. Abangnya yang teratas pun ada masalah dengan Bahasa Melayu dan ‘mematsaleh-celupkan’ diri, patutlah adik-adik pun sama. Haa… Inilah perangai anak lelaki. Liat sikit. Perlu disuruh, diteman, dipujuk suruh buat, barulah hendak buat. Tapi bab-bab makan dan ‘mengusha’, tak suruh pun tak apa. Ups…

Semalam kan, saya duduk studi dari jam 6 pagi sampai ke 5.30 petang. Rehat setakat gitu-gitu aje. Makanan pertama yang masuk ke perut pun ketika sudah pukul 7 petang. Sebelum makan dan sebelum menelefon rumah, saya berangan. Saya terbayang sedang berada di atas rumput belakang rumah dekat dengan ampaian belakang. Saya terbayang saya duduk melihat langit dengan Aiman. Kronik betul saya ni. Siap boleh terbayang berhindustanrama dengan adik di atas rumput pula!

Esok exam terakhir sebelum naik taraf bergelar pelajar tahun akhir. Tak sabar mahu balik rumah (^^,)v

Ayah, selamat hari ayah!

Posted on June 15th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Selamat Hari Lahir Emak

Assalamualaikum wbt

Dulu waktu kecil-kecil, saya selalu bergaduh dengan Kaklong. Maklum sajalah. Dua beradik saja perempuan. Yang lain semuanya lelaki. Dulu kami sebilik. Tapi semakin besar, kami dipisahkan duduk bilik berasingan. Dia di bilik berwarna kuning menghadap laman belakang rumah. Saya di bilik berwarna biru menghadap laman hadapan rumah. Siapa yang memisahkan, itu emak kami. Emak geram agaknya melihat kami asyik bergaduh.

Mentaliti budak kecil, saya selalu rasakan emak berpihak kepada Kaklong. Serba-serbilah. Semuanya saya rasakan emak memandang Kaklong yang betul. Kadang-kadang membawa dirilah saya merajuk dengan emak dan bercerita di buai depan rumah Tok dengan Mak Tam. Tapi apabila sudah semakin besar, di sekolah menengah saya kira pada waktu itu, saya mula nampak dan faham kenapa emak bertegas dengan saya dulu-dulu. Pada waktu itu, Kaklong sudahpun bersekolah di Kuantan dan tinggallah saya satu-satunya anak perempuan di rumah.

Kenapa emak tegas dengan saya kerana saya dulu seorang yang garang. Macam lelaki perangainya. Pemarah pun iya juga. Ganas pula tu. Kalau dengan budak lelaki, jangan harap saya nak kasi can mereka menang. Tapi Kaklong yang sebaliknya. Kaklong lembut. Pandai berjenaka. Sentiasa manis dengan senyuman. Memang 100% bertentangan kami berdua ini. Kaklong pandai mengambil hati orang tua. Kalau bersamanya mengikut Tok ke Pekan Sehari hari Ahad, Kaklong pandai melayan kerenah Tok dan kawan-kawannya.

Sejak itu saya mula faham kenapa emak mendidik saya begitu. Saya sayang emak saya sebab mendidik saya dengan sebaiknya untuk menjadi saya yang sekarang. Saya masih tidak seperti Kaklong tapi inilah saya seadanya. Yang paling berharga, hasil didikan emak, menjadikan saya seorang yang kental jiwa. Sangat kental. Hanya emak yang tahu kenapa saya katakan begini.

Hari ini hari istimewa buat emak saya. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-52 buat emak saya, Hajjah Noor Azimah Kamaruddin. Semoga emak dalam redha Allah sentiasa. Emak, emaklah katalis hidup Ngah. Emak, Ngah sayang emak. Sayang sangat-sangat. Uwaa… Mahu nangis… Rindu sama emak…

Emak (berbaju hijau) bersama Tok Maryam (Penang) dan adik-beradik ayah di rumah Makcik Liza di Alor Setar.

Nota: Selamat hari lahir buat ibu kepada Isa Azzaki juga. Isa, saya ingat lagi yang birthday mak kita sama 😀

Posted on June 9th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »