Author Archive

Kisah 5 Orang Psiko di Moscow

Assalamualaikum wbt

Selain Pediatrics, saya juga sedang mengikuti cycle Psychiatry sepanjang bulan ini sehingga awal April. Setiap hari memang memenatkan. Tapi setiap kali berada di Psychiatric Hospital, segala topik perbincangan sangatlah menarik. Doktor saya juga menarik. Sudah seperti orang yang psiko juga gayanya. Tapi sungguh. Dia memang menarik. Saya hendak berkongsi kisah-kisah menarik sepanjang di kelas Psychiatry.

Kisah 1:
Seorang lelaki, 53 tahun, telah berada di hospital itu sejak 20 tahun lalu, pernah dibenarkan pulang tetapi kemudian ditahan di hospital kembali. Dulu dia pernah bekerja sebagai Jurutera Aeroangkasa ketika di zaman KGB lagi. Bertugas membuat kapal terbang. Ketika sesi bual bicara bersamanya, antara yang didakwanya ialah sekarang dia berada di teritori USSR. Bukannya Russian Federation. Katanya, USSR itu sebuah kerajaan dan Russian Federation itu pula tidak ada. Atau lebih kurang lagi maksudnya, Russian Federation ini bukan sebahagian daripada pecahan USSR. Dia mendakwa dapat melihat objek secara 4 dimensi. Ketika sedang berbicara dengannya, dia mendapakwa ada 5 buah kamera daripada KGB yang sedang memantau di dinding. Dia juga mendakwa pernah masuk ke syurga yang letaknya di dunia dan sebaik keluar dari syurga itu, dia telah dilantik menjadi Presiden Amerika untuk kawasan itu. Sebaik lelaki itu dihantar pulang ke wadnya, kami membincangkan kes itu bersama doktor kami dan tidak boleh tidak, kami semuanya ketawa. Simptom yang dialami oleh lelaki ini ialah halusinasi dan mengesahkan penyakit Schizophrenia yang dialaminya.

Kisah 2:
Seorang wanita, 31 tahun, telah berada di hospital sejak 4 bulan yang lalu. Mempunyai seorang anak dan tinggal bersama ibu bapanya. Ketika ditemu bual, dia menceritakan pengalamannya kenapa dia boleh berada di hospital adalah disebabkan dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan otaknya. Dia dapat mendengar suara yang berbual dengannya sejak usianya 20 tahun. Ketika itu dia sedang menuntut di sebuah institut bahasa major dalam Bahasa Jerman. Dia mulai sedar bahawa suara itu mengikutinya ke mana saja sejak terdengarkan suara itu bercakap tentangnya di sebalik dinding di perpustakaan. Sejak itu, suara itu dapat didengarinya dengan jelas walaupun dia mendakwa jaraknya suara itu datang adalah lebih kurang setengah kilometer jauhnya. Penah ketika dia sedang menjalani ujian oral peperiksaan akhir di institut itu, dia menjadi lupa segala-galanya tetapi suara itulah yang menjawabkan segalanya untuknya sehingga dia lulus dari institut tersebut. Suara itu dakwanya suara seorang lelaki. Dia pernah cuba mencari sumber datangnya suara itu tapi tidak ketemu sesiapa. Dan suara itu pernah mengatakan ‘Aku cinta padamu’ di saat dia keseorangan. Dalam kes ini, dia tidak didominasi oleh suara itu sebaliknya dia dapat menguasai mindanya dan dengan itu dia datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Dia pernah berkahwin tetapi bercerai akibat gangguan suara ini. Ketika sesi soalan dibuka, sya bertanya, adakah di saat ini dia masih boleh mendengar suara itu lagi setelah 4 bulan dirawat? Seluruh auditorium hening. Dia kelihatan sedang fokus memandang dinding dan kemudian menjawab: Ya. Suara itu ada di jalan raya sekarang ni. Kami semua diam dan rasa meremang. Wanita ini juga mengalami halusinasi dan Schizophrenia yang dialaminya tidak seteruk Kisah 1 kerana dalam kes ini, dia dapat mengawal minda separuh sedarnya jauh lebih baik berbanding lelaki dalam Kisah 1.

Kisah 3:
Seorang wanita, mengalami trauma di kepala dan mempunyai cognitive disorder (masalah dengan intelektual). Sebelumnya dia merupakan seorang yang cerdik. Soalan diberi (dalam Bahasa Rusia) padanya. Apakah punca kuasa dua bagi 25? (Dalam Bahasa Inggeris: What is the square root for 25?) Dia menjawab: Akar? Nombor mana ada akar. Sebetulnya, ketika saya dan Mustaqim (rakan semeja saya) cuba menafsirkan soalan yang diberikan itu, kami juga menafsirkannya sebagai akar. Adakah kami mempunyai cognitive disorder juga? Oh, tidak. Ini kerana jurang bahasa yang terdapat dalam sistem limbik tempat menyimpan memori kita (language barrier). Bagi wanita ini, dia mengalami Prerequisites Moronic. Dia kehilangan kebolehan berfikir secara abstrak dan dikategorikan sebagai Mild Mental Retardation. Kasihan.

Kisah 4:
Seorang lelaki, mengalami trauma di kepala setelah terjatuh dari ketinggian kira-kira 7 meter. Setelah sedar dari koma, jika ditanya apa yang terjadi, dia akan bercerita kisah dia terselamat daripada insiden kapal terbang terhempas yang mana turut bersama dengannya adalah bekas Presiden Rusia yang pertama dulu. Setelah terhempas, dia dia jatuh ke laut bersama Mr. President itu dan mereka diselamatkan oleh seekor jerung yang berenang berhampiran. Mereka berpaut padanya dan direnangkan ke tepian. Di persisir pantai, mereka sedang ditunggu oleh isteri Mr. President itu. Sadis kisahnya. Lelaki ini akan mengulang-ulang kisah ini saja. Ini kerana dia mengalami Confabulation Paramnesia. Dia hanya mengingati memori fantasinya yang pernah diimejinkan olehnya sebelum berlakunya trauma tersebut.

Kisah 5:
Seorang wanita, mengalami mimpi-mimpi bersiri yang menceritakan episod percubaan membunuh dirinya. Dimulai dengan ditikam di rusuk kiri dan mengalami pendarahan yang teruk, ditoreh lengan dan cubaan untuk mencampaknya ke dalam gaung batu tajam dan cubaan mengebomnya dan disudahi dengan mencampaknya ke dalam sungai sehingga separuh lemas. Mimpi ini membuatkan dia terasa hidupnya diekori dalam kehidupan harian dan setiasa berwaspada dengan orang yang berjalan di belakangnya. Pernah dia bawa berbincang dengan sorang kawan dan kononnya kawan itu pembunuh yang mencarinya. Tetapi dia menidakkan fakta itu kerana kawan itu didapati menjadi salah seorang mangsa bersamanya dalam mimpi hendak dibom dan dibaling ke sungai. Dalam dia mencari siapakah pembunuh itu, datang seorang kawan yang menceritakan mimpi-mimpi aneh lagi misteri yang dialaminya pula. Tiba-tiba seakan-akan ada persilangan jalan cerita antara mimpi-mimpi mereka. Cross reference. Tapi persoalan tetap tinggal persoalan kerana pembunuh dalam mimpi-mimpi itu tetap tidak dapat dikenal pasti. Tetapi setelah berlakunya satu insiden chantek di satu pagi, mimpi aneh wanita itu hilang dan diganti pula dengan sebuah mimpi yang tidak dapat dihuraikan lagi. Dia tidak mengalami sebarang Psychiatric Disorder tetapi mimpinya terbawa-bawa dalam kehidupan harian dan dia menjadi sangat berwaspada akan hal itu.

Kesimpulannya, kisah 1, 2, 3 dan 4 semuanya adalah kisah yang terjadi di Psychiatric Hospital tempat saya mengikuti kelas Psychiatry. Semuanya kisah benar. Kisah 5 pula adalah kisah yang terjadi di House No. 16, Apartment No. 205/2, Malaya Piragovskaya Street, Moscow. Sebuah kisah yang masih tiada jawapan.

Posted on March 15th, 2008 by Sarah  |  27 Comments »

7 Perkara Pelik Tentang Saya

Assalamualaikum wbt

Saya tidur awal malam tadi. Sudah makan ubat, kepala jadi berat. Pagi ini terjaga awal. Mimpi yang bukan-bukan dan tidak selesa badan. Jadi ini tag ketiga yang diberikan oleh Maddie. Saya sengaja kerap menulis sejak semalam sebab dengan menulis di sini, menjadi terapi untuk kepala yang terasa penuh dan serabut.

Tag: 7 sillies about me. Saya besarkan sedikit rangkumannya menjadi 7 weird things about me. Tapi Maddie, KS sengaja tulis dalam Bahasa Melayu. Tak membawa sebarang perbezaan pun kan. Jadi, inilah antara 7 perkara pelik tentang saya.

1) Rumah saya ada sebuah koridor di tengah rumah yang luas dan di kiri kanan koridor itu ada pintu masuk ke 5 buah bilik tidur utama, ruang tamu hadapan dan meja makan ruang hadapan. Jika dilihat dari arah dapur ke hadapan, lantai koridor yang bermarmar itu akan memantulkan silau dek kerana adanya tingkap di ruang tamu yang bertentangan dengan koridor itu. Apa yang saya lakukan? Saya tidak boleh lihat permukaan lantai itu kotor atau berhabuk sedikit pun. Permukaan marmar itu wajib berkilat. Saya sanggup menyapu berbelas-belas kali pada hari-hari ramai orang yang lalu-lalang di situ contohnya Hari Raya atau ketika ramai saudara pulang. Saya tidak boleh lihat keadaan yang tidak kemas. Saya tak kisah terpaksa mengemas banyak kali asalkan keadaan rumah sentiasa kemas. Dulu ketika ada adik yang masih kecil, permainan mereka pun tidak boleh diselerakkan sesuka hati terutamanya di laluan koridor itu. Marmar itu wajib kemas dan berkilat. Huhu.

2) Saya takut dengan nombor. Atau lebih tepat, saya takut dengan nombor selain 1. Jadi saya akan berusaha sehabis daya untuk mengekalkan pencapaian terbaik saya ketika di sekolah dulu untuk mendapat nombor 1. Ketika di tingkatan 5, saya jatuh teruk akibat terlalu aktif dengan dunia bahas saya. Saya tertekan waktu itu. Tapi itulah juga saat yang mana telah mengajar saya: Number is nothing. What do you give and get in return is what counts. Sejak dari itu, saya sudah tidak kisah dengan nombor 1. Tapi nombor 1 tetap menjadi nombor kesukaan.

3) Sejak sekolah rendah sehinggalah tamat sekolah menengah (sudah ke Asasi Sains UM rasanya), saya selalu bertanya kenapa dan mengapakah manusia mencipta nombor dan seterika? Tentang nombor, menjawab persoalan kenapa saya takut dengan nombor 1 itu. Dan tentang seterika kerana saya pengawas sejak darjah 2 lagi. Jika baju tidak kemas, itukan tidak bagus dan disiplin diri seorang pengawas itu akan dipersoalkan. Ditambah pula dengan diri saya yang tidak sukakan sesuatu yang tidak kemas, jadi menggosok baju adalah 1 kewajipan. Tapi saya malas! Saya tidak suka tapi terpaksa buat juga. Siapalah yang mencipta seterika ini. Aishh…

4) Saya sangat suka mee sup sampaikan kalau hari-hari kena makan mee sup pun tak mengapa. Pernah satu hari saya menelefon rumah, adik Aiman kata tadi dia makan di luar. Dia kata, kat situ mee sup dia sedap. Dan dia teringatkan saya. Huhu. 1 keluarga saya tahu saya sukakan mee sup. Lebih umum, saya lebih suka mee dari nasi. Senang je nak jaga saya nanti. Makan mee sup hari-hari pun saya tak kisah.

5) Jika sedang memandu, saya ada cara sendiri untuk tidak mengantuk atau marah-marah pada pengguna jalan raya lain yang tidak berhemah. Saya bercakap seorang di dalam kereta dan bermain dengan plat nombor kereta yang saya nampak. Contohnya di simpang jalan ada seorang pakcik yang membawa kereta dan tidak sedarkan saya yang menggunakan jalan utama, saya tidak akan marah-marah menggunakan hon. Saya hanya akan bercakap seorang seperti: Eh, pakcik. Pakcik je ke yang nak hidup lama? Saya tak kisah mati dulu tapi ni kereta kakak saya. Nanti saya yang kena. Ataupun saya akan berkata begini: Aik. Awak je ke yang dah ada lesen besar. Saya ni lesen tolak stroller baby je ye. Haha. Tengok keadaan. Kadang-kadang, lagi teruk yang saya repekkan. Tentang bermain dengan plat nombor kereta, saya rasa ramai yang begini. Sejak kecil, saya suka menambah nombor plat kereta yang saya nampak dan memberikan jawapannya dalam kaedah matematik Mokhda. Contohnya CAT 8897. 8+8+9+7=32. Dalam kaedah Mokhda (kaedah cepat belajar Matematik yang pernah saya ikuti sewaktu sekolah rendah, susah hendak diterangkan tapi ringkasnya, setiap nombor diwakili oleh sebutan-sebutan ringkas). Jadi jawapan akhirnya ialah CAT gawa. Jadi bila terpandangkan kereta dengan plat ini, saya akan terus terfikirkan kesimpulannya sebagai Kucing Jawa. Sesuatu yang lebih kurang maknanya. Sangat rumit tapi inilah otak saya. Contoh kedua: BCB 763 (=BCB 16) (16=tunam) akan menjadi Bank BCB dan nak bertunang. Haha. Apakah? Ikut suka hati sayalah nak buat kesimpulan yang bagaimana :p

6) Saya sangat tidak suka tuisyen. Saya pernah tuisyen sewaktu tingkatan 3 saja. Itupun atas sebab saya banyak tertinggal kelas atas urusan bahas dan syarahan. Jadi untuk mengelakkan saya tertinggal silibus, saya ikuti kelas kombo 3 subjek: BI-BA-Matematik. Tapi saya rasa macam tiada fungsi pun saya ke tuisyen. Di tuisyen, saya pernah disuruh balik saja ketika kelas Matematik kerana ujian bulanan Matematik saya di sekolah, saya mendapat 99% (Mana boleh seratus kan. Tak logik sebab jalan kerja mesti ada yang kurang, kata cikgu saya). Bila di tuisyen, saya disuruh pulang pula. Apakah? Dan dalam kelas tuisyen BA pula, saya disuruh menjadi tutor kepada 2 orang kawan. Jadi, saya ni belajar ke tidak? Musykil… Sebab itu saya tidak suka ke tuisyen. Tambahan pula, dulu tuisyen saya bermula pada jam 2 pm setiap Sabtu. Saya akan terlepas cerita Spellbinder yang disiarkan secara bersiri di TV2 pada waktu itu. Ups. Baru saya sedar. Saya layan juga cerita fiksyen sebenarnya! *senyum* Untuk anak-anak saya nanti, saya tidak melihat tuisyen sebagai 1 kewajipan. Seboleh mungkin, saya lagi suka mereka belajar dan mengulangkaji di rumah. Jika terpaksa saja, baru akan menghantar mereka ke tuisyen. Saya lihat, sekarang ini bagaikan trend pula ibu bapa hendak menghantar anak-anak mengikuti tuisyen. Kadang-kala, memang tuisyen diperlukan sebab ada sekolah yang keciciran dari segi silibus. Selagi tidak perlu, tak usahlah. Ok. Ini pendapat peribadi saya. Mungkin ada yang tidak setuju 🙂

7) Saya tiada selipar di rumah. Kalau hendak keluar rumah, saya akan menggunakan selipar adik-adik saya saja. Kenapa? Sebab saya tidak suka keluar rumah dan lagi suka berkurung membaca buku, melayari internet atau menonton drama mana yang ada. Mana-mana drama yang merapu, dengan percuma saja akan mendapat kutukan dari hati saya yang tulus ikhlas. Jadi, selipar yang selalu menjadi mangsa ialah selipar Aiman dan Adi. Emak saudara saya kata, saya ni Puteri Lilin. Huhu. Apa-apa ajalah.

Ok. Cukup 7. Saya rasa, saya tidaklah sepelik mana. Dan 7 perkara ini bukanlah terlalu bodoh dan tidak disangkakan, bukan?

Maddie, sorry for the lack in any that I did. And I stop the tag here. I don’t know whoelse could bear doing such tag. It’s tiring to think over things we always do but we don’t really notice them. Hehe. Anyway, this tag makes me realize who I am for real. A half-weirdo. Hehe.

Posted on March 14th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Tempat Saya Bekerja


Assalamualaikum wbt

Pertama sekali saya nak ucapkan tahniah buat adik saudara saya, Liyana Che Ismail (Yana) yang telah mendapat 12A1 dalam SPM baru-baru ini. Produk KISAS juga sepupu saya yang seorang ni. Hehe. Harapnya, dapatlah dia menyambung dalam bidang Seni Bina (Architecture) seperti Abang Long dia.

Hari ini saya demam. Ubat dah makan. Badan masih panas. Saya nak rehatkan otak dengan menjawab 3 tag santai yang telah diberikan. Yang pertama adalah daripada adik saya Nan. Dah hampir setahun dia tag saya. Baru ni saya terasa nak buat. Tagnya ialah: My working station. Jadi, inilah tempat saya menghabiskan sebahagian besar masa saya. [Klik gambar untuk imej yang lebih besar]

1) Buku-buku dan sefail nota-nota untuk cycle Pediatrics ini. Nota-nota dari sem lepas yang perlu dirujuk semula sepanjang cycle ni.
2) Al-Quran dan Al-Quran terjemahan. Sebelah Al-Quran tu ada tiket balik. Huu. Dah beli dah. Bawah tu kotak hijau berisi diari yang kosong. Seekor beruang kecil yang dah berusia 3 tahun dan sekuntum bunga rampai yang dah tak wangi tapi saya sengaja simpan lagi.
3) Jadual sem ini.
4) Stethoscope, cekak rambut dan penanda buku dari Egypt.
5) Medal naib johan terbuka ping-pong uni saya pertengahan sem lepas.
6) Dua buah sajak dan doa dari kawan.
7) Koleksi keychain dari merata tempat. Termasuk skeleton kesayangan saya yang namanya Ivan Ivanovich. Hehe.
8) Bil rawatan di klinik swasta yang saya pergi waktu sakit teruk dulu. Sengaja letak di dinding supaya tak hilang sebab balik nanti boleh claim dari insurans kesihatan yang saya ada. Dan pada bil itu saya ada tulis peringatan untuk diri saya sendiri dalam Bahasa Arab (jadi housemates saya takkan faham. Hehe), alamat Alif Anwar di Adelaide dan perbelanjaan rumah yang telah didahulukan (yang belum kira untuk akaun bersama kami serumah).
9) Sajak baru yang belum ditulis ke dalam buku sajak saya. Yang ini contoh sajak yang saya sempat buat sewaktu dalam perjalanan ke hospital atau ketika di hospital. (Faaiqah, awak dah baca sajak ni =) )
10) Gambar yang diedit oleh Abang Khairil untuk birthday saya yang lalu dan sebenarnya di bawahnya ada sekeping gambar lagi. Gambar apa? Gambar berwarna oren! Takkan ada yang boleh teka punya :p
11) Gambar yang dilukis menggunakan application doodle di YM ketika online dengan seorang kawan. Saya suka sebab comel-comel gambarnya.
12) Handbooks, kamus Bahasa Inggeris dan sebuah lagi untuk Bahasa Rusia. Juga Ma’thurat, juzuk Amma yang saya sedang ulang, cermin mata ke-2 stapler dan punch.
13) Koleksi novel-novel. Ini yang terkini. Ada yang masih belum dipulang oleh junior-junior dan yang disimpan di dalam almari.
14) Losyen tangan, krim muka dan lip balm.
15) Laptop saya, teman baik saya.
16) Lampu study yang sama umur dengan permastautinan saya di sini. Dah 5 tahun dah.

Dan ini tag daripada Faresya pula. Faresya berumur 13 tahun. Jadi tagnya juga masih sangat ringkas 🙂

1.When did you bought your pet/pets?
I have none here. But back in Temerloh, my ayah loves cats. We have a number of them at home.

2. When is the most embarrassing moments in your life?
A mattress fell on me in front of relatives who came to visit during hari raya in Pulau Pinang. I was in standard 3 or 4 and I didn’t even run away after that. But when I was 13, those relatives came again and recognized me as the-fallen-mattress girl, nah, I was so embarrassed by that calling.

3. What make you hate your favourite food all of sudden?
Nausea after a hot mug of Milo. And was phobia to take it in big amount. Or maybe I can say, I don’t really drink Milo. But hot chocolate, yes I do.

4. Do you love to watch My Girl?
Have watched but do not love it.

5. Who is the first person that wish you ‘HAPPY BIRTHDAY’?
My emak and ayah.

6. When is your fun moments in your life?
Forgot. Final night in KISAS perhaps. Huhu.

7. Have you ever drank oil that you think it was tea?
Never ever 😀 (soalan apakah ini?)

8. Do your teacher ever said to you ‘You are the bad student in my class!’?
Never happened and won’t ever take place insya Allah.

9. Who always make you laugh?
Laugh out loud, none. Giggle alone, yes. Dia! The one who always talk sempoi stuffs with me. Hehe.

10. Do you think you are going to marry the person you love now in the future?
Marriage is a home for two who are fated to be together. Alahai. I have no answer for this. Sorry.

For the 3rd tag, I will do it somewhere later. Sorry. Need to take some rest. Galava kruzhitsa.

Posted on March 13th, 2008 by Sarah  |  12 Comments »

La Tahzan

Assalamualaikum wbt

Sensitif bermaksad peka. Maksud lainnya ialah peduli atau mudah terasa. Ada yang mengatakan sensitif ini sifat semula jadi manusia. Cuma terpulang bagaimana setiap manusia itu mengurus sensitiviti mereka.

Ada yang sensitif pada isu semasa, kewangan peribadi, ketrampilan diri, pencapaian dalam pelajaran mahupun pekerjaan, keadaan keluarga, isu agama sehinggalah sensitif dari segi perasaan yang mudah terasa dan cepat merajuk. Ini semua sensitif. Terpulang pada setiap inidividu untuk menilai sensitif yang mana satukah yang mereka miliki.

Saya sensitif. Saya tahu itu. Dan kawan-kawan yang membaca blog ini juga tahu. Saya bukan sensitif yang cepat merajuk. Saya letakkan diri saya seorang yang sensitif dari segi peka dengan apa yang orang lain fikir dan rasakan dan sebagai balasan saya mengharapkan yang sama. Jika saya diletaktepikan dalam hal ini, sensitiviti saya dipandang remeh, jadi, saya akan mudah terasa. Jika kita terasa dan terpaksa memendamnya dalam-dalam, itu menyedihkan dan meyakitkan, bukan? Terasa hendak menangis, terasa hendak balik Malaysia. Itu yang saya rasa. Datang seorang kawan bertanya khabar dan menenangkan. Mudah ayatnya: La tahzan. Saat itu juga saya menangis semalam.

Di saat kita meletakkan kawan di satu aras yang kita hormati, dan hak kita sebagai orang yang patut dihormati juga telah dinafi, adakah kamu akan terasa? Jika jawapan kamu semua tidak, mungkin saya ini dalam kategori terlalu sensitif.

Hasbiyallah… Cukuplah Allah bagiku… Jadi, saya minta maaf kerana saya begini.

Posted on March 12th, 2008 by Sarah  |  18 Comments »

Namanya Yen Shu

Assalamualaikum wbt

Cukup cerita pilihanraya. Saya hendak berkongsi kisah yang terjadi pada hari Khamis lalu. Sebenarnya permulaan segalanya adalah kira-kira sebulan yang lalu ketika saya sedang beratur untuk urusan visa di bangunan dekan.

Ketika sedang berbaris bersama Farah, tiba-tiba seorang lelaki Arab memotong barisan kami. Saya bengang. Farah juga begitu. Saya bertanya secara baik kepada lelaki itu dan berniat supaya dia faham bahawa kami beratur lebih dahulu daripadanya. Tapi, banyak pula alasan yang lelaki itu berikan. Dan sebenarnya, perbualan kami itu agak tegang (dalam Bahasa Rusia) dan saya sendiri tidak sangka boleh ‘bertekak’ dengan lancarnya dalam bahasa itu. Tapi kebiasaanya di luar sedar, kita memang boleh jadi begitu jika berada dalam keadaan terdesak. Kami menang. Ada seorang lelaki Arab lain memarahi lelaki pertama tadi kerana tidak menghormati hak orang lain. Dan pada ketika itu, saya sedar bahawa tingkah saya dan Farah diperhatikan oleh seorang lelaki yang beratur di belakang Farah.

Saya malu sebenarnya. Nampak seperti saya ini garang pula. Atau, lebih teruk mungkin saya ini nampak ganas. Saya bukan begitu. Lepas dari itu, saya diam saja sepanjang menunggu giliran kami. Setakat yang dapat saya amati, lelaki itu warganegara Cina, dari Tanah Besar. Tapi rupanya seakan-akan orang Korea. Sebetulnya, saya tidak dapat membezakan sama ada dia seorang bangsa Cina dari Malaysia atau dari Tanah Besar.

Sehinggalah pada hari Khamis lepas, kami bertemu lagi kerana urusan visa kami selesai pada hari yang sama juga. Kali ini, dia telah tiba lebih awal daripada saya dan Farah. Jadi, kali ini saya dan Farah beratur di belakangnya pula. Dia berkemeja biru muda dan dipadankan dengan kardigan kotak biru tua. Kemas rapi. Sewaktu mengambil passport dan visa kami itulah baru saya tahu bahawa dia warganegara Cina. Selesai urusan di situ, Farah terus pulang dan saya pula ada mesyuarat dengan Timbalan Dekan. Sekitar pukul 4 petang baru saya pulang.

Saya keluar dari bangunan itu sekitar jam 4.o5 petang. Ada cahaya matahari waktu itu. Suhu pastinya positif waktu itu. Saya terus berjalan kaki menuju ke hostel dalam kadar sederhana laju. Sebelum menyeberang jalan di sebelah kedai bunga berhampiran bangunan dekan, saya terdengar ada derap kaki di belakang saya. Saya toleh. Saya lihat, lelaki tadi berjalan di belakang saya. Saya teruskan saja perjalanan saya. Sebaik tiba di tepi jalan untuk melintas, saya sedar lelaki itu sudah berdiri di tepi saya, betul-betul berselisih dengan bahu kanan saya. Saya dengar dia menyebut davai yang bermaksud mari setelah dipastikan tiada kereta di kiri kanan jalan. Saya terus melintas bersamanya.

Di seberang jalan, dia tersenyum. Saya senyum sedikit tapi agak kekok kerana saya tidak tahu apa yang hendak direaksikan kepadanya. Tiba-tiba dia bersuara: Awak tinggal di hostel Spartivnaya juga ke? Saya menjawab semula: Ye. Kat situlah.

Bermula dari situ, menyusullah soalan-soalan lain daripadanya dan kami seperti sudah kenal lama. Perbualan kami seperti ayam dan itik. Bahasa perantaraan kami ialah Bahasa Rusia. Dia masih tidak berapa fasih kerana baru 2 tahun di sini dalam bidang Pharmacy dan saya pula tidaklah hebat mana berbahasa termpatan. Cukup makan sajalah kiranya. Sudah banyak yang dibualkan tentang pelajaran, barulah dia memperkenalkan dirinya: Saya Yen Shu. Saya nak panggil awak apa pula? Saya jawab pendek: Sarah. Yen Shu berkata semula: Sarah. International name. Dia senyum.

Kami merentas pasar berdekatan kawasan hostel ini. Sewaktu ada kereta sorong besar yang memungut kotak-kotak lalu berhampiran kami, Yen Shu berjalan di sebelah kiri saya iaitu di sebelah kereta sorong itu. Saya senyum. Dia lelaki yang prihatin. Saya senyum saja sebab tidak tahu apa yang patut direaksikan.

Sebaik tiba di pintu utama House No. 16 itu, dia membukakan pintu. Yen Shu bukan seorang yang banyak cakap. Dia nampak pendiam dan memang dia sangat menjaga bahasa yang digunakan ketika berkomunikasi dengan saya. Dan dia tenang saja ketika bercakap. Dia sensitif atau peka dengan keadaan sekeliling. Itu kesimpulan ringkas tentang Yen Shu di sepanjang perjalanan pulang kami petang itu. Tidak dilupakan, air mukanya manis dan tenang. Ya. Tenang. Jujur, saya suka melihatnya.

Sampai di tangga utama, saya katakan padanya saya akan menggunakan tangga saja untuk naik ke rumah. Yen Shu membalas bahawa dia akan menggunakan lif di bahagian tengah untuk ke tingkat 7. Sebelum berpisah membawa haluan masing-masing, dia bertanya: Sarah, awak nak ke tingkat berapa? Saya sedikit cemas waktu itu. Saya menjawab: Tingkat 3. Dengan jawapan itu, dia senyum sedikit dan berlalu selepas mengucapkan: Da svidaniya (jumpa lagi).

Saya tersenyum berjalan menuju ke bilik. Dan apabila sampai ke bilik, baru saya sedar bahawa disebabkan terlalu cemas sepanjang berjalan pulang dengan Yen Shu tadi, saya tersalah memberitahu tingkat rumah saya.

Saya tinggal di tingkat 2 sebenarnya! Baru kini saya tahu bahawa jika saya gabra, saya boleh tersasul sebegini sekali. Kesimpulannya, lain kali tenangkan diri kamu semua dan jangan sampai tersasul benda-benda yang remeh begini ye. Malu betul saya jika Yen Shu tahu yang saya gelabah dan tersasul sebenarnya.

Nota: Tahniah buat sahabat baik saya Mimie dan suaminya Azrin yang telah menerima kehadiran cahaya mata sulung mereka pada 10 Mac 2008, jam 8 pagi di Hospital Serdang. Mimie, saya happy sangat bila dapat mesej awak pagi semalam. Buat Sarah Ayana, welcome to the world! [Mimie dan Azrin, saya terharu dengan nama Sarah tu. Sungguh! Doakan saya pulak ye.]

Posted on March 11th, 2008 by Sarah  |  22 Comments »