Author Archive

Hello Again, World!

Assalamualaikum wbt

Rindunya blog ni!

Pagi tadi saya ada berbual dengan seorang rakan sekerja di tempat kerja. Jiran sebelah meja ni. Kebetulan dah seminggu lebih tak bertembung muka sebab masing-masing sibuk dengan projek masing-masing dan baru hari ini kami sempat bertemu di pejabat. Jadi, perbincangan kami berkisar tentang menyahtoksik kehidupan yang penuh toksik.

Saya rasa ia sesuatu yang sangat logik dan penting untuk ketika semua. Kalau bukan semua, paling tidak, saya sangat bersetuju dengan pendapatnya dan ianya terpakai untuk diri saya. Sudah hampir 3 bulan saya menyahtoksik beberapa perkara dari kehidupan saya. Dengan harapan, perasaan menjadi lebih tenang, tenteram dan bahagia!

Salah satu perkara yang saya nyahtoksikkan dari hidup ialah media sosial terutamanya Facebook. Nanti saya ulas lebih panjang kalau sempat.

Tapi seperkara yang saya rasa saya boleh lakukan untuk meneutralkan perasaan yang toksik ialah dengan menulis. So, hello again, blog! Saya nak aktif menulis semula dalam masa terdekat ini.

To keep me feel lively, able to enjoy something that I really have passion in; writing!

Hello positive vibes, please come to me. Hehe. Please bear with my frequent updates after this ya!

Yeaaaaaayyyyyy. I feel so happy that I finally updating something here! Hehe. Sarah is hormonal again but this time she is superbly happy with her positive vibes.

Much love,

Sarah Shukor.

Posted on December 4th, 2018 by Sarah  |  No Comments »

Saya Juga Pernah Gagal

Assalamualaikum wbt

Slot Raudhah di TV3 : Positif.

Kebetulan sewaktu sedang menyiapkan Umayr untuk tidur, rancangan inipun bermula di kaca TV. Wah, memang teruja! Seorang junior di KISAS dulu, Imran Koyube, yang saya kagumi sosoknya sehingga kini, muncul sebagai hos rancangan. Kupasannya di episod pertama ini ialah berkenaan Pengurusan Stress. Ditto! Memang bagus topiknya. Begitu juga kupasannya.

Saya cuma nak ulas dan kaitkan berkaitan teknik pertama untuk menghadapi stress yang telah dikupas oleh beliau. Menjaga hubungan dengan ibu bapa. Beliau memberikan contoh sekiranya kita berhadapan dengan kegagalan dalam pelajaran, cuba semak semula bagaimana hubungan kita dengan ibu bapa.

Tiba-tiba saya teringat kisah saya sendiri. Percaya tak saya pernah gagal dalam subjek Fizik? Iya. Satu-satunya subjek yang pernah mencatat markah merah dalam kad laporan saya sepanjang saya bergelar pelajar. Markah saya hanya 37% sahaja. πŸ™ˆ

Kisahnya, 3 minggu sebelum bermulanya ujian P3 sewaktu di Tingkatan 4 di KISAS, saya telah dimasukkan ke wad selama 2 minggu. Saya pengsan di sekolah akibat anemia dan mengalami sedikit neurological deficit rentetan daripada itu. Kaki kebas dan tidak boleh digerakkan. Seminggu saya di Hospital Klang dan seminggu lagi di Hospital Mentakab. Kemudian seminggu pula saya mendapat MC. Sebaik naik semula ke sekolah, ujian P3 pun bermula dan memang hancurlah Fizik saya sebab Fizik bukannya kita boleh fikir dengan logik akal sahaja. Ia adalah fakta dan formula. Mr. Lee (seingat saya itulah nama cikgu Fizik baru kelas saya waktu itu) sudah kata, saya boleh saja ambil paper Fizik kemudian sedikit. Tapi saya rasa tidak adil untuk kawan-kawan kalau penilaian markah keseluruhan saya adalah berdasarkan soalan yang dijawab lebih lewat berbanding kawan-kawan. Seperti yang saya jangka, memang saya gagal untuk pertama kalinya dalam hidup saya dan subjek tersebut ialah Fizik.

Saya merupakan seorang yang jenis tak boleh kalah, tak boleh menerima kejatuhan dan apatah lagi sekiranya ia berpunca dari diri sendiri. Memang saya stress sangat ketika itu. Stress melampau. Kedudukan saya dalam kelas jatuh ke nombor 2 (selepas Faaiqah sahabat baik saya) dan dalam tingkatan jatuh ke nombor 9 pada waktu itu. Iya. Sangat ingat nombornya. Seorang yang tak pernah dapat nombor selain daripada nombor satu sejak tadika lagi, kejatuhan merudum ini amat-amat saya rasai. Saya stress sangat. Rasa malu. Malu dengan diri sendiri. Saya persoalkan kenapa saya tidak boleh menjawab walaupun saya cuba belajar sendiri sewaktu di hospital dan di rumah. Memang stress yang melampau ketika itu.

Ok, jangan kecam lagi. Untuk saya waktu itu, kegagalan untuk score itu adalah kegagalan yang maha besar. Cuba tanya top student yang sudah terbiasa dengan kejayaan. Terbiasa berada di atas. Terbiasa menjadi yang terbaik. Apabila tidak dapat seperti yang ditarget, memang rasa seperti dunia terlingkup seketika bagi kategori pelajar seperti ini. Saya akui, waktu itu, saya dalam kategori pelajar yang sebegini. Saya rasa dunia saya terbalik sekejap. Gagal satu subjek buat kali pertama dalam hidup dan hanya dalam ujian sahaja, bukannya peperiksaan besar. Akan tetapi, impaknya sangat tinggi untuk saya.

Jadi waktu itu, saya dimasukkan ke kelas pemulihan Fizik. Lagilah saya stress. Saya terasa seperti seorang yang sangat bodoh. Masuk kelas pemulihan. Kena dapat perhatian lebih dari cikgu dan rakan pembantu. Kena gabung dengan kelas Putera 5 Sc 2 pula waktu itu (kelas saya semuanya perempuan, batch pertama pengasingan pelajar Putera dan Puteri di KISAS). Saya rasa malu. Sudahnya, saya tak juga perform selepas sebulan kelas itu saya ikuti.

Saya fikir-fikir semula, apa yang patut saya buat untuk atasi segala rasa negatif yang semakin mencanak dalam fikiran saya waktu itu. Apa caranya supaya saya boleh score semula dalam subjek Fizik. Apa kaedahnya untuk saya hilangkan stress saya yang rasa ‘dipandang sebagai tidak pandai’ pada waktu itu.

Akhirnya, saya luahkan rasa stress saya itu kepada emak saya. Ya. Saya menangis semahu-mahunya melalui corong telefon TeleSiswa di belakang Dewan Kuliah. Saya menangis sebab saya rasa teramat down. Saya luahkan rasa menyesal masuk ke sekolah itu kerana membuatkan saya rasa saya menjadi kurang serba-serbi berbanding kawan-kawan yang lain yang jauh lebih cerdik pandai. Saya menangis semahunya kepada emak.

Mahu tahu apa emak saya jawab ketika itu? Jawabnya, “Hidup kita ni memang kita tak selalu berada di atas. Tak selalu kita saja yang menang. Kadang-kadang kita memang akan kalah. Jatuh ke bawah. Tapi yang Allah tengok ialah macam mana kita usaha nak naik semula. Bukannya menangis mengongoi macam tak ada pedoman. Biasalah tu kalau kita rasa kurang. Cuba fikir, ramai lagi orang yang kurang daripada kita. Kita patut syukur dengan apa yang kita ada. Tapi jangan cepat rasa selesa dengan apa yang kita dah ada. Kenalah usaha untuk perbaiki keadaan.” Kurang lebih, inilah nasihat emak pada waktu itu.πŸ˜–

Makin menangis saya. Memang teresak-esak saya di belakang Dewan Kuliah itu. Tapi saya seakan mendapat satu semangat baru. Ya. Jatuh bukan bermakna kita tidak bagus, tidak pandai. Tapi ini memang lumrah kitaran hidup. Takkan selamanya saya nak bolot, nak hadap nombor satu tu jadi milik saya seorang. Lebih kurang begitulah saya terfikir.

Jadi bermula dari hari itu, hampir setiap petang saya telefon ke rumah untuk belajar Fizik dari emak dan ayah saya. Melalui corong telefon! Saya merasakan, mendengar suara mereka membuatkan saya lebih tenang dan ilmu lebih masuk. Kasihan Mr. Lee waktu tu. Dia tahu saya stress sebab tak boleh berada dalam kelas pemulihan yang dibuatnya bersama Mr. Ch’ng. Masuk bulan kedua, dia membenarkan saya tidak mengikuti kelas pemulihan tersebut dan meletakkan kepercayaan kepada saya bahawa saya boleh buktikan peningkatan semula (paling kurang, untuk lulus sahaja) dalam peperiksaan akhir tahun.

Dipendekkan cerita, saya berjaya mendapatkan markah yang baik ketika peperiksaan akhir tahun. A1 untuk Fizik. Kembali mendapat nombor 1 dalam kelas dan nombor 2 dalam tingkatan (Haha. Kalah kepada Hanif Khan la of course) πŸ˜‚. Tapi waktu itu, bukan nombor 1 lagi yang saya inginkan. Tapi saya sudah belajar cara untuk mengurus stress dalam diri. Apa yang saya buat?

Saya menelefon emak ayah saya hampir setiap hari. Sekejap pun tak mengapa. Asalkan dapat bercakap seminit dua pun cukup. Kalau masuk 50 sen di telefon awam tu, cukuplah untuk 3 minit bercakap. Hehe. Selain itu, saya juga buat seperti apa yang Saudara Imran kongsikn di dalam slot tersebut. Bangun pagi dan buat sesuatu yang kita suka, yang boleh buat kita gembira. Saya suka mengemas dan makan. Haha. Jadi setiap pagi saya akan pastikan katil, locker dan dorm saya keseluruhannya adalah kemas. Cadar tegang, locker baju cantik tersusun, baju bergantung di ruang gantung dalam locker mengikut colour coding dan hue warna yang betul (agak OCD sikit di situ ya) dan saya akan ke Dewan Makan lebih awal untuk menikmati sarapan. Bukan makan tangkap muat saja. Sarapan dengan tertib. Nikmati sarapan tu. Sebab dengan cara itu saya rasa lebih teratur, terurus, bersemangat dan bertenaga untuk ke kelas.

Apa lagi aktiviti yang saya suka? Saya berbahas. Kahkah. Skema sangat, kan. Tapi waktu itu saya masih lagi sebagai pembahas pelapis kolej. Jadi peranan saya tak besar. Kalau berbahas pun, saya hanya sekadar pelengkap korum untuk mock debate bersama pasukan utama kolej yang terdiri daripada senior-senior tingkatan 5. Jadi kadang-kadang tu, ada jugalah momen-momen tidak seronok terjadi. Tapi saya layankan saja.

Lagi, saya suka bersukan. Sebenarnya sejak saya dimasukkan ke hospital kerana komplikasi chronic anemia yang saya alami, doktor menasihatkan agar ‘give up on sport’. Doktor risau saya boleh pengsan ketika bersukan. Jadi, saya berhenti dari menyertai Taekwondo. Waktu itu, saya sudah bertali pinggang biru calit merah. Tak lepas-lepas nak habiskan sparing merah waktu itu. Entah apa yang susah sangat entah. Jadi, selamat tinggal Taekwondo. Cewah! 😝 Tapi kecintaan saya kepada pingpong dan bola jaring memang tak boleh dihalang. Setiap pagi Sabtu dan Ahad, selepas Subuh, saya akan mengaji di surau sekejap untuk menunggu cerah. Sebaik saja cerah, dengan masih bertelekung, saya akan main bola jaring di padang Aspuri bersama kawan-kawan seangkatan! Dah rupa hantu Kak Limah je dalam rembang Subuh, pakai telekung putih melompat main bola jaring. πŸ˜† Itu yang paling seronok sekali. Memang destress habis. Terasa seperti berada di sekolah lama, ketika sama-sama bermain dengan pasukan bola jaring sekolah. Sekolah yang tak pernah memberi sebarang stress kepada saya.

Apabila sudah naik ke Tingkatan 5, baru saya sedar akan sesuatu. Sebenarnya menghadapi stress ni ada baiknya juga. Kita belajar untuk mengenal siapa diri kita. Kita juga cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk berhadapan dengan stress itu dan kita cuba menjadi dewasa dengan pengalaman itu.

Bagi saya, stress gagal dalam subjek Fizik itu menjadi pembuka mata untuk saya menjadi lebih easy going, lebih beradaptasi dengan keadaan. Saya melihat sudut pandang berada di sebuah sekolah berasrama penuh bukan sekadar untuk belajar dan score dan dapat keputusan gemilang lagi terbilang. Tetapi saya menjadikan ia sebuah tempat untuk saya berdikari, mencipta sejarah untuk diri, berimaginasi mencipta kejayaan mengikut acuan saya sendiri dan yang paling penting, saya menikmati zaman itu dengan melakukan dan melibatkan diri dalam apa sahaja yang saya minati. Saya tak kongkong diri saya hanya dengan belajar. Saya rasa skema begitu. Sebab dulu di sekolah lama saya bukan jenis yang begitu. Yang hanya hidup dengan buku. Saya rasa itu budaya hidup yang salah. Itu bukan kriteria kecemerlangan untuk diri saya. Saya perlu berani mengeksplorasi peluang mencuba sesuatu yang baru. Saya masuk persatuan yang baru di set up di sekolah pada waktu itu. Saya masuk pertandingan puisi, menulis pantun, cerpen kemerdekaan dan segalanyalah. Saya habiskan masa dengan aktiviti bahas sehinggalah pulangannya sangat berbaloi di saat pasukan bahas KISAS tahun 2002 berjaya membawa pulang Piala Perdana Menteri kembali ke kolej! Waktu itu, betul-betul tinggal 40 hari lagi hendak SPM. Saya layankan saja. Kalau orang kata saya ni jenis pulun belajar, jawapannya memang tidak. Saya cuma konsisten belajar dan tidak suka kepada perkara last minute. Saya suka siapkan kerja rumah awal-awal dan latihan tambahan hanya dibuat sebelum tidur sahaja. Waktu prep malam, saya buat apalah? Jawapannya, saya pergi berbahas. πŸ’ Dan ia memang berbaloi bila dikenang semula.

Selain faktor kegagalan dalam pelajaran yang boleh menjadi punca stress, Saudara Imran juga ada menyebut tentang faktor putus cinta. Yang ini saya tak hadapi ketika di sekolah menengah. Apa ke halnya nak bercinta masa zaman sekolah, kan. Haha. Tapi, zaman frust menonggeng putus cinta ni saya lalui ketika saya sudahpun di Moscow. Oh My God. Terasa terlingkup hati. Sedih dan melankoli saja jiwa. Waktu itu masih di tahun pertama. Panjang juga ceritanya. Nak kata betul-betul cinta, macam belum layak dipanggil cinta. Tapi biasalah. Bila kita sudah mula belajar letak harapan kepada sesuatu yang memberi harapan, dan apabila ada masalah sedikit, yang memberi harapan menarik diri, saya rasa terkapai-kapai. Kerap menangis bila teringat Abang Pujaan di Malaysia. Hahaha. πŸ˜‚ Sadisnya la hai. Sedangkan, serasa saya, dia sudah tidak kisah agaknya akan perkembangan saya. Emaknya juga sudah tidak menghubungi saya. Memang dah pasrah dah tak ada jodoh. Kahkah. Tapi pengajaran daripada stress saya pada ketika itu, ia menjadikan saya seorang yang sangat tegar. Ignorant dalam bahasa lainnya. Saya tak kisah orang lain nak bercinta atau apa, saya suka saya yang begitu. Saya tak kisah ada orang jolok-jolok bunga cinta atau apa, saya tetaplah begitu. Haha. Jadi keras hati. Saya suka pengajaran yang saya dapat daripada stress putus cinta yang tak berapa bercinta itu. Saya menjadi lebih fokus dalam kehidupan, pelajaran, membina legasi dakwah dan tarbiah di Moscow dan 1001 macam aktiviti lagi. Tak rock la bercinta-cinta ni. Ha gitu. 😎

Waktu di zaman universiti, cara menangani stress saya masih sama. Menelefon emak dan ayah. Berkongsi segalanya dengan mereka. Stress nak exam pun saya luah segalanya pada mereka. Kadang tu, emak tak faham pun subjek apalah yang saya tengah mengarut tu. Tapi emak dengar juga saya bercerita. Lagi satu kaedah yang Saudara Imran kongsikan tadi ialah dengan bangun malam. Tahajjud. Iya. Waktu di Moscow, paling kurang seminggu mesti dapat 3 ke 4 kali tahajjud. Mengadulah pada Allah apa sahaja yang kita rasa nak luahkan. Waktu itu terasa sangat eksklusif. Hanya antara kita dan Allah sahaja. Memang terasa bersih saja hati dan jiwa waktu tu. Sobsob. Sucinyalah waktu tu.😭

Tapi apabila dikenang-kenang semula, kalau tiada stress, tiadalah kita yang lebih matang. Namun, stress itu perlu ditangani dengan cara yang paling bijak, halus dan positif. Ada banyak lagi cara yang boleh kita lakukan untuk menghilangkan stress. Ini antara apa yang telah dikongsikan oleh Saudara Imran dan juga pengalaman saya sendiri. Entah apa-apa, kan. Baru failed satu subjek waktu UJIAN saja pun, dah gelabah stress tak memasal. Hahaha. Tapi di situlah titik tolak saya belajar menerima “hidup tak selalunya indah” dan “nombor bukan segalanya”.

Hikmah dari kegagalan itu, saya lebih berbahagia menghadapi zaman kehidupan di sekolah berasrama penuh, di universiti dan mencorak saya menjadi saya yang sekarang.

Tapi sekarang, kalau saya stress,Β saya buat apa?

MAKAN.

πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚

Eh, sepatutnya saya nak update cerita pasal anak. Entah kenapa pergi update pasal stress pula. Nampak sangat sebenarnya saya macam tengah stress sedikit. Stress sebab lada hitam saya habis untuk diisikan dalam menu pantang hari ni.

I want black pepper!
I want black pepper!
*sambil angkat sepanduk*

😭😭😭😭😭😭

Posted on April 21st, 2017 by Sarah  |  3 Comments »

Kehidupan

Assalamualaikum wbt

Memang dari sehari ke sehari niat hendak menulis di sini telah tertangguh. Bukan saja kerana sibuk dengan kerja, tetapi juga kerana ada 1001 aktiviti lain yang lebih diutamakan. Dalam tempoh 8 bulan ini, bukan saja ada agenda besar iaitu berpindah rumah (lagi) telah berlaku. Yang jauh lebih dahsyat, rumah yang dibeli kali ini kami selesaikan segala urusan mengecat, membaik pulih dan bertukang segala apa yang patut dengan mengerah keringat kami sendiri.

Saya rasa, cerita tentang rumah ini perlu saya asingkan entrinya. Terlalu istimewa jalan ceritanya untuk saya dan suami kenang bila sudah tua-tua nanti. Yang banyak mengajar kami erti susah payah kehidupan. Huhu. Memang boleh menangis terharu bila diingat semula.

Selain itu, saya juga telah mencabar diri saya untuk terlibat sebagai focal person dalam sebuah projek amal. Projek Beg Sekolah Musim Kedua. Kalau tahun lalu saya rasa saya tidak mampu untuk turut serta sebagai focal person kerana terlalu sibuk, sampai bila saya hendak beralasan lagi, kan. Jadi saya cabar diri saya untuk turut terlibat secara serius pada kali ini. Walaupun sebenarnya, hanya Allah yang tahu betapa saya sangat sibuk sejak Ogos yang lalu. Saya minta izin suami untuk turut serta. Dan semestinya, projek amal yang memakan masa beberapa bulan ini, memerlukan pengorbanan masa dan tenaga bukan saja diri saya tetapi suami dan anak-anak juga. Terlalu banyak pengalaman yang saya raih hasil menyertai projek ini. Memang tidak akan dapat saya tukar ganti dengan sesuatu yang lain. Insya Allah, kisah saya menyertai projek ini juga akan saya khaskan sebuah entri istimewa untuknya.

Bagi urusan kerja pula, mulai tahun lepas lagi, saya sudah mula menjaga atau menjadi officer in charge bagi dua buah negeri serentak. Selangor dan Melaka. Jadi memang bertambah sibuklah saya kerana supervisor saya merupakan seorang JUSA C dan dia memang menyerahkan sepenuhnya segala kerja-kerja perancangan sama ada yang melibatkan projek hospital atau klinik kepada saya untuk kedua-dua buah negeri ini. Dalam seminggu, biasanya hanya dua hari saja saya berada di pejabat di Putrajaya. Selebihnya saya akan kerja di luar pejabat sama ada ke JKR di Kuala Lumpur, ke tapak projek mahupun ada sesi interaksi khas bersama kontraktor dan konsultan projek.

Suami saya pula memang terikat dengan jadual kerja bertugas di luar pejabat yang sangat kerap. Jadi, mahu tak mahu, memang saya yang akan menguruskan Izz dan Zayd di pagi hari untuk menghantar mereka ke sekolah dan taska sebelum memecut menuju ke JKR di Kuala Lumpur ataupun ke destinasi mesyuarat yang lain. Kalau masuk ke pejabat pula, memang telah tersusun surat dan memo untuk diambil tindakan segera. Saya susun mengikut keutamaan, penuh berderet di atas meja. Sehinggakan, supervisor saya sudah tahu dengan cara saya. Kalau dia hendak meletakkan surat baru, di meja saya, dia akan susunkan sebagaimana saya menyusun surat-surat lain yang telah sedia ada. Huhu. Balik lewat sudah menjadi rutin kerana ada banyak perkara perlu diselesaikan sebelum saya keluar outstation lagi keesokan harinya.

Oh ya. Bila saya sebut supervisor, maksudnya dia adalah pakar saya. Pakar Perubatan Kesihatan Awam. Inilah pakar yang menyelia tugas saya dan yang paling utama, markah SKT saya adalah tertakluk kepadanya. Huahaha. Dalam pada sedikit cerewet sifatnya itu (cerewet banyak sebenarnya), Alhamdulillah, markah SKT saya sudah 2 tahun melebihi 93%. Huhu. Kiranya, cerewet-cerewet pun, dia puas hatilah dengan kualiti kerja saya, kan. Haha.

Bila cerita tentang kerja di Perancangan ini, memang ramai kawan lama saya yang sinikal dan menganggap tugas ini mudah. Kerja waktu pejabat, duduk di meja saja, menaip surat, menghadiri mesyuarat, memberi maklum balas, tidak perlu oncall, tidak perlu kerja lebih masa dan segala yang merendahkan martabat seorang doktor di Kesihatan Awam berbanding doktor di bidang klinikal. Hakikatnya, semua tanggapan itu adalah salah. Sudah kerap benar saya terasa hati, sakit hati dan sikit lagi nak marah bila mendengar tanggapan mereka itu. Pernah dua sesi yang saya hadiri yang turut melibatkan pakar-pakar klinikal yang memandang rendah bidang kerja para doktor dan paramedik yang bertugas sama ada di Ibu Pejabat mahupun di Jabatan Kesihatan Negeri. Mereka tak sedar bahawasanya kedua-dua bidang ini saling melengkapi. Saling memerlukan. Pernah saya ditujah dengan ayat yang cukup membuatkan saya sedih yang dilepaskan oleh seorang pakar di sebuah hospital yang saya terlibat dalam projek di sana.

“Awak bukan pakar. Mana awak tahu semua ni.”

Dush. Memang pedih menyiat hati sehingga saya sudah tidak ada mood untuk meneruskan sesi tersebut. Saya diam saja selepas itu. Lantaklah apa pakar tersebut hendak bangkangkan. Apa dia ingat, dia seorang pakar jadi dia tahu segalanya? Semestinya tidak. Sudah menjadi tugas saya yang antara lainnya untuk memandu arah mereka tentang skop projek, skop perancangan perubatan, kerja-kerja yang berkaitan dengan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal yang terlibat juga implikasi kos yang boleh menjejaskan perjalanan projek sekiranya ianya melebihi peruntukan. Dalam erti kata lainnya, walaupun saya bukan seorang pakar klinikal, tapi saya lebih tahu berbanding dia tentang segala kerja-kerja yang melibatkan arkitektual, mekanikal, elektrikal, sivil dan struktur, keperluan ICT sehingga ke perincian server room atau data center bagi sesebuah hospital dan saya juga memerlukan ilmu asas untuk merangka Preliminary Detail Abstract (PDA) yang dikeluarkan oleh Ukur Bahan. Ingat senangkah semua ini?

Saya masih ingat, sebaik saya membuat keputusan untuk menolak tawaran master baru-baru ini dan insiden pakar memperlekehkan tugas saya di Perancangan, saya balik rumah dalam keadaan mood memang ke lautlah. Tetapi, ada satu ayat yang diluahkan oleh suami saya yang membuatkan saya rasa sangat dihargai atas segala pengorbanan saya untuk terus berada di sini.

“Terima kasih sayang sebab banyak berkorban untuk abang dan anak-anak. Kalau bukan sayang yang berkorban tolak master Anaesth dulu dan sambung kerja kat sini, entah macam mana keadaan anak-anak masa abang tak ada. Tak apa kalau sayang tak ada master sekalipun. Allah dan abang tahu betapa banyak sayang dah berkorban untuk abang dan anak-anak dan betapa susahnya kerja sayang sekarang.”

Apabila saya nyatakan padanya bahawa saya sudah nekad untuk menolak tawaran master untuk Kesihatan Awam ini pula, sekali lagi suami menyatakan sokongan bahawa Allah lebih tahu betapa ini juga adalah antara pengorbanan yang saya buat demi keluarga kecil kami.

Tapi sudah pastilah, memang terdetik rasa sedih tidak dapat meneruskan hajat saya yang satu ini. Iaitu untuk emak dan ayah dapat hadir ke masjlis konvokesyen saya. Sobssss. Dulu sewaktu degree, emak dan ayah tidak dapat datang ke Moscow. Saya memasang niat, saya mesti dapat membawa emak dan ayah hadir ke konvokesyen master saya pula. Nampaknya buat masa ini, masih belum tertunai lagi niat ini. Sewaktu melihat emak dan ayah silih berganti menghadiri majlis konvokesyen tiga orang adik saya yang bergraduasi pada tahun lepas, terdetik rasa terkilan kerana majlis saya tidak dapat dihadiri oleh mereka dulu.

Hmm… Tak apalah. Saya memujuk diri, selepas anak-anak membesar dan stabil, saya masih boleh menyambung pelajaran. Tidak semestinya saya mesti menyambung dalam bidang klinikal mahupun kesihatan awam dan melalui proses tapisan untuk merebut biasiswa HLP. Saya boleh menyambung dalam apa saja bidang yang saya mahu. Apa saja. Malah, apabila takaful saya matang tempoh hari pun, memang saya sudah sukukan duitnya untuk digunakan bagi tujuan menyambung pelajaran kelak. Supaya saya tidak perlu bergantung harap pada HLPΒ yang ada had umur untuk memohon dan keterikatan dengan kontrak selepas tamat belajar.

Perihal anak-anak pula, saya kira semuanya cukup sempurna buat masa ini. Tahun ini Izz sudahpun masuk ke sesi persekolahan tadika untuk 6 tahun. Sekejap saja masa berlalu. Tahun hadapan Izz akan masuk ke alam sekolah rendah pula. Zayd pula telah saya mulakan sesi playschool di tadika yang sama dengan Izz. Umurnya akan mencecah 3 tahun pada Mei ini. Buat masa ini, Alhamdulillah, saya rasa mereka berdua cukup mudah untuk diuruskan dan otak mereka bagaikan span yang menyerap apa saja ilmu yang dicurahkan. Moga-moga kecerdasan mereka berdua dikekalkan Allah dan dapat saya dan suami manfaatkan untuk mencorak mereka menjadi muslim yang baik lagi membawa kebaikan.

Insya Allah, tahun ini juga Izz dan Zayd akan menerima seorang adik baru. Fuh. Ini yang saya nak tulis dari awal tadi sebenarnya. Sebab tak pernah ada entri atau sebarang cerita yang saya coretkan mengenai pregnancy kali ini. Rasa macam tidak adil pula untuk anak ini. Huhu. Doakan semuanya selamat dan dipermudahkan. Cerita tentang kandungan keempat ini akan saya tulis dalam entri seterusnya. Sesungguhnya anak ini menjadi pengubat hati selepas keguguran anak syurga saya, Izz Haikal, pada tahun 2015 yang lalu.

Didoakan, semoga sahabat-sahabat semua pun berada dalam keadaan yang baik-baik dan sentiasa dalam redha Allah jua. Selamat malam!

 

Posted on February 27th, 2017 by Sarah  |  6 Comments »

Izz Dan Zayd

Assalamualaikum wbt

Coretan untuk kenangan mama.

Teruk betul traffic jam petang semalam. Saya ambil masa 2 jam 45 minit dari Jalan Raja Laut KL untuk balik ke Putrajaya. Hujan lebat. Badan dah terlalu penat. Perut pula dyspepsia. Betis kiri pula kejang. Dan sakit belakang tak usah katalah macam mana.

Tapi sebaik sampai ke rumah pada pukul 8 malam, suami dan anak-anak menyambut saya dengan ceria. Saya pun menceria dan melaratkan diri menjawab soalan anak-anak dan mendengar mereka bercerita perihal hari masing-masing di sekolah hari ini.

Izz melaporkan aktivitinya dengan kawan-kawan. Zayd menceritakan tentang makanan dan aktivitinya hari ini.

Saya sudah terlalu penat. Saya minta izin mereka untuk masuk ke bilik sekejap. Nak berlunjur badan hajatnya. Tetapi macam biasalah. Mereka mengekor di belakang. Izz nak mengaji dengan mama, katanya. Jadi kami mengaji di atas katil saya. Tamat satu muka. Datang Zayd pula membawa Iqra’nya. Mengaji dengan penuh disiplin pada malam ini. Tapi macam biasa, proses mengaji dengan Zayd ni penuh dengan penerangan kenapa huruf bentuk macam tu, kenapa macam ni, kenapa bengkok dan lain-lain. Haha. Tamat juga satu muka surat.

Selesai mengaji, Izz bercerita kepada saya:

Izz: Mama tau tak anatomi perut macam mana?
Mama: Hah. Anatomi? (Dalam hati terkejut dengan pilihan perkataan yang digunakan). Izz agak-agak macam mana? Izz ceritalah pada mama.
Izz: Perut ni dia duduk bawah dari jantung kat sini (sambil menunjukkan ke rusuk kiri dada). Shape dia mama tau macam mana? Shape dia bengkok, bukan lurus. Dia turun dari fagus (yang sebetulnya esofagus) terus sambung kat perut. Mula-mula kecik, besar, kecik. Macam huruf S. Lepas tu perut sambung dengan usus belit-belit. Kalau nak berak, nanti keluar kat hujung usus. Mama tau tak air liur keluar kat mana?
Mama: Dalam mulut kitalah.
Izz: Salah. Bawah lidah ni. (Sambil menunjukkan lokasinya) Kat sini ada lubang keluar dari tangki air liur.
Mama: Masya Allah. Tabarakallah. Kenapa hebat sangat Izz tau semua ni sekarang. Mama bacakan proses digestion tu sekali je dulu. (Mama in excited mode). Yang tangki air liur tu nama betulnya kelenjar tau, Izz. Gland.
Izz: Ooo. Ke-len-jar.
Mama: Yes. Well done.

Tiba-tiba, Zayd yang menumpang dengar penerangan abangnya tadi turut menyampuk:

Zayd: Baby jadi dalam perut. Mula-mula ulat laki masuk kat sini (sambil menunjukkan penumbuk kanan yang digenggam kemas. Mama blur apa itu ulat laki). πŸ˜‚
Mama: Ni apa ni? (Sambil menunjukkan ke tangan yang digenggam).
Zayd: Ni telur pumpuan (perempuan). Ulat laki swim swim swim. Dia sampai kat telur, dia masuk laju-laju. Ekor dia pun tercabut. BOOOOM! Lepas tu telur pumpuan jadi baby. Mula-mula dia belah banyak-banyak (meiosis), jadi besar. Lepas tu jadi jantung. Dia besar, besar, besar, ada kepala, tangan, kaki, akhir sekali baby bukak mata. Nanti dia keluar.
Mama: Perghhhhhhhh. Masya Allah! Awak ingat ye, Zayd! Mama cerita sekali je dulu dari buku tu.
Zayd: Haah. Zayd baca buku dengan mama.
Mama: Semua Zayd cerita tu betul. Cuma yang ulat laki tu bukan ulat. (Dia sebut begitu mungkin kerana bentuk yang dilihatnya dalam buku). Nama dia sperma. Apa dia, Zayd?
Zayd: Syerma. (Pelat)
Mama: Well done, Zayd!

Macam manalah nak rasa penat dah apabila Allah hadiahkan anak-anak yang sebegini sekali keletahnya.

What did mama and ayah do to deserve both of you.

😊

Posted on January 24th, 2017 by Sarah  |  No Comments »

Temporarily Down

[Notes from Admin]

Hi everyone. sarahshukor.com was temporarily down recently due to some issue with cloudflare. It will get back online soon once the new DNS propagation completed.

Sorry and thanks

Posted on January 8th, 2017 by Sarah  |  No Comments »