Archive for the ‘Autumn’ Category

Penawar

Assalamualaikum wbt

Semalam saya memang buat kerja gila. Tanpa sebarang pengenalan diri (selain daripada student card), saya mengikut Fareena dan Farhan keluar untuk auntumn photo outing. Wanie pun ikut sama. Farhan handal mengambil gambar. Kamera gedabak-gedabak ni kan (Canon EOS 400D). Saya perlu juga keluar daripada rumah untuk melapangkan fikiran. Kami sepakat menuju ke Varabyovy Gory, Bukit Pipit. Lucu kan nama tempat ini? Letaknya hanya diseberang sungai kawasan kami tinggal ini. Tapi kami ke sana menaiki metro. Takkan nak merentas sungai melalui jambatan dengan berjalan kaki pula. Kawasan ini adalah kawasan ekologi burung. Letaknya di tepi Sungai Moscow (Moskva River). Di sepanjang sungai ini ada laluan pejalan kaki yang rapi dan kawasan ekologi burung di sebelah atasnya pula penuh dengan pokok maple. Suasana musim luruh yang semakin ke penghujungnya memang terasa kerana daun maple memang sudah bertukar warna menjadi kuning keperangan. Ada juga warna alam yang lain termasuk merah, hijau muda dan oren. Sangat cantik. Tidak lama kami melalui eco trail setelah puas berjalan dan bergambar kerana hari mulai hujan renyai.

Hari ini saya cuti sehari. Hari pelepasan untuk menyiapkan laporan autopsi. Selepas Zohor tadi saya terus ke Deans. Beratur dalam sejam, saya dapat memboloskan diri untuk masuk ke bilik tersebut. Sebelum itu, pegawai yang bertugas itu marah-marah kerana pelajar-pelajar yang datang semuanya punya masalah remeh-temeh yang tak sepatutnya terjadi. Tapi sebaik saja saya masuk, saya terangkan masalah saya, dia terus kasihankan saya dan dengan segera menyiapkan pengenalan diri sementara untuk saya. Sedikitpun dia tak marah-marah seperti yang dibuatnya pada orang lain sebelum saya. Sebaik selesai semuanya, saya ucapkan terima kasih dan terus balik. Saya maklumkan ayah tentang urusan di sini semua sudah selesai. Emak terus menelefon. Leganya mendengar suara emak. Suara terapi. Suara penawar kesedihan!

Posted on October 20th, 2008 by Sarah  |  40 Comments »

Saya Ghuraba’

Assalamualaikum wbt

Setiap kali ulang-alik menuju ke Oncology Center yang terletak di Kashirskoe Shosse, biasanya saya bersendirian sewaktu pergi dan hanya kadang-kala berteman sewaktu balik. Sejak pertama kali berada di sana, saya terpandangkan satu papan iklan besar di tepi jalan. Ada sesuatu yang menarik perhatian.

Pada papan tanda yang pertama, tertulis perkataan Bahasa Arab. Ghuraba’ yang membawa maksud Orang Asing (The Strangers). Pada hari yang sama, dalam perjalanan pulang, saya menoleh melihat papan iklan itu lagi. Saya berseorangan ketika itu. Saya betul-betul merasakan erti keterasingan pada waktu itu. Sayalah salah seorang daripada ghuraba’ yang ada di sini.

Saya cuba untuk bertanyakan pendapat orang lain kenapa papan tanda Ghuraba’ itu diletakkan di sana tapi saya sentiasa berseorangan dalam perjalanan ke sana. Sehinggalah tadi, ketika dalam perjalanan menuju ke stesyen metro, kami berjalan berlima. Saya bertanya kepada Azam tentang hal itu. Azam ini rakan sekumpulan saya yang juga punya asas Bahasa Arab. Dia tersentap bila saya menunjukkan papan iklan berbahasa Arab itu. Dia pun teruja. Apabila saya tanyakan pendapatnya, apakah makna yang dibawakan oleh iklan itu, Azam mengatakan bahawa mungkin tiada apa-apa. Sekadar hendak meraikan bahawa di kawasan ini, ramai orang asing yang tinggal, jawabnya. Saya sekadar mengangguk sebagai respon bahawa saya mendangar apa yang dikatakannya.

Kami meneruskan perjalanan masuk ke stesyen metro dan seterusnya sebaik metro sampai, kami semua masuk ke vagon-vagon yang ada. Nasib saya, saya terpisah 2 vagon daripada 4 yang lain. Dan kali ini, saya betul-betul merasakan papan iklan itu membawa maksud yang tersendiri untuk saya. Bagi saya, papan iklan Ghuraba’ itu adalah satu pujukan semangat yang Allah ‘berikan’ kepada mereka yang selalu bersendirian agar kuat semangat dan tidak mudah putus asa. Iklan itu berlatarkan warna putih dan tulisannya hitam. Kosong begitu saja. Jadi saya menilai, setiap orang yang terasing itu sebenarnya mempunyai kekuatan dan signifikan yang tersendiri dalam dunia ini.

Kenapa saya selalu menilai sesuatu perkara itu sepelik dan serumit ini? Tapi sungguh. Bagi saya, papan iklan itu adalah satu pujukan dan semangat untuk saya supaya tak mudah mengalah dan…

Dan tak mudah menangis.

Nasyid ini nyanyian kawan saya, Ihab. Ghuraba’. Yang diberi nafas baru dan diberikan tajuk Beyond The Norm.

Posted on October 13th, 2008 by Sarah  |  10 Comments »

Hari Minggu

Assalamualaikum wbt

Kelmarin, saya hanya 2 jam sempat lelapkan mata. Itupun hanya setelah 25 jam tak tidur. Awal pagi semalam sudah bangun untuk menyiapkan kuah kacang. Menjelang tengahari semuanya selesai dan saya terus tidur. Bangun saja sudah Zohor. Mengemas rumah ala kadar, bersiap dan sudah mula ada tetamu datang ke rumah.

Untuk Rumah Terbuka universiti anjuran SMSA kali ini memang meriah. Yang datang terlalu ramai sehinggakan makanan tidak cukup. Saya kasihan melihat mereka yang datang di penghujung acara. Ada juadah yang mereka tak sempat rasa. Dapat saja makanan, saya jamah hujung-hujung jari saja. Terus saya ambil keputusan balik ke rumah. Makan di sana sajalah. Rumah pun di tingkat 2 saja. Angkat kaki.

Di rumah, baru makan sedikit, saya dah berhenti. Ada 3 sebab. Pertama, kalau saya dah terlalu lapar (tak makan apa-apa langsung sejak sehari sebelum itu), saya memang akan hilang selera untuk makan bila makanan sudah di depan mata. Kedua, kerana terlalu letih. Ketiga, kegelian melihat telatah beberapa orang yang membuatkan selera makan saya terbantut. Terus saya masuk dapur untuk mengemas. Dapat panggilan daripada junior. Mereka dalam perjalanan ke sini. 9 orang. Alamak. Makanan di rumah terbuka itupun dah habis, takkan nak biarkan mereka pulang begitu saja, kan. Terus saya keluarkan ayam dari peti. Sediakan bahan-bahan untuk buat rendang. Emy tanak nasi dan Fatt sediakan bahan-bahan untuk nasi goreng. Selesai menggoreng nasi, barulah saya dapat menyentuh air. Saya minta Pena belikan. Wajib air sejuk. Sebab berperang di dapur memang sangat panas rasanya. Selepas Maghrib, kami pun makan beramai-ramai.

Selepas tetamu beredar, ada Auyun dan Kreen di rumah saya. Ini rakan 1 batch. Kami pun apa lagi. Berbincang (baca: berborak kencang) tentang isu sejagat. Homoseksualism. Masalah besar ni. Tunggu entri seterusnya untuk kupasan lanjut. Menjelang 11 malam, rumah pun kosong. Saya dah tak larat nak mandi dah. Terus tidur. Sudah 2 malam saya tidur tanpa mandi terlebih dulu. Bau dapur sudah sebati dengan bilik.

Apa saya tunggu lagi merepek-repek di sini. Hari ini hari Ahad. Saya perlu membasuh baju yang sangat banyak. Hajat asal hendak ke Kedutaan hari ini. Ada program di sana. Tapi, malas lebih dominan dan badan lenguh-lenguh. Ate kalo udah maleh tu, maleh le jugak. Ye dak? Hehe. Keknye nok gonekan. Badan kome ni dah tak ‘ghok’ nak kulu-kilir. Terkohoit dah.

Nota: Siapa faham apa saya tulis di hujung tu, memang saya tabik springlah =)

Posted on October 12th, 2008 by Sarah  |  40 Comments »

Berebut Hati

Assalamualaikum wbt

Allahumma salli ‘alaa saidina Muhammad wa’ala aalihi wa ashaabihi ajma’in.

Semalam di hospital segalanya kelam kabut. Dari A sampailah ke Z. Kalau wujud huruf lain selepas Z, pastinya kelam kabut juga keadaannya. Daripada 10 orang sekumpulan, hanya 5 orang yang datang. 5 lagi? Missing in action. Tapi memang rugi betul siapa yang terlepas sesi seminar semalam. Doktor yang mengajar itu kacak sungguh. Ini pendapat rakan-rakan sekumpulan sayalah. Mari kita lihat aksi mereka:

Ketika menganalisis CT Scan:
A: Mak aih. Wanginya doktor ni. Aku nak jadi isteri dialah.
B: Eh, mana boleh. Aku nak cop dulu. Kau lambat. Aku dah cop dalam hati dulu.
A: Shuh. Shuh. Aku yang duduk tepi dia ni.

Setelah selesai mendapat penerangan di meja:
C: Huih. Aku tengok A dengan B, korang memang teruja habis tengok doktor tu. Huyyo. Rebutlah korang ye.
A: Eh, mestilah. Kalau kita tak tunjuk, nanti dia tak sedar.
B: Aku blushing gila tadi. Kau sedar tak, doktor tu asyik tenung aku je.
(memang A dan B duduk bertentangan dengan doktor itu)
C: Ala. B, kau kantoi dengan aku tadi. Aku nampak apa kau tulis kat note kau. Kantoi!
B: Apa kau nampak?
C: Kau tulis yang pasal anastomosis tu jadi lain! Patutnya Gastroenteroanastomosis. Kau tulis shortform jadi pelik gila. Gastroentero then hujung tu gambar love (heart). Hahaha!
Kami: Ha?!! Huh. Direct flirting! Mak aih B.
S: Aik, kenapa kena ada love? (Biasanya kami gunakan simbol love sebagai pengganti perkataan heart)
C: Innocent gila kau ni S. Tu flirting la tu.
S: Perlu ke gitu sekali? Huhu.

Dalam perjalanan ke metro:
A: Aku tak boleh fokus waktu dia mengajar tadi. Aku duk asyik fikir ke lain.
B: Aku memang tak fokus langsung. Aku tengok je muka dia.
A: Korang nak tahu tak apa aku imagine? Aku terbayang, kalau aku dah duduk dengan dia, mesti aku hari-hari belajar Anat (Anatomy) balik semula. Sure aku jadi hebat gila macam dia tadi. Hahaha.
Kami: Euuuuwww. Jauh gila berangan!
F: Aku nampak satu je tadi. Muka dia macam Alex Grey’s Anatomy tu. (Jujur ni, saya memang tak kenal dan tak tahu muka Alex dalam cerita Grey’s Anatomy. Saya tak ikuti)
C: Eh korang, korang. S diam je. Takde bagi komen apa-apa pun pasal doktor tu. Entah-entah dia pun ada hati kat doktor tu.
S: Saya ni ada ke hati kat dalam ni? (Sinikal)
C: Ha! Kalau kau takde hati, kita tunggu esok. Kalau doktor tu bagi hati dia dekat kau, kau dapatlah satu hati! Seronok gila tengok cerita berebut 1 hati ni. Hahahaha! (Gelak sungguh-sungguh!)
S: Huh. Tak kuasa kome weh!

Erm. Hari ni Hari Jumaat. Penghulu segala hari. Banyakkan berselawat ye buat Rasul Junjungan kita. Setakat maklum balas yang saya dapat daripada kawan-kawan sekumpulan malam tadi, mereka semua akan hadir ke seminar hari ini awal-awal. Semuanya nak tengok muka doktor itu! Ha. Kita tengoklah ye apa akan jadi hari ini. Huhuhu. Sesi cop-mengecop akan bertambah dengan bertambahnya jumlah doktor dari kumpulan saya yang hadir. Hehe. Tambahan pula, hari ni kami akan bincangkan topik tentang Kanser Hati. Ha! Hati siapalah yang akan berkanser sebaik balik dari hospital petang nanti ye dan hati siapa pula akan berbunga-bunga =)

Posted on October 10th, 2008 by Sarah  |  7 Comments »

Gering

Assalamualaikum wbt

Selesai bersiap awal pagi tadi, saya ke dapur untuk menyediakan sedikit sarapan. Hajatnya sekadar mahu membancuh nestum. Sepanjang Ramadhan lepas, banyak kali saya bersahur dengan nestum yang saya masukkan ke dalam susu segar. Saya tak suka manis tapi saya suka susu segar. Jadi, terhasillah nestum mengikut selera kosong saya ni: Nestum dan susu segar yang tawar. Pastinya menjilat sudu di waktu sahur.

Pagi tadi, saya membancuh nestum ikut cara normal orang Malaya kita. Nestum dengan milo panas. Tapi saya takkan boleh minum milo begitu saja. Masih fobia (kisah lama di entri ini). Cika bak kata orang Temerloh. Loya tekaklah maksudnya tu. Jadi saya bancuhkan neslo. Milo campur nescafe. Wujud tak mana-mana orang Malaya yang bancuh nestum sebegini? Kalau ada, mari hantarkan resume. Nanti kita boleh berusaha sama membuka empayar rangkaian makanan segera yang menawarkan hidangan ni. Saya tak isi banyak nestum. 2 sudu besar saja ke dalam mug air tu. Sebab saya risau tekak saya akan loya juga di pagi-pagi hari ni. Mug air diusung ke dalam bilik dan sambil minum, saya membaca blog Wanie. Sekitar 7.15 pagi, air sudahpun habis dan mug juga sudah dibasuh. Tetapi, ada masalah pula muncul. Sedangkan mengikut plan, saya perlu meninggalkan rumah pada jam 7.30 pagi.

Saya loya dengan teruk. Rasa nak muntah, pahit tekak, badan rasa lembik dan seram sejuk tapak tangan. Ah sudah. Inilah penangan milo tadi. Saya tak faham-faham lagi kenapalah saya masih belum boleh dengan minuman yang sejenis ni. Itupun saya dah jadikan neslo tadi. Ada juga rasa nescafe. Tapi saya tetap tidak boleh. Tekak saya masih dapat mengesan rasa milo. Tak dapat nak tipu-tipu dengan tekak saya ni. Dia cekap. Sudahnya, saya terpaksa bergegas meninggalkan rumah pada pukul 7.45 pagi. Cemas lagi saya buat keputusan untuk tidak ke hospital saja pada hari ini tapi memandangkan hari ini hari pertama saya perlu melapor diri di Oncology Center, terpaksalah saya gagahkan diri. Sepanjang perjalanan ke hospital, tangan dan badan saya memang seram sejuk saja dan loya tetap tak hilang-hilang sehingga tengahari.

Pulang dari hospital petang tadi, saya perlu ke Pejabat Dekan. Saya bersama Meor. Dia mahu singgah makan alas perut sedikit. Jadi kami singgah di McDonald’s. Saya terus ke McCafe. Wajib minum nescafe untuk hilangkan rasa loya yang berbaki. Hari ini rekod. Rekod loya terpanjang yang pernah saya lalui. Teruknya badan saya ni. Hmm. Allah dah tarik satu nikmat dari saya. Nikmat makan benda-benda bercoklat. Ini cuma kecil saja. Bagaimana pula dengan orang lain yang Allah tarik nikmat yang besar dan penting? Anggota badan contohnya. Sebab tu kerja kita sebagai hamba ialah mensyukuri apa yang ada. Setiap yang ada pada kita adalah nikmat daripada-Nya.

Nota: Tak sabar tunggu nasi siap. Tak sentuh nasi sejak Hari Raya lepas. Asyik tiada selera saja. Moknye, anok mok ni lapor bebenor. Degil sangat ikutkan amat takde selera tu. Atekan lagi! Huhu.

Posted on October 6th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »