Kembali Kepada Fitrah
Bangun Subuh pagi tadi sangat awal. Maklum sajalah. Subuh jam 4. Selesai solat, tidur semula. Kelas pagi tadi jauh hospitalnya. Selewat-lewatnya 7.45 memang sudah bertolak. Biasanya 7.30 sudah hilang dari rumah.
Pagi tadi hendak mencetak nota di mesin cetak. Dakwat pula habis. Geram betul saya. Pagi-pagi lagi sudah hitam tangan terpaksa menyuntik dakwat isian. Selesai satu kerja, basuh tangan dan hendak menggosok tudung pula. Rupa-rupanya ada kesan dakwat hitam di jari yang belum betul-betul tanggal dan apabila memegang tudung yang dikeluarkan dari almari, dakwat terkena tudung pula. Sedang menggosok, baru tersedar hal ini. Bergegas ke bilik air mencuci segera supaya dakwat tidak kekal. Alhamdulillah. Selesai. Tapi sudah macam agak terlambat pula hari ini.
7.45 selesai calow bete dan menghantar sms pada sepupu, saya kabut terus. Baru 10 tapak keluar dari pintu utama bangunan, saya berlari laju mendaki tangga balik semula ke rumah. Kena kejar anjing? Eh bukan. Sejuk sangat. Tak tercapai akal yang pagi ini terlalu sejuk. Saya lihat suhu pagi tadi 3’C. Jadi saya kira pakai jaket biasa seperti 3-4 hari sudah tidak ada masalah. Tapi silap. Jadi saya balik untuk menukar jaket. Saya capai kot labuh hitam ala-ala The Matrix. Macho? Ye kot.
Bila jalan-jalan menuju ke metro, terasa nyaman amat sebab suhu sejuk tapi saya ada kot yang macho ini. Saya kata dalam hati, nanti petang bila hendak balik hari sudah panas, pegang sajalah kot ini. Tak jadi masalah pun. Masuk metro, saya kena berdiri. Oh, tak dapat tempat duduk pun tak mengapa. Malam tadi tidur cukup. Jadi tak perlu tidur lagi. Saya baca buku di sepanjang perjalanan. Sebaik melihat bumi semula setelah hampir 45 minit berada di bawah tanah, saya terkejut. Sudah mula bersalji pula. Sedangkan seminggu yang sudah, suhu sudahpun mencecah 18’C. Ajaib kan aturan Allah. Bila Dia mahu matahari itu disorokkan, bila-bila masa saja boleh ditarikNya. Bila-bila masa saja Dia mahu titik-titik hujan digantikan dengan keping-keping salji yang seperti kapas, tiba-tiba saja langit nampak gelap berkumuluskan salji. Bumi pun kemudiannya putih.
Sambil jalan-jalan kaki kurang lebih 15 minit menuju ke hospital, saya bernasyid Keluarga Bahagia versi Saujana wanita. Seorang-seorang. Siapa kisah kan. Sebenarnya tersangat rindukan ayah dan emak. Terus saja terbayangkan nasyid ini. Layan sajalah. Blues pagi Khamis. Sekerat jalan, saya tunduk betulkan tali kasut tercabut. Bila saya dongak hendak mulakan perjalanan, saya nampak 2 orang gadis berlari-lari anak dari arah depan. Skirt pendek separas lutut, jaket nipis separas pinggang, kasut 2 inci lebih tingginya kot. Lari, lari dan lari. Kedek-kedek saja sebenarnya. Laju manalah sangat kalau dah kasutnya tinggi yang amat. Dan di hadapan saya kemudiannya ada 3-4 orang lagi yang sebegitu. Berskirt pendek. Lari-lari kecil menuju arah bertentangan.
Saya tahu kenapa mereka lari begitu. Mereka sejuk sebenarnya. Cuaca pagi tadi memang tidak disangkakan. Tiba-tiba lari dari jangkaan. Ramai yang berjaket nipis saja. Berskirt pendek saja. Berbaju pendek pula memang normal rasanya. Tiba-tiba daripada dendangan suara perasan seorang diri tadi, saya bertukar kepada gelak-gelak seorang pula.
“Ha… Padan muka. Pakai lagi pendek-pendek. Pakai lagi singkat-singkat. Dah sejuk. Kasut pulak tak boleh tak bertumit rumah 2 tingkat. Nak lari pun kena beringat. Kalau jatuh golek-golek, nanti malu muka yang tebal warna-warni tu.”
Lepas itu saya beringatlah untuk berhenti gelak-gelak. Tak baik kan. Nanti saya pula yang jatuh atau apa, padan muka sendiri. Pagi tadi, Allah kurniakan akal yang waras dan sihat. Supaya lari balik menyalin kot yang sedikit tebal. Alhamdulillah juga saya hanya berkasut Sketchers dark brown-pink berbatu 3 kecil berkilat. Tapaknya leper. Pastilah boleh lari ligat-ligat balik ke rumah. Jatuh tiada masalah. Saya tak malu sebab muka saya memang tak lawa pun. Tiada warna-warni. Orang pun tak mahu pandang lama-lama.
Saya hanya berminat dengan promosi seorang kawan saya. Katanya siapa pakai ketat-ketat, tak ikut yang sepatutnya, segan berkopiah, bertudung dan sebagainya, orang tu ketinggalan zaman. Sekarang ini trendnya bertemakan kembali kepada fitrah. Siapa tak mahu rasa kuno, jom kita sama-sama buat. Kembali kepada fitrah.
Nota:
Mula hari Jumaat sehingga Selasa depan, kami semua di Moscow bercuti 5 hari. Jika dirujuk dalam takwim kerajaan Persekutuan Rusia, tiada cuti pun yang tercatat untuk tempoh ini. Jadi kami di sini bercuti apa? Huh. Saya malas hendak cerita. Sebenarnya saya benci duduk di sini kerana adanya isu ini. Dan inilah salah satu sebab kenapa saya tidak suka bulan April. Kenapalah kolot, sempit fikiran dan bodoh sombong sangat mereka ini? Ok. Saya emo pula. Tinggal dulu. Perechek….~