Author Archive

Erti Pengorbanan

Assalamualaikum wbt

Dalam seminggu ini, bermacam-macam perkara telah terjadi. Walaupun tiada angin tiada hujan, ribut melanda juga di sini. Alhamdulillah langit telah cerah kembali. Yang ada hanyalah salji putih yang bakal menemani Aidil Adha kali ini.

Suhu tidak sesejuk musim sejuk tahun-tahun yang lalu. Kebiasaannya, mencecah pertengahan Disember, suhu sudah serendah -15 ke -20 di bawah paras beku. Tapi pada tahun ini sangat luar biasa. Moscow panas. Paling sejuk yang saya sempat rasakan hanyalah -11’C sahaja. Pasti ada hikmahnya.

Pada tahun ini, Aidil Adha tidak disambut serentak dengan Kota Mekah. Saya pelik. Kenapa selalu begini jadinya. Aidil Fitri yang lalu jatuh serentak pula dengan Mekah dan beberapa buah negara yang lain. Tetapi untuk Aidil Adha ini lain pula kiraan kalendarnya. Alhamdulillah semalam saya sempat berpuasa sunat wuquf mengikut kiraan di Mekah, seretak bersama jutaan jemaah haji yang berwuquf di Arafah. Panjang doa yang saya panjatkan ke hadrat Ilahi. Moga-moga dimakbulkannya.

Cerita tentang banjir, keadaan semakin pulih di Pahang. Begitu juga dengan di Temerloh. Beberapa hari lalu, saya bermesejan dengan emak bertanyakan keadaan di rumah. Semuanya elok-elok belaka. Kata emak, dia sedang bermain Sahiba. Ayah, Adi dan Kaklong pula sepasukan sedang menentang Adik Aiman, Adik Zizi dan Shafiq (sepupu dari Terengganu) dalam permainan karom. Inilah hikmah banjir bagi yang tidak terlibat secara total. Merapatkan hubungan kekeluargaan. Teringat kali terakhir saya bermain karom di rumah adalah bersama Nan 5-6 tahun yang lalu. Pasti ada unsur tidak puas hati kerana teknik jentikan Nan yang pelbagai dan ditambah pula taburan serbuk kaca (nama sejenis tepung yang digunakan untuk melicinkan papan karom) adalah tidak sekata. Jadinya, Nan mempunyai kelebihan untuk menang. Alah. Semuanya sekadar alasan. Saya yang tidak cekap bermain, mahu disalahkan Nan pula. Tetapi dalam Sahiba, saya jaguh. Kali terakhir saya bermain Sahiba adalah bersama arwah Chik Joe 2 tahun yang lalu. Bermain bersama Chik wajib menggunakan Bahasa Inggeris. Okay, no problem boss! Semuanya tinggal kenangan.

Dua hari lalu, saya menghubungi Lan. Katanya, dia akan pulang ke Temerloh pada hari ini (Rabu) untuk berhari raya. Seronoknya. Semua akan berkumpul di rumah. Aidil Adha biasanya disambut ala kadar saja di rumah. Selepas solat raya, orang kampung akan berkumpul di tempat yang dijadikan tapak penyembelihan. Teringat zaman kecil-kecil dulu. Jika ada lembu yang dibawa pulang untuk dijadikan korban, sayalah yang bertugas menyediakan air garam untuk ia minum. Sebenarnya sampai ke hari ini saya pelik. Kenapa diberikan air yang bergaram sebagai minuman? Kenapa tidak air tawar saja?

Teringat kata-kata seorang ustaz sewaktu di sekolah rendah. Siapa yang kasihan melihat haiwan dikorbankan, dia tidak boleh makan daging itu. Terus tergambar dalam ingatan wajah seorang kawan Nan yang menangis teresak-esak kerana melihat lembu disembelih. Budak-budak. Apalah sangat yang difahami waktu itu.

Aidil Adha kali ini saya beraya di kelas saja. Esok pagi akan ke hospital pada jam 9.30 pagi. Sekitar 2 petang baru selesai semuanya. Ini pengorbanan kami. Tiada cuti dan beraya di hospital saja. Setiap daripada kita pastinya mempunyai takrifan tersendiri dalam menghayati sirah pengorbanan Ibrahim dan Ismail.

Andai kita diletakkan dalam situasi yang sama, terpaksa menyembelih darah daging yang kita sayangi, sanggupkah kita? Atau ada yang lebih sanggup mendakwa tuhan yang menyuruh melakukan perkara itu dusta belaka? Itulah pengorbanan Ibrahim dan Ismail. Yang saling percaya bahawa itulah perintah Allah yang benar sebenar-benarnya.

Semoga Aidil Adha kali ini mengajar kita erti menjadi kuat dalam kehidupan. Mengajar kita erti berkorban untuk membenarkan kebenaran. Kadang kala kita tidak sedar langsung yang kita pernah berkorban. Kenapa begitu? Kerana kita telah meniatkan apa salahnya berkorban sedikit untuk masa depan yang lebih baik.

Selamat Hari Raya Aidil Adha buat keluarga di Temerloh dan Pulau Pinang. Juga rakan-rakan di seluruh dunia. Buat sahabat baik saya Dr. Nurul Faaiqah yang mengikuti Misi ke Darfur, semoga Allah memberkati budi dan jasa yang ditaburkan buat Muslimin di sana. Buat seorang lagi sahabat yang jauh di mata dekat di hati, teruslah kuat!

Salam Aidil Adha dari Moscow.

Nota: Saya ada exam pada hari Isnin hadapan. Doakan saya.

Posted on December 19th, 2007 by Sarah  |  24 Comments »