Author Archive

Kisah Cuti Hari #1

Assalamualaikum wbt

Ya Allah. Hendak menamatkan hari pertama cuti, terasa mati kutu betul. Hendak keluar tidak boleh. Sudahnya dari awal pagi saya hanya duduk-duduk di dalam bilik. Sungguh. Memang mati kutu. Selepas Zohor, saya sudah tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat. Makan dah berkali-kali, senaman pun sudah, rehat pun sudah. Saya duduk-duduk membaca buku di atas katil. Sudahnya tertidur. Dalam tidur sempat bermimpi menyelamatkan seorang perempuan yang mengelar kedua belah tangannya. Darah memang penuh. Tidurnya tak lama mana pun tapi bila terjaga terasa amat penat kerana dalam mimpi tersebut, saya bersungguh-sungguh cuba menyelamatkannya. Kenapa saya selalu bermimpi yang ganas-ganas begini? Tapi seronok juga sebab saya sempat beramali dalam mimpi. Habis segala ilmu diguna pakai untuk menyelamatkannya. Pelik betul.

Selepas Asar, kami serumah bermain Saidina sehingga sebelum Maghrib. Maghrib hari semalam, semua pelajar perempuan Malaysia yang tinggal setingkat dengan kami berjemaah di rumah kami. Minggu hadapan di rumah Anna pula rasanya. Tazkirah hari ini, uhuk, Ustazah Sarah yang bertugas.

Sementara menanti untuk bertolak ke jamuan makan di rumah Ili, kami serumah bermain kotak beracun. Memang seronok. Tambahan pula, main bersama ahli rumah sendiri saja. Semuanya sudah saling mengenali dan tidak segan silu dengan denda-denda yang dikenakan.

Inilah antara makanan yang saya jamah sejak pagi lagi. Dimulai dengan keropok, jemput-jemput ikan bilis, makan nasi dengan ayam masak tomato dan sup sayur. Ketika di rumah Ili, ada ayam goreng, kentang, zapekanka (sejenis pai makanan tempatan), sushi, puding jagung, agar-agar dan karamel telur. Jadi, bagi sesiapa yang tahu berapa berat saya turun bulan lepas, jangan risau. Cuti 5 hari ini saya cukup yakin boleh mengembangbiakkan semula badan dengan jayanya.

Airnya pula air apa? Wajiblah bagi saya Nescafe panas. Dan di saat ini, saya sedang minum teh susu panas. Teh wangi dari Syria lagi tu. Jangan jealous ye =)

p/s: Bismillahirrahmanirrahim…

Posted on April 19th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Kembali Kepada Fitrah

Assalamualaikum wbt

Bangun Subuh pagi tadi sangat awal. Maklum sajalah. Subuh jam 4. Selesai solat, tidur semula. Kelas pagi tadi jauh hospitalnya. Selewat-lewatnya 7.45 memang sudah bertolak. Biasanya 7.30 sudah hilang dari rumah.

Pagi tadi hendak mencetak nota di mesin cetak. Dakwat pula habis. Geram betul saya. Pagi-pagi lagi sudah hitam tangan terpaksa menyuntik dakwat isian. Selesai satu kerja, basuh tangan dan hendak menggosok tudung pula. Rupa-rupanya ada kesan dakwat hitam di jari yang belum betul-betul tanggal dan apabila memegang tudung yang dikeluarkan dari almari, dakwat terkena tudung pula. Sedang menggosok, baru tersedar hal ini. Bergegas ke bilik air mencuci segera supaya dakwat tidak kekal. Alhamdulillah. Selesai. Tapi sudah macam agak terlambat pula hari ini.

7.45 selesai calow bete dan menghantar sms pada sepupu, saya kabut terus. Baru 10 tapak keluar dari pintu utama bangunan, saya berlari laju mendaki tangga balik semula ke rumah. Kena kejar anjing? Eh bukan. Sejuk sangat. Tak tercapai akal yang pagi ini terlalu sejuk. Saya lihat suhu pagi tadi 3’C. Jadi saya kira pakai jaket biasa seperti 3-4 hari sudah tidak ada masalah. Tapi silap. Jadi saya balik untuk menukar jaket. Saya capai kot labuh hitam ala-ala The Matrix. Macho? Ye kot.

Bila jalan-jalan menuju ke metro, terasa nyaman amat sebab suhu sejuk tapi saya ada kot yang macho ini. Saya kata dalam hati, nanti petang bila hendak balik hari sudah panas, pegang sajalah kot ini. Tak jadi masalah pun. Masuk metro, saya kena berdiri. Oh, tak dapat tempat duduk pun tak mengapa. Malam tadi tidur cukup. Jadi tak perlu tidur lagi. Saya baca buku di sepanjang perjalanan. Sebaik melihat bumi semula setelah hampir 45 minit berada di bawah tanah, saya terkejut. Sudah mula bersalji pula. Sedangkan seminggu yang sudah, suhu sudahpun mencecah 18’C. Ajaib kan aturan Allah. Bila Dia mahu matahari itu disorokkan, bila-bila masa saja boleh ditarikNya. Bila-bila masa saja Dia mahu titik-titik hujan digantikan dengan keping-keping salji yang seperti kapas, tiba-tiba saja langit nampak gelap berkumuluskan salji. Bumi pun kemudiannya putih.

Sambil jalan-jalan kaki kurang lebih 15 minit menuju ke hospital, saya bernasyid Keluarga Bahagia versi Saujana wanita. Seorang-seorang. Siapa kisah kan. Sebenarnya tersangat rindukan ayah dan emak. Terus saja terbayangkan nasyid ini. Layan sajalah. Blues pagi Khamis. Sekerat jalan, saya tunduk betulkan tali kasut tercabut. Bila saya dongak hendak mulakan perjalanan, saya nampak 2 orang gadis berlari-lari anak dari arah depan. Skirt pendek separas lutut, jaket nipis separas pinggang, kasut 2 inci lebih tingginya kot. Lari, lari dan lari. Kedek-kedek saja sebenarnya. Laju manalah sangat kalau dah kasutnya tinggi yang amat. Dan di hadapan saya kemudiannya ada 3-4 orang lagi yang sebegitu. Berskirt pendek. Lari-lari kecil menuju arah bertentangan.

Saya tahu kenapa mereka lari begitu. Mereka sejuk sebenarnya. Cuaca pagi tadi memang tidak disangkakan. Tiba-tiba lari dari jangkaan. Ramai yang berjaket nipis saja. Berskirt pendek saja. Berbaju pendek pula memang normal rasanya. Tiba-tiba daripada dendangan suara perasan seorang diri tadi, saya bertukar kepada gelak-gelak seorang pula.

“Ha… Padan muka. Pakai lagi pendek-pendek. Pakai lagi singkat-singkat. Dah sejuk. Kasut pulak tak boleh tak bertumit rumah 2 tingkat. Nak lari pun kena beringat. Kalau jatuh golek-golek, nanti malu muka yang tebal warna-warni tu.”

Lepas itu saya beringatlah untuk berhenti gelak-gelak. Tak baik kan. Nanti saya pula yang jatuh atau apa, padan muka sendiri. Pagi tadi, Allah kurniakan akal yang waras dan sihat. Supaya lari balik menyalin kot yang sedikit tebal. Alhamdulillah juga saya hanya berkasut Sketchers dark brown-pink berbatu 3 kecil berkilat. Tapaknya leper. Pastilah boleh lari ligat-ligat balik ke rumah. Jatuh tiada masalah. Saya tak malu sebab muka saya memang tak lawa pun. Tiada warna-warni. Orang pun tak mahu pandang lama-lama.

Saya hanya berminat dengan promosi seorang kawan saya. Katanya siapa pakai ketat-ketat, tak ikut yang sepatutnya, segan berkopiah, bertudung dan sebagainya, orang tu ketinggalan zaman. Sekarang ini trendnya bertemakan kembali kepada fitrah. Siapa tak mahu rasa kuno, jom kita sama-sama buat. Kembali kepada fitrah.

Nota:
Mula hari Jumaat sehingga Selasa depan, kami semua di Moscow bercuti 5 hari. Jika dirujuk dalam takwim kerajaan Persekutuan Rusia, tiada cuti pun yang tercatat untuk tempoh ini. Jadi kami di sini bercuti apa? Huh. Saya malas hendak cerita. Sebenarnya saya benci duduk di sini kerana adanya isu ini. Dan inilah salah satu sebab kenapa saya tidak suka bulan April. Kenapalah kolot, sempit fikiran dan bodoh sombong sangat mereka ini? Ok. Saya emo pula. Tinggal dulu. Perechek….~

Posted on April 18th, 2008 by Sarah  |  19 Comments »

Hai Lah Nasib, Hai Lah Badan…

Assalamualaikum wbt

Pada hemat saya, setiap daripada kita mesti mempunyai sesuatu yang kita takuti atau serami. Skopnya bukan setakat momokan tentang hantu jembalang saja malah lebih luas dari itu. Saya teringatkan kawan saya yang tidak boleh melihat haiwan berbulu termasuklah kucing. Dia jadi seram sejuk tapak tangan kerana baginya bulu haiwan tersebut bila-bila masa saja boleh tercabut daripada badannya dan ini akan amat menyakitkan haiwan tersebut. Agak memelikkan imaginasi kawan saya ini.

Yang paling ramai saya jumpa ialah takutkan haiwan-haiwan kecil yang menggelikan seperti lipas, katak, ular dan pacat lintah. Alasannya hampir sama saja. Geli. Pada pergerakannya, pada kulitnya, pada kedinginan badannya dan pada strukturnya yang melekit. Saya tidak geli atau takut pada haiwan-haiwan ini sebaliknya saya rasa unik terutamanya pacat dan lintah itu.

Bagi kanak-kanak pula, cerita hantu momok dan saudara-maranya yang lainlah boleh membuatkan mereka fobia untuk ke satu-satu kawasan. Mereka diingatkan berulang kali tentang kewujudan itu dan ini yang berupa begitu dan begini. Hantu busutlah, poconglah, bunianlah, langsuirlah hinggakan hantu kopek pun ada. Bagi yang sudah bersekolah, wujud bermacam-macam versi cerita seram yang boleh menjadikan mereka fobia untuk ke tempat tertentu bersendirian terutamanya pada waktu malam. Kisah-kisah begini biasanya lebih popular bagi yang tinggal di asrama. Saya pun pernah merasa tinggal di asrama. Pengalaman begini memang tidak dapat tidak akan terjadi di mana-mana saja. Mengapa ya? Adakah ini mentaliti hidup di asrama?

Tapi saya tidak takut atau fobia pada semua ini. Nak tahu saya fobia pada apa? Air milo panas. Ya. Air milo atau apa saja minuman malt coklat yang panas. Kisahnya, ketika berada dalam tingkatan satu, saya suka berjaga malam untuk menyudahkan kerja rumah. Pada suatu malam, saya minum semug milo panas. Sejurus selepas itu, saya mual yang teramat dahsyat dan mula muntah-muntah tanpa henti. Lebih kurang 2 hari saya begitu. Badan memang lembik. Sejak dari itu, saya mula takut untuk menyentuh air milo atau minuman malt coklat yang lain. Namun seandainya dihidangkan orang, saya jamah juga seteguk dua tapi tidak akan habis. Sebenarnya bukan kerana perut saya tidak boleh menerima minuman ini tapi kerana fobia yang saya rasa masih kuat menguasai minda. Jadi, saya akan terus rasa mual jika meneguk juga air ini.

Ketika saya teramat sibuk di bulan Febuari dan Mac yang lalu, saya agak kurang makan. Selera hilang. Jadi untuk menambah tenaga, saya membeli bahan makanan tambahan yang mengandungi serat dan vitamin yang tinggi untuk memastikan saya tidak sakit. Ia berupa bancuhan malt coklat. Pertama kali membancuhnya, saya tambahkan Nescafe ke dalamnya supaya rasanya seakan-akan Neslo. Saya hanya bancuh separuh mug supaya saya boleh mengadaptasikan diri saya dengan rasa loya saya itu. Dan sejak membelinya, hanya 4 atau 5 kali saja saya membancuhnya. Yang pasti wajib ditambahkan dengan Nescafe.

Semalam disebabkan teramat letih selepas habis exam dan badan seakan memberi isyarat terasa seperti tidak sihat, saya pun membancuh semug penuh malt coklat itu dan meminumnya sedikit demi sedikit. Jenuh juga saya hendak menghabiskannya. Belumpun separuh diminum, saya sudah loya. Saya mengadu pada Pena yang saya tidak sedap badan selepas minum air itu. Tambahan pula, sebelum itu Sha datang ke bilik membawa puding yang disaluti yogurt coklat Chudo yang pekat. Saya sukakan puding itu tapi yogurt coklat pekat yang sedikit itupun sudah berjaya membuatkan saya mual.

Sudahnya malam tadi saya tidur sangat lewat kerana tidak sedap badan dan loya yang berpanjangan. Saya melepek saja di sisi Pena dan Emy yang sedang menonton sesuatu di Laptop. Dan pada pukul 5 saya sudahpun terjaga kerana mual saya masih ada. Dan tidak dapat dielak lagi, saya muntah-muntah dengan agak teruk sebelum solat Subuh.

Inilah yang saya fobiakan. Air milo atau apa saja minuman malt coklat panas yang lain. Kerana saya boleh mual dan muntah-muntah sehingga lembik badan. Kononnya nak jaga kesihatan, sudahnya semakin tidak sihat pula. Hai lah nasib, hai lah badan…

Nota:
Nanti malam bila dah segar (sebab ni nak qadha’ tidur malam tadi yang tak cukup), saya jalan-jalan ke blog kamu semua ye. Dah lama tak beraktiviti merayap ni =)

Posted on April 15th, 2008 by Sarah  |  42 Comments »

Menjadi Insan Berkualiti

Assalamualaikum wbt

Akhirnya, exam yang terakhir untuk tempoh dua bulan ini sudahpun berakhir. Alhamdulillah. Puji dan syukur layaknya hanya untuk Allah. Terima kasih buat rakan-rakan sekumpulan yang memberikan kerjasama terbaik untuk persiapan exam kali ini. Usaha kita sekumpulan memang tidak sia-sia. Juga buat emak dan ayah yang tidak putus mendoakan saya.

Dulu saya pernah menulis tentang satu nilai yang perlu kita ada untuk berjaya. Fokus. Itulah kuncinya. Tapi untuk melengkapkan diri menjadi seorang yang bergelar insan, kita perlukan elemen-elemen sampingan yang tidak kurang pentingnya untuk menjadi insan berkualiti.

Menghargai masa, bersabar, berhubung baik sesama kita, tidak lokek membantu, menerima ujian dengan berlapang dada dan yakin dengan ganjaran yang menanti. Ini semua antara elemen sampingan yang perlu dititikberatkan dalam diri kita.

Sebenarnya, kita tidak perlu duduk menekun membaca buku-buku motivasi yang spesifik berkisar tentang ciri-ciri orang yang berjaya hanya semata-mata untuk mencari rahsia kejayaan. Bongkakkah saya dengan berkata bergitu? Jangan salah faham. Sebenarnya ada sumber lain yang lagi tepat dan indah dalam mencirikan dengan lebih terperinci keperibadian insan yang berkualiti. Sumbernya tidak lain tidak bukan adalah Al-Quran.

Ciri-ciri yang saya senarai pendekkan di atas semuanya terkandung di dalam Al-Quran. Sebagai rujukan, sila rujuk surah Al-Asr ayat 1-3, surah Al-Hujurat ayat 10, surah Ali Imran ayat 103, surah Al-Hadid ayat 16 dan ayat yang menjadi pilihan ramai semestinya surah Al-Baqarah ayat 286. Kesemua ayat di atas menceritakan ciri-ciri yang perlu ditanam dan disebatikan dalam diri kita untuk menjadi insan yang berkualiti.

Disebalik kita perlu berusaha memberikan yang terbaik daripada diri kita, jangan kita lupa satu lagi ciri yang amat disukai Allah. Sebolehnya, ciri terakhir ini perlu kita kemas kinikan dari masa ke semasa. Itulah dia penyucian jiwa. Mengapa kita perlu menyucikan jiwa? Sebenarnya dalam sedar atau tidak, dalam kita ligat melengkapkan diri menjadi insan yang berkualiti untuk mencapai kejayaan, kita terlepas pandang skop rohaninya. Kita mengabaikan banyak benda. Kita asyik mencari zon selesa untuk kehidupan kita di dunia. Kita silap di sini. Jadi, kita diusulkan agar sentiasa menyucikan jiwa kerana kita tergolong sebagai orang-orang yang beruntung andai melaksanakannya. Inilah ciri yang diajarkan oleh Al-Quran dalam surah Asy-Syams ayat 7-10.

Dan persoalannya, kenapa kita perlu berusaha melengkapkan diri kita untuk menjadi insan yang berkualiti? Jawapannya mudah. Kerana setiap daripada kita mempunyai potensi dan keistimewaan yang tersendiri. Kita ini makhluk yang unik dan setiap yang unik itu mempunyai nilai entiti yang tersendiri.

Kalau ada yang kata dirinya tiada apa yang luar biasa, itu kurang tepat. Paling tidak, mungkin dia unik kerana pandai menggulungkan lidah atau boleh membunyikan siulan. Saya tidak unik dari segi siulan. Tapi uniknya diri saya kerana saya pandai berangan. Kamu pula bagaimana ya? =)

Hari buat dia:
Biar apapun yang kita lakukan, pokoknya adalah redha Allah. Kita tidak lagi berkualiti andai agama dibelakangkan.

Posted on April 15th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Yang Merah Itu Saga

Assalamualaikum wbt

Entri lepas agak sensitif saya kira. Komen masuk berderet-deret dan semuanya mempunyai pendapat masing-masing tentang topik itu. Buktinya, setiap orang bagaikan membuat sub-entri menceritakan pengalaman masing-masing dan menyatakan pendapat tentang topik tersebut. Terima kasih saya ucapkan pada semua yang berkongsi. Tapi maaf saya tidak mengulas satu persatu. Saya rangkumkan saja komen balas buat semua yang telah berkongsi pendapat. Semuanya bernas. Tiada siapa yang salah. Semoga kita semua belajar sesuatu daripada perkongsian itu.

Untuk mengurangkan ketegangan, saya hanya hendak menyudahkan tag daripada Kak Aleeya. Agaknya Kak Aleeya balas dendam pada saya ni. Tagnya tentang MERAH. Letakkan gambar baju, barang kepunyaan atau apa saja koleksi yang berwarna merah yang saya miliki dan terangkan kenapa saya memakai baju itu pada hari itu (kenapa memiliki barang itu). Jadi inilah gambarnya.



Gambar pertama kira-kira setahun yang lalu. Saya rasa baju itu tidaklah terlalu merah. Agak kemerah-jambuan. Gambar ini yang telah diedit untuk 1 entri lama tahun lalu. Gambar asalnya sudah tidak ada rasanya. Lupus bersama laptop lama yang rosak. Sebenarnya kebetulan saja saya pakai baju itu pada hari tersebut. Bukanlah sebab saya suka merah atau merah jambu.

Yang kedua pula ketika majlis Rumah Terbuka Tourism Malaysia Moscow 2 tahun lalu. Saya di tahun 3 waktu itu (erk… muka masih macam budak-budak). Sebenarnya bukan baju saya pun. Kebetulan ketika kami serumah bersiap-siap untuk ke rumah Kak Azizah, Pengarah Tourism Malaysia Moscow, kami bertukar-tukar baju. Saya pakai sajalah baju kurung merah ini. Sedondon dengan stokin lagi tu. Hihi. Saya tidak banyak barang peribadi berwarna merah. Baju pun, ada sehelai je kot rasanya yang berwarna merah. Itupun t-shirt universiti saya yang sentiasa bertemakan merah. Ini t-shirt sewaktu saya mewakili pingpong dalam kejohanan sukan tahun lalu. Paling habis, saya ada sikat yang berwarna merah hitam. Ha! Kalau merah saja saya kurang minat. Tapi sekiranya kombinasi merah-hitam, sangat kacak. Kak Aleeya, saya tiada kereta lagi untuk ditayangkan. Kereta kakak saya adalah. Merah juga warnanya. Baju kahwin warna merah pun tiada lagi. Tak bolehlah nak lawan akak nampaknya. Hehe.

Yang terakhir itu gambar cupcakes yang saya jumpa di internet. Saya belum pernah sentuh apatah lagi melihat dengan mata sendiri bagaimana rupanya cupcakes. Tadi adik saya Nan berjaya membuatkan saya cemburu dengan cupcakes yang dihadiahkan buat Farah sedikit masa dahulu. Huhu. Tapi saya berkenan sungguh dengan cupcakes yang ini. Itu sebab saya menggunakan avatar ini kebelakangan ini. Dan kenapa saya letakkan gambarnya? Pertama sebab ada warna merah. Kedua kerana kata-katanya yang manis.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Posted on April 11th, 2008 by Sarah  |  31 Comments »