Hai Lah Nasib, Hai Lah Badan…
Pada hemat saya, setiap daripada kita mesti mempunyai sesuatu yang kita takuti atau serami. Skopnya bukan setakat momokan tentang hantu jembalang saja malah lebih luas dari itu. Saya teringatkan kawan saya yang tidak boleh melihat haiwan berbulu termasuklah kucing. Dia jadi seram sejuk tapak tangan kerana baginya bulu haiwan tersebut bila-bila masa saja boleh tercabut daripada badannya dan ini akan amat menyakitkan haiwan tersebut. Agak memelikkan imaginasi kawan saya ini.
Yang paling ramai saya jumpa ialah takutkan haiwan-haiwan kecil yang menggelikan seperti lipas, katak, ular dan pacat lintah. Alasannya hampir sama saja. Geli. Pada pergerakannya, pada kulitnya, pada kedinginan badannya dan pada strukturnya yang melekit. Saya tidak geli atau takut pada haiwan-haiwan ini sebaliknya saya rasa unik terutamanya pacat dan lintah itu.
Bagi kanak-kanak pula, cerita hantu momok dan saudara-maranya yang lainlah boleh membuatkan mereka fobia untuk ke satu-satu kawasan. Mereka diingatkan berulang kali tentang kewujudan itu dan ini yang berupa begitu dan begini. Hantu busutlah, poconglah, bunianlah, langsuirlah hinggakan hantu kopek pun ada. Bagi yang sudah bersekolah, wujud bermacam-macam versi cerita seram yang boleh menjadikan mereka fobia untuk ke tempat tertentu bersendirian terutamanya pada waktu malam. Kisah-kisah begini biasanya lebih popular bagi yang tinggal di asrama. Saya pun pernah merasa tinggal di asrama. Pengalaman begini memang tidak dapat tidak akan terjadi di mana-mana saja. Mengapa ya? Adakah ini mentaliti hidup di asrama?
Tapi saya tidak takut atau fobia pada semua ini. Nak tahu saya fobia pada apa? Air milo panas. Ya. Air milo atau apa saja minuman malt coklat yang panas. Kisahnya, ketika berada dalam tingkatan satu, saya suka berjaga malam untuk menyudahkan kerja rumah. Pada suatu malam, saya minum semug milo panas. Sejurus selepas itu, saya mual yang teramat dahsyat dan mula muntah-muntah tanpa henti. Lebih kurang 2 hari saya begitu. Badan memang lembik. Sejak dari itu, saya mula takut untuk menyentuh air milo atau minuman malt coklat yang lain. Namun seandainya dihidangkan orang, saya jamah juga seteguk dua tapi tidak akan habis. Sebenarnya bukan kerana perut saya tidak boleh menerima minuman ini tapi kerana fobia yang saya rasa masih kuat menguasai minda. Jadi, saya akan terus rasa mual jika meneguk juga air ini.
Ketika saya teramat sibuk di bulan Febuari dan Mac yang lalu, saya agak kurang makan. Selera hilang. Jadi untuk menambah tenaga, saya membeli bahan makanan tambahan yang mengandungi serat dan vitamin yang tinggi untuk memastikan saya tidak sakit. Ia berupa bancuhan malt coklat. Pertama kali membancuhnya, saya tambahkan Nescafe ke dalamnya supaya rasanya seakan-akan Neslo. Saya hanya bancuh separuh mug supaya saya boleh mengadaptasikan diri saya dengan rasa loya saya itu. Dan sejak membelinya, hanya 4 atau 5 kali saja saya membancuhnya. Yang pasti wajib ditambahkan dengan Nescafe.
Semalam disebabkan teramat letih selepas habis exam dan badan seakan memberi isyarat terasa seperti tidak sihat, saya pun membancuh semug penuh malt coklat itu dan meminumnya sedikit demi sedikit. Jenuh juga saya hendak menghabiskannya. Belumpun separuh diminum, saya sudah loya. Saya mengadu pada Pena yang saya tidak sedap badan selepas minum air itu. Tambahan pula, sebelum itu Sha datang ke bilik membawa puding yang disaluti yogurt coklat Chudo yang pekat. Saya sukakan puding itu tapi yogurt coklat pekat yang sedikit itupun sudah berjaya membuatkan saya mual.
Sudahnya malam tadi saya tidur sangat lewat kerana tidak sedap badan dan loya yang berpanjangan. Saya melepek saja di sisi Pena dan Emy yang sedang menonton sesuatu di Laptop. Dan pada pukul 5 saya sudahpun terjaga kerana mual saya masih ada. Dan tidak dapat dielak lagi, saya muntah-muntah dengan agak teruk sebelum solat Subuh.
Inilah yang saya fobiakan. Air milo atau apa saja minuman malt coklat panas yang lain. Kerana saya boleh mual dan muntah-muntah sehingga lembik badan. Kononnya nak jaga kesihatan, sudahnya semakin tidak sihat pula. Hai lah nasib, hai lah badan…
Nota:
Nanti malam bila dah segar (sebab ni nak qadha’ tidur malam tadi yang tak cukup), saya jalan-jalan ke blog kamu semua ye. Dah lama tak beraktiviti merayap ni =)









