Sebuah Keinsanan

Assalamualaikum wbt

Selasa lepas, 28 Julai 2015, saya perlu menghadiri mesyuarat dan lawatan tapak ke Hospital Kajang untuk dua buah projek naik taraf yang akan berlangsung serentak. Sepatutnya saya ke sana dengan menggunakan khidmat pemandu dan kereta jabatan. Tetapi di saat akhir sejurus sebelum bertolak, saya dimaklumkan bahawa pemandu yang sepatutnya membawa saya mendapat cuti sakit (MC) kerana tidak sihat. Saya mula susah hati. Kereta saya sudah dihalang orang di tempat parking umum. Macam mana untuk saya ke sana.

Alhamdulillah, Sister (Ketua Jururawat) yang bertugas menjaga negeri Selangor bersama saya tidak kemana-mana pagi itu. Dia menawarkan diri untuk ke sana bersama saya menggunakan keretanya. Dia juga faham akan keadaan saya yang sudah seminggu lebih tidak berapa sihat. Makabertolaklah kami ke sana dan segala urusan di sana hanya selesai pada pukul 1.40 tengahari.

Dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat, kami terasa keadaan penghawa dingin keretanya bagaikan tak berfungsi. Terlalu panas dan berbahang. Sebaik tiba di lorong susur keluar dari bandar Kajang untuk masuk ke Lebuhraya Silk, tiba-tiba kereta Sister tersebut secara automatic telah terkunci steeringnya. Kereta tidak boleh dibelokkan ke kiri atau kanan. Suhu kereta mendadak naik dan sistem brake tangan dan bateri menyala lampunya tidak padam-padam. Alhamdulillah ketika itu kereta kami memang berada di lorong paling kiri dan terdapat lorong susur tambahan sebelum masuk ke Silk. Sister saya pun terus memberhentikan kereta di tepi jalan dan kami keluar dari kereta. Di sebelah kiri bahu jalan terletaknya Gereja Methodist Cina Kajang.

Kami membuka injen dan mula membuka penutup radiotor. Air diisi, tapi masih belum menyelesaikan masalah. Dalam keadaan panas terik itu, Sister saya itu dapat menghubungi abang iparnya yang tinggal di Sungai Ramal untuk mendapatkan bantuan. Pomen (workshopman) juga sudah dihubungi untuk datang ke situ.

Memandangkan keadaan di tepi jalan itu terlalu terik, kami menghampiri pagar gereja tersebut untuk berteduh. Tiba-tiba kami berdua disapa oleh seorang lelaki yang sedang mengecat dinding tadika yang terletak paling hadapan dalam kawasan gereja tersebut.

Sebaik mengetahui duduk perkara yang terjadi kepada kami, lelaki tersebut menyuruh kami masuk ke perkarangan gereja itu. Dengan penuh ramah, beliau menyuruh kami masuk berteduh di depan tadika gereja tersebut yang redup berbumbung.

Kami menerima pelawaannya dengan penuh rasa terima kasih. Alhamdulillah, barulah hilang sedikit rasa hendak pitam saya berjemur di tengah panas sebelum itu.

Kami berbual sedikit tentang proses baik pulih dinding tadika yang sedang dilakukannya. Tidak berapa lama kemudian, abang ipar Sister saya pun tiba. Dengan pertolongannya pula, beliau menghantar saya pulang terus ke Ibu Pejabat manakala Sister dan pomen menuju ke bengkel terdekat.

Alhamdulillah. Hari itu Allah beri kesempatan untuk saya terus melihat dan merasai kebaikan, keinsanan dan erti hidup saling memerlukan.

Terima kasih kepada pihak Gereja Methodist Cina Kajang yang membenarkan kami menumpang berehat di perkarangan gereja tersebut. Jasa kalian akan kami kena selamanya.

Leave a Reply