Author Archive

UEFA Final’08 – Champions Festival

Assalamualaikum wbt

Semalam dengan hanya perancangan yang mengejut, kami serumah keluar selepas Zohor menuju ke Pusat Bandar (selepas ini baca sebagai Center) di dataran Red Square. Tujuannya adalah untuk menyaksikan UEFA Final’08 Champions Festival. Sampai saja di dataran luar, yang dapat kami saksikan hanyalah lautan manusia. Ramai sungguh! Oh ye. Dalam sesak-sesak itu, sempat pula saya bertemu dua pupu saya, Lisa (Ayah, semalam ayah sebut pasal Makcik Bahiyah, lepas tu terus Ngah jumpa Lisa di Center). Dipendekkan cerita, festival ini adalah bagi meraikan kedatangan warga dunia ke Moscow. Sangat meriah di sana. Dapat tengok piala yang digilai ramai lagi tu. Tapi orang yang berbaris untuk masuk ke bilik trofi itu sangatlahhhhhhhh panjang.

Di samping itu ada juga perlawanan futsal, booth Manchester United yang sememangnya sesak padat dan begitu juga booth Chelsea yang serba biru putih. Ada show room untuk tayangan video sejarah UEFA yang memang sangat mengujakan. Saya ada videonya. Nantilah saya muatnaikkan. Ini sekadar entri ringkas. Saya tak ada masa sangat ni. Dan yang paling sesak adalah gerai rasmi yang menjual t-shirt dan barang-barang lain sempena final kali ini. Sangat sesak. Tergelam saya dicelah-celah orang. Huhu.

Selepas beredar dari tapak festival (3 jam lebih kami di sana, kononnya nak pergi kejap saja!), kami menuju ke kawasan Kremlin. Tulip sedang subur tapi disebabkan cuaca panas, agak layu sikit pada hari semalam. Memang cantik. Kebetulan Hatim menyertai kami serumah. Dengan 7 orang ini, memang meriah sungguh semalam. Sekerat jalan, saya sudah kepenatan dan hanya duduk di bawah pokok berehat-rehat. Merasalah saya menjadi model kepada seorang pelawat dari Itali semalam. Haha. Rasa nak mintak je gambar dari mamat tu. Dah penat melayankan mereka semua yang tak habis-habis bergambar sana-sini, kami kemudiannya membuat kata putus untuk makan di luar saja. Kalau tak, balik nanti perlu masak lagi. Nak study lagi. Jadi kami menuju ke Sbarro kerana saya mempunyai kad ahli. Penuh!!! Malangnya nasib. Terpaksalah cari restauran yang jauh. Kami menuju ke Pizzaressimo. Sampai di sana tutup pula kerana sedang dibaik pulih! Penat sangat dari Center nak ke Mayakovskaya itu tau. Sudahnya, kami berjalan kaki ke Planet Sushi di seberang jalan. Sekali lagi, penuh juga! Ah. Sudahnya kami semua ke Patio. Penuhlah perut dengan pasta dan pizza saja untuk hari semalam. Keluar pukul 2 lebih. Sampai rumah dah pukul 8. Ok. Ini saja dulu. Tengok gambar sajalah kali ini. Klik gambar untuk imej yang besar.

Acai, gambar saya pegang telefon tu sebab tengah seronok mencemburukan awak dengan keberadaan saya di festival tu lah. Hahahaha~ Silalah cemburu lagi dan lagi dan lagi =)




Nota: Maaf. Ada beberapa keping gambar telah dibuang =)

Posted on May 19th, 2008 by Sarah  |  64 Comments »

Baju Kurungku

Assalamualaikum wbt

Sejak kecil saya selalu terasa setiap kali emak memilihkan saya dan Kaklong kain untuk membuat baju kurung. Kami sudah terbiasa menghantar kain pasang untuk ditempah pada Mak Tam, emak saudara kami atau Mak Huda, tukang jahit di kampung kami. Baju yang ditempah begini lebih selesa dan yang penting berpoket dan susun lipat tepi kain lebih daripada yang dibeli siap. Tetapi setiap kali mendapat bahagian masing-masing, saya pasti akan mendapat warna yang saya kurang gemar.

Saya masih ingat ketika dalam darjah 3, emak hendak menempahkan kami baju kurung moden. Kainnya cantik. Ada kuning-hijau lembut dan biru tua-merah jambu. Saya berkenankan yang kuning-hijau itu. Sebaliknya saya mendapat yang satu lagi. Saya memberontak sangat dalam hati. Di mulut pula ada mengomel kenapalah asyik Kaklong saja dapat yang cantik-cantik. Bagi saya, yang warnanya biru tua-merah jambu itu seperti kain sari. Macam India. Saya merungut. Kata saya, saya tahulah saya tak secantik Kaklong (saya baru kurang setahun sembuh selepas terbakar dulu), lagi hendak dipakaikan dengan warna seperti sari ini. Saya sangat terasa hati. Dalam pada tidak suka, saya terima sajalah.

Tetapi emak ada alasan kenapa dia memilihkan saya kain itu. Katanya, saya cerah. Jadi saya kenalah pakai yang warnanya gelap sedikit untuk berseri. Saya tidak bersetuju. Bagi saya, saya gelap. Siti terbakarlah katakan. Saya nampak seperti Aci saja dalam kain itu. Saya mengadu pada Mak Tam yang menjaga saya sejak kecil. Saya katakan yang saya sedih sebab Kaklong mendapat kain yang saya suka. Mak Tam memujuk. Alasannya sama dengan emak. Saya merajuk dua tiga hari dengan Mak Tam kerana Mak Tam seakan-akan membela Kaklong yang mendapat kain cantik itu.

Apabila hari raya tiba, dalam pada terpaksa, saya pakai juga baju itu. Saya ada dua helai baju untuk raya tahun itu. Sehelai lagi berwarna kuning berbunga. Emak khaskan yang itu untuk raya kedua. Raya pertama mestilah pakai kain yang lagi mahal kan. Tapi saya tidak suka. Saya rasa malu sangat. Tapi lain pula jadinya hari itu. Apabila bertemu dengan saudara-mara, mereka memuji saya manis berbaju kurung itu. Kata mereka, warna macam inilah baru sesuai dengan saya. Barulah nampak cerah atau tak. Pujian yang sama diberikan pada Kaklong. Jadi sebenarnya saya tidak pastilah mereka menujukan pujian ikhlas kepada siapa.

Bila sudah besar, biasanya emak akan memberi duit dan kami akan membeli kain sendiri, mengikut citarasa kami. Dan sejak masing-masing sudah ke universiti, kami hanya membeli baju siap. Senang dan banyak pilihan. Bagi saya yang hanya setahun sekali pulang bercuti ke Malaysia, emak pasti akan mengikut saya pergi membeli baju di Butik Tradisional Melayu di Temerloh. Kedai pilihan. Kenapa saya perlu ditemani emak? Jawapannya kerana jika saya pergi sendiri, saya hanya akan memilih tona warna yang hampir sama.

Saya sudahpun ada banyak baju bertonakan coklat dan biru. Jubah seluar pun berwarna coklat. Banyak betul yang warnanya coklat. Sebelum ke butik itu, seminggu pertama tiba di Malaysia tahun lalu, saya membawa adik saudara saya menemani saya membeli baju kurung siap di Kaid Johar, gedung kain yang popular di situ. Adik saudara saya kata, saya tak pandai berfesyen langsung. Asyik pilih warna yang gelap-gelap. Lantaklah. Saya tetap beli juga 2 helai baju kurung dan sepasang jubah seluar untuk kegunaan di Malaysia. Saya tidak suka pakai baju lain selain baju kurung. Sebab itu saya menambah stok saya untuk kegunaan sepanjang cuti.

Jadi, ketika di butik itu, saya terlihatkan sehelai baju berwarna coklat tanah keemasan, kain kosong, Baju Kurung Pahang. Saya berkenankan baju itu. Baru saja hendak mencapai, saya diberi amaran oleh emak. ‘Ha… No more brown colour ok.’ Tersedih sekejap. Sudahnya saya dipilihkan dengan sehelai baju kurung hijau baldu sekali dengan tudung yang dipadankan oleh emak. Balik ke rumah malam itu, saya mencebikkan muka saja di dalam kereta. Maklum sajalah. Orang sedang merajuk. Keesokannya saya menunjukkan baju itu kepada Mak Tam. Mak Tam sangat sukakan warna itu. Kata Mak Tam, saya kenalah berani cuba warna-warna begini. Jangan takut apa orang kata. Kata Mak Tam lagi, kulit saya sesuai untuk apa-apa warna pun. Jadi janganlah nak merajuk lagi. Saya diam saja. Saya bawa baju dan tudung itu untuk di basuh sebelum dilipat untuk dibawa pulang ke sini sebagai baju raya.

Pendek cerita, saya tidak pernah betul-betul dapat warna yang saya suka. Saya cemburu melihat baju raya Kaklong tahun lalu. Ungu! Sedangkan ketika di butik malam itu, saya ada menunjukkan sehelai baju kurung ungu gelap pada emak tetapi emak tetap katakan tidak kerana masih berona gelap. Beberapa bulan sudah, ketika saya agak tidak bersemangat, saya menelefon rumah dan salah satu pujukan daripada emak ialah ‘Tak lama dah nak balik kan. Nanti balik mak tempahkan baju kurung ungu kain yang Ngah nak ok.’ Lucu pula teringatkan pujukan ini. Macam saya ini budak kecil saja lagi.

Begitulah kisahnya saya dan warna baju kurung. Selalu saja dikatakan tidak pandai memilih warna. Apa-apa sajalah. Asalkan saya selesa cukuplah. Itu prinsip saya. Berbalik kepada blog. Pasti semua dapat melihat wajahnya sudah baru. Saya teringatkan ‘baju’ blog saya yang pertama. Kombinasi coklat gelap-coklat cair. Kemudian ditukar ‘baju’ hitam klasik pula dan seterusnya ditukar ke coklat gelap kembali. Saya sebenarnya sudah lama mencari-cari warna yang terang putih bersih begini. Sejak sebelum menggunakan warna coklat gelap yang dulu. Tapi tidak berjumpa dengan template yang menyediakan ruang tulisan utama yang luas. Yang ada semuanya yang kecil-kecil saja. Saya kurang gemar yang begitu. Jadi, inilah ‘baju’ saya untuk kali ini. Saya harap, emak puas hati dengan pilihan saya kali ini. No more brown. Kali ini bertemakan Pakatan Rakyat Hijau-Biru pula. Hehe. Dan saya sukakan pokok sebatang di atas itu. Membawa refleksi saya yang seorang lone ranger di sini dan berharap dapat menjadi seperti pokok (seperti yang dikatakan oleh Saidina Abu Bakar); membawa manfaat kepada yang lain walaupun telah mati nanti. Link pautan saya letakkan di bawah sekali. Supaya bahagian atas blog ini tidak serabut dan sesak.

Selamat berhujung minggu buat semua =)

Posted on May 17th, 2008 by Sarah  |  57 Comments »

My Back Up Plans

Assalamualaikum wbt

During Epidemiology lecture in Prophylactic Department yesterday, there were only 5 of my groupmates attended the lecture. And I was the only girl among those guys. The rest of them were students from the other groups. The story was, during the break, they were chatting about some plans that they wish they could do. I overheard it and was wondering what kind of plans they wanted to fulfill.

Later on they told me that it was about their back up plan if only they can’t manage to complete their study successfully. I just couldn’t resist to laugh listening to their plans. 1 thing that I had enough to laugh on was to become a steward but surely not in Malaysia. Instead, to work with an international airline service. Clear enough. This can help him to avoid meeting people in Malaysia who will keep asking where on earth he has been working as a doctor. God forbid, I don’t want it to happen too but at least they are a step ahead of me to have prepared for the worst. So, when the second part of the lecture continued, I daydreamed at my seat and it turned out that my friend who sat next to me laughed at me after looking through my list.

1) To fit in as Mak Andak’s nanny in Alexanderia, Egypt. If then she doesn’t need one anymore, I will proceed

2) To become a full time blogger and run e-money for my earning and surely will use a different nick name. I’m thinking of a name that sound not so me. Kajol Malaya for instance. Hehe. But if that still can make people notice my existence in Malaysia not as a doctor, I will proceed to

3) Live sound and silent in the most rural town in Sabah and run a children care center. If it happens to be my dear friends are sent to work in the nearby hospital and notice me there, I will

4) Marry Annas and live in Syria! Aaaa…. Tak mau! (refer to entries on Monolog Bersama Iman i-finale to recall who Annas is).

I know I don’t want it. So, let’s strive for a better tomorrow. A better than good, insya Allah.

Happy Teacher’s Day to all my teachers, ustaz ustazah, lecturers, doctors and specially dedicated to my mother, my sister and my aunties (Mak Long Raziah and Mak De Aida) and my uncles (Ayah De and Pak Ngah Ajib) who have devoted their days and nights as teachers and lecturers. And to Bro Fisol and Kak Mai, and Cikgu Jawe too. Happy Teacher’s Day.

To Izu in London, here is the latest pic of Fizy. Maybe some of you can still recognize these 3 people who hold our own history in debate around 2001-2002. Hafizy (SMAPK’s 3rd speaker), Hakimi (SERATAS’s 1st speaker) and me (KISAS’s 2nd speaker). We have been groupmates for 5 years here in Moscow!

Hari buat dia:
Assolatu wassalamu ala Rasulillah sayyidil anbiyai wal mursalin wa ala aalihi wa ashabihi ajma’in.

Posted on May 16th, 2008 by Sarah  |  27 Comments »

Saya Mahu Jadi Kajol

Assalamualaikum wbt

Jumaat yang sudah Rusia bercuti umum sempena Victory Day yang disambut setiap 9 Mei. Hari memperingati kejayaan Rusia menewaskan tentera Jerman. Sabtu juga cuti. Ahad pula ada kelas ganti bagi pelajar-pelajar yang punya kelas pada hari Sabtu. Saya tidak ada kelas pada hari Sabtu. Jadi saya telah berkurung di dalam rumah selama 3 hari dari Jumaat sampai ke Ahad.

Ahad tengahari, saya mula resah gelisah bagai hilang punca kerana sudah terlalu lama tidak jejak-jejak tanah. Memang terperuk di dalam bilik dengan buku-buku saja. Tetapi tengahari Ahad itu saya sudah mencecah tahap maksima kebosanan. Tahu apa yang saya lakukan?

Saya menonton Hindustan secara online yang bertajuk U Me Aur Hum sambil menelaah. Ceritanya memang bagus. Menepati citarasa saya sebagai pelajar perubatan. Babak tawa-tangis-tari memang tidak dapat dielakkanlah. Sudah resminya hidup Hindustan itu tidak boleh dipisahkan dengan 3T ini. Lagunya juga saya suka. Intro filemnya saja sudah ada lagu yang kena dengan citarasa saya. Bukan lagu yang ala-ala dangdut. Tapi ada sesuatu yang membuktikan saya ini terlampau bosan.

Saya menonton filem itu sehingga tamat (durasi : 2 jam 30 minit) walaupun tanpa terjemahan ke dalam Bahasa Melayu atau Inggeris! Saya pun tidak tahu macam mana saya boleh layan sehingga habis tapi yang pasti saya faham keseluruhan cerita. Kesimpulan cerita, sayangilah isteri anda selagi anda boleh menyayanginya. Cintailah kelebihannya dan cintailah juga kelemahannya.

Hehe. Saya sengal. Sekian.

p/s: Saya bukanlah peminat Hindustan sebenarnya. Saya pernah tengok beberapa filem saja secara penuh. Nah ni dengar lagu tema filem U Me Aur Hum lakonan Ajay Devgan dan Kajol. Saya bagi 9/10 bintang untuk keseluruhan cerita (Sebab kurang menari. Moleklah sikit kan. Kalau tak, saya bagi kurang daripada ini).

Posted on May 15th, 2008 by Sarah  |  26 Comments »

Selamat Hari Lahir Ayah

Assalamualaikum wbt

Saya teringat satu masa dahulu ketika saya di tahun pertama di sini, saya mendapat SMS dari ayah mengatakan mereka semua sedang dalam perjalanan balik ke Penang. Saya bertanya kenapa tiba-tiba saja balik kampung. Ayah menjawab: Saja cuti-cuti Malaysia. 1-0 saya terkena. Setahun yang lalu, saya ada menulis entri tentang Bahasa Pahang. Saya ada menyebut tentang ayah yang bermata coklat. Di ruang komen ayah menulis: Yang sebenaqnya mata ayah ni asalnya warna biru. Tapi lama kelamaan, due to overheating dia jadi coklat. Aduh. 2-0 sudah. Selalu saja kami semua terkena dengan lawak ayah. Malah, bukan saja kami adik beradik. Kawan-kawan baik adik saya juga selalu terkena dengan lawak ayah dalam bentuk komen di blog mereka.

Tapi ayah pernah kalah sekali kepada kami. Sedang ayah bercerita kisah Nabi Muhammad dengan kaum Quraisy di pintu Gua Thur kepada Adi dan Adam sebelum mereka tidur suatu waktu dulu, ayah bertanya mereka berdua sekadar menguji pengetahuan mereka apalah agak-agaknya yang terjadi di muka pintu gua itu. Tanpa diduga, Adam menjawab: Diorang bagi salam dan jerit “Tokcik, orang datang nak beli kat kedai ni”. Tok Cik merupakan nenek saudara kami yang suatu masa dulu mempunyai kedai runcit. Selalu saja kami sampai di muka pintu kedai dan jika ia tutup, kami akan melaung begitu memanggilnya. Terkena ayah pada malam itu. 1-0 buat ayah. Habis satu rumah berair mata tergelak.

Inilah ayah saya. En. Mohd Shukor Haji Mahamud. Tidak sah jika tidak mengenakan kami semua. Hari ini 14 Mei. Ulangtahun kelahiran ayah yang ke-48. Ayah, Selamat Hari Lahir. Semoga ayah dipanjangkan umur untuk melihat dan menikmati kesenangan yang kami semua akan berikan pada ayah pula nanti. Terima kasih kerana telah membesarkan kami dengan sebaiknya. Semoga ayah dalam redha-Nya selalu, di dunia dan akhirat. Kami sayangkan ayah!

Buat emak pula, Puan Noor Azimah Kamaruddin, Selamat Hari Guru. Semoga jasa emak mendidik kami dan pelajar-pelajar yang lain akan diberkati Allah dan menjadi saham terbaik buat emak di akhirat nanti. Kami sayangkan emak!

“All my children should be strong to undertake loneliness, stress, no money situation, heart break and death. Everything happens as God wants it to happen and He knows best to put things in proper place” (SMS dari ayah, 2/11/05 -malam raya-)

“Kalau penat sangat, zikirlah dengan nada yang lembut lama-lama. Nanti penat akan hilang…” (Emak, Januari 2004 -persiapan exam Bioorganic Chemistry-)

Dan saya berpegang dengan kedua-dua nasihat ini sehingga ke hari ini…

Posted on May 14th, 2008 by Sarah  |  23 Comments »