Terlalu Banyak

Assalamualaikum wbt

Sudah sebulan berlalu sejak keguguran dulu. Alhamdulillah badan sudah segar sepenuhnya. Berat badan saja yang tak nak turun-turun. Haha. Itu bukan salah sesiapa. Itu salah sendiri yang sangat kurang bersenam sejak kebelakangan ini. Ikutkan hati nak sangat bersenam. Tapi jerebu pula teruk. Nak jogging pun tak dapat. Kalau ikutkan boleh saja berzumba dalam rumah dengan disertai oleh Zayd yang akan berpusing-pusing mengikut mamanya ni. Paling tidak pun, dia akan mengikut saya buat squatting dan beberapa langkah lain jika bersenam dalam rumah. Tapi iyalah kan. Bersenam dalam rumah ni kita tak akan fokus. Huhu. Tak sampai 20 minit pun dah berhenti sebab terdengar bunyi mesin basuh yang sudah siap. Jadi kita pun berlalu pergi menjemur baju. Eceh. Macamlah baju-baju tu tak boleh nak tunggu. Semua ni alas an saja, Sarah. Dasar dah meliat nak bersenam. Huahaha.

Jika diteliti kembali perenggan pertama ni, terus boleh nampak ada banyak perkara yang saya mahu. Mahu bersenam, mahu turunkan berat badan, mahu juga buat kerja rumah dan mahu main dengan anak. Semuanya mahu. Tapi banyak juga alasan yang saya jadikan sebagai limitasi. Terlalu banyak yang diinginkan tetapi terlalu banyak juga alasan dan gangguan. Sejujurnya, memang ini realiti hidup saya sekarang.

Eh kejap. Bukan sekarang saja. Sebenarnya sejak 2 tahun yang lalu lagi. Terlalu banyak yang hendak dicapai, hendak dibuat. Tetapi saya tidak boleh terus bertindak untuk mendapatkan apa yang saya inginkan itu. Terutamanya berkaitan kerja dan sambung belajar. Banyaknya keinginan yang hendak dicapai. Target yang diletak sekian dan sekian. Tapi harap maklum. Sudahnya saya kini bukan lagi di bidang yang saya minati. Bukan lagi di jabatan atau disiplin yang saya cintai. Bukan lagi di Unit Anaesthesiologi dan Rawatan Rapi. Terlalu rindu akan semua kerja dan keributan hidup sehari-hari ketika berada di jabatan tersebut.

Pada 5 Ogos yang lalu, genap setahun saya bertugas di Bahagian Perancangan ni. Setepatnya, saya kini bertugas di Unit Perancangan Fasiliti Kesihatan, Bahagian Perancangan di Ibu Pejabat KKM di Putrajaya. Tu dia! Apa punya komplikated nama unit ni. Ya. Memang komplikated. Sekomplikated itu jugalah bidang kerjanya. Secara umum dan ringkas, tugas utama di unit ini ialah terlibat dalam perancangan projek-projek fasiliti kesihatan sama ada hospital, klinik kesihatan, klinik desa mahupun institusi kesihatan/perubatan khas. Nampak macam mudah saja kan. Hakikatnya Allah saja yang tahu. Betapa serabut dan susahnya kerja-kerja perancangan ni. Sangat rumit dan memerlukan penelitian yang sangat tinggi.

Ada yang kata secara terus kepada saya, ‘Eiii, ruginya masuk admin.’ Ehem. Pembetulan dengan banyak. Di sini bukan bahagian pentadbiran dan kami tak buat kerja-kerja pentadbiran. Kami membuat kerja-kerja skop Pakar Perubatan Kesihatan Awam. Lagi terperincinya ialah yang membuat surveillance untuk mutu perkhidmatan kesihatan di Malaysia yang disandarkan kepada penyediaan fasiliti-fasiliti kesihatan. Nampak lebih komplikated kan? Ya. Sangat.

Waktu awal-awal saya berada di sini dulu, saya tertekan dengan diri saya sendiri. Saya tak boleh menerima skop kerja saya di sini. Saya tak reti. Saya kena bermula segalanya dari awal. Benda yang saya tak pernah belajar sewaktu undergrad dulu. Benda yang memerlukan pengalaman bertugas di klinikal dulu untuk membantu saya memahami kerja saya sekarang. Benda yang subjektif. Benda yang bukan hanya ilmu atau pengalaman di klinikal dulu saja diperlukan. Tapi juga memerlukan ilmu berkaitan hierarchical management, ilmu berkaitan perolehan (procurement), ilmu politik dan segalanya yang berkaitan perkhidmatan kesihatan di negara kita. Saya kini bukan hanya melihat skop pesakit masuk OT/ICU, kemudian bila dah selesai pembedahan atau keadaan semakin stabil dan dicaj keluar dari ICU ke wad biasa saja dah. Itu skop yang terlalu kecil. Sekarang saya melihat skop kesihatan di negara kita secara keseluruhannya. Macam seekor burung yang sedang terbang melihat daratan. The bird view of everything! Benda yang saya tak pernah sangka akan terlibat untuk buat. Walaupun benda itu bukanlah minat saya. Sobs.

Sehingga sekarang, saya masih terikat dengan persepsi orang lain yang mengatakan saya ‘masuk admin’, ‘buat kerja admin’, ‘tak guna ilmu belajar dulu-dulu dah’ dan ‘hilang skill buat kerja klinikal dah’. Ini memang antara ayat-ayat yang biasa diaju, ditanya atau diluahkan oleh kawan-kawan, saudara-mara mahupun orang luar yang dapat tahu saya kini berada di sini. Rasa mahu bunuh diri dengan persepsi sebegini. Ada ayat yang lagi menyakitkan hati. ‘Tak sayang ke dah tak praktis?’, ‘Tak rindu ke nak buat klinikal semula?’, ‘Tak rasa macam semakin mereput ke ilmu dan skill segala bagai tu?’. Mereput kau kata? Rasa nak hempuk saja orang yang bertanyakan soalan-soalan sebegini. Sangat sensitif sehingga lepas tu bila saya berlalu dari situasi tu, saya boleh rasa menyampah dengan orang tu. Hahahaha. Dahsyat punya sensitif jiwa mak budak seorang ni. Dahsyat sehingga membuahkan benci lepas tu marah diri sendiri kenapa membenci. Haha. Komplikated!

Saya tak suka nak bertekak dengan orang yang tak boleh nak menghormati keadaan atau keputusan orang lain. Saya malas nak terangkan panjang berjela kepada mereka kalau masih tak faham-faham lepas saya terangkan secara ringkas apa skop kerja saya sekarang. Untuk yang masih juga menyerang bertalu dengan soalan-soalan tak sensitif tu, memang saya akan biar saja mereka bercakap seorang dan saya berlalu. Sebab apa? Sebab saya ada banyaaaaaaaak kerja, jauh lebih banyak dan sibuk berbanding sewaktu di klinikal dahulu dan saya biar saja orang yang konon-konon heboh cakap atau up status pasal sibuk macam nak mati kerja di hospital tu terdiam tengok betapa banyaknya kerja yang orang bukan di klinikal ni nak kena buat. Tinggallah kau dengan omong-omong acah-acah sibuk kau tu. Hahahaha.

Saya pernah lalui kehidupan klinikal. Saya memahami sibuknya kehidupan di hospital dan klinik. Tapi janganlah sesedap hati mereka yang tidak lagi berada di clinical setting dituduh dengan kata-kata kurang sensitif begitu. Bukan semuanya tahu apa cerita di sebalik kenapa ada di kalangan para pegawai perubatan mahupun pergigian ini tidak lagi meneruskan kerja-kerja klinikal. Jangan menghukum. Dan yang lebih tepat, jangan menganggap mereka bodoh, kurang kompeten dan tidak sukakan klinikal. Kalian yang masih di klinikal juga jangan semborono menganggap kalian lebih bagus daripada mereka yang tidak meneruskan kerja-kerja klinikal dan tidak melanjutkan pelajaran di bidang kepakaran klinikal. Jangan rasa diri terlalu bagus. Sebab tanpa sokongan daripada skop kerja rakan-rakan di bidang bukan klinikal inilah yang membolehkan perkhidmatan di bidang klinikal dapat diperkembangkan lagi, dapat diperbaiki dan kemudahan fasiliti dapat diperbanyakkan lagi.

Kita semua ni saling melengkapi. Janganlah dihakimi orang lain tanpa sebab. Tak bermakna yang di klinikal tu hebat-hebat belaka. Tak bermakna juga yang berada di bukan klinikal itu tidak hebat ilmunya. Kehebatan kita semua ni penuh diversiti. Pelbagai kehebatan yang boleh diterokai. Pelbagai kepakaran. Kalau selama ni kita selalu rasa hebatnya bekerja di Jabatan Kecemasan, asyik resus pesakit dan penuh dengan adrenaline rush. Tapi tahukah kalian, ada doktor yang hebat dalam ilmu medical planning. Merancang keperluan klinikal. Ilmunya bukan setakat tentang klinikal tetapi juga perlu tahu ilmu arkitek, kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, tidak dilupakan ilmu surveying dan ICT. Belum lagi untuk para doctor yang terlibat dengan health informatics dan juga health financing. Ilmu-ilmu ini takkan dapat diperolehi jika kita hanya merasakan berada di bidang klinikal sajalah yang paling hebat.

Hmm. Sebenarnya saya nak cerita tentang hal lain tadi. Tapi dah tersasar menjadi hal lain. Maklumlah. Waktu rehat terhad. Nak buat benda lain dulu. Kalau saya ingat, nanti saya sambung cerita dilema-dilema yang sedang saya hadapi buat masa ini. Dan saya perlu mencari jawapan penyelesaian secepat mungkin. Demi menjaga kepuasa hati sendiri pula. Sobs. Salam Jumaat penuh wardah. Eceh. Masih nak tulis macam zaman anak dara dulu-dulu. Hati sekarang wardah selalu sebab dah ada kekasih. Oh ya. Tambah sikit saja lagi. Izz sekarang suka cakap:

“Mama janganlah sedih-sedih. Kejap lagi kekasih mama balik.”

Haha. Dia pun tahu bahawasanya mamanya ini mempunyai seorang kekasih! Muah untuk Izz! Dan Zayd! Dan semestinya ayah mereka!

 

One Response to “Terlalu Banyak”

  1. Syaza says on :

    Salam Puan Doktor, semoga puan sentiasa sihat sejahtera hendaknya.
    Mungkin soalan saya tiada kena mengena secara langsung dengan post puan ni, saya ada pertanyaan, adik saya seorang pelajar perubatan di Alexandria University, telah mengambil cuti setahun kerana ingin menjaga arwah ibu yg sedang sakit tenat.
    Arwah ibu sudah pun meninggalkan kami awal tahun ini, tetapi adik saya seperti enggan menyambung pengajiannya yang berbagi setahun lagi.
    Adalah menjadi impian arwah ibu sebenarnya yang menghantar adik saya ke sana untuk menjadi seorang doctor nanti.
    Bagaimana ya puan? Saya rasa terlalu saying untuk dia tidak sambung belajar kerana alasannya tidak minat. Sudah banyak wang dilaburkan untuk hantar dia ke sana, sekarang dia dapat loan JPA. Rugi kan untuk tidak habiskan setahun lagi?
    Minta puan beri pandangan dan nasihat. Terima kasih puan.

    Reply

Leave a Reply